Anda di halaman 1dari 7

Tanah sekangkang kera itu adalah dunia besar kami.

Di situ kami kenal bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Di situ kaki kecil kami merangkak, melangkah sehingga membawa kepada berlari. Di situ kami meneroka makna kehidupan, akrab perhubungan, manis ikatan darah daging dan mesra kasih sayang. Di situ segala-galanya bermula. Kami bina dunia besar dalam minda dan khayalan kami di tanah kecil itu. Kami hidup mengikut fitrah alamiah yang mudah. Tiada apa-apa yang mengusut dan mengacau dalam fikiran kami. Segalanya bersih, mulus, dan segar. Alam kanak-kanak kami mudah dan ringkas, seringkas-ringkasnya. Alam itu juga indah seindah-indahnya. Pesanan ayahanda dan bonda, kami Along, Angah, Acik, Acu ibarah rantingranting pohon. Ayahanda dan bonda merupakan batang pohon yang mengakar ke tanah dan mengejapkan ketegakannya. Kami harus saling sokong-menyokong agar pohon kasih sayang kami terus tegak, gagah dan menjadi naungan yang paling selamat kepada generasi-generasi baharu yang akan tumbuh selepas kami. Di tanah sekangkang kera itu, kami belajar makna kasih sayang dan kesatuan sebuah keluarga. Jati diri sebuah keluarga, kata ayahanda, terletak pada kesatuan dan tautan minda antara satu sama lain. Ukuran nilai sebuah keluarga, kata bonda pula, terletak pada tepu dan nikmat cinta kasih yang terupam dalam jiwa setiap kami. Walau berbalah, bertikai dan bertelagah, kita tetap keluarga, kata kedua-duanya terpahat kukuh dalam ruyung minda kami. Kata-kata itu menjadi azimat yang paling berharga sebenarnya. Justeru setiap kali berperang, kami mengakhirinya dengan perdamaian. Kerana kami ingat kata ayahanda dan bonda. Ayahanda dan bonda merupakan pohon yang tegak daripada bumi dan kami, anakanak pula merupakan ranting-ranting yang harus saling menyokong. Kami masih ingat, menjelang usia kami semakin mengenali alam, ayahanda dan bonda mengamanahkan pohon masing-masing untuk kami jaga. Along diamanahkan menanam dan menjaga sepohon raja buah. Angah, kerana kesukaannya pada buah rambutan, maka diarahkan menanam sepohon rambutan kuning. Langsat yang buahnya berengkel-rengkel itu selalu dijadikan Acik modal melukis dan akhirnya ayahanda sediakan pohon untuknya. Sepohon manggis yang ironi isi dan kulit, dan pasti manis, kerana dijaga rapi oleh Acu. Acu yang manis tetapi kadangkala cengil itu. Mengapa mesti menanam pokok? Sebab pohon-pohon itu kata ayahanda, adalah simbol kasih kami. Pohon yang kami tanam itu akan menghembuskan oksigen pada sebelah malam, yang dengan izin Allah

digunakan untuk kami sedut sebagai penyambung hayat. Pohon itu pula akan menyedut segala karbon dioksida yang manusia keluarkan, yang jika dibiarkan akan menjadi racun pada peparu manusia sendiri. Ini tanah untuk berbakti, kata bonda pula. Kerana daripada tanah kita datang, dan kepada tanah kita bakal kembali. Tanah merujuk pada suatu kedudukan yang berada di bawah. Sifat tanah merendah dan berharap pada kuasa teratas, iaitu Allah untuk menyuburkannya. Sumber makanan manusia semuanya berasal daripada tanah dan justeru kerana itu tanah tempat terbaik untuk menabur budi. Kami tumbuh remaja, dengan haluan yang sama, walaupun berbeza cita-cita. Along dengan dunia lakarannya, membina angan-angan untuk membina bangunan tertinggi di dunia dan menjadi arkitek tersohor. Dalam kalangan kami adik beradik, dia yang paling cepat meninggalkan rumah apabila ditawarkan tempat di sekolah berasrama penuh di Ipoh. Angah yang penyengap dan penyendiri, rupa-rupanya ada bakat yang tidak terlihatkan. Selepas setahun Along tinggalkan desa, Angah menurut juga, kali ini langkahnya lebih ke selatan, menjadi warga sebuah sekolah berasrama penuh di Johor. Seawal usia remaja, dia sudah menanam tekad yang entah terilham daripada siapa yang entah di mana mahu jadi pakar bedah terbaik dunia. Sementara Acik, yang paling kreatif dalam kalangan kami, mula menunjukkan jurusnya yang tersendiri. Jika selama ini habis buku-buku sekolah kami yang sudah tidak kami gunakan lagi, jadi habuan lakarannya yang entah apa-apa, rupa-rupanya di situlah bakatnya terarah. Secara terus-terang Acik mengaku, Acik mahu jadi pelukis ternama dunia! Keluarga kami lengkap berwarna-warni. Acu, ustazah dalam adik-beradik.

