Anda di halaman 1dari 18

Teori-Teori Kaunseling

- TEORI ROGERIAN (PEMUSATAN INSAN) -

Pengenalan

Teori Pemusatan Insan disebut juga sebagai teori konsep kendiri atau teori fenomenologi yang
digolongkan ke dalam psikologi kemanusiaan (humanistic), gestalt dan kewujudan. Ia diasaskan oleh Carl
Ransom Rogers di dalam tahun 40an yang menamakannya kaunseling bukan-arahan atau kaunseling
pusatan-klien. Ia mencabar pendekatan-pendekatan pusatan-kaunselor dan kaunseling arahan yang
mengandaikan bahawa kaunselor itu dalam semua hal dan berkeupayaan membantu kliennya di dalam
semua bidang.
Ia mencabar teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang berbentuk nasihat, saranan, arahan kaunselor,
pujukan, pengajaran, diagnosis dan pentafsiran oleh kaunselor. Cabaran ini dilakukan oleh Rogers
semata-mata kerana kepercayaan dan keyakinannya bahawa manusia itu memang baik, memang boleh
dipercayai, dan memang mempunyai keupayaan yang banyak untuk memahami diri mereka sendiri serta
menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami sendiri, tanpa campur tangan secara langsung oleh
kaunselor. Ia berpendirian bahawa manusia itu boleh menuju ke arah penentuan kendiri, jika mereka
dibawa terlibat di dalam perhubungan kaunseling atau terapi. Baginya sifat-sifat peribadi dan sikap
kaunselor serta hubungan antara klien dengan kaunselor itu adalah merupakan dua faktor utama bagi
kejayaan sesuatu proses kaunseling tanpa memerlukan arahan-arahan yang langsung dari kaunselor
seperti yang dianjurkan sebelum dan selepasnya. Kerana itulah tatacara dan teknik tidak penting
baginya.
Melalui penglibatannya yang meluas di dalam kaunseling dan psikoterapi individu, Rogers telah
mengemukakan teori dan pendekatannya yang dinamakan terapi pusatan-klien di dalam tahun 1951.
Teori ini terus diperbaikinya dan hasilnya diterbitkan di dalam tahun 1962.
Teori dan pendekatan yang dikemukakan oleh Rogers ini mencetuskan minat yang mendalam di
kalangan para pendidik yang menekankan pengajaran pemusatan pelajar. Di samping itu, Rogers juga
telah mencuba teorinya untuk digunakan dengan kelompok-kelompok, dan juga dalam kaunseling
keluarga pada tahun 1970 dan 1972. Sejak kebelakangan ini seolah-olah sudah muncul minat untuk
menerapkan teorinya di dalam bidang perhubungan antarabangsa dan politik.

2.0

Latar Belakang Tokoh

Carl Ransom Rogers dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois Chicago. Rogers merupakan anak
ke-empat dari enam orang adik beradik. Ayahnya merupakan seorang kontraktor dan jurutera. Keduadua ibubapanya sangat kuat berpegang kepada agama. Rogers mempunyai adik beradik seramai enam
orang dan lima daripada mereka adalah lelaki. Hubungan mereka adik beradik sangatlah rapat. Rogers
amat rapat dengan ibunya berbanding ayahnya.
Semasa kecil Rogers adalah seorang murid yang cerdik dan pintar. Walaupun dilahirkan dalam keluarga
yang ramai, Rogers merupakan seorang pelajar yang suka mengasingkan diri dan pendiam di sekolah.
Beliau sangat sensitif orangnya.
Rogers telah memasuki Universiti Wisconsin dan memperolehi pencapaian di dalam bidang akademik
yang sangat baik. Di universiti itu beliau mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti, termasuk
rombongan ke negeri China sebagai perwakilan dalam World Student Christian Federation Conference.
Beliau mendapat Ijazah pertamanya dalam bidang Sejarah pada tahun 1924. Beliau menerima Ijazah
kedoktorannya pada tahun 1931.
Pada tahun 1928, sebelum menerima ijazah kedoktorannya, beliau mula bekerja di Rochester New York,
terutamanya dengan kanak-kanak dan remaja yang bermasalah yang dirujuk oleh mahkamah dan
agensi-agensi kepada Child Study Department of the Society for the Prevention of Cruelty to Children.
Kemudian beliau dilantik menjadi pengarah kepada Rochester Guidance Center. Pada tahun 1940 dia
menjadi professor di Ohio State University. Di antara tahun 1945 sehingga 1957 beliau terlibat secara
langsung dengan Counseling Center di University Of Chicago. Rogers kemudian berpindah ke University
Of Wisconsin. Pada tahun 1964 beliau menyertai Western Behavioral Science Institute sebagai resident
fellow. Dari tahun 1968 sehingga beliau meninggal dunia, Rogers menjadi resident fellow di Center for
studies di La Jolla, California. Rogers telah menulis beberapa buah buku antara lain buku-buku yang
ditulisnya ialah Counseling and Psychotherapy (1942), Client-centered Therapy (1951), On Becoming a
Person (1961), Carls Rogers On Encounter Groups (1970).
Rogers banyak menerima penghormatan di sepanjang hidupnya. Beliau merupakan orang pertama
menjadi pengerusi kepada American Association for Applied Psychology . Beliau bertugas sebagai
pengerusi American Psychocogical Association (APA) dari tahun 1946 1947 . Rogers meninggal dunia di
La Jolla, California pada 4 Februari 1987 ketika berusia 85 tahun selepas menjalani pembedahan tulang
punggung yang patah akibat satu kemalangan.

