Anda di halaman 1dari 12

BERCAKAP DENGAN JIN

RAKAMAN KEMBALI PENGALAMAN PENULIS BERSAMA


DATUKNYA

131. Mengeletek Macam Cicak

Saya mengucap panjang, bila melihat kaki kiri Khoja Lisut


menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya,
sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular.

“Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya. Tetapi, bila dia
sakit ternyata ilmunya tidak dapat menyembuhkan penyakitnya
kerana itulah dia datang jumpa kamu. Dalam kehebatannya, masih
ada kekurangannya, memang begitu adatnya yang menimpa
manusia. Tidak ada orang yang gagah, tidak ada orang yang amat
pintar, setiap yang lebih pasti ada kekurangannya,” Haji Yatimi terus memberikan ceramah
kecil untuk saya, Mat Upeh dan datuk.

“Apa yang mesti dibuat sekarang?” Mat Upeh bertanya.

“Inilah kesempatan yang baik, pendindingnya sudah lemah, kita mesti mengeluarkan
pendinding yang sudah sebati dengan darahnya.” jelas Haji Yatimi lalu mengarah saya
berdiri di hujung kepala Khoja Lisut, Mat Upeh di sebelah kanan, datuk di sebelah kiri.
Manakala Haji Yatimi di bahagian kaki.

“Dia mahu bertaubat, mahu jadi baik. Sayangnya, syaitan yang jadi pendinding menguasai
dirinya sepenuh, inilah masanya kita menghalaunya.” tambah Haji Yatimi sambil
memberitahu saya dan Mat Upeh supaya melihat apa saja yang dilakukannya.
Haji Yatimi memberi arahan kepada datuk supaya mengepal tanah dan melemparkan ke
arah mana-mana tubuh Khoja Lisut, bila dia menjerit. Menurut Haji Yatimi manusia berasal
dari tanah dan kekuatan manusia tetap bersama tanah dan kekuatan iblis tetap bergantung
pada cahaya dan akan binasa dengan api.

Setelah mengeluarkan arahan itu, Haji Yatimi pun menjamah kaki kiri Khoja Lisut yang
menggeletek macam cicak. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak, bibir datuk juga bergerak.
Saya kira mereka sedang membaca sesuatu.
“Ya Allah, apa sudah jadi,” bisik batin saya bila melihat kaki kanan Khoja Lisut berubah
menjadi macam ular lalu membelit tubuh Haji Yatimi, Mat Upeh kelihatan cemas sekali.
Dengan tenang Haji Yatimi menepisnya dan serentak dengan itu terdengar jeritan Khoja
Lisut. Datuk segera melemparkan tanah ke muka Khoja Lisut, kaki kanannya yang berbentuk
macam ular kembali pulih macam biasa, begitu juga dengan kaki kiri yang menggeletek
macam ekor cicak. Tidak bergerak lagi.

Khoja Lisuttidak lagi mengaum macam harimau. Dengan tenang Haji Yatimi memegang
pergelangan kaki kiri Khoja Lisut. Dengan hati-hati Haji Yatimi menekan ibu jari kirinya ke
bahagian tengah telapak kaki Khoja Lisut.

Seluruh perhatian saya dan Mat Upeh tertumpu kepada gerak-geri dan tindak-tanduk Haji
Yatimi. Sesekali saya lihat, Khoja Lisut menggeliat dan tubuhnya seakan-akan bergulung
macam tubuh tenggiling membelit sebatang kayu.

JARI

Semua yang terjadi itu tidak dihiraukan oleh Haji Yatimi, dia asyik dengan tugasnya
menekan ibu jari ke telapak kaki Khoja Lisut.

“Ha! Tengok tu,” Mat Upeh mencuit bahu saya.

Saya segera jegilkan biji mata ke arah sekujur tubuh Khoja Lisut yang terlentang ke bumi.
Wajahnya menadah langit. Haji Yatimi masih dengan tugasnya dan datuk tetap mengepal
tanah.

“Apa dia Pak Mat?” Tanya saya pada Mat Upeh.

“Kau tak nampak apa-apa Tamar,”

“Memang tak nampak apa-apa pun.”