Perempuan tunggal barangkali disebabkan itu dia lebih menyalin sifat emak. Ketika mengaji al-Quran, emak tidak teragak-agak mengayun rotan, maka begitulah Acu walaupun rotannya tidak pernah makan tubuh sesiapa, tetapi kami adik beradik patuh, malah begitu mengeruninya. Remaja kami lebih banyak terisi di sekolah berasrama penuh bersama-sama kawankawan. Acu orang terakhir dalam keluarga kami yang meninggalkan kampung, mengikut langkah abang-abang yang lain. Ayahanda dan bonda merelakan, tanpa terkilan tiada kesal kerana melepaskan anak perempuan tunggal duduk berjauhan. Pesanan ayahanda dan bonda selalu menjadi sendi yang menegakkan kami. Bahawa ilmu akan menjadi penyuluh hayat kami. Bahawa ilmu akan menjadi budi dan bahasa yang

memancarkan jati diri kami. Bahawa ilmu akan menjadi nilai yang kami pegang, menjadi darah daging yang memurnikan jati diri kami. Maka, kerana ilmu, kamu anak-anak pergilah berdagang. Ilmu dalam jurusan apa sekali pun, tukarkannya jadi intan, jadi berlian, jadi emas, jadi perak. Ilmu itu harta kamu, tak ada yang lain. Tanam pandan di tepi bedang, Bebas ke desa burung kenari, Tercampak badan di rantau orang, Budi bahasa pelindung diri. Kami pegang erat kukuh pesanan itu. Ayahanda dan bonda tidak ajar kami rindumerindu tanpa sebab munasabah. Jangan kecundang pada perasaan kerana perasaan yang tuna kendali akan merosakkan diri, demikian kata emak dan ayah. Kami merasakan begitulah uniknya ayahanda dan bonda kami yang tidak pernah bersekolah tinggi, tetapi begitu membuka ruang luas kepada kami untuk menimba ilmu. Ayahanda dan bonda hanya guru al-Quran kampung. Tetapi, setiap hari, mereka tidak pernah cuai membeli akhbar supaya kami ikuti perkembangan semasa dan tidak jadi katak bawah tempurung di tanah kecil kampung kami. Di rumah yang serba kekurangan, tanpa televisyen, akhbar itu yang kami usung selain radio buruk yang sering terganggu siarannya. Tahun-tahun remaja kami amat cemerlang. Kami pedagang ilmu yang penuh tekal dan cekal, tidak pernah mengalah walaupun diancam hempasan gelombang. Setiap tahun kami berempat mampu membuatkan ayahanda dan bonda senyum lebar dan bergenang air mata menatap foto-foto kami menerima anugerah dalam majlis penyampaian hadiah di sekolah. Tetapi, ayahanda dan bonda tidak pernah tinggi hidung kerana itu. Pulut kuning ditanak penuh kasih dan disedekahkan kepada jiran-jiran tanda syukur, muhibah dan mesra. Kerap mereka mengujarkan, kita berbahasa pada orang, maka orang tidak akan kedekut budi dengan kita. Kata bonda, Mungkin ada berkatnya semua sedekah itu apabila kami seorang demi seorang memanjat menara ilmu. Along terbang ke Australia, membawa impian untuk jadi pereka tersohor. Angah ke Tanah Ratu menggalas cita-cita untuk menjadi pakar perubatan dan ahli bedah. Acik selesa di institusi pengajian tinggi bumiputera ternama Universiti

