Anda di halaman 1dari 3

Kementerian Pendidikan Malaysia (1983) 13 Prinsip B&K (SK & SMK) Prinsip 1 Bimbingan dan kaunseling adalah proses

pendidikan yang terancang dan berterusan. Pelajar dididik ataupun dibimbing bagi mendapat dan mempelajari pengalaman, nilai, sikap, perlakuan dan kemahiran yang sesuia dengan kehendak masyarakat majmuk di Malaysia. Prinsip 2 Bimbingan dan kaunseling adalah untuk semua pelajar. Setiap pelajar memperoleh peluang bagi mendapatkan pertolongan tanpa mengira latar belakang, kaum, etnik, agama ataupun kepercayaan. Prinsip 3 Semua pelajar mempunyai hak bagi mendapatkan pertolongan apabila mereka memerlukannya. Pada suatu ketika, seorang pelajar mungkin memerlukan pertolongan, sokongan dan bimbingan dalam proses perkembangan dirinya. Prinsip 4 Bimbingan dan kaunseling bertujuan melayan keperluan pelajar bagi perkembangan potensi dan kebolehan mereka. Program bimbingan dan kaunseling adalah bagi melayan keperluan individu supaya berkembang dengan kadar optimum mengikut tahap perkembangan diri. Prinsip 5 Bimbingan dan kaunseling diwujudkan bagi menolong pelajar memahami dirinya dan orang lain dengan mendalam, menjelajah tujuan-tujuan hidupnya dan menolong memilih serta merancang hidupnya dengan berkesan. Prinsip 6 Bimbingan dan kaunseling berorientasikan masa sekarang dan masa depan. Usahausaha bimbingan dan kaunseling adalah bagi menjadikan pelajar itu lebih tegas diri, pandai menyesuaikan diri dan memahami implikasi tindakan-tindakannya sekarang dalam jangka masa panjang. Prinsip 7 Bimbingan dan kaunseling menolong individu menyedari kelemahannya dan memberi fokus kepada kekuatannya. Dalam bimbingan dan kaunseling, fokus adalah pada memperkukuhkan lagi kekuatan yang ada padanya melalui aktiviti perkembangan dan pencegahan.

Prinsip 8 Bimbingan dan kaunseling menjadi tanggungjawab bersama dalam melaksanakan program, aktiviti bimbingan dan kaunseling. Semua pihak di sekolah iaitu pentadbir, guru bimbingan ataupun guru kaunseling, guru-guru lain, ibu bapa dan pelajar patut bekerjasama dan saling berunding di antara satu sama lain. Ini bagi membantu guru bimbingan ataupun guru kaunseling terutama mengenal pasti pelajar yang memerlukan khidmat kaunseling. Prinsip 9 Bimbingan dan kaunseling memerlukan pemahaman yang mendalam dan menyeluruh mengenai pelajar. Segala maklumat pelajar perlu bagi membolehkan guru bimbingan ataupun guru kaunseling memahami pelajar secara menyeluruh supaya dapat memberi bimbingan dan kaunseling yang berkesan. Prinsip 10 Setiap individu berbeza dalam gaya, ketangkasan dan dorongan belajar. Secara amnya cara belajar seseorang itu berbeza mengikut: o Orientasi deria Melalui deria sentuhan, bau, penglihatan, pendengaran dan rasa. o Gerak balas atau respons Ada individu yang lebih selesa belajar secara bersendirian, di dalam kelompok ataupun melalui pemerhatian sahaja. o Corak pemikiran Cara pemikiran mengumpul dan memproses maklumat bagi mencapai tujuan tertentu. Prinsip 11 Pembentukan individu dipengaruhi oleh keseluruhan pengalaman dalam alam persekitarannya. Misalnya seorang pelajar yang dibesarkan di luar bandar, dapat dikesan berasal dari luar bandar, demikian juga sebaliknya. Oleh itu, bimbingan dan kaunseling dapat digunakan sebagai intervensi bagi mengurangkan perbezaan, tetapi ia bergantung pada nilai, jangka masa dan masa serta pada peringkat mana khidmat itu dimulakan. Bimbingan dan kaunseling dijalankan supaya individu yang dibantu mampu membuat penyesuaian kendiri. Prinsip 12 Bimbingan dan kaunseling adalah bagi kesepaduan psikofizikal pelajar iaitu meliputi ketiga-tiga mandala atau domain iaitu psikomotor, kognitif dan afektif. Ini bermakna, pelajar tidak boleh dilihat hanya sebagai manusia kognitif. Setiap pelajar perlu dilihat sebagai individu yang mempunyai perasaan, sikap, mental dan rohani. Sebarang aktiviti dan program bimbingan adalah bagi mewujudkan kesepaduan ini.

Prinsip 13 Bimbingan dan kaunseling perlu dijalankan berdasarkan kod etika kaunseling. Mematuhi etika adalah bertujuan memelihara dan menjaga kebajikan pelajar. Sebagai seorang guru, guru bimbingan ataupun guru kaunseling perlu merujuk kepada Tatasusila Profesion Perguruan Malaysia, Kod Etika Guru Kaunseling Sekolah (bagi personel sekolah menengah) ataupun Kod Etika Guru Bimbingan (bagi personel sekolah rendah). Mana-mana personel yang ingin mengambil lessen dan menyandang gelaran Kaunselor Berdaftar perlu pula mematuhi Peraturan-Peraturan Kaunselor (Kelakuan dan Tatatertib) 1999. Bagi personel yang menjadi ahli Persatuan Kaunseling Malaysia perlu pula mematuhi Kod Etika PERKAMA.

Anda mungkin juga menyukai