“Cuba kau renung betul-betul ke arah bahagian dada orang itu,” Mat Upeh menasihati saya.
Kerana percaya dengan apa yang dicakapnya, saya arahkan sepasang biji mata ke arah dada
Khoja Lisut tanpa berkelip-kelip. Ya, sekarang baru saya tahu Mat Upeh tidak berbohong
dengan saya. Dia bercakap benar. Tiba-tiba saja bulu roma saya tegak, badan menggeletar.
Saya melihat ada asap nipis keluar dari bahagian dada Khoja Lisut.

Asap nipis itu naik memanjang lalu membentuk lembaga seperti bentuk kanak-kanak dalam
kandungan. Lembaga itu nampak macam berada di dalam bentuk kaca yang mengeluarkan
cahaya kemilau kekuningan.

Sekuruh tubuh lembaga itu berbulu dan bila berpusing ke arah saya, saya lihat wajah
lembaga itu amat mengerikan dengan dua batang gigi besar di kiri dan kanan mulutnya.
Lembaga itu bergerak ke kiri dan ke kanan, tidak pula melepasi kawasan jantung dan hati
Khoja Lisut.

Sinar matahari petang kian runduk tetapi, muka Haji Yatimi terus dibasahi dengan peluh.
Walaupun demikian dia tetap tenang cuma saya lihat datuk saja berada dalam keadaan
cemas. Khoja Lisut yang terlentang di bumi tetap tidak bergerak, bagaikan tidak bernyawa
lagi.

Asap nipis yang keluar dari bahagian dada tetap berterusan menyelimuti lembaga yang
berada di awang-awangan. Lembaga itu semakin membesar dan kelihatan merening dan
bentuk kanak-kanak yang ada dalam lingkungan asap nipis juga kian membesar. Wajahnya
bertambah menggerunkan ada mirip orang Utan. Seluruh tubuh berbulu, manakala sepasang
tangan seperti kaki cicak dan sepasang kaki bersisik macam sisik ular sawa.

“Dummmmmmmmm..”

Satu ledakan menguasai kawasan surau. Saya lihat lembaga yang terapung di udara hancur
berkecai. Asap nipis yang melindunginya hilang entah ke mana. Cebisan dari lembaga itu
bertaburan di halaman surau dalam bentuk gabus berwarna putih.
Beberapa saat kemudian gabus itu terbakar dan sukar dikesan. Tidak meninggalkan sebarang
tanda di tempat gabus itu jatuh.

Haji Yatimi segera bangun. Dia memberi isyarat ke arah datuk supaya berhenti mengepal
tanah. Datuk patuh dengan arahan itu.

Kemudian, saya dan Mat Upeh diarah supaya kembali ke surau. Lebih kurang lima minit
kami berada di surau, kami diarah supaya berada di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh
(mungkin juga datuk) terkejut besar melihat darah keluar dari ibu jari kaki kiri Khoja Lisut.
Darah itu melimpah di tanah dan jika dikumpulkan jumlah melebihi dua botol.

Saya lihat Khoja Lisut pucat lesi, dia membuka membuka kelopak matanya perlahan-lahan.
Melihat batang hidung Haji Yatimi, mendengar suaranya membaca ayat Qursi. Kemudian
Khoja Lisut merapatkan matanya kembali. Dia kelihatan amat lemah sekali.
“Dia memang tidak kenal dengan aku tetapi, aku mengenalinya. Kedatangan aku ke sini
memang untuk mencarinya, bukan untuk mambalas dendam, aku nak membimbing dia ke
jalan benar,” lagi sekali Haji Yatimi membuat kejutan.

“Kenapa Tuan Haji tak berterus terang dengan saya?” Sanggah datuk. Haji Yatimi
tersenyum.

RAGU

Bagi menghilangkan keraguan itu, Haji Yatimi pun menjelaskan, semasa Khoja Lisut
membelasah seorang Kiai di Asahan, secara kebetulan dia baru tiba di tempat tersebut dari
Solok. Dia datang ke Asahan untuk berjumpa dengan Pak Kiai yang menjadi guru agamanya.

“Dari Pak Kiai saya belajar hukum-hakam agama Islam. Dia ulama besar. Bila saya mendapat
tahu Pak Kiai dibelasah guru silat yang angkuh, saya jadi marah dan mahu bertindak. Tetapi,
Pak Kiai menahan saya. Katanya, orang Islam yang baik tidak mudah naik darah dan tidak
mahu bergaduh sesama Islam,” Haji Yatimi memulakan ceritanya.

