Anda di halaman 1dari 7

BAB 1

PENGENALAN 1.1 Pendahuluan Matapelajaran Pendidikan Muzik telah mula diimplimentasikan sebagai matapelajaran wajib dalam KBSR sejak tahun 1983 bagi semua murid sekolah rendah. Penglibatan muridmurid secara aktif dan kreatif dalam aktiviti muzik akan memelihara perasaan, kreativiti, nilai estetika, memperkembangkan kecerdasan mental, psikomotor dan nilai sosiolisasi yang berkualiti. Ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Oleh itu, bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, pembangunan kreativiti dan inovatif perlu dibangunkan ke tahap optimum. Secara tidak langsung memberikan murid-murid berdaya cipta, berkeupayaan menghasilkan idea dan ciptaan yang berkualiti serta seterusnya menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan. Menurut Swanwick K and Talor D.(1982) menyatakan muzik boleh dijadikan satu perantaraan untuk bersosial dan melegakan emosi yang tegang.

Dalam Pendidikan Muzik KBSR Tahap 2 (Tahun 4-6), murid-murid didedahkan dengan pengetahuan dan teknik bermain alat muzik serta memperkembang kemahiran bermain alat muzik dengan teknik yang betul. Sukatan Pelajaran Pendidikan Muzik KBSR dibina berasaskan 4 aspek iaitu persepsi estetik, pengalaman muzikal, penghargaan estetik dan ekspresi kreatif.

Sesuai dengan statusnya dalam struktur KBSR, mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada peranannya memperkembangkan domain efektif murid khususnya dalam bidang kesenian. 1.2 Latar Belakang Kajian Dalam kajian ini, perbincangan berkisar tentang pengetahuan asas muzik dan elemen asas peralatan dan permaianan rekorder. Asas muzik iaitu irama dan pic sememangnya telah sedia ada dalam percakapan serta pertuturan seharian. Penglibatan secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun di samping memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif murid dapat pengetahuan dan kefahaman konsep muzik yang asas. Dari aspek sosialisasi, aktiviti menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik secara berkumpulan memberi kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi dengan mengamalkan nilai nilai murni. Di samping itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam budaya masyarakat Malaysia yang harus dikenali murid sebagai warisan bangsa. Pengetahuan dan pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam muzik dapat membantu memupuk elemen jati diri dan patriotisme diri.

Justeru itu rekoder telah menjadi pilihan dalam sukatan matapelajaran muzik sekolah rendah. Permainan rekorder adalah aktiviti yang menarik dan amat sesuai untuk murid sekolah rendah. Ianya bersaiz kecil, sesuai dengan tangan kanak-kanak dan mudah dipegang selain harganya mampu dibeli kerana tidak terlalu mahal. Selain itu, kanak kanak pada usia ini dapat merasa konsep muzik melalui pengalaman bermain alat muzik. Sesuai dipadankan dengan instrumen-instrumen lain dari alatan perkusi untuk sesuatu persembahan secara ensambel.

Permainan alat rekorder adalah mudah dan praktikal untuk mengiringi nyanyian atau dimainkan secara instrumental dengan hanya memainkan corak irama yang dipelajari. Di samping itu permainan alat rekorder juga membantu membina koordinasi gerakan anggota badan murid khususnya mata dan jari. Rekorder memerlukan pembelajaran yang telus untuk dimainkan ke peringkat yang lebih tinggi. Seandainya rekorder dikendalikan dengan kurang

berkesan, ianya akan menghasilkan ton dan bunyi yang kurang enak terutamanya bagi pemain yang baru berjinak jinak dengan alatan ini.

Melalui penerokaan dan kajian Arnold Dolmetsch terhadap permainan pelbagai jenis alat rekorder. Penjarian, penglidahan, pembentukkan bibir mulut, pernafasan dan tiupan dengan teknik yang betul dalam bermain alatan rekorder amat penting dalam menentukan kesan bunyi dan ton yang dihasilkan.

