Anda di halaman 1dari 4

Kemboja: Merentas Masa, Mensyukuri Rahmat

Ayah selalu menceritakan jerih-perih kehidupan di kampung beberapa dekad yang


lampau. Seperti sukarnya hendak berjumpa dengan doktor, apatah lagi doktor yang
beragama Islam. Jika tiada duit, tidak akan ke sekolah. Hendak ke sekolah pula payah,
perlu merentas sungai dengan sampan kemudian naik pula bas yang sempit dan uzur.
Jalan pula tidak licin bertar, sebaliknya sekadar dilitupi tanah merah.

Bagi generasi yang hidup dalam aspirasi mencapai negara maju, itu semua bagai satu
dongengan. Lebih-lebih lagi ‘keyboard monkey’ seperti saya, hampir sepanjang masa di
alam siber. Urusan belajar, bersosial, kerja dan transaksi semuanya berlaku pantas sekelip
mata.

Cerita-cerita kesusahan itu tersemat dalam minda saya hanyalah sebagai maklumat
sejarah, tidak lebih daripada itu. Sehinggalah saya mendapati diri saya berada di bumi
Kemboja selama seminggu bersama pasukan CENSERVE UIAM dalam sebuah misi
amal.

Disapa Debu

Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap boleh dianggap setanding dengan Lapangan
Terbang Antarabangsa Langkawi. Agak kecil dari segi saiz, tetapi mewah tentang hiasan.
Namun itu hanyalah topeng yang menutup realiti bumi Kemboja.

Destinasi misi kami adalah di wilayah Battambang, empat jam perjalanan dari Siem
Reap. Sebelum bertolak ke sana, kami mengalas perut di restoran D’Wau milik rakyat
Malaysia di Siem Reap. Turun dari bas, debu dari jalan sudah menyapa muka.

Usai makan tengah hari, bas mula menerjah jalan raya yang secara drastik berubah wajah.
Daripada lebuhraya bertar kepada jalan tanah merah dua lorong. Sawah padi yang kering
kontang pula terhampar di kiri kanan jalan, sesekali dihiasi oleh rumah tradisional
Kemboja.

Sungguhpun dalam bas yang berhawa dingin, debu-debu tetap terbang masuk. Debu-debu
itu seakan begitu bersungguh mahu mengakrabi kami yang bertandang ke bumi ini. Saya
dan rakan-rakan mula terbatuk-batuk. Tetapi apabila kami melihat di sisi, trak-trak yang
membawa penumpang menginsafkan kami.

Sekitar sepuluh orang dewas berhimpit di belakang setiap trak pikap tersebut. Antara
mereka pula terselit anak-anak kecil mereka, kadang-kadang anjing peliharaan. Wajah
mereka tetap tenang menempuh awan debu dan terik mentari tanpa sebarang
perlindungan.

Ya, kini aku percaya aku sudah kembali ke zaman ayahku membesar. Mungkin lebih ke
belakang daripada itu.
Air Itu Rahmat

Kami berkampung di desa Dam Sbai, sekitar sepuluh minit dari bandar Battambang. Para
peserta wanita menginap di rumah hos kami Hj. Musa sedang kami menginap di Masjid
Dhiauddin yang terletak di sebelah. Hj. Musa juga merupakan imam di masjid tersebut.
Sebatang sungai yang mengalir lesu terletak di belakang masjid.

Dengan sekali imbas, kepentingan sungai itu sudah mula terserlah. Sebuah pam kelihatan
tidak berhenti menyedut air. Mata saya menuruti paip tersebut hingga ke tandas dan
tempat wuduk yang kami gunakan. Kanak-kanak kelihatan sedang bermandi-manda di
dalam sungai sedang seorang ibu sedang membasuh kain di tebingnya. Sampan pula
membawa penumpang ke kampung seberang.