3.0

Pandangan Terapi Terhadap Kejadian Manusia

Menurut Amir Awang (1987), Carls Rogers mempunyai pandangan yang cukup teguh mengenai sifat
tabii manusia. Baginya manusia boleh berkembang secara positif dan membina jika wujud perasaan
percaya mempercayai, hormat menghormati yang boleh dirasai dan dialami. Rogers menolak sekuatkuatnya anggapan bahawa manusia itu tidak boleh dipercayai dan pasif, dan menjadi mangsa sifat

biologi atau persekitarannya. Ia menolak anggapan kepercayaan bahawa manusia itu perlu diarah,
didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal dan diuruskan hidupnya oleh orang lain. Ia yakin
bahawa manusia memang dari mula lagi sudah mempunyai kecenderungan dan keupayaan semulajadi
untuk berkembang peringkat demi peringkat menuju ke arah nirwana kendiri, andainya wujud keadaankeadaan yang sesuai.
Menurut Ee Ah Meng (1997), Carls Rogers dalam teori Pemusatan Insan membuat andaian bahawa
manusia adalah rasional, baik dan bertanggungjawab. Manusia boleh membuat keputusan sendiri yang
membawa keoada kebebasan dan berdikari. Sifat-sifat yang ada pada manusia adalah seperti membina,
bekerjasama, boleh dipercayai, bersifat realistik dan sanggup bersosial. Perasaan-perasaan negatif yang
terdapat pada manusia seperti marah dan benci memang wujud akibat penafian keperluan seperti kasih
sayang, keselamatan dan penerimaan.
Andaian-andaian teori ini terhadap manusia adalah seperti :
1.
Konsep kendiri adalah persepsi tentang diri individu berdasarkan interaksi kita dengan orangorang lain.
2.

Individu bertingkah laku dalam bentuk yang boleh meningkatkan konsep kendirinya.

3.
Masalah-masalah yang berlaku kerana timbul atau wujudnya antara konsep kendiri dengan
pengalaman-pengalaman yang lalu.
4.
Hanya dengan pengalaman dan penghormatan barulah individu akan bersedia untuk berkongsi
masalahnya.

Menurut Suradi Salim (1996), manusia dianggap mempunyai sifat-sifat positif dan mempunyai keinginan
untuk berfungsi penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan
untuk berkembang dengan bebas, beliau akan berkembang dengan sempurna dan akan menjadi
individu yang positif dan berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam konteks persekitarannya
menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya. Jika diberikan atau disediakan dengan
persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang dengan yakin ke arah nirwana kendiri
menjadi apa sahaja yang dia inginkan. Jika manusia tidak menerima kasih sayang dan sokongan orang
yang penting baginya, kemungkinan besar manusia menganggap dirinya tidak berharga dan
menganggap orang lain tidak boleh dipercayai, serta mereka akan bersikap mempertahankan diri dan
perkembangan ke arah nirwana diri akan terhalang. Persepsi seseorang tentang diri dan persekitaranya
merupakan realiti baginya.
Bagi Rogers, untuk membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan membina, mestilah
wujud tiga suasana atau keadaan, iaitu;
1.

Kejujuran, keikhlasan da kebenaran

2.

Penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat

3.

Kefahaman yang mendalam

Jika ketiga-tiga keadaan ini dapat dirasai dan dialami oleh klien di dalam hubungannya dengan
kaunselor, ia juga akan mula menghayati sifat-sifat dan ciri-ciri ini dan seterusnya lebih bersedia untuk
menerima pengalaman-pengalaman yang dilaluinya.

4.0

Matlamat Terapi

Matlamat yang ingin dicapai di dalam kaunseling / Terapi Pemusatan Insan ini bukanlah sekadar
menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa itu, tetapi apa yang lebih diutamakan
ialah untuk mencapai perasaan bebas dan besepadu bagi diri seseorang individu itu.
Tujuan kaunseling adalah untuk membantu klien di dalam proses perkembangannya, agar ia dapat
menghadapi dan mengatasi masalah masa kini dan masalah-masalah di masa hadapan.
Dengan berasaskan kepada matlamat yang ingin dicapai, maka klien haruslah bersedia untuk
memisahkan dirinya daripada apa yang selama ini telah sebati dengan dirinya bagi membolehkan dirinya
berhadapan dengan realiti. Menurut Amir Awang (1987), terdapat beberapa perkara yang dapat
diperhatikan dan dirasai oleh klien itu sendiri untuk mencapai maksud yang ingin dituju di dalam
kaunseling :
i)
Klien bersedia menerima, merasai dan mengalami realiti yang sebenar, tanpa mengherotberotkannya untuk disesuaikan dengan struktur kendiri seseorang itu. Klien tidak lagi bimbang atau
takut untuk berhadapan dengan realiti. Ia sedia menerima dirinya sendiri baik atau buruk, ia dapat
mengalami hidup dengan cara yang baru dan dapat terus berkembang.
ii)
Klien akan merasa yakin pada diri sendiri. Biasanya klien tidak yakin yang ia boleh
mengemudikan hidupnya, kerana itu ia sering meminta dirinya dibimbing dan diarah. Tetapi apabila ia
sudah sedia menerima dirinya dan berhadapan dengan kenyataan, ia pun akan mula mempunyai
keyakinan dan keupayaan sendiri untuk mengawal dan mengarah hidupnya.
iii)
Klien akan dipandu dan diarah oleh perasaan dan pemikirannya sendiri. Walaupun penting bagi
seseorang untuk memberi perhatian kepada nilai-nilai dan norma-norma masyarakat, individu perlu juga
mempunyai nilai-nilai sendiri untuk memandu dirinya. Ia harus bersifat inner directed dan tidak
dikongkong oleh outer directedness. Melalui inner directedness ini ia akan memperolehi kepuasan
kerana ia dapat membuat sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.
iv)
Klien dalam keadaan untuk terus berkembang. Apabila wujud di dalam diri klien kesediaan
untuk terus hidup, untuk terus mengalami peristiwa-peristiwa baru, untuk terus menghadapi cabarancabaran dan masalah-masalah baru, maka individu telah mencapai suatu tahap positif di dalam proses

hidupnya. Dari sini ia akan bersedia membuat ketetapan-ketetapan baru untuk dirinya, untuk mencari
matlamat-matlamat baru untuk hidupnya. Ia tidak lagi perlu bergantung kepada orang lain untuk
mengarah atau mengawal hidupnya. Ia sudah berupaya menuju ke arah matlamat baru.