1.3

Penyataan Masalah Terdapat banyak persepsi yang dikaitkan dengan permainan rekorder telah menjadi

masalah utama di sekolah. Sekolah rendah merupakan pengalaman pertama murid-murid didedahkan dengan peralatan muzik secara formal. Rekorder menjadi salah satu alat muzik yang digunapakai. Namun begitu, kelemahan penguasaan alat rekorder amat ketara di kalangan mereka khususnya murid-murid di luar bandar.

Menurut Peter Bowman di dalam bukunya Professional Rekorder Fingering Chart, permasalahan ini bukan sahaja berlaku kepada kanak kanak, tetapi orang dewasa juga mengalami masalah dalam hal ini. Rekorder bukanlah satu alat yang membosankan seandainya ianya dimainkan dengan baik ( Craig, Humphriies 2004). Oleh yang demikian, kajian ini cuba mengenalpasti permasalahan penguasaan dalam permainan alat rekorder. Berdasarkan fakta fakta tersebut, maka suatu kajian telah dibuat untuk menyelesaikan permasalahan yang berbangkit dengan persoalan Apakah kekangan atau halangan dalam penggunaan alat rekorder di kalangan murid tahap 2. Kajian yang bakal dibuat akan menitikberatkan unsur unsur psikologi dan juga kemahiran asas yang mampu dipraktikkan oleh semua murid di sekolah rendah.

Menurut Chien Chih Hsu (2002) dalam kajiannya yang bertajuk A Survey Research on Elementary Music Teacher, Perceptions and Practice of Recorder Teaching in Koohsiung Pingtung Region in Taiwan. Terdapat banyak faktor yang mampu mempengaruhi minat murid untuk mempelajari dan menguasai kemahiran dalam mengendalikan peralatan rekorder.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Catherine Cheah Ming Ming dan Yeow Kek Ong (2005) menunjukkan bahawa dapatan membuktikan murid tidak dapat menguasai permainan alat rekoder disebabkan pelbagai aspek iaitu tidak pernah memiliki rekoder, kurangnya latihan, kurang berminat, tidak pernah belajar alatan rekoder dan pengendalian alat yang salah. Ianya dijalankan kepada pelajar tahun 4, 5 dan 6 dari sekolah-sekolah sekitar Melaka.

1.4

Rangka Kerja Konseptual Dalam kajian ini, pelajar perlu menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran Kaedah

Bermain Koperatif di mana pengkaji menggunakan kaedah soal selidik dan temubual serta reka bentuk ujian pra dan ujian pasca bagi melihat keberkesanan kaedah ini. Kajian ini terdapat tergolong pelajar yang mempunyai keupayaan yang sama dalam matapelajaran Pendidikan Muzik diberi ujian pra dan ujian pasca. Kumpulan ini akan dirawat iaitu selepas ujian pra mengikut masa yang ditetapkan. Kemudian kumpulan ini akan menjalani ujian pasca, pengkaji akan membanding ujian pra dan pasca bagi melihat perbezaan dan seterusnya mencari perkaitan bermakna.

1.5

Tujuan Kajian

Kajian ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk menentukan keberkesanan kaedah bermain dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui persepsi murid terhadap penggunaan Kaedah Bermain

Koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran mengenai masalah kemahiran permainan rekoder. Objektif kajian, persoalan kajian dan hipotesis kajian adalah seperti di bawah ini. 1.5.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah: 1.5.1.i Untuk menentukan keberkesanan Kaedah Bermain Koperatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam tajuk Kemahiran Permainan Rekoder. 1.5.1.ii Mengumpul maklumat tentang persepsi murid terhadap Kaedah Bermain Koperatif dalam tajuk Kemahiran Permainan Rekoder.

