Anda di halaman 1dari 3

Transformasi Pendidikan Malaysia

PKPIM-ADMIN JUNE 26, 2012 0

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) 26JUN 2012 / 6 SYAABAN 1433H Dalam meniti dasawarsa ke enam usia Malaysia untuk mencapai negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 hampir kesemua kementerian kerajaan mengambil ruang ini untuk melaksanakan agenda perubahan sesuai dengan hasrat Perdana Menteri dalam agenda transfromasinya. Namun begitu, amat penting untuk ditekankan bahawa tema kependidikan merupakan satu agenda dasar yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak. Ini kerana natijah daripada transformasi ini adalah untuk menjadikan sistem pendidikan alaf baru negara yang lebih relevan dan mapan ke arah merealisasikan aspirasi yang seharusnya melangkaui matlamat Wawasan 2020 dan bukan hanya memahami bahawa majunya sesebuah negara itu diukur dengan prestasi ekonomi dan kemajuan material semata-mata. Oleh yang demikian, usaha transformasi sistem pendidikan negara yang dilaksanakan melalui Kementerian Pendidikan dengan penganjuran Dialog Nasional Pendidikan Negara harus dipuji dan harus digerakkan oleh kesemua pemegang taruh (stakeholder) di negara ini. Inisiatif mengadakan dialog yang diadakan di seluruh negara bagi memungut suara dan pendapat rakyat Malaysia berhubung isu pendidikan ditanggapi sebagai isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula kerelevanan sistem pelajaran yang dilaksanakan pada masa ini. Memang sistem pendidikan kita terkesan amat berorientasi peperiksaan, dan seterusnya hampir memutlakkan prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar. Sistem ini hanya mementingkan markah dan gred yang secara tidak langsung mengabaikan pembentukan diri manusiawi. Lantaran itu, pelajar hari ini berada dalam dilema dan keliru antara membezakan antara lulus peperiksaaan atau menguasai dan memahami ilmu dalam konteks yang

sebenar. Orientasi dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan esensi pendidikan yang memanusiakan manusia sebagai pros es pembinaan insan secara utuh, bersepadu dan seimbang. Persoalannya, bagaimanakah sistem pendidikan dapat melahirkan manusia yang baik (good man) sepertimana yang digagaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas? Ianya juga berkaitan dengan matlamat pendidikan bukan sahaja sekadar menjadi warganegara yang baik (good citizen) tetapi lebih kepada persoalan mengukuhkan kerangka kefahaman individu terhadap agama, kenal mana diri dan punyai rasa ketuhanan yang tinggi (god consciousness). Prof. Kurshid Ahmad juga mengungkapkan dengan baik bahawa pendidikan merupakan satu proses berterusan di mana latihan akhlak, fikiran dan jasmani disediakan untuk generasi muda di samping mencapai cita-cita murni dan satu kebudayaan yang tinggi. Justeru, usaha mendidik generasi muda berasaskan prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai murni perlu disuntik dalam sistem pendidikan sedia ada. Perkara ini sangat penting kerana manusia yang dididik dengan nilai pendidikan yang benar adalah mereka yang akan mentadbir negara pada masa akan datang. Jika acuan yang diberikan salah, maka berlakulah bencana kependidikan oleh kerana manusia yang mendiami negara itu merupakan individu yang kosong jiwanya, manusia yang keliru pemikirannya dan menjadi beban pula kepada negara. Untuk memastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi, nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian. Falsafah Pendidikan Negara yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dilihat tidak lagi diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Falsafah yang cukup sarat dengan nilai-nilai murni ini antara lainnya menyatakan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggngjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Dalam hal ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebuah badan induk pelajarpelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan merasakan bahawa agenda kependidikan merupakan fokus utama pertubuhan ini. Lantaran itu, PKPIM dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) juga telah menganjurkan beberapa Diskusi Meja Bulat isu Halatuju Pendidikan Nasional dan Masa Depan Negara. Diskusi tidak hanya tertumpu kepada isu pendidikan melibatkan persekolahan malah

menjangkau isu di Institut Pengajian Tinggi dan keseluruhan sistem berkaitan seperti ekonomi dan sistem sokongan social lain. Sesi terakhir diskusi meja bulat ini dijangka akan diadakan pada 2 Julai 2012 bertempat di Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pelbagai dapatan dan cadangan diterima daripada para perwakilan meja bulat. Antara isu hangat yang dibincangkan ialah isu pendidikan Islam, tulisan jawi dan bahasa kebangsaan, pendidikan untuk golongan kurang upaya, pendidikan jasmani, pendidikan berteraskan prinsip Sembilan Kebijaksanaan, pendidikan guru, pengisian Latihan Dalam Perkhidmatan, bebanan subjek, peranan masyarakat, pengkomoditian ilmu, politisasi dalam institusi pendidikan dan lain-lain lagi. Perbincangan ini diharapkan dapat memenuhi keperluan semasa, tuntutan zaman dan peredarannya yang semakin cepat. PKPIM juga mengharapkan bahawa persoalan yang menyentuh soal teori dapat diterjemahkan kepada pendekatan praktikal dan idea-idea yang digarap mesti disimpulkan dengan baik dan menghala kepada tindaan yang betul. Akhirnya, kita tidak mahu dilihat hanya sebagai jaguh yang mampu mencetuskan persoalan tetapi pada masa yang sama mampu turut sama menawarkan penyelesaian yang kukuh dan konkrit demi kebaikan dan manfaat bersama. Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga melahirkan rasa kerisauan dan kebimbangan melalui penganjuran Dialog Nasional Pendidikan Negara oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kerana terdapat kumpulan-kumpulan dan individu tertentu yang dilihat terancang dari segi permintaan dan gesaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mempengaruhi dan mempersoalkan keputusan kerajaan sedia ada dalam isu pendidikan terutamanya berkaitan soal PPSMI dan dasar-dasar lain yang bercanggah dengan semangat dan dasar dan falsafah pendidikan negara. Akhirnya, sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya, tetapi juga harus cukup berkesan dari segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat. Dalam kaitan ini peranan sekolah sebagai hujung tombak sistem pendidikan negara dalam erti sebagai institusi akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik) harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi kependidikan holistik, menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu. AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN PRESIDEN PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

http://www.pkpim.org.my/2012/06/26/transformasi-pendidikan-malaysia/

Anda mungkin juga menyukai