5.0

Teknik Pemusatan Insan

Menurut Hansen, Stevic & Warner (1986), Kaunseling Pemusatan Insan mengandaikan bahawa setiap
individu mempunyai keinginan untuk berkembang, matang dan mencapai atau menuju ke arah
kesempurnaan kendiri. Ini adalah merupakan satu-satunya pendekatan teraputik yang utama yang
bergantung terhadap gerakan dalaman klien untuk menuju ke arah pertumbuhan. Individu dilihat
sebagai boleh memulihkan diri, memerlukan kemesraan, dan persekitaran yang menyokong untuk
mencapai kepuasan kendiri pada tahap yang tinggi.
Menurut Gelso & Carter (1985), hubungan kaunselor dengan klien dilihat sebagai ramuan yang penting
di dalam psikoterapi. Dalam perhubungan kaunseling, komunikasi difokuskan kepada individu yang
mengalami masalah. Rogers (1986) menyarankan tiga suasana yang fasilatatif iaitu :
i.

Ketulenan sebenar atau kongruen

ii.

Penerimaan, mengambil berat dan bersangka baik

iii.

Mempunyai kefahaman empati

Kajian yang telah dibuat menunjukkan kaunseling pemusatan insan yang dicadangkan oleh Rogers
adalah sesuai untuk menggalakkan peningkatan penyesuaian psikologikal pada diri klien. Melalui
kaunseling pemusatan insan, klien telah meningkatkan penghargaan kendiri. Menurut Carkhuff dan
Berenson (1967), kajian-kajian telah mengesahkan kepentingan sumbangan empati, penghormatan dan
ketulenan dalam proses kaunseling. Brammer dan Shostrom (1982), satu ciri utama yang membezakan
kaunseling pemusatan insan dengan pendekatan lain ialah meningkatnya tahap tanggungjawab pada diri
klien berbanding dengan yang dijangkakan oleh kaunselor.
Amir Awang (1987), menjelaskan bahawa Rogers telah mengemukakan beberapa sifat yang terdapat di
dalam teori ini. Antaranya ialah teori ini dianggap sebagai fleksibel dan sedia menerima perubahan dari
semasa ke semasa. Ia memberi fokus kepada keupayaan klien serta tanggungjawabnya untuk mencari
jalan bagi menghadapi kenyataan, dan seterusnya menghasilkan tingkahlaku yang sesuai dengan realiti.
Pendekatan teori ini memberi tumpuan utama kepada dunia fenomenologi klien sendiri. Ini bermaksud
setiap klien melihat kenyataan atau realiti menurut kaca mata dan teropongnya sendiri. Manakala
kaunselor harus bersedia untuk menerima persepsi subjektif ini dan harus bersedia merasai dan

mengalami apa yang dirasai dan dialami oleh klien melalui proses empati. Kaunselor juga harus
mengelak dari mencemuh, menyangkal, mengkritik atau sebagainya.
Pendekatan teori ini boleh digunakan dengan semua jenis klien iaitu normal, neurotik dan psikotik.
Melalui hubungan yang dibina oleh kaunselor bersama klien yang kongruen, menerima kliennya tanpa
syarat dan mempunyai keupayaan untuk berempati, klien dengan sendirinya akan menemui dirinya
sendiri melalui proses kaunseling. Dengan menggunakan teori ini kaunselor hendaklah ikhlas, jujur,
mesra dan bersedia menerima kliennya, serta mempunyai kebolehan untuk berempati secara tepat.
Dengan sifat dan kebolehan ini, klien bolehlah diajak untuk memberi fokus kepada apa yang dirasai dan
dialaminya masa kini dan pada ketika itu.
Sebagai suatu teori yang menekankan usaha bersama di antara kaunselor dan klien untuk membolehkan
klien berkembang, kaunselor dan klien terlibat secara langsung di dalam proses berkembang untuk
menuju ke arah matlamat, manakala kuasa dan kawalan tidak dipegang oleh kaunselor. Malah klienlah
yang memilikinya, dan klien juga yang menentukan bagaimana ia hendak menggunakan kuasa dan
kawalan ini bagi mengembangkan dirinya.(Rogers, 1977).
Antara teknik-teknik teori Pemusatan Insan ialah :

5.1

Penerimaan Tanpa Syarat

Teknik ini menekankan supaya kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa syarat iaitu tanpa
menilai tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada baik atau jahat. Dalam ertikata lain,
kaunselor haruslah bersedia menerima kliennya tanpa mengenakan apa-apa syarat ke atasnya. Ia harus
bersedia menerima kliennya tanpa prasangka atau sebarang penilaian. Kaunselor juga haruslah juga
sering berwaspada agar ia tidak memberi gambaran kepada kliennya yang ia sedia menerima kliennya,
agar kliennya rasa senang terhadapnya lantas memuji, menyanjung atau menghargai kesediaanya
menerima klien. Sikap ikatan dua hala ini (double binding) hendaklah dielak bagi menghindarkan
perasaan ada udang disebalik batu. Tanpa mengenakan syarat seperti ini, klien akan dapat merasa
ketulenan kaunselor tadi untuk menolongnya dan dengan wujudnya persepsi dan perasaan seperti ini,
maka lebih mudahlah proses perubahan personaliti berlaku, kerana tidak akan terasa sebarang
ancaman.

