Anda di halaman 1dari 2

Kenapa Melayu Derhaka?

Oleh: Noor Hasnah Adam


Konsep derhaka dalam budaya Melayu terkandung di dalam buku Sejarah Melayu. Diriwayatkan, perjanjian antara Sang Sapurba (mewakili golongan raja) dengan Demang Lebar Daun (mewakili golongan rakyat) telah memberi garisan pemisah antara kedua-dua golongan. Golongan raja menjadi golongan yang memerintah manakala golongan rakyat adalah hamba kepada raja. Andai dirujuk Sejarah Melayu dan dikaji sedalam-dalamnya, perjanjian antara dua golongan itu memaparkan unsur berat sebelah yang sangat ketara. Dalam perjanjian itu, golongan rakyat tidak membuat banyak permintaan. Apa yang dimahukan hanyalah, supaya golongan raja tidak memberi malu kepada hamba rakyatnya. Sekiranya seseorang hamba berdosa kepada raja, janganlah dinista atau dikeji. Sekiranya patut dibunuh, bunuhlah hamba itu. Raja tidak sepatutnya memberi aib kepada hamba yang bersalah itu. Keluarga hamba yang bersalah itu juga pasti mendapat keaiban yang besar. Itu sahaja permintaan Demang Lebar Daun, yang mewakili golongan rakyat. Sang Sapurba pula membuat permintaan yang melampau dan tidak adil dalam perjanjian itu. Sang Sapurba mengatakan, sekiranya Raja Melayu bersalah sekalipun, jahat dan zalim pekertinya, hamba rakyat tidak boleh sesekali menitikkan darah raja ke bumi. Jangan sesekali hamba Melayu derhaka. Sekiranya hamba Melayu derhaka kepada raja, nescaya hidupnya tidak selamat dunia akhirat kerana Raja berdaulat. Begitulah perjanjian sumpah Melayu antara Raja dengan Rakyat. Dalam hikayat Melayu, terdapat beberapa hamba Melayu yang dianggap telah menderhaka kepada Rajanya. Antaranya adalah Hang Jebat, Laksmana Bentan dan Sang Rajuna Tapa. Hang Jebat menderhaka kerana menuntut bela kematian sahabatnya, Hang Tuah. Hang Jebat membuat onar dengan merampas istana, merogol dayang-dayang dan gundik raja kemudian membunuh mereka. Sesiapa yang cuba menentangnya akan dibunuh. Hang Tuah, yang sebenarnya tidak mati, diutuskan pula membunuh Hang Jebat. Tragedi berakhir dengan kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah. Laksmana Bentan pula telah menderhaka kepada raja kerana raja telah menghukum bunuh isteri Laksmana hanya kerana kesalahan memakan seulas nangka milik raja. Laksmana berasa marah kerana jasanya berperang demi maruah raja telah dibalas dengan kekejaman ke atas keluarganya. Laksmana Bentan terus merancang strategi untuk membunuh raja dan pembesar negeri yang menjadi penghasut raja. Raja Mahmud telah ditikam semasa baginda dijulang dalam perjalanan ke Masjid untuk solat Jumaat. Disebabkan Laksmana telah menderhaka dan menitiskan darah raja, Laksmana telah muntah darah dan mati di situ serta merta. Sang Rajuna Tapa pula menderhaka kepada Raja Singapura kerana anaknya telah dihukum sula dan diarak keliling pasar. Sebenarnya, anaknya yang merupakan salah seorang gundik raja, telah difitnah oleh gundik-gundik lain yang iri hati. Raja terus menghukum sula tanpa

usul periksa. Tindakan raja itu telah memberi aib kepada Sang Rajuna Tapa sehingga menyebabkannya mengutus surat kepada Majapahit supaya menyerang Singapura dan berjanji untuk belot dari dalam kota. Majapahit melancarkan serangan ke atas Singapura. Pertahanan Singapura semakin lemah kerana Sang Rajuna Tapa menyembunyikan makanan dan beras. Suatu waktu kemudian, Sang Rajuna Tapa telah membuka pintu kota Singapura dan angkatan Majapahit berupaya masuk, mengalahkan Singapura. Raja Singapura terpaksa lari ke Melaka. Biarpun hati Sang Rajuna Tapa puas, dia tidak dapat lari daripada daulat raja kerana dia telah menderhaka. Diriwayatkan, gudang beras terbakar. Sang Rajuna Tapa dan isterinya menjadi batu. Dalam Sejarah Melayu, ada diriwayatkan tentang Raja Muhammad, anak Sultan Mansur Syah di Melaka telah membunuh Tun Besar, anak Bendahara. Tun Besar dibunuh kerana bola raga yang disepaknya telah tersasar mengenai Raja Muhammad sehingga menjatuhkan destar(Tanjak) yang dipakai Raja Muhammad ke tanah. Apabila kesemua anak buah bendahara bersiap sedia menuntut bela, Bendahara memarahi mereka kerana mereka mahu menderhaka. Katanya, pantang hamba Melayu menderhaka tetapi hukuman ke atas Raja Muhammad ialah, janganlah dipertuankan. Maksudnya, Raja Muhammad tidak akan disembah sebagai Raja Melaka. Kesimpulannya, anak Melayu menderhaka kerana berasa tiada keadilan dalam pemerintahan. Raja bersikap tidak adil, tidak bertimbang rasa dan memberi keaiban berterusan kepada rakyat. Namun konsep sembah derhaka yang lantang diperkatakan dewasa ini, tidak pernah wujud dalam budaya Melayu. Jika nak menderhaka, anak Melayu tidak pernah meminta kebenaran daripada pihak Raja. Pendek kata, perjanjian pertama antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daunlah yang mencorakkan konsep daulat dan derhaka. Di Singapura sekarang, konsep daulat dan derhaka mungkin tidak lagi relevan.
Tags: daulat, melayu, derhaka, sultan, noor hasnah adam, mis3, raja, mis3 rasa

Anda mungkin juga menyukai