Saya dan rakan-rakan ke gigi air, mahu melihat sungai dengan lebih dekat. Warna
keruhnya mula menggugat rencana kami untuk mandi di sungai. Apabila melihat sampah
berserakan di sepanjang tebing sungai, kami tambah ragu. Sudahnya, bau yang kurang
enak dari sungai itu memadamkan terus niat kami.

Apabila membuka paip untuk mengambil wuduk, ternyata airnya keruh. Bau yang
mengganggu turut mengganggu tetapi sudah sedikit kurang. Kami tawakkal sahaja
menggunakan air tersebut, itulah air terbaik yang dapat kami gunakan di sini. Pada masa
ini baru terasa betapa nikmatnya air paip jernih dan bersih yang sentiasa mengalir di
Malaysia.

Apabila sudah berkeringat dek bekerja di bawah mentari, baru terasa betapa mewahnya
dapat minum terus daripada water cooler di universti. Di Kemboja ini, kami terpaksa
bergantung kepada bekalan air reverse-osmosis yang dibotolkan. Ya, ‘air mineral’ yang
dianggap murahan di Malaysia itu menjadi pergantungan kami.

Pesta Khatan

Misi pertama kami adalah ke Masjid Muhammadi yang terletak di seberang Masjid
Dhiauddin. Kerana mahu membawa barang yang banyak, kami tidak menaiki sampan
tetapi menaiki trak pikap untuk ke sana. Merasalah kami menaiki kenderaan seperti
penduduk tempatan. Tetapi itupun masih dikira mewah kerana kami tidak menyumbat
diri kami sebegitu ramai dan kenderaan kami itu masih baru. Anehnya, Toyota Hilux
yang kami naiki itu tiada nombor pendaftaran.

Pasukan perubatan telah tiba lebih awal untuk menyiapkan tempat untuk mengkhatankan
kanak-kanak. Tugasku pula adalah untuk memasang tayangan video menggunakan
komputer riba dan projektor. Sambil melakukan tugas itu aku teringat karikatur Dato’ Lat
tentang Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung menayangkan wayang gambar
pada satu masa dahulu.

Apa tujuannya? Tayangan video itu adalah untuk menarik perhatian kanak-kanak yang
mengerumuni segenap Masjid Muhammadi. Itu adalah perlu bagi mengurangkan
gangguan kepada para doktor yang mengkhatankan kanak-kanak. Tempat pembedahan
adalah terbuka maka sesiapa sahaja boleh berada di sisi meja bedah.

Kecil ataupun besar, tua ataupun muda, lelaki ataupun perempuan semuanya sibuk untuk
melihat proses khatan dilakukan. Tirai kain yang diletakkan sudah tersingkap semuanya.

Tiada Gentar Hendak Berkhatan

Peluang untuk berkhatan secara percuma memang menjadi rebutan komuniti Muslim di
sana. Siap sahaja seorang kanak-kanak dikhatankan, tiga lagi sudah melompat naik ke
atas meja bedah. Itu satu fenomena yang mengejutkan tetapi kata Dr. Dinon, “Aku tak
peduli, siapa naik aku potong. Pandai-pandai kamu semualah hendak bagi siapa dulu
berkhatan.”

Syukur tidak timbul sebarang kekecohan atau pergaduhan. Anak-anak Kemboja memang
cekal hatinya, amat sukar sekali untuk mendengar tangisan semasa berkhatan. Siap
berkhatan, mereka sudah kembali bermain bersama rakan-rakan dan menaiki sampan.

Galau juga rasanya apabila terpaksa menolak permintaan mereka yang lebih dewasa
untuk berkhatan. Secara amnya, peralatan yang dibawa hanya sesuai untuk
mengkhatankan mereka yang berumur 12 tahun ke bawah sahaja. Operasi pula akan
memakan banyak masa dan berisiko tinggi kalau jika hendak diteruskan juga

“Minta maaf banyak-banyak,” hanya ucapan itu yang mampu kami ucapkan. Kami hanya
dapat memerhatikan wajah-wajah kecewa itu berlalu pergi. Ada yang 14 tahun, 17 tahun,
malah ada yang menginjak 32 tahun!