5.2

Empati

Sifat empati adalah kebolehan untuk merasa dan mengenalpasti perasaan orang lain dan kemampuan
memberitahu kepada klien daripada sudut pandangannya, iaitu cuba masuk ke dalam ruang rujuk klien.
Di dalam teknik ini memerlukan kaunselor mempunyai kefahaman empati yang tepat. Klien yang datang
bersamanya membawa dunia subjektifnya, yang tentu berbeza daripada dunia subjektif kaunselor itu
sendiri. Dari huraian klien, baik melalui bahasa mahupun melalui gerak-geri tubuh badannya, kaunselor
haruslah berusaha menyelami dunia subjektif kliennya, sehingga ia dapat merasai, mempersepsi dan
mengalami segala apa yang dirasai, dipersepsi dari alam objektifnya dari realiti yang sebenar.

5.3

Ketulenan

Sifat jujur, ikhlas dan tulen harus ada pada kaunselor yang menggunakan teknik ini. Ketulenan adalah
kebolehan untuk menjadi sejati dan benar dengan orang lain. Kaunselor tidak sepatutnya
menyelewengkan komunikasi, menyembunyikan motif atau bertindak dengan agenda yang
tersembunyi, berpura-pura dan mengelak.
Kaunselor haruslah bersikap terbuka dengan klienya. Ia tidak tersekat-sekat atau teragak-agak untuk
menyampaikan apa jua yang dirasainya, baik yang positif mahupun negatif. Dengan yang demikian ia
dapat menjadi sebagai contoh atau model kepada kliennya untuk juga bersifat terbuka, jujur dan ikhlas
di dalam menyatakan perasaan dan pengalamannya.

5.4

Aktif Mendengar dan berfikir

Mendengar merupakan satu kemahiran yang amat penting dalam sesi kaunseling. Tumpuan yang penuh
ataupun konsentrasi hendaklah diberikan kepada apa yang klien cakap samada secara lisan atau bukan
lisan. Tumpuan atau perhatian merupakan prasyarat terhadap membantu. Pendengar yang aktif akan
memberi maklum balas tentang apa yang dicakapkan menggunakan perkataannya sendiri untuk tiga
sebab iaitu ;
a.

ia akan memastikan ia betul-betul faham apa yang dicakapkan oleh kliennya

b.

ia akan memastikan ia betul-betul telah mendengar

c.

ia akan membantu klien membuat pendedahan kendiri

Mengenal pasti perasaan dapat memberitahu kepada klien bahawa kaunselor sedang mendengar dan
menggalakkan klien untuk bercakap lebih bebas. Ini boleh membantu untuk merangka suatu ketetapan
yang lebih memuaskan. Menurut Mc Kay, Davis dan Fanning (1983) menyatakan bahawa mendengar
dengan aktif memerlukan kaunselor bekerjasama di dalam proses berkomunikasi. Ini termasuklah
parafrasa, menjelaskan dan maklum balas.

5.4.1

Parafrasa

Parafrasa bermaksud mengatakan dengan perkataan sendiri apa yang telah


dikatakan oleh klien seperti;
apa yang saya faham
dengan kata lain
Kaunselor harus memparafrasakan apabila klien menyebut sesuatu yang penting kepadanya.

5.4.2

Penjelasan

Penjelasan bermaksud bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan agar kaunselor boleh
memahami kenyataan-kenyataan yang kabur. Tujuannya ialah memahami dari konteks bagaimana cara
berfikir klien dan perasaannya terhadap sesuatu masalah.

5.4.3

Maklum Balas

Sewaktu temubual kaunseling maklum balas menyediakan peluang untuk kaunselor berkongsi apa yang
difikirkan, dirasakan dan untuk menyemak persepsi. Untuk menyemak persepsi kaunselor merangka apa
yang dia dengar dan dipersepsikan ke dalam tentatif.

5.5

Kongruen

Kongruen memerlukan kaunselor bersifat telus terhadap klien, iaitu jika kaunselor merasa marah
terhadap cara klien berkomunikasi tetapi dia menyembunyikannya. Ini menyebabkan berlakunya tidak
kongruen. Adalah menjadi satu dilema untuk menjadi kongruen kerana ia kadangkala bercanggah
dengan sikap tidak menghukum.

5.6

Mendengar untuk merasa

Interaksi yang berkesan melibatkan pemahaman yang mendalam terhadap dunia seseorang dan
menyatakan kefahaman itu kepada klien. Melalui pendengaran dan tindakan yang tepat, halangan yang

merintangi persefahaman dua hala boleh dihindari. Dinkmeyer & Losoney, 1980, mengenalpasti dan
menyatakan perasaan dalam sesuatu mesej boleh dirangka dalam bentuk;
perasaan kamu sekarang
jika apa yang saya dengar ini betul

5.7

Mendengar dengan empati

Mendengar dengan empati bermaksud kaunselor menyedari bahawa walaupun sesuatu perkara amat
berat tetapi kaunselor perlu juga membantunya. Kaunselor perlu bertanya diri sendiri bagaimana
kepercayaan dan keputusan walau pun ia mungkin gagal tetapi boleh mengurangkan kerisauan klien.

5.8

Menghormati

Menghormati adalah kemahiran interpersonal yang menunjukkan penghargaan tentang keunikan orang
lain, toleransi terhadap perbezaan atau kelainan, kemahuan dan keinginan untuk berinteraksi dengan
orang lain secara sama rata.

5.9

Penerimaan yang mesra

Teknik ini merupakan keupayaan untuk bersifat terbuka, peramah dan menerima menggunakan
komunikasi bukan lisan yang boleh menyampaikan isyarat-isyarat kongruen, keterbukaan dan kesudian
untuk mendengar.