Teknologi Mara (UiTM), untuk mendalami aliran seni dengan jurus tersendiri. Acu pula terbang ke Jordan, hampir pasti dia pulang sebagai ustazah merangkap ahli akademik ! Ayahanda dan bonda merelakan seorang demi seorang permata hati meninggalkan kampung demi tuntutan ilmu. Ayahanda dan bonda hantar keberangkatan anak-anak dengan doa tulus dari sudut hati paling dalam. Doa yang paling makbul kiranya. Sungguh mustajab sehingga anak-anak selamat kembali dengan jaya dan cemerlang. Kami memburu impan, membina kerjaya idaman di kota. Sesekali jejak ke kampung, indahnya tidak tergambar. Walaupun kampung sudah pudar hijau, sudah lupus sepi, sudah tidak berwajah kampung asli, tetapi tetap kampung yang kami banggakan. Ayahanda dan bonda, merekalah yang mengikat kami untuk terus akrab dengan kampung. Sesekali balik kampung, kami kenyang dan sihat dengan santapan sajian kampung air tangan bonda. Bonda bahagia melihat anak-anak puas menjamah hidangannya. Ayahanda senyum senang menatap anak-anak berwajah puas. Kami empat beradik tidak pernah risau rezeki ayahanda dan bonda di kampung. Rumah ini, rumah ini cukup kukuh untuk terus melindungi kedua-dua orang tua kami. Pohonpohon kami semuanya sihat sempurna, lebih daripada cukup untuk satu keluarga berserta generasi masing-masing menikmati musim buah setiap tahun. Ayahanda dan bonda tidak perlu dana daripada anak-anak. Wang pemberian anakanak tersimpan di Tabung Haji, dicukupkan pulan dengan wang sendiri, jadi pelengkap untuk langsaikan Rukun Islam yang kelima. Mereka cukup selesa, lebih daripada cukup ketika terbang ke tanah suci melengkapkan Rukun Islam. Kedua-dua ayahanda dan bonda kami tidak pernah kelaparan di kampung. Padi daripada bendang pusaka serelung jadi simpanan setahun. Keli, sepat, puyu dari lubuk ikan yang bersambung dengan tanah bendang, sumber protein terbaik. Sesekali ayam kampung ternakan bonda di korbankan untuk hidangan lebih istimewa. Pegaga, pucuk asin-asin, dan segala jenis ubi, sayur-sayuran pelengkap hidangan. Jika mahu pencuci mulut , mangga manis ranum, jambu batu dan betik yang tidak bermusim itu mudah sahaja dipetik. Ketika menerima dua menantu perempuan serentak, isteri kepada Along dan Angah, ayahanda dan bonda bangga bahawa tanah kecil yang kaya hasil inilah yang menumbuhkan daging dan daya intelek anak-anaknya. Bonda tidak kekok membawa dua menantu anak orang bandar itu ke bendang serelung kami serta bijak melayan menantu yang takut-takut hendak melangkah permatang sawah.

Kamu sudah jadi sebahagian daripada semua ini. Di sini anak -anak emak membesar dan kamu sebagai suri mereka mesti faham asal-usul ini, kata bonda kepada mereka Perjalanan hayat ayahanda di dunia terhenti akhirnya. Bonda menerima dengan hati sangat tenang, reda, dan insaf. Bahawa dunia ini hanya persinggahan, sekadar di pinjamkan untuk tempoh masa yang amat-amat singkat, dan sampai masa selepas tamat usia perkhidmatan, diri wajib kembali kepada yang Empunya. Allah yang Maha Memiliki diri seluruh manusia. Kita reda dan lepaskan. Kerana kita juga akan menyusulnya suatu hari nanti. Demikian kata bonda pada Acu sambil manatap dengan mata penuh sayu ketika Along, Angah, dan Acik mengiringi jenazah ayahanda ke tanah perkuburan. Jatuh ketumbar menimpa dahan, Subur lada di tengah halaman, Helang rendah di pohon kandis, Lontar batu hujung benua, Jika sabar menerima dugaan, Itulah tanda orang beriman, Tidak mudah digoda iblis, Nanti bersatu di negeri sana. Bonda sungguh-sungguh menyusul enam bulan kemudian ke negeri sana, satu pemergian yang benar-benar mengejutkan. Tanpa sakit tenat, tanpa pesan, kehilangan bonda seumpama tamparan hebat kepada puteri tunggal dan bongsu Acu yang berada di sisi bonda ketika itu. Desisnya suatu waktu kepada Along, Acu tidakkan kembali ke sini untuk tempoh yang panjang kerana di sini, Acu melihat detik akhir bonda. Acu takkan tertahan hiba ini! Kali terakhir adik-beradik bertemu semasa kenduri seminggu selepas pemergian bonda. Selepas itu, Along dan Angah yang sudah berkeluarga mengambil giliran mengadakan tahlil di tempat masing-masing di ibu kota untuk dihadiahkan kepada dua arwah ayahanda dan bonda. Kami pegang pendirian, bahawa di mana-mana pun kami boleh kirim doa kepada ayahanda dan bonda.