1.5.2

Persoalan Kajian

Untuk mencapai tujuan dan objektif kajian, pengkaji akan mendapatkan jawapan kepada persoalan berikut: 1.5.2.i Adakah Kaedah Bermain Koperatif dapat meningkatkan prestasi murid dalam tajuk Kemahiran Permainan Rekoder. 1.5.2.ii Apakah persepsi murid terhadap penggunaan Kaedah Bermain Koperatif dalam tajuk Kemahiran Permainan Rekoder.

1.5.3

Hipotesis Kajian

Untuk mencapai tujuan dan objektif kajian ini, dikemukakan dua hipotesis nul : Ho: Tidak terdapat perbezaan signifikan prestasi sebelum dan selepas pengajaran. Ha: Terdapat perbezaan prestasi yang signifikan sebelum dan selepas pengajaran.

1.6

Kepentingan Kajian

Kajian ini mempunyai beberapa faedah: a. Bermain dapat memperkuatkan keupayaan berfikir serta mendorong kanak-kanak memberi makna kepada pembelajaran semasa mereka menjalankan aktiviti sesuatu permainan.(Jean Piaget, 1966) b. Maklumat yang diperolehi dalam kajian ini boleh dikongsi dengan guru-guru yang lain untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik dalam bilik darjah. Diharapkan ianya boleh merangsang minat dan penglibatan guru-guru dalam kajian berkaitan dengan bidang pengajaran dan pembelajaran mereka. c. Hasil kajian juga, boleh memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan dan kemajuan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik di Malaysia.

1.7

Batasan Kajian Batasan kajian menerangkan had kajian yang terpaksa dihadapi oleh pengkaji menurut

buku Kajian Tindakan Berasaskan Sekolah 2008. Kajian ini tidak terlalu meluas kerana terdapat beberapa kekangan yang perlu diakur oleh pengkaji. Bersesuaian dengan tajuk yang melibatkan sekolah rendah, maka kajian ini tertumpu kepada murid tahun 4. Batasan kajian adalah seperti berikut : 1) Kajian ini hanya akan dijalankan untuk Sekolah Kebangsaan Parit No.5, Muar sahaja. Pengkaji adalah guru sekolah tersebut, maka kajian mampu dikelolakan di sekolah sendiri. 2) 10 orang murid yang terdiri daripada aras lemah dan sederhana telah dipilih untuk terlibat dalam kajian ini.
6

3) Kajian hanya dijalankan terhadap persepsi murid tahun 4 terhadap bidang muzik amnya dan permainan alat rekorder khasnya. 1.8 Definisi Istilah Berikut adalah beberapa takrifan istilah yang digunapakai dalam kajian ini:

1.8.1

Kaedah Bermain

Kaedah bermain ialah sesuatu kaedah atau teknik mengajar yang memberi peluang kepada murid-murid melakukan aktiviti berpura-pura di bawah keadaan terkawal berlandaskan prinsip bermain sambil belajar. Aktiviti ini sesuai dijalankan khasnya di peringkat pra dan sekolah rendah. Aktivitinya memberi peluang kepada kanak-kanak mengembangkan potensi intelek, jasmani, rohani dan sosial, di samping mengukuhkan kemahiran-kemahiran yang baru dipelajari.

1.8.2

Masalah

Teuku Iskandar (Dr) dalam Kamus Dewan (1986:743) mendefinisikan perkataan 'masalah' sebagai sesuatu yang memerlukan penyelesaian, perkara dan persoalan.

1.9

Kesimpulan

Bab ini menghuraikan latar belakang bagi kajian ini. Perbincangan juga menyentuh tentang rasional dan kepentingan kajian serta bagaimana Kaedah Bermain Koperatif dijangka boleh membantu murid meningkatkan prestasi dalam tajuk masalah kemahiran permainan rekoder. Secara umumnya, kajian ini difokuskan untuk menentukan keberkesanan kaedah bermain mengatasi masalah permainan rekoder oleh murid-murid. Di samping itu, mengkaji persepsi murid terhadap penggunaan kaedah tersebut.
7

Anda mungkin juga menyukai