5.10

Konfrontasi

Konfrontasi merupakan keupayaan untuk memberitahu seseorang individu itu tentang perselisihan
tingkah laku dan kesannya terhadap dirinya sendiri, dengan cara yang tidak agresif, tidak menghakimi,

tidak kritikal atau tidak defensif (mempertahankan diri). Ia bertujuan untuk menyedarkan individu
tersebut sama ada tingkah lakunya menggalakkan atau menghalang perhubungan interpersonalnya.

5.0

Peranan Kaunselor

Dengan adanya sikap dan kebolehan berempati, kaunselor haruslah berperanan seperti yang dijelaskan
oleh Corey (1996);
a.
Kaunselor berfungsi sebagai fasilitator bagi perkembangan seseorang klien. Kaunselor haruslah
mewujudkan suasana teraputik iaitu mewujudkan suasana yang tenang, selesa dan sesuai agar dapat
menggalakkan klien mengalami suatu rasa bebas untuk meneroka dan mengalami cabang-cabang hidup
yang disangkalnya. Oleh itu klien dapat dibantu supaya tidak bersifat defensif. Kaunselor harus
menganggap klien sama taraf dengan kaunselor dan berusaha mengenali masalahnya.
b.
Kaunselor perlu mewujudkan suasana iaitu kaunselor harus berada dalam keadaan kongruen
dan klien berada dalam keadaan tidak kongruen. Kaunselor bersedia menerima tanpa syarat, prasangka
dan tidak beranggapan buruk terhadap klien. Kaunselor harus berempati bagi merasai dan mengalami
apa yang dirasai dan dialami oleh klien.
c.
Kaunselor haruslah memperlihatkan kepada kliennya yang ia dianggap sebagai sama taraf
dengan dirinya dan secara bersama mereka akan berusaha untuk mengenali masalah klien dan
mengatasinya.
d.
Kaunselor tidak akan mendiagnos masalah klien. Ia hanya menjadi sebagai cermin yang akan
membantu klien melihat dirinya dan masalahnya dengan jelas.

Untuk mempastikan tercapainya perkara-perkara yang disebutkan di atas, haruslah wujud:


a.

pertemuan, baik secara langsung atau tidak langsung, di antara kaunselor dengan klien

b.

kaunselor haruslah di dalam kongruen, dan klien pula berada di dalam keadaan tidak kongruen

c.

Kaunselor bersedia menerima kliennya tanpa syarat, tanpa sebarang prasangka dan anggapan

d.

Kaunselor boleh berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan dialami oleh klien

e.

Kaunselor haruslah bersifat jujur, ikhlas dan terbuka

f.
Klien pula haruslah dapat melihat dan merasai, tak banyak sedikit, sifat-sifat dan kebolehankebolehan di atas yang ada pada kaunselor

6.0

Peranan Klien

Untuk sesuatu sesi kaunseling itu mencapai kejayaan, klien juga tidak terlepas memainkan peranannya;
antara peranan-peranan klien adalah seperti:
a.
Klien haruslah memutuskan bahawa dia memerlukan khidmat kaunseling dan datang secara
sukarela dan bukan atas dasar paksaan atau disuruh oleh orang lain
b.

Pada awalnya, klien menghadapi kebimbangan, percanggahan perasaan dan fikiran

c.
Klien harus merasa bersedia untuk berbincang apabila merasa diterima dan dapat menghayati
perhubungan kaunselor dengan klien
d.

Klien merasa lebih terbuka dan bebas meluahkan perasaan dan menjelajah diri

e.

Klien akan cuba untuk mencari penyelesaian dengan bantuan klien sendiri

f.
Klien akan menentukan pilihan dan tindakannya sendiri. Kaunselor hanya bertindak membantu
klien dalam membuat pilihan
g.

Klien berupaya dan bersedia untuk berubah

h.

Klien bersedia untuk terus berkembang dalam usaha mencari matlamat baru

7.0

Aplikasi teori dalam bidang kaunseling

Teori ini sangat sesuai digunakan di dalam seting sekolah kerana ia menekankan kaedah pengajaran
pemusatan pelajar. Ini bersesuaian kerana teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang digunakan adalah
berbentuk nasihat, saranan, pujukan dan pengajaran adalah sesuai untuk pelajar-pelajar di peringkat
sekolah rendah dan menengah. Teori ini juga sangat berkesan dalam mengubah tingkah laku pelajar.

8.0

Kekuatan Terapi

Menurut Shertzer & Stone (1992), antara matlamat yang ingin dicapai ialah membina individu agar
dapat berkembang dengan sihat. Oleh itu antara kekuatan teori ini menurut mereka ialah :
a.

menekankan kepentingan hubungan yang akrab antara kaunselor dengan klien

b.
Menanamkan pendapat bahawa penerimaan, penghargaan serta kejujuran kaunselor
merupakan syarat-syarat yang amat penting bagi mewujudkan perhubungan
c.
Memupuk pendapat bahawa klien ialah rakan kongsi penuh dalam hubungan dan bukan hanya
sebagai rakan yang merendah diri

9.0

Limitasi Teori

Seperti teori-teori yang lain, terapi pemusatan insan ini juga mempunyai kekurangan dan
kelemahannya. Antara lain ialah ;
a.
Terapi ini tidak mempunyai satu set teknik atau tatacara yang tertentu yang terdapat di dalam
setengah-setengah psikoterapi.
b.
klien

Terapi ini kurang menyediakan panduan tentang cara mewujudkan hubungan kaunselor dengan

c.
Kebanyakkan konsep di dalam terapi ini tidak dapat dibuktikan dan diukur dengan mudah. Ianya
terlalu abstrak.

