Anda di halaman 1dari 3

5.

Langkah-langkah Menyemai Amalan Berbudi Bahasa Masyarakat Malaysia

5.1

Peranan Kerajaan

Kerajaan telah mengorak langkah yang bijaksana, iaitu pada 11 Januari 2005, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Peringkat Kebangsaan. Kempen Berbudi Bahasa yang dilancarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KeKKWa) jelas menunjukkan betapa kroniknya budi bahasa masyarakat kita pada hari ini. Kempen ini merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.

5.2

Peranan Institusi Kekeluargaan

Peranan institusi keluarga tidak boleh diabaikan. Para ibu bapa perlu mengambil sikap bersungguh-sungguh apabila memberi didikan kepada anak-anak. Ibu bapa harus menyemai sikap berbudi bahasa yang tinggi kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hal ini kerana remaja sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti pergaulan bebas, lepak, lumba haram dan sebagainya. Perlakuan mereka sudah melanggar adab dan tatasusila yang menjadi norma dalam masyarakat. Pada masa inilah masyarakat harus mempunyai keupayaan untuk menegur perlakuan remaja dengan cara berhemah agar mereka dapat menerima teguran dengan sebaik-baiknya Ibu bapa juga bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya membesar dengan akhlak yang terpuji. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik supaya menjadi ikutan anak-anak khususnya dan masyarakat amnya. Dalam hal ini

tidak ada kaedah tertentu dalam mendidik anak-anak kerana pendidikan keibubapaan adalah bersifat tidak formal. Oleh hal yang demikian, kita sebagai ibu bapa perlulah melaksanakan tuntutan keibubapaan dengan sebaik mungkin.

5.3

Peranan Masyarakat

Masyarakat hari ini lebih menekankan aspek materialisme, sekali gus meminggirkan nilai moral seperti berbudi bahasa. Ibu bapa dan guru-guru sepatutnya berganding bahu dengan masyarakat dalam memainkan peranan membentuk peribadi anak-anak kerana remaja diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mudah menerima dan seterusnya mengamalkan nilai budi bahasa yang terpuji. Dalam kehidupan bermasyarakat, para remaja perlu sentiasa menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai fiil yang halus dan budi pekerti yang mulia, bertegur sapa, sedia memohon maaf, membiasakan diri memberi salam atau ucap selamat dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Amalan seterusnya yang perlu dilakukan untuk melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa ialah masyarakat seharusnya melatih diri mereka supaya sentiasa menuturkan perkataanperkataan yang membawa maksud yang baik dan sopan pada pendengaran khalayak dalam pertuturan seharian. Justeru pengucapan yang kurang sopan dan menggunakan kata-kata yang kasar tidak harus digunakan. Generasi kini perlu dididik dengan nilai-nilai murni dan tatasusila bagi memelihara adat dan budaya masyarakat timur yang kaya dengan budi bahasa. Seterusnya, masyarakat menyambut baik jika syarikat pengangkutan awam seperti bas, teksi, monorel, dan LRT menggunakan kenderaan mereka sebagai platform untuk mendidik masyarakat ke arah merealisasikan nilai-nilai berbudi bahasa dengan melekatkan pelbagai iklan dan cogan kata pada kenderaan awam. Hal ini demikian kerana pembangunan fizikal seharusnya seiring dengan pembangunan insan. 5.4 Peranan Institusi Pendidikan

Institusi pendidikan formal, iaitu sekolah bertanggungjawab untuk melahirkaan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tugas guru pula semakin mencabar bukan sahaja menghabiskan sukatan pelajaran,

malah guru harus menjadi suri teladan kepada anak didik mereka. Jadi warga pendidik hendaklah menggunakan bahasa yang sopan apabila berinteraksi dengan pelajar. Tugas ini haruslah disambut baik oleh para pendidik walaupun mereka menanggung beban tugas yang banyak. Selain itu, sekolah sebagai institusi pendidikan formal berperanan dalam menerapkan dan mempraktikkan nilai-nilai murni dan amalan budi bahasa dalam kalangan anak-anak. Pihak sekolah memainkan peranan penting dalam menerapkan amalan nilai-nilai murni dalam pemikiran pelajar agar sifat berbudi bahasa dapat dipraktikkan sejajar dengan pembesaran mereka ketika menginjak dari usia remaja ke usia dewasa.

Bibliografi
Abdul Qadir Djaelani. (2001). Membangunkan Masyarakat Bertamadun dan Harmoni. Shah Alam : Pustaka Dini Sdn.Bhd. Haron Daud. (1989). Kebudayaan Tradisional Masyarakat Malaysia. Petaling Jaya : Fajar Bakti. Izatul Bahiyah Bt Abdul Manap. (2007). Budi Bahasa Budaya Kita Melalui Pantun Melayu. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Anda mungkin juga menyukai