Anda di halaman 1dari 5
PERINTAH PASUKAN POLIS/DIRAJA MALAYSIA 30 OKTOBER 2023 BIL. 33/2023 PERINTAH PASUKAN KHAS PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA MAJLIS PELANCARAN DUTA SAHSIAH PEMANGKIN PEMBENTUKAN KARAKTER KARAMAH INSANIAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2023 Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani. Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah SWT, kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua, Pelancaran Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dapat disempurnakan pada tahun ini. Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan program pada hari ini secara serentak di seluruh negara. Program yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Jom Ke Sekolah kini telah dijenamakan semula sejajar dengan konsep murid sebagai duta sahsiah. Objektif program ini adalah untuk memeta hala tuju sahsiah di peringkat sekolah dengan melantik seorang murid di setiap sekolah sebagai Duta Sahsiah dalam menguar-uarkan Garis Panduan Salah Laku Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah dilancarkan pada 22 September 2023 yang lalu. Duta Sahsiah yang dilantik oleh pihak sekolah ini, merupakan seorang pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan memperoleh pencapaian terbaik dari segi akademik, sahsiah dan sosial serta diyakini. dapat menjadi role model kepada pelajar-pelajar lain. Memetik pesanan daripada Saidina Ali R.A, “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda- pemudinya pada hari ini”. Kata-kata ini jelas menggambarkan bahawa generasi muda merupakan pewaris kepada kepimpinan negara suatu hari nanti. Justeru, pembinaan generasi pelapis yang mempunyai jati diri yang tinggi dan pegangan agama yang kukuh harus dipupuk bermula sejak awal usia. PDRM menyedari bahawa ibu bapa dan guru-guru berhadapan dengan cabaran besar dalam mengawal tingkah laku anak-anak muda pada masa kini yang dilihat semakin terdedah kepada pelbagai cabaran dan dugaan. Jika dahulu para pelajar terlibat dalam salah laku disiplin seperti ponteng sekolah, merokok, bergaduh, vandalisme dan buli namun, pada masa kini, ramai pelajar dikesan dan ditangkap atas kesalahan yang lebih serius. Justeru, saya berharap Duta-duta Sahsiah yang dilantik oleh pihak sekolah, dapat memainkan peranan sebagai pemantau atau pelapor kepada pihak sekolah khususnya bagi mengenal pasti keterlibatan para pelajar dalam kegiatan yang melanggar peraturan dan disiplin sekolah serta undang-undang negara. Ingin saya kongsikan statistik jenayah indeks melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara. Pada bulan Januari hingga September 2022, sebanyak 355 kes dengan 464 tangkapan telah direkodkan. Manakala bagi tempoh masa yang sama pada tahun ini pula, sebanyak 467 kes dengan 561 tangkapan telah dibuat oleh PDRM. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak tiga (3) kes dengan pertambahan tangkapan seramai 97 orang. Manakala statistik jenayah narkotik pula menunjukkan sebanyak 136 kes dengan 136 tangkapan telah dicatatkan dari Januari hingga September 2022, berbanding 87 kes dan 87 tangkapan bagi tempoh yang sama pada tahun ini. Sungguh pun terdapat pengurangan dalam kes dan tangkapan yang dibuat pada tahun ini, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Pemantauan berterusan ke atas para pelajar dan anak-anak muda perlu dilakukan supaya mereka tidak terjerumus ke kancah penagihan kerana tidak dapat disangkal lagi bahawa najis dadah adalah “ibu’ kepada segala perlakuan jenayah. PDRM amat prihatin tentang permasalahan sosial, salah laku dan jenayah dalam kalangan generasi muda, khususnya melibatkan pelajar-pelajar sekolah. Atas rasa tanggungjawab yang tinggi, PDRM telah menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah di seluruh negara bagi mewujudkan komunikasi berterusan antara PDRM dengan pihak sekolah. Peranan dan fungsi PPS tidak hanya terhad dengan hadir ke sekolah apabila diundang oleh pihak pentadbir sekolah sahaja, tetapi juga mengumpul maklumat daripada pihak sekolah untuk diambil tindakan sekiranya perlu. Di samping itu, PPS turut berperanan melakukan rondaan atau lawatan secara berjadual di kawasan sekolah serta memberikan ceramah berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah. Menerusi mekanisme ini, hubungan akrab antara pihak sekolah dengan PPS yang dilantik menjadi semakin erat sekali gus mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan kemenjadian para pelajar. Akhir kalam, besar harapan saya agar jalinan kerjasama antara KPM dan PDRM dapat diperkukuhkan lagi dengan pelantikan pelajar sebagai Duta Sahsiah di sekolah masing-masing. Diharapkan juga, para pelajar dapat menghindarkan diri daripada terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah serta pelanggaran disiplin yang boleh merosakkan diri dan masa hadapan. Kepada para ibu bapa dan pihak sekolah pula, sentiasalah cakna kepada perkembangan semasa trend jenayah yang sentiasa berubah agar anak-anak serta para pelajar kita tidak sesekali terlibat sama ada sebagai pelaku atau menjadi mangsa jenayah. Sekian, terima kasih. (TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSA! Ketua Polis Negara Polis Diraja Malaysia

Anda mungkin juga menyukai