Kami termenung seketika memikirkan perkara ini lantas bertanya kepada Hj. Musa yang
singgah di tempat berkhatan.

“Hj. Musa, tidak adakah doktor atau tok mudim yang sanggup datang mengkhatankan
anak-anak di kampung ini?”

“Memanglah ada tetapi perlu bayaran. Paling murah RM30. Sampai RM100 pun ada
juga. Tetapi orang kampung ini miskin, anak-anak. RM30 itu sudah boleh buat belanja
makan sekeluarga selama seminggu. Mana mampu untuk digunakan ke arah lain. Jadi,
peluang seperti hari ni sangat berharga buat mereka.”

Mendengar jawapan itu kami terus terdiam, bagaimana dengan mereka yang kami
terpaksa tolak permintaanya? Usia bukan semakin berkurang dan entah bila misi sebegini
akan tiba lagi di kampung ini.

Nilai Sepasang Telekung dan Kain Pelekat


Melihat deretan kedai-kedai menjual tudung di ibu kota aku merasa tidak percaya apabila
ibu menceritakan bahawa beberapa tahun sebelum aku lahir, ibu terpaksa menjahit
tudung sendiri. Bukan kerana tidak mampu, tetapi tidak ada dijual.

Nah, di Kemboja ini aku dapat merasakan keadaan tersebut. Jangan kata hendak membeli
tudung, hendak membeli telekung pun payah! Seorang rakan saya menukilkan bagaimana
seorang wanita tua bernama Zainab mengucup sepasang telekung dan sehelai pelekat itu.
Syukurnya umpama kami memberikan sumbangan yang tidak ternilai. Tidak henti
kalimah alhamdulillah keluar dari bibirnya.

Makcik Zainab adalah potret nasib umat Islam di Kemboja. Berusia 75 tahun, dia tinggal
bersama tujuh orang cucunya setelah anaknya meninggal dunia. Makcik Zainab
mendapat wang hasil jualan ikan di pasar yang untungnya tidak seberapa.

Usah Ambil Mudah

Seperti kebiasaanya prosedur berkhatan, ubat penahan sakit akan diberikan kepada
pesakit. Untuk menerangkan dos ubat tersebut, kami bergantung kepada nota yang ditulis
oleh perantara. Kami unjukkan sahaja catatan tersebut kepada mereka.

Kebanyakannya angguk sahaja apabil ditunjukkan arahan tersebut tetapi tidak kurang
juga yang mengaku tidak tahu membaca. Jika berlaku demikian terpaksalah kami
melaung sahaja bertanya siapa yang tahu berbahasa Melayu. Perantara tangkap muat ini
biasanya pernah bekerja di Malaysia.

Keadaan ini jelas bahawa kami masih tidak sepenuhnya menyelami realiti masyarakat di
Kemboja. Maklumat asas bahawa masih ramai yang tidak tahu membaca tidak awas
dalam minda kami. Semoga yang angguk kononnya faham itu bertanya kepada yang tahu,
jika tidak khuatir mereka terlebih dos.

Jurang Yang Membesar

Sekali-sekala, bunyi telefon bimbit semasa SMS masuk menyentak diri memikirkan masa
hadapan masyarakat Islam Kemboja. Bagi kita, teknologi komunikasi sudah menjadi
sebahagian daripada rentak hidup tanpa sempadan sedang di sini masih ramai yang buta
huruf. Minda ini tertanya-tanya, apakah persiapan mereka menghadapi dunia yang pantas
berubah ini?

Oleh: Muhammad Firdaus Ariff, Kulliyyah of Information and Communications


Technology (KICT), IIUM
http://studio.ibnuariff.com

Anda mungkin juga menyukai