Dia juga menceritakan kepada kami, bagaimana Pak Kiai menghembuskan nafas terakhir di
depan matanya. Sebelum itu, Pak Kiai berpesan kepadanya supaya mencari guru silat yang
membelasahnya, bukan untuk membalas dendam tetapi, mengajak guru silat yan banyak
mengamalkan ilmu batin yang bertentangan dengan ajaran Islam kembali ke jalan yang
benar.

Jika tidak dibetulkan mungkin guru silat itu akan mengajar ilmu songsang kepada anak
muridnya. Malah akan menyebarkan ajaran sesat yang akan merugikan orang-orang Melayu,
menimbulkan perpecahan sesama sebangsa.

“Kerana itu aku cari dia, aku gembira aku gembira bila mendapat tahu kamu berikhtiar
mengubati penyakitnya. Allah memperkenankan permintaan kamu, tetapi dia tidak ikhlas,”
sambung Haji Yatimi lagi.
“Sekarang macam mana?” Tanya Mat Upeh.

“Dengan izin Allah, nampaknya aku berjaya mengeluarkan amalannya. Darah yang kamu
tengok tu, adalah darah kotor bersendikan syaitan yang mengalir dalam tubuhnya,” Haji
Yatimi segera menggosok kedua belah telapak tangannya.
Dia mengambil sebatang ranting yang berada dekatnya, ranting itu dilemparkan ke arah
darah yang keluar dari ibu kaki Khoja Lisut. Sebaik saja ranting jatuh di situ, maka keluarlah
api lalu membakar darah tersebut hingga hilang tanpa kesan.

Memang di luar dugaan kami, tiba-tiba saja Khoja Lisut bangun. Kalau tadi, wajahnya
nampak gerun dan menyeramkan dengan sinar mata yang tajam, kulit tubuhnya kelihatan
tegang. Kini, semuanya itu bagaikan tiada pada dirinya. Khoja Lisut kelihatan lesu, wajahnya
nampak tua dan kulitnya berkedut.

“Kamu sekarang berada dalam keadaan yang sebenar. Kamu tak boleh selama-lamanya
menipu sesama manusia,” turut Haji Yatimi lalu bangun. Berdiri bertentang wajah dengan
Khoja Lisut.

“Kamu.”

Haji Yatimi segera meletakkan telapak tangan kiri ke bahu kanan Khoja Lisut. Lima jari Haji
Yatimi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut dengan keras sekali.

Berkerut muka Khoja Lisut menahan rasa sakit dan dia hampir mahu rebah ke bumi tetapi,
Khoja Lisut tetap berusaha agar dirinya berdiri terus.

Rebah ke bumi bererti kalah dan Khoja Lisut tidak mahu kalah lagi. Tidak rela masa
lampaunya yang hitam diperkatakan oleh Haji Yatimi dengan sewenang-wenangnya di
depan Mat Upeh, di depan saya dan datuk. Makin kuat Khoja Lisut mempertahankan diri
dari rebah ke bumi, sekuat itu juga Haji Yatimi memaut tulang selangka Khoja Lisut.
Sebenarnya, antara Haji Yatimi dengan Khoja Lisut sedang berlangsung sebuah pertarungan
yang tidak rasmi. Saya tidak tahu kenapa Khoja Lisut harus memperlihatkan kemampuannya
yang tidak seberapa itu kepada Haji Yatimi, sedangkan dia sudah bertaubat untuk jadi orang
baik-baik.

Barangkali dia terpaksa bertindak demikian setelah mengetahui yang Haji Yatimi adalah
kenalan Kiai yang dibelasahnya di Asahan dulu. Mungkin dia memikirkan kedatangan Haji
Yatimi untuk membalas dendam. Khoja Lisut merasakan Haji Yatimi mahu memperdayakan
dirinya? Semua persoalan itu berlegar dalam tempurung kepala saya.

Khoja Lisut tidak dapat bertahan, sedikit demi sedikit dia merendahkan tubuhnya. Demi
menjaga maruah diri, Khoja Lisut terpaksa membenkokkan kakinya dan menggunakan
kekuatan sepasang lutut bagi menahan diri dari rebah ke bumi. Cengkaman Haji Yatimi
teetap berterusan. Berpeluh Khoja Lisut menahan rasa sakit.
Mungkin kerana terlalu sakit, Khoja Lisut tidak ada pilihan lain. Dia terus meraung dengan
sekuat hatinya, bagaikan raungan gajah yang naik minyak.