10.0

Kesimpulan

Secara positif, suatu sumbangan yang paling besar telah diberikan oleh Rogers melalui teorinya ialah
keyakinannya yang kuat tentang keupayaan dan kecenderungan manusia untuk berkembang ke arah
nirwana kendiri. Pendirian yang positif seperti ini telah memberikan maruah dan darjat kepada manusia,
yang akan berusaha mencerminkan kepercayaan sedemikian.
Rogers juga secara tidak langsung mengutarakan nilai-nilai dan sikap-sikap positif di dalam berinteraksi
dengan orang lain dengan menegaskan betapa pentingnya kita menerima orang lain tanpa syarat,
bersedia mendengar dan memahami orang lain dari kaca mata dan dunianya yang subjektif, serta

menekankan pentingnya kejujuran, keikhlasan dan ketulenan di dalam segala tindak tanduk kita, kerana
melalui penghayatan sikap dan nilai-nilai sebegini kita boleh menjadi contoh atau model yang berguna
bagi orang lain.
Tanpa mempunyai pendirian yang menghakim atau judgemental, klien akan lebih bersedia untuk
meluahkan isi hatinya kepada kita, kerana dia yakin bahawa apa juga yang dikemukakan itu tidak akan
diberi nilai, dan hal sebegini tidak dirasakan sebagai mengancam dirinya.
Secara negatifnya, bolehlah dikatakan bahawa kebanyakkan konsep-konsep yang dikemukakan itu tidak
dapat diperhatikan dan tidak pula dapat diukur dengan mudah, kerana ianya bersifat konsep yang
abstrak.
Pergantungannya kepada laporan kendiri boleh membawa hasil yang tidak begitu memuaskan kerana
klien yang beremosi dan berfikiran kusut mungkin tidak berupaya untuk melahirkan isi hatinya dengan
tenang dan teratur. Ini sudah tentu boleh menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang juga tidak tepat.
Tanpa sedikit sebanyak panduan, arahan, manipulasi proses kaunseling akan memakan masa yang amat
panjang. Biar apa sekalipun kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalam teori ini, satu hal yang tidak
dapat dinafikan ialah teori ini amat memudahkan klien untuk meluahkan isi hatinya, kerana melalui
perhubungan yang mesra di antara kaunselor dan klien, klien begitu yakin yang kaunselor merupakan
orang yang boleh diharap dan memang bertanggungjawab serta bersunguh-sungguh akan berusaha
menolongnya.

- TEORI RASIONAL EMOTIF TERAPI-

Tokoh Teori

Teori Rasional Emotif Terapi telah diasaskan oleh Albert Ellis. Beliau dilahirkan pada tahun 1913 di
Pittsburgh, Amerika Syarikat. Teori ini terbina apabila beliau mendapati bahawa teori Psikoanalasis yang
dipelopori oleh Freud tidak mendalam dan adalah satu bentuk pemulihan yang tidak saintifik. Pada awal
tahun 1955, beliau telah menggabungkan terapi-terapi kemanusiaan, fisolofikal dan tingkah laku dan
dikenali sebagai teori emosi-rasional (RET). Semenjak itu beliau terkenal sebagai bapa kepada teori RET
dan datuk kepada teori tingkah laku kognitif.

Meninjau kepada zaman kanak-kanak Ellis, beliau sering mengalami gangguan kesihatan. Beliau pernah
dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan nefritis sebanyak 9 kali. Tetapi Ellis seorang yang
bercita-cita tinggi iaitu ingin menjadi seorang pakar psikologi. Beliau mempunyai kebolehan dalam
memberikan perkhidmatan kaunseling. Oleh itu beliau mula mempraktikkan terapi perkahwinan,

keluarga dan seksual. Pada tahun 1947 hingga 1953 Ellis telah menjalankan kajian secara klasikal
berasaskan psikoterapi. Hasil kajian mendapati bahawa terapi psikoanalisis tidak begitu menyeluruh dan
tidak saintifik.

Ellis berpendapat pendekatan yang dibawakan oleh Freud kurang lengkap kerana ada individu yang
bertambah teruk selepas menjalani pendekatan psikoanalisis. Hipotesis RET berdasarkan bahawa emosi
berpunca daripada kepercayaan, penilaian, interpretasi dan tindakan daripada situasi kehidupan. Di
dalam proses teraputik emosi-rasional, klien mempelajari kemahiran yang akan digunakan untuk
mengenal dan memerangi kepercayaan yang telah tertanam lama di dalam diri seseorang. Ini
disebabkan oleh teori ini lebih bersifat pendidikan daripada perubatan yang direka dalam keadaan di
mana kaunselornya aktif terarah dengan tepat dan mengajar. Ellis terkenal dengan bukunya yang
bertajuk Reason and Emotion In Psychotherapy dan bersama-sama dengan Robert A Harper beliau
mengeluarkan buku berjudul A Guide to Rational Living.
Pendekatan Teori

RET juga dikenali sebagai Terapi A-B-C yang mana merupakan suatu teori yang mempunyai kelainan
dengan teori-teori yang lain terutamanya Teori Psikoanalisis, Teori Pemusatan Insan, Gestalt dan lainlain lagi. Ini disebabkan oleh teori ini mementingkan tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan aspek
tingkah laku. Teori ini memberi penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan
membuat keputusan. Pendekatan teori ini bercorak deduktif atau mengajar, mengarah dan
mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional.

Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai sistem kepercayaan yang tidak rasional.
Kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat mewujudkan sistem kepercayaan yang
baik dan rasional. Dalam konteks ini ia merupakan satu sistem pendidikan semula yang mengajar
individu untuk melihat semula sistem kepercayaan yang membuatkan dirinya menderita dengan
menggantikan semula dengan satu set kepercayaan yang membawa kesejahteraan dan kebahagiaan
pada diri seseorang individu dan seterusnya kepada orang yang signifikan dengannya.

Prinsip terapi RET boleh digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain dalam kehidupan dan
juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Fokus prinsip ini adalah kepada pemikiran
dan tindakan, bukan hanya mengikut perasaan. Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran
kerana fungsi kaunselor yang berbagai-bagai. Kadang kala kaunselor bertindak sebagai seorang guru,
yang memberi tugasan kepada pelajar iaitu klien dalam konteks terapi ini.

