Anda di halaman 1dari 5

Tidak Salah Umat Islam Terima Bantuan Dari Ugama Lain - Dr Asri

Saturday, August 06, 2011 Posted by Roslan Alan

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan “bukan sesuatu haram” jika umat
Islam menerima bantuan daripada mana-mana penganut agama lain termasuk Kristian
sekiranya terpaksa berbuat demikian.

Bekas mufti Perlis berkata sikap umat Islam yang enggan menghulurkan bantuan sesama
mereka menyebabkan ramai golongan miskin terpaksa bergantung kepada orang bukan
Islam.

“Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan
Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka
menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak Muslim yang
sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut
disalahkan.

“Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya kita tidak boleh menyalahkan orang lain
kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada
sesiapa yang mereka mahu,” kata beliau sambil menambah, mana-mana bantuan
dibenarkan selagi mengikut peraturan dan undang-undang.

Tegas Asri, beliau difahamkan umat Islam yang hadir dalam satu majlis makan malam
muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu adalah
untuk mendapatkan bantuan yang gagal dilaksanakan agensi agama Islam melalui
pemberian zakat.

Jelas beliau, kemungkinan umat Islam yang hadir itu “terpengaruh” dengan agama
Kristan disebabkan sikap baik penganutnya membantu mereka.

“Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari
kalangan mereka yang amat daif dan miskin.

“Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila
ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’
dan ‘terhutang budi’,” katanya.

Asri berkata demikian sebagai respons terhadap laporan dua akhbar berbahasa Malaysia
hari ini yang mengatakan pihak gereja menawarkan wang tunai, makanan dan tempat
tinggal kepada umat Islam.

Akhbar Berita Harian edisi semalam di bawah tajuk “Sogok wang gadai akidah”
melaporkan ada pihak yang berselindung disebalik pertubuhan amal dengan menawarkan
pelbagai bantuan kepada umat Islam seterusnya meminta mereka keluar daripada agama
itu

Selain itu, akhbar tabloid Harian Metro juga mengatakan perkara sama di bawah tajuk di
muka depan “Kami diberi Bible versi Melayu.”

Akhbar itu mendakwa penganut Kristian menggunakan “pendekatan lembut” untuk


menarik umat Islam.

Kontroversi ini berlaku selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu
majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama.

Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki
premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada
bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Tambah Asri, semua pihak tidak sepatutnya menyalahkan penganut Kristian yang
menghulurkan bantuan, sebaliknya persoalan itu ditanya kepada diri sendiri.

Jelas beliau, sekiranya wang zakat digunakan secara telus mustahil umat Islam perlu
meminta bantuan daripada penganut agama lain.

“Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban
tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka
sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain? Mengapa kerenah biokrasi begitu
tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan
dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM100 hingga
RM200 pun, begitu banyak kerenahnya.

“Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan
urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari
pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?
Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak
untuk golongan mualaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini,
sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan
daripada umat Islam khususnya zakat?” soalnya.

Justeru Asri meminta supaya tidak bersangka buruk kepada pihak yang bersedia
menghulurkan bantuan kepada umat Islam.

“Janganlah jika kita gagal membantu sedangkan kita mampu tapi kita menyalahkan orang
lain yang membantu. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik
kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan.
Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik.

“Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama
disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim? Sebaliknya mereka
terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita
selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?,” katanya.

‘SERANGAN JAIS’ KE ATAS GEREJA: TANYA DIRI KITA DULU!

Saya belum ingin mengulas tentang ‘serangan’ atau serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di
Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan
‘serangan’ itu. Cumanya, seperti mana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang
bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan
permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah.

Saya ingin menyentuh tentang orang-orang Islam yang hadir ke majlis tersebut yang
dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan
sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka. Difahamkan bahawa orang-
orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat
daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam,
tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka
mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’. Di sini beberapa persoalan patut
ditimbulkan;
1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban
tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan
mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain?

2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan
zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka
sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan
pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan
juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari
pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada
hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan
hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat
bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!

4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan
muslim. Apatahlagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka
menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang
sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut
disalahkan.

5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang
lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan
bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-
undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas
dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu –sedangkan kita mampu-
kita menyalahkan orang lain yang membantu.
6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah
manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang
terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang
pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan
layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh
dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini
hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?

Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum
menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup
kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Anda mungkin juga menyukai