“Ya Allah, apa sudah jadi Tamar?” Keluh Mat Upeh

Semua biji mata tertumpu ke arah Khoja Lisut. Datuk urut dada dan saya menarik nafas
dalam-dalam bersama rasa cemas dan takut.

“Apakah aku bermimpi Tamar?” Mat Upeh bersuara sambil menggosok-gosok kelopak
matanya beberapa kali.

“Kamu tak bermimpi Mat,” kata-kata yang dituturkan oleh datuk memaksa Mat Upeh
mengerutkan dahinya.

Raungan Khoja Lisut terus bergema. Haji Yatimi tidak ambil kisah, dia tetap tenang. Sambil
jejarinya mencengkam tulang selangka Khoja Lisut, mulutnya terus berkumat-kamit. Entah
apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu. Dari lubang hidung Khoja Lisut keluar darah
yang sudah agak membeku. Dari kedua belah cuping telinganya berguguran butir-butir pasir
menyerupai intan, berkilau-kilau disuluh matahari petang yang kian redup.

Dari celah belah sikunya kelihatan seperti serpihan emas berjatuhan atas bumi lalu hilang
entah ke mana. Saya jadi panik melihat keadaan yang berlaku di depan mata saya. Raungan
Khoja Lisut berhenti dan jari-jari Haji Yatimi tidak lagi mencengkam tulang selangka Khoja
Lisut.

“Sekarang sudah selesai,” kata Haji Yatimi sambil menatap wajah datuk dengan serius.

“Apa benda yang keluar dari cuping telinga dan dagunya tu.”
“Tuan Haji?” Tanya datuk.

“Yang keluar dari lutut tu ialah susuk untuk tenaga, yan kamu nampak jatuh macam keping
emas tu, sebenarnya tahi besi yang diserapkan ke dalam setiap sendi tubuhnya,” balas Haji
Yatimi.

ARAH

Saya lihat Mat Upeh gelengkan kepala. Kemudian saya alihkan pandangan ke arah Khoja
Lisut yang berusaha untuk berdiri, ternyata usahanya itu berhasil.
Khoja Lisut melangkah perlahan-lahan mendekati Haji Yatimi. Gerak-gerinya macam orang
yang sudah berusia hampir sembilan puluhan. Khoja Lisut nampak cukup tua.

“Yang keluar dari cuping telinganya tu apa dia?” Mat Upeh ajukan pertanyaan. Datuk terus
menggigit ibu jari kiri, ekor matanya terus menjeling ke arah Khoja Lisut. Haji Yatimi seperti
tidak mahu menjawab pertanyaan yang diajukan Mat Upeh. Barangkali, dia sedang
memikirkan sesuatu yang lebih serius tentang Khoja Lisut.

“Itu susuk emas yang saya pakai, tujuannya biar muka saya nampak muda, tak makan tua.
Saya tersilap,” sebuah pengakuan yang amat mengejutkan dari Khoja Lisut untuk kami. Saya
dan Mat Upeh saling berpandangan.

Haji Yatimi senyum panjang. Terbayang kepuasan di wajahnya. Tanpa membuang masa dia
terus menerkam ke arah Khoja Lisut lalu dipeluk dan diciumnya beberpa kali . Apa yang
mengharukan perasaan saya, mungkin juga perasaan datuk dan Mat Upeh, bila melihat
Khoja Lisut merangkum tubuh Haji Yatimi dengan erat sekali. Saya lihat Haji Yatimi
menangis tersedu-sedu.

“Aku bahagia bila kamu mengakui kesilapan kamu,” dalam esak tangis itu, Haji Yatimi terus
bersuara tersangkut-sangkut.

“Allah membuka pintu hati saya tuan Haji,” balas Khoja Lisut lalu melepaskan sepasang
tangannya yang merangkum tubuh Haji Yatimi. Mereka berpegangan tangan dan serentak
menghalakan wajah ke arah saya, ke arah Mat Upeh dan datuk.

“Seorang Islam sejati akan merasa bahagia dan bersyukur pada Allah bila dapat
menyelamatkan saudaranya dari tercebur ke kancah maksiat yang diketahui oleh syaitan.
Orang Islam yang yang baik selalu memikirkan tentang nasib agama Islam dan saudara-
saudaranya,” Haji Yatimi bagaikan memberi ceramah kepada kami.

