Anda di halaman 1dari 3

ARKIB : 12/05/2009

Profesion guru ke tahap tinggi

Oleh MARZITA ABDULLAH


pengarang@utusan.com.my

MEMENUHI tuntutan sebagai seorang pembina negara bangsa yang diletakkan ke bahu pendidik telah
bermula sejak sebelum merdeka. Hingga kini, tanggungjawab itu tidak pernah sedikit pun berkurang.

Namun situasinya kini berbeza. Pelajar semakin ramai dengan sikap dan minda yang berbeza. Apatah
lagi dengan keterbukaan dan kelantangan masyarakat memperkatakan tentang senario pendidikan
negara maka peranan guru sebagai pembina negara bangsa semakin luas dan mencabar.

Inilah juga yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran melalui tema sambutan Hari Guru Kebangsaan
2009 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, sambutan Hari Guru yang ke-38 dan kali ini sambutannya
diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu pada 16 Mei ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, guru alaf baru kini tugasnya
bukan sahaja mendidik daripada segi akademik tetapi membina suatu bangsa negara, bangsa Malaysia
yang bermodal insan, cintakan negara, mempunyai keyakinan tinggi, jati diri kukuh, berpegang teguh
kepada ajaran agama dan nilai moral. Ia penting untuk hidup sebagai sebuah masyarakat penyayang,
demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik.

Inilah juga yang dimaktubkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2020 iaitu
Membina Negara Bangsa dan ia sejajar dengan Wawasan 2020 yang kini hanya tinggal 10 tahun untuk
direalisasikan menjadi Malaysia negara maju dalam acuannya sendiri.

"Walaupun negara bangsa telah wujud sejak kita mencapai kemerdekaan tetapi ia mesti ditingkatkan
dari semasa ke semasa kerana wujudnya persaingan globalisasi.

"Ia menuntut setiap negara mengukuhkan negara masing-masing daripada segi ekonomi mahupun
pertahanan dan guru pula wajib memberi pendidikan terbaik untuk para pelajar,'' ujarnya.

Kata beliau, peranan guru era pasca dan sebelum merdeka sama penting.

"Selepas negara merdeka, kita melihat pendidikan sebagai bidang yang amat penting kerana kerajaan
telah memberi peruntukan yang besar berbanding kementerian-kementerian lain,'' katanya.

Ini turut menjelaskan betapa kerajaan amat percaya dengan pelaburan yang besar itu ia boleh
membawa pulangan yang besar kepada negara.

Katanya, cabaran untuk guru menambah ilmu dalam dunia ledakan maklumat bukan sahaja sesama
mereka malah perlu bersaing dengan pelajar yang ada ketikanya lebih terkehadapan menerokai
teknologi komunikasi maklumat (ICT).
"Kecanggihan pelajar menyebabkan guru kini perlu berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat,
media massa dan pengaruh budaya luar. Maka amat penting untuk sekolah memastikan berlakunya
pembangunan modal insan yang cemerlang,'' tegasnya.

Modal insan yang cemerlang bermakna individu itu turut mahir dalam membuat keputusan, berakhlak
dan bermoral tinggi, berani, amanah, jujur, bekerjasama dan bertanggungjawab, suatu acuan individu
yang mempunyai daya tahan dalam erti kehidupan globalisasi.

"Beratkah tanggungjawab guru sekarang? Sudah pasti, jika dibandingkan dengan 20 tahun atau 30
tahun lalu tetapi inilah peluang untuk guru menunjukkan kebolehan,'' katanya lagi.

Menurut Alimuddin, dedikasi, sabar dan tabah serta bertanggungjawab semasa menjalankan tugas
adalah kunci utama untuk menangani kerenah masyarakat apatah lagi pelajar.

Dan sudah pasti peranan ibu bapa dalam dunia pendidikan bertambah memandangkan anak-anak
mereka hanya berada di sekolah kirakira enam jam maka perhatian terhadap anak-anak perlu
ditingkatkan.

Namun kata beliau, sikap masyarakat moden kini yang tidak suka "menjaga tepi kain orang lain" perlu
dikembalikan.

"Menegur dan saling ingat-mengingatkan dan saya fikir banyak isu disiplin pelajar di luar sekolah dapat
diselesaikan dengan sikap ini,'' katanya.

Walau bagaimana berat sekalipun tanggungjawab yang dipikul oleh guru namun Kementerian Pelajaran
tidak pernah alpa terhadap kebajikan mereka.

Pada masa ini, terdapat 17 laluan kerjaya kepada guru seperti guru cemerlang, Pengetua cemerlang,
Guru Besar cemerlang, Pegawai Pendidikan cemerlang. Malah tahun lalu sahaja sebanyak 62,000
jawatan naik pangkat dan naik gred telah diberi kepada guru-guru.

Daripada segi kewangan pula, banyak elaun diberi kepada guru seperti elaun Guru Besar dan
Pengetua, elaun warden, elaun mata pelajaran kritikal dan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI ) serta elaun guru kawasan pedalaman yang
mencecah kepada RM1,500 sebulan.

"Ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap guru malah apa juga imbuhan yang diberi kepada kakitangan
kerajaan lain, guru juga menikmatinya misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan
mahupun rawatan di hospital,'' katanya.

Tegas Alimuddin, profesion perguruan kini sudah sampai ke tahap tinggi jika dilihat daripada
permohonan untuk menjadi guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Tahun ini ia mencecah lebih
90,000 permohonan sedang kekosongan untuk diisi ialah sekitar 5,000 tempat sahaja.
Beliau turut menolak tanggapan masyarakat bahawa senario itu seperti sebelum ini yang diamalkan
oleh graduan negara yang menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan akhir.

"Senario itu tiada lagi kerana banyak permohonan bermakna banyak pilihan. Hanya mereka yang layak
diterima,'' tegasnya.

Sementara itu, sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 akan bermula pada 14 Mei dengan pertandingan
separuh akhir Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan kategori bahasa Malaysia
dan kategori bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail,
Terengganu sementara pertandingan akhir pada 15 Mei.

Keesokannya, Majlis Menjunjung Budi untuk guru-guru di kawasan pedalaman dan guru di pulau serta
guru kurang upaya akan diadakan. Ia turut melibatkan guru integriti dan guru di kawasan bandar besar
seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang.

Satu Forum Pendidikan akan diadakan di Wisma Darul Iman bertajuk Guru Pembina Negara Bangsa.

Ahli-ahli panel forum terdiri daripada tokoh pendidik Tan