Teori Ellis ini berasaskan andaian bahawa individu-individu mempunyai keupayaan bertindak sama ada
dalam bentuk rasional mahupun tidak rasional. Tingkah laku rasional ialah dilihat sebagai keberkesanan
dan kemungkinan produktif, manakala tingkah laku yang tidak rasional pula hasilnya dalam keadaan
tidak gembira dan menghasilkan output.
Menurut J Blackham dalam Muhd Mansur Abdullah (1997), dua tujuan utama RET iaitu; pertama
mendemonstrasikan pada klien bahawa berkata-kata kepada diri sendiri itu adalah akibat daripada
gangguan; dan kedua, menilai kembali berkata dalam diri demi menghapuskannya dan menolak semua
idea yang tidak logik. Dalam buku-buku Ellis seperti The Art And Science Of Love, The Intelligent
Womans Guide To Man-Hunting, Humanistic Psychotherapy dan The Rational-Emotive Approach
banyak menggambarkan sifat manusia. Misalnya, kemampuan manusia berfikir sesuatu melalui prosesprosesnya. Ellis menggalakkan manusia supaya menganggap diri mereka adalah berkebolehan. Dia yakin
jika manusia boleh menggunakan rasional mereka dalam mentadbir diri, maka tidak ada lapangan dalam
kehidupan mereka yang tidak boleh diperbaiki.

Menurut Muhd Mansur Abdullah (1997), dalam melahirkan teorinya Ellis banyak menggunakan sistemsistem psikologi dan falsafah iaitu menggabungkan intipati Falsafah Stoic, Psikoanalisis Freud, Psikologi
Individu Alfred Adler dan Orientasi tingkah laku Pavlov dan Wolpe. Semua sistem itu membantunya
meneguhkan lagi teori dan pendekatannya. Sebab itulah Ellis menekankan: When people emote they
also think and act. When they act, they also think and emote. When they think, they also emote and act.
To understand self-defeating behavior , one must understand how a person feels, thinks, perceives and
acts.

Pandangan Teori Terhadap Manusia

Hubungan emosi dan pemikiran adalah berhubung rapat dan tidak boleh untuk dipisahkan. Oleh sebab
itu segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu berpunca daripada proses dan pengaruh
budaya dan pembelajaran . Menurut George dan Cristiani (1995) telah mengandaikan bahawa manusia
bertindak sebagai penilai, perunding dan pengawal diri. Gangguan emosi dan tingkah laku akan bermula
apabila manusia menganggap beberapa keutamaan seperti keinginan untuk disayangi, diperakui
kejayaan dan menganggap keutamaan tersebut sebagai keperluan yang utama. RET juga memandang
bahawa manusia dilahirkan dengan beberapa kecenderungan ke arah perkembangan dan pengiktirafan
diri tetapi mereka akan mengkhianatinya disebabkan oleh kecenderungan untuk berfikir tidak rasional
dan contoh-contoh mengalah diri yang telah mereka pelajari.

Menurut Gerald Corey (1996) pula mendapati bahawa terapi RET berlandaskan kepada andaian bahawa
manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikiran secara rasional dan tidak rasional. Manusia
berupaya untuk memelihara dirinya, bergembira, berfikir, menterjemahkan diri, sayang menyayangi,
berkomunikasi dengan orang lain, berkembang dan mengiktiraf diri sendiri. Manusia juga
berkecenderungan untuk merosakkan dirinya, tidak mahu berfikir, suka menangguh untuk membuat
sesuatu, mengulangi kesilapan, tidak sabar, mementingkan kesempurnaan semata-mata, selalu
menyalahkan diri sendiri, cuba mengelakkan pengikhtirafan dan pertumbuhan potensi. Fenomena ini
meyakinkan terapi ini dapat membantu manusia untuk menerima kembali diri mereka sendiri setelah
melakukan kesilapan dan belajar untuk hidup lebih harmonis.

Hackey dan Cormier (1995) berpendapat bahawa RET, membuat andaian tentang gangguan emosi
manusia adalah disebabkan oleh pemikiran yang tidak rasional. Hubungan antara emosi dan pemikiran
terlalu rapat sehingga tidak boleh dipisahkan kedua-duanya. Manusia juga dilahirkan dengan suatu
potensi untuk berfikiran secara lurus dan rasional dan juga secara tidak rasional. Manusia sendirilah
yang menyebabkan dirinya merasa terganggu dan gangguan itu bukanlah disebabkan oleh sumbersumber luaran tetapi berpunca dari diri individu itu sendiri.

Manusia mempunyai keupayaan untuk mengubah proses-proses kognitif, emotif dan tingkah lakunya.
Mereka boleh memilih untuk bertindak dengan cara yang berlainan daripada pola tingkah laku yang
normal. Mereka juga boleh memilih untuk tidak membenarkan dirinya terganggu dan boleh melatih diri
untuk mengalami gangguan yang minimun selagi hayat masih ada.

Ee Ah Meng (1991) berpendapat bahawa terapi RET yang dikembangkan oleh Ellis dalam tahun 1950 an
adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa manusia perlu mengubah cara berfikir supaya boleh
memperbetulkan pemikiran yang tidak rasional. Baginya manusia dilahirkan dalam dunia yang tidak
rasional dan manusia menjadi semakin tidak rasional apabila berada dalam sistem kepercayaan mereka.