“Saya tahu awak....” Khoja Lisut terus meluruskan jari telunjuknya ke arah datuk dan “Tuan

Haji ini benar-benar ikhlas mahu menolong aku, cuma aku saja ragu-ragu atas kejujuran
kamu berdua sekarang sudah terbukti aku yang salah hitung,” sambung Khoja Lisut dengan
wajah yang besar.

“Sudahlah, sekarang kamu tidak ada menyimpan ilmu hitam lagi? Kalau ada cakap segera,
biar aku selesaikan,” turut Haji Yatimi, Khoja Lisut gelengkan kepala seraya berkata:

“Ilmu hitam yang Tuan Haji keluarkan tadi, itulah ilmu terakhir yang ada pada saya.

Memang saya berhajat nak menyimpannya kerana saya percaya dengan kata guru saya; tidak
ada orang yang boleh gugurkan 'susuk' yang sudah sebati dengan darah daging saya, tidak
ada orang yang tahu yang saya ada ilmu itu.”

“Dan guru kamu memberitahu kamu, jika mahu mengeluarkan susuk dari tubuh, kamu
disuruh masuk hutan mencari pokok yang separuh mati dan letaknya terasing dengan
pokok-pokok lain. Pokok tu mesti tumbuh di kemuncak bukit,” Haji Yatimi tatap biji mata
Khoja Lisut.

“Ya Tuan Haji,”

“Kamu disuruh betapa di pangkal pokok selama tiga hari tiga malam. Kemudian kamu
disuruh gantung diri kepala ke bawah kaki diikat dengan tali jerami pada dahan pokok.

Betul atau tidak?”

Khoja Lisut termenung sejenak. Dia seperti keberatan mahu menjawab pertanyaan yang
diajukan oleh Haji Yatimi. Masih mahu berahsia.

“Betul atau tidak? Jawab pertanyaan aku,” Haji Yatimi terus melenting. Dia genggam
penumbuk. Datuk dan Mat Upeh undur dua tapak ke belakang, menjauhkan diri dari sisi
Haji Yatimi. Bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Iya,” angguk Khoja Lisut.

“Dia juga beritahu kamu, genap empat hari empat malam kamu gantung diri kepala ke
bawah kaki ke atas, susuk yang ada dalam diri mesti keluar. Sebenarnya, dia membohongi
kamu. Dia menipu kamu.”

“Bohong?” Khoja Lisut terkejut.

“Iya, bila kamu tergantung begitu empat hari empat malam, kamu boleh mati, setidak-
tidaknya jadi habuan binatang ganas. Di mana logiknya cakap guru kamu?”

Mendengar kata-kata Haji Yatimi itu, Khoja Lisut bagaikan tergamam.Dia termenung
panjang sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dahinya, segera
dikerutkannya. Beberapa kali Khoja Lisut gelengkan kepalanya. Dia seperti menyesali apa
yang terjadi atas dirinya.

“Saya terkena dalam baik,” terpancut sebuah keluhan dari mulut Khoja Lisut. Mat Upeh
terus telan air liur dan saya terus menggigit lidah. Rasa simpati terhadap Khoja Lisut terus
berbunga dalam hati.

“Sepatutnya, kamu hati-hati bila mahu menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ilmu silat, banyak
cabang, banyak simpang yang tidak sihat,” sanggah datuk.

“Salahnya kamu sendiri tak gunakan fikiran untuk buat keputusan, kamu tunduk dengan
kemahuan nafsu. Inilah akibatnya yang kamu terima,” Haji Yatimi memberikan komentar
tanpa memandang wajah Khoja Lisut.

GOSOK

Buat beberapa saat, semua yang ada di situ tidak bersuara. Datuk menggosok-gosok batang
hidung beberapa kali. Mat Upeh menekan sepasang tumit kakinya ke bumi. Haji Yatimi terus
berpeluk tubuh dan sepasang matanya merenung ke arah pepohon yang terdapat di sekitar
kawasan tersebut. Dia masih juga membelakangi Khoja Lisut.

“Sekarang kamu dah sedar tentang kesilapan kamu?”


Saya lihat Khoja Lisut terkejut mendengar ungkapan dari Haji Yatimi itu. Dia pasti kata-kata
ditujukan kepadanya.

“Ya, sekarang sudah nyata cakapnya tak betul,” Khoja Lisut bersuara. Dengan serta- merta
Haji Yatimi memusingkan badannya lalu menatap menentang biji mata Khoja Lisut.
Datuk dan Mat Upeh segera bergerak ke arah surau. Pada anggapan mereka, tugas
membantu Haji Yatimi sudah selesai. Tetapi, hati kecil saya keberatan untuk meninggalkan
Haji Yatimi sendirian di situ.