Acik kemudian lebih banyak dengan urusan kembaranya, sibuk mencari ilham di sana sini untuk karya dan galeri. Acu pula kalut dengan pengajian sarjana, malah begitu terinspirasi mengejar doktorat, untuk sementara bertegas mahu melupakan dahulu soal-soal perkahwinan. Tidak terusik langsung ketika disakat oleh Along bahawa Acu sudah terjangkit sindrom wanita moden berkerjaya yang lebih mementingkan kerjaya daripada perkahwinan. Apa khabar tanah kampung kami yang sudah lama tidak dijengah? Sekadar beroleh khabar daripada orang tua-tua yang diupah menjaga tanah kecil kami, tentang pohon-pohon buah yang setiap tahun tetap lumayan berbuah dan hasilnya yang lebih banyak disedekahkan, kami diimbau rindu terhadap tanah kampung kami itu. Walau bagaimanapun, barangkali kami memang anak-anak yang alpa dan leka. Mungkin ketiadaan tunggak menyebabkan kami sering amat bertangguh-tangguh untuk kembali sekali sekala menjenguk ke sana. Jika sudah berstatus warga kota, maka wajiblah kami tidak dapat tidak, terpaksa bergelut dengan masa, kesesakan lalu lintas, jerebu dan tekanan. Terkadang sehingga kami terlupa bahawa sebenarnya di ibu kota ini kami tidak sendirian, kami berempat beradik sebenarnya. Along di Klang, Angah di Gombak, Acik di Damansara dan Acu di Bandar Baru Bangi. Jarak empat beradik tidak jauh sebenarnya. Tetapi, masa tidak pernah memadai untuk empat beradik bersua mengakrabkan silaturahim. Aneh ya, tinggal berdekatan, tetapi mengapa semakin jauh? Maka, empat beradik lebih selesa dengan urusan sendiri-sendiri yang tidak pernah selesai! Tiba-tiba kami disergah suara ayahanda dan bonda yang jauh di alam abadi! Pulang! Acu, pada suatu subuh bening sunyi, entah didorong, entah dipanggil, berkemaskemas pakaian, menyumbatkan beg ke dalam Kembaranya dan memecut laju menuju utara. Memandu tiga jam tanpa henti, Acu memijak tanah kampung dalam terpinga menatap rumah dan daerah kecil yang walaupun terjaga, tetapi jelas suram serinya. Di rumah kecil yang amsih kukuh itu, Acu teringat betapa Acu pernah merajuk dan bawa diri sejenak sehingga berjaya melupakan kesedihan kerana ditinggalkan bonda di rumah ini. ;Acu! Baru sampai? Gamam, Acik juga ada? Acik senyum. Acik berkisah, baru kembali dari China dan sepanjang penerbangan terbayang-bayang akan desa damai di pedalaman yang dilawati, langsung terkenang kampung sendiri yang terpinggir jauh daripada ingatan. Bahawa kenangan memang masih elok terpelihara andai hati masih mahu mengingati.

Along? Angah Acu dan Acik tergagap, begitu berkebetulan! Along baru sampai. Tiba-tiba teringat kampung, macam dipanggil-panggil. Angah pun begitu! Rasa tak boleh tunggu-tunggu lagi. Kami empat beradik bersatu bersua wajah selepas bertahun-tahun terlupa dibelit kesibukan. Panggilan pulang ini suatu keajaiban yang tidak terduga dek akal biasa. Barangkali kenangan bersama-sama ayahanda dan bonda yang memanggil kami empat beradik, kerana kami terbersit daripada darah yang sama, pernah menghuni rahim yang sama, maka sudah pastinya kami punyai naluri dan alur fikir yang serupa juga. Kesatuan-itulah yang diajarkan oleh ayahanda dan bonda kami, terpasak terpancang teguh di hati kami. Kami mungkin ujian maha hebat pada ayahanda dan bonda kami seperti firman Allah bahawa anak-anak dan harta menjadi ujian ibu bapa mereka. Tetapi, kami berharap kami masih sempat mencari jalan pulang. Hal ini hanya satu kisah yang terlalu peribadi barangkali. Hal ini mungkin satu cerita yang terlalu tersendiri. Tetapi, kisah ini sarat pengajarannya buat kami. Kami hanya mahu jadi anak soleh dan solehah.

Anda mungkin juga menyukai