Anda di halaman 1dari 3

Dalam memperkatakan peredaran waktu ini, salah satu penyimpangan yang nyata antara dialek ialah pengertian yang

diberi masing-masing kepada perkataan kelmarin(kelmarin). Bagi beberapa dialek lain, perkataan itu membawa makna "masa lampau yang lebih ke belakang dari hari sesudah hari ini", sedangkan dalam dialek Kedah, maknanya ialah "hari sesudah hari ini". Perbezaan ini terletak pada cara hidup masing-masing yang berbeza satu sama lain. Bagi orang-orang Kedah perkiraan waktu yang menegaskan masa lampau yang tidak ada ketentuannya itu tidak penting. Kehidupan pertanian, lebih-lebih lagi persawahan, harus memberi perhatian penuh kepada peredaran masa yang dekat dan yang mempunyai ketentuan. Pembahagian waktu dalam satu-satu hari bagi orang-orang Kedah tidak berbeza dengan apa yang terdapat di kalangan orang-orang Melayu lain. Oleh kerana itu tidak usahlah saya memperkatakannya dengan panjang lebar. Kehidupan dan penglihatan dunia (yakni cara melihat dunia dan kehidupan) di kalangan orangorang Kedah yang boleh dikesan dari pelbagai gerak dalam konsep memotong, mencampak, berjalan, memukul, memijak dan sebagainya, dengan sendirinya dapat menggambarkan beberapa perincian dalam tingkah laku dan cara hidup orang-orang Kedah dari zaman ke zaman. Untuk konsep memotong sahaja dialek Kedah mempunyai tidak kurang dari 14 perkataan, iaitu tebang, cantas, cincang, hiris, belah, kerat, rincik, tetas, takok, takek, kelar, tebas, tebang, tetak. (Perlu diingat di sini bahawa potong itu bukanlah asli Kedah tetapi adalah pinjaman dari bahasa standard). Perkataan-perkataan itu timbul berdasarkan perbezaan-perbezaan kecil dari segi gerak perbuatan, daya yang dikenakan, kecepatan perbuatan dan sebagainya. Di sini kebudayaan yang dilalui oleh orang-orang Kedah itu sudah dapat membezakan gerak-gerak yang asasnya sama itu, dengan begitu terperinci sekali. Begitulah juga halnya dengan konsep memijak, memukul dan sebagainya. Cara orang-orang Kedah mengkonsepsikan warna serta bentuk, dan pemberian kepada nama pohon-pohon dan jenis-jenis padi juga membayangkan dengan jelasnya kehidupan mereka yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan pertanian. Dalam pengertian warna, misalnya warna merah dan hijau merupakan warna yang baik. Dalam hal ini kita hendaklah ingat bahawa merah bagi petani-petani Kedah (sebelum dipengaruhi oleh bahasa standard) meliputi kuning dan coklat, sedangkan hijau meliputi juga biru. Kedua-dua warna ini mempunyai kaitan yang erat dengan alam pertanian. Pohon-pohon yang hijau dengan batangnya yang berwarna merah (coklat?), sedangkan padi berwarna merah (kuning) seperti juga emas yang merah. Jika orang Kedah betul menggunakan perkataan kuning, maka konsep di sebalik perkataan ini dikaitkan dengan penyakit atau keuzuran. Biasanya perkataan itu disingkatkan menjadi nin (g), yang biasanya dikaitkan dengan mata atau air muka orang yang sedang mengalami keuzuran. Dengan perbincangan mengenai kod bahasa ini, tujuan saya ialah hendak memperlihatkan bagaimana dialek Kedah mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakannya dari bahasa standard dan juga dari dialek-dialek lain. Perbendaharaan katanya tidak dapat membayangkan kehidupan pengguna itu. Tetapi bagaimana pula dengan sistem bunyi dan nahunya. Kedua-dua kod ini tidaklah dapat membayangkan kehidupan dan budaya orang-orang Kedah dengan cara yang sama dengan perbendaharaan kata. Tetapi perbandingan dengan kod-kod bahasa dalam dialek-

