Anda di halaman 1dari 3

© Muhammad Firdaus bin Ariff

Putaran Masa
18 Januari 2008

Awan hitam mencurahkan hujan tanpa lelah. Seorang lelaki berlari keluar dari teksi
sambil membawa sebuah beg bimbit. Tanpa payung, dia melangkah kaki selaju mungkin
ke ruang legar stesen LRT Universiti.

Sebaik sahaja dilindungi oleh bumbung stesen, lelaki tersebut memperlahankan


langkahnya. Dia berhenti sejenak, membetulkan rambutnya yang panjang. Pandangannya
serba sedikit tertutup dek rambut hitamnya itu.

Baru satu nafas ditarik, telefon bimbitnya berdering. Dia mengeluarkan telefonnya yang
sedikit lembab. Lembab, tetapi tidak basah. Tanpa melihat skrin yang berkabut, lelaki itu
mengangkat telefon tersebut.

Suara dari corong telefon menjerkah, “Johan, kau di mana?”

“Aku baru mahu naik LRT, sangkut dek hujan dan kesesakan.”

“Cepatlah, persembahan kita akan bermula sejam lagi.”

Johan menjawab ya dua tiga kali sebelum menamatkan panggilan. Dia mengeluarkan
MyKad dari dompetnya lalu berjalan ke arah pintu masuk LRT. Langkahnya dihalakan ke
laluan paling kiri, satu-satunya laluan Touch N Go yang tidak terlekat notis rosak.

Barisan yang beratur hendak masuk laluan itu panjang, sepanjang barisan di kaunter. Dua
orang lelaki yang rancak berborak menarik perhatian Johan. Seorang memakai baju
merah dan seorang lagi memakai baju biru.

Si baju biru bertanya, “Kau mahu tambah nilai Touch N Go dalam MyKad?”

“Tidak, aku tidak mahu pergerakan aku dijejaki.”

“Apa maksud kau?”

“Apabila kita menggunakan sistem Touch N Go dalam MyKad, setiap stesen keluar
masuk kita akan direkodkan. Jadi, mereka boleh tahu ke mana selalu kita pergi. Tambah
pula guna fungsi Bankcard, di mana kita membeli-belah pun akan diketahui.”

Rakannya mengangkat bahu, “Apa-apa sahajalah.”

Johan melihat MyKad di tangan, dia berhenti sejenak. Kemudian dia mengerling ke arah
jamnya, detikan jarum kedengaran bagai berdetik kuat di telinganya. Dia meneruskan
langkah dan menyentuh MyKad kepada panel Touch N Go.

1
© Muhammad Firdaus bin Ariff

Tiba sahaja di platform, sebuah tren menghala ke Terminal Putra tiba. Tanpa berlengah,
Johan melangkah masuk ke dalam tren. Terdapat sebuah kerusi kosong dan Johan terus
sahaja mengambil tempat tersebut.

Beberapa ketika kemudian, tren singgah di stesen Kerinchi. Dua orang lelaki masuk,
kedua-duanya memakai jaket yang serupa warnanya. Salah seorang kelihatan sudah agak
berusia sedangkan seorang lagi jelas muda beberapa puluh tahun. Nafas si tua agak
terburu-buru sedangkan rakannya tenang sahaja melempar pandangan ke luar.

Lelaki tua itu berpaut pada pemegang yang bergantungan, kakinya kelihatan agak goyah.
Tetapi Johan hanya mengerling seketika sebelum menutup matanya. Kemudian dia
menyumbat telinganya dengan fon telinga lalu memeluk tubuhnya.

23 Jun 2048

“Proto, kejar dia!”

Proto berlari mengejar lelaki yang berpakaian serba hitam. Dia melepaskan beberapa das
tembakan tetapi ditampan oleh perisai medan kuasa. Butir-butir peluru yang menghentam
perisai tersebut terhenti dan musnah.

Beberapa langkah di belakang Proto, Johan turut berlari mengekori. Kini dia sudah
menginjak 60-an tetapi masih aktif dalam bidang penguatkuasaan.