“Apalagi ilmu yang kamu simpan? Kalau ada, sila cakapkan pada aku dengan ikhlas dan
jujur. Demi kebaikan kamu,” terpamir rasa simpati di wajah Haji Yatimi.

Sinar matanya seolah-olah membayangkan kesungguhan untuk membebaskan diri Khoja


Lisut dari belenggu ilmu syaitan.

“Tak ada apa-apa lagi yang saya simpan,” Khoja Lisut telan air liur, bulu keningnya nampak
bergerak, “tak tahulah pula, kalau ada ilmu yang diserapkan diluar pengetahuan diri,”
sambung Khoja Lisut.

“Kamu sudah diiktiraf sebagai Khalifah?”

“Belum lagi.”

“Buktinya yang kamu belum iktiraf sebagai Khalifah,” Haji Yatimi terus merisik rahsia.
Khoja Lisut dongakkan wajah ke langit. Dia melihat awan dan langit petang. Dengan tenang
dia menarik nafas untuk menghirup udara yang berlegar-legar di sekitar kawasan halaman
surau. Khoja Lisut ubah pandangan lalu menatap ke arah Mat Upeh dan datuk yang sedang
berdiri dekat tangga surau. Kemudian pandangannya itu dialihkan ke wajah Haji Yatimi.

“Buktinya? Mahu buktinya?” Ulang Khoja Lisut.

“Iya,” angguk Haji Yatimi.

“Saya tidak diberi songkok tinggi baldu merah berlilit kain putih. Kalau sudah diberi
songkok macam itu, bolehlah mengeluarkan petua baru tentang sembahyang, puasa, zakat
dan ambil haji.”
“Biasanya, hukum-hukum itu berlainan dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan orang
Islam, malah memang bertentangan, pengikut Khalifah yang dianggap macam Imam paling
agung, mesti disanjung, makan pakai, rumah harus disediakan oleh pengikut. Apa yang
Khalifah mahu mesti ditunaikan. Kalau engkar nanti kena kutuk, mati berdarah, ada yang
kena petir, mati lemas atau terbakar. Bukan begitu.”

“Tepat sekali,” Khoja Lisut seperti terpaku. Dia kagum kerana Haji Yatimi dapat menyatakan
apa yang menjadi rahsia dirinya secara terperinci.

“Tolong, jangan buat apa-apa dengan saya.”

Khoja Lisut terkam ke arah Haji Yatimi dan terus melutut sambil mengangkat sepuluh jari
paras hidung, macam orang suruhan dalam zaman Kerajaan Melayu Melaka menyembah
sultan. Perbuatan itu tidak disenangi oleh Haji Yatimi dan dia terus memarahi Khoja Lisut.

“Jangan sembah aku,” bentak Haji Yatimi, “berdiri lurus, cakap apa yang kamu nak cakap,”
kali ini nada suara Haji Yatimi lembut, penuh kemesraan bersama senyum persahabatan.
Khoja Lisut segera patuh dengan permintaan Haji Yatimi itu.

“Jangan, buat apa pada saya. Memang saya diarah cara halus supaya menetang sesiapa saja
yang menentang cita-cita. Maafkan saya. Ampunkan saya jangan mengapa-apakan saya,”
“Aku ke mari bukan nak balas dendam kerana kamu menyeksa guru aku, tapi...” Haji Yatimi
berhenti bersuara. Khoja Lisut bertambah resah. Dia berada dalam ketakutan yang amat
sangat.

“Tapi, apa tuan haji” Tanyanya lembut.

“Menyempurnakan amanat guruku, dia memaafkan kamu. Tetapi, dia juga menyuruh anak
muridnya mencari kamu. Berikhtiar mengajak kamu kembali ke jalan benar.”

“Kamu tidak menipu.”

“Orang Islam tidak pernah menipu, apa yang ada di hati, itu yang dicakapkan. Seseorang
Islam berhak dan dituntut supaya mengembalikan saudaranya yang sesat ke jalan yang
benar.”
“Buktinya?” Khoja Lisut minta kepastian.

“Buktinya, aku tidak buat tak senonoh pada kamu, sekarang aku bersyukur pada Allah
kerana hamba yang sesat kembali ke jalan yang benar.”

Anda mungkin juga menyukai