dialek lain dan juga bahasa standard akan memperlihatkan kepada kita perkembangan dalaman yang dilalui oleh dialek itu. Dari segi sistem bunyinya, dialek Kedah pada satu ketika dalam sejarah kewujudannya telah mengalami perkembangan yang pesat. Rekonstruksi dalaman yang dikenakan ke atas dialek-dialek Melayu menunjukkan bahawa dari segi sistem bunyi, dialek Kedah jauh meninggalkan Bahasa Melayu Purba yang dibayangkan oleh dialek Johor. Dalam perkataan lain sistem bunyi dialek Johor mengalami perkembangan yang amat sedikit dari tahap purbanya. Berdasarkan teori perbandingan bahasa yang sudah diterima umum, sesuatu bahasa atau dialek akan mengalami perkembangan yang pesat jika bahasa atau dialek itu terdapat dalam kawasan yang merupakan pusat kebudayaan (meliputi pusat kegiatan perdagangan dan sebagainya). Dalam hal ini, melihat kepada sejarah Kedah, yakni zaman Kedah menjadi pusat kebudayaan dan perdagangan bukan sahaja bagi Semenanjung Tanah Melayu tetapi juga bagi Kepulauan Melayu; tegasnya zaman Sriwijaya pada masa itu kawasan-kawasan bahagian selatan Semenanjung belum terbuka atau berkembang. Dengan itu tidak hairanlah jika dialek yang digunakannya itu tidak mengalami perkembangan yang sama pesatnya dengan dialek Kedah dalam zaman itu. Dialek Kelantan juga melalui perkembangan yang pesat seperti yang dibayangkan oleh sistem bunyinya. Ini dapat dihubungkan dengan kehidupan kebudayaan yang dilalui oleh orang-orang Kelantan - juga sebelum terbukanya bahagian selatan. Bezanya antara dialek Kedah dan dialek Kelantan, ialah dialek Kedah berkembang hingga mencapai titik keefisienan pada dialek Kelantan ialah penguguran begitu banyaknya konsonan-konsonan pada akhir kata sehingga menimbulkan homomim-homomim (kata-kata sebunyi) yang melebihi homonim-homonim dalam dialek lain. Contoh:

Dalam memperkatakan nahu, terlebih dahulu saya ingin menegaskan bahawa tidak ada dialek Melayu khususnya di Semenanjung ini yang "bercakap" dengan nahu seperti yang terdapat dalam

bahasa standard yang tertulis. Jadi baik dalam dialek Kedah mahupun dalam dialek Johor, nahu yang wujud adalah nahu yang digunakan oleh orang sehari-hari dalam keadaan tabii. Memang dalam masyarakat bahasa Melayu ada tingkat-tingkat bahasa yang antara lain menunjukkan penggunaan yang tidak bersahaja (formal) sebagai lawan bersahaja (tak formal), dan bahasa lisan sebagai lawan bahasa tulisan. Dalam mana-mana peringkat dalam sejarah kehidupannya, bahasa Melayu jauh lebih banyak digunakan sebagai bahasa yang dituturkan dibandingkan dengan bahasa yang ditulis; apa lagi dalam zaman sebelum sistem tulisan diperkenalkan. Nahu bahasa lisan bagi mana-mana zaman dalam perkembangan bahasa Melayu lebih sederhana nahu bahasa tulisan. Ayat-ayat yang pendek-pendek menggambarkan kepraktisan hubungan dalam sesuatu peristiwa bahasa antara orang-orang yang berkenaan. Lagi pula ayat yang berjela-jela panjangnya seperti yang terdapat dalam bahasa tulisan sekarang ini adalah pembaharuan, akibat dari pengaruh nahu dan gaya bahasa Inggeris. Pembentukan ayat yang seperti ini membayangkan budaya yang sudah mengalami intelektualisasi ala Barat yang asing bagi dialek-dialek termasuk dialek Kedah.

Anda mungkin juga menyukai