Peta kawasan pusat bandar itu terpapar di implan retina Johan. Labirin laluan di belakang
kedai-kedai dipaparkan bersama pelbagai maklumat. Titik-titik hijau memaparkan
kedudukan orang-orangnya sedangkan satu titik merah tunggal mewakili buruan mereka.

“Semua ahli skuad bersedia, sasaran kita sedang menuju ke lorong buntu. Pastikan dia
ditumbangkan dan ditangkap.”

Dalam sekelip mata, arahan Johan terpapar di implan retina semua ahli skuadnya.
Nafasnya semakin kencang, buruan semakin hampir ke tempat perangkap. Proto pula
tenang sahaja melangkah laju menjejak buruan.

Sampai di hujung lorong, lelaki tersebut melontarkan sebuah bola metalik. Satu letusan
cahaya terjadi tetapi lelaki tersebut tidak memperlahankan lariannya. Dia melompat ke
arah letusan cahaya tersebut dan terus ghaib.

“Proto, ikut lompat dalam portal masa itu!”

Tanpa lengah, Proto melompat masuk ke dalam portal masa tersebut. Johan juga menurut
jejak yang sama. Kedua-dua mereka hilang dari aliran ruang masa tahun 2048.

2
© Muhammad Firdaus bin Ariff

18 Januari 2008

Krang! Berderai bunyi kaca akibat dihentam tubuh Proto. Tetapi dia tidak terkesan sedikit
pun sebaliknya berpusing untuk menyambut ketuanya. Senjata pula sudah disimpan di
dalam jaket.

Keluar sahaja dari portal masa, Johan terus bertanya. “Kita di mana?”

“Plaza Pantai, tahun 2008. Sasaran kita sudah berlari ke arah stesen LRT.”

Johan sekadar angguk sedikit lalu kembali menjejak buruan mereka. Proto membiarkan
ketuanya bergerak terlebih dahulu, dia mengambil masa satu minit untuk mengemaskini
peta dalam paparan implan retinanya.

Setelah selesai, dia pantas berlari ke sisi Johan. Proto menyeluk ke dalam poket dan
mengeluarkan dua kad plastik berwarna putih. Tiada sebarang tulisan atau logo di atas
kad tersebut, Johan ambil satu dan menyepit antara jari telunjuk dengan jari hantu.

Laluan masuk ke LRT tidak begitu ramai orang, Proto dan Johan melangkah seiring
melepasinya. Panel Touch N Go menerima kad putih yang mereka bawa dari masa
hadapan. Baki dua ratus ringgit tertera di paparan panel Touch N Go.

Titik merah itu masih berkelip-kelip dalam paparan implan retina Proto dan Johan.
Kedua-dua mereka berlari menaiki tangga, menghampiri buruan mereka. Sebaik sahaja
mereka tiba di platform, pintu tren yang membawa buruan mereka tertutup.

Johan menggumam, “Terlepas pula!”

“Tenang tuan, sebaik sahaja kita naik tren berikutnya saya boleh godam sistem LRT. Saya
pasti buruan kita tidak akan terlepas.”

Lima minit kemudian, tren singgah di stesen Kerinchi. Proto dan Johan melangkah
masuk, kedua-duanya memakai jaket yang serupa warnanya. Nafas Johan agak terburu-
buru sedangkan Proto tenang sahaja melempar pandangan ke luar. Johan berpaut pada
pemegang yang bergantungan, kakinya sudah agak goyah.

Seorang pemuda hanya mengerling seketika ke arah Johan sebelum menutup matanya.
Kemudian pemuda tersebut menyumbat telinganya dengan fon telinga lalu memeluk
tubuh.

Mesej dari Proto terpapar di implan retina Johan, “Tuan penat?”

“Tentulah, aku bukannya android. Tambah pula aku sudah tua. Apalah remaja zaman ini,
tidak hormat orang tua. Sepatutnya berilah tempat untuk aku duduk.”

“Bukankah itu diri tuan sendiri?”

Anda mungkin juga menyukai