Suradi Salim (1996) mengandaikan bahawa manusia berupaya untuk berfikiran rasional dan tidak
rasional. Dalam pemikiran seseorang individu terdapat sistem kepercayaan yang berkecenderungan
untuk berfikir ke arah tidak rasional. Apabila sesuatu peristiwa terjadi maka individu itu selalu
mengandaikan suatu kepercayaan terhadap peristiwa tersebut sama ada ianya baik atau sebaliknya.
Manusia juga sering mempercayai tahyul yang menyebabkan mereka membuat sesuatu keputusan yang
tidak mengembirakan. Oleh itu kaunselor perlu bertanggungjawab untuk mewujudkan sistem
kepercayaan individu tersebut supaya menjadi rasional bagi membantunya memperolehi kehidupan
yang lebih harmonis.

Menurut teori RET, seseorang yang bermasalah akan mempunyai suatu sistem kepercayaan atau suatu
belief system yang penuh dengan kepercayaan yang tidak rasional mengenai perkara yang dilihat atau
dialaminya. Albert Ellis telah memberikan beberapa idea tentang pemikiran yang tidak rasional,
antaranya adalah seseorang individu mempercayai bahawa ia mesti disayangi oleh orang-orang penting
atau signifikan kepada dirinya seperti ibubapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Individu juga percaya
bahawa ia mesti membuktikan bahawa ia seorang yang berkebolehan dan berkemampuan. Seseorang
individu juga mempercayai bahawa jika terdapat individu yang lain melakukan kesalahan atau tidak
berlaku adil, maka seharusnya ia dikutuk dan menyalahkan dirinya dan dilihat sebagai orang yang tidak
baik. Masa lampau juga dianggap sangat penting kerana ia mempengaruhi hidup seseorang individu.
Ellis mempercayai bahawa masa lampau itulah yang akan menentukan perasaan seseorang individu
pada masa kini.

Seseorang individu itu juga mempercayai bahawa ia perlu melihat kehidupannya yang sangat teruk jika
ia tidak dapat menyelesaikan masalah kepada kehidupannya. Individu juga mempercayai bahawa ia
perlu berpandangan tidak baik sekiranya ia dikecewakan, disisih atau tidak dilayan secara adil. Jika
berhadapan dengan perkara-perkara yang merbahaya, seseorang individu mempercayai bahawa ia perlu
memikirkannya dan akan risau tentangnya.

Bagi menerangkan dengan jelas bagaimana gangguan emosi dan fikiran berlaku maka kita akan
menggunakan konsep ABCDE yang telah dinyatakan oleh Ellis iaitu A ialah penggerak pengalaman
activating experience atau peristiwa, faktor sikap atau tingkah laku yang dialami oleh seseorang.
Misalnya gagal dalam peperiksaan. B pula adalah sistem kepercayaan yang dianuti oleh seseorang
persons belief system. Misalnya, saya tidak kelihatan cantik atau hodoh. Manakala C ialah akibat
consequence iaitu hasil daripada penilaian oleh B ke atas A dan ditafsirkannya. Misalnya, sentiasa
keadaan muram dan tidak bersemangat. D pula adalah kaedah-kaedah untuk berhujah, mengajar,
mencabar dan memperbetulkan sistem kepercayaan yang tidak rasional yang menyebabkan individu itu
mengalami suatu reaksi emosi yang tidak rasional. Misalnya, Saya tidak mahu kamu yang menyebabkan
saya mengalami kerugian besar dalam hidup saya. Dan akhir sekali E ialah menjadi normal dan
mempunyai sistem kepercayaan dan penilaian yang rasional dan positif. Misalnya Saya rasa gembira.

Corey (1996) menjelaskan bahawa konsep ABC dalam teori RET adalah seperti berikut; Menurut beliau,
prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian besarnya akibat daripada hasil pemikiran tidak
rasional dan pemikiran kalah diri. Hasil daripada pemkiran ini menyebabkan seseorang individu itu suka
menyatakan sesuatu dengan perkataan sepatutnya, seharusnya dan semestinya. Dari perspektif RET,
ramai terapis telah membuat kesilapan kerana memfokuskan kepada sejarah hidup yang lampau dan
cara tindakan ialah semua peristiwa masa kanak-kanak boleh diubah. Terdapat juga terapis melakukan
kesilapan dengan terlalu menekankan dalam usaha klien mengenal diri, meluahkan perasaan dan
perubahan pemikiran. Keadaan ini mendorong klien melupakan peristiwa awal kanak-kanak dan

menumpukan pemikiran sekarang. Bagi Ellis cara ini tidak produktif kerana sesuatu yang menyebabkan
emosional tidak akan hilang malah ia akan menambahkan lagi kehebatan perasaan tersebut.
Oleh itu bagi Ellis , terapis dan klien perlu bekerjasama untuk mencabar kepercayaan tidak rasional yang
mengakibatkan gangguan emosional. Mereka perlu menuju ke arah mengubah perkara yang tidak
realiti, tidak matang, terlalu menuntut dan tidak lojik kepada pemikiran yang logik, matang dan realistik.
Persoalannya, bagaimanakah emosional yang terganggu itu boleh wujud di dalam diri seseorang
individu? Dalam hal ini , Ellis telah menjelaskan bahawa individu yang mengalami gangguan kerana
sentiasa berterusan mengulangi ayat-ayat yang tidak logikal.Misalnya , individu itu berkata : Saya
sangat kecewa dengan kegagalan peperiksaan ini. Kegagalan saya semuanya berpunca dari kesilapan
saya sendiri. Saya adalah merupakan manusia yang paling bodoh

Gangguan emosi ini menyebabkan wujudnya depresi dan anxieti dalam diri seseorang. Keadaan ini akan
mengakibatkan individu itu akan kekal berpegang dengan kepercayaan yang tidak rasional itu.
Kepercayaan inilah yang perlu dibantu oleh kaunselor agar klien tersebut dapat merasionalkan dirinya
dalam menghapuskan fahaman-fahaman dan kepercayaan yang tidak rasional yang ada pada dirinya.

Anda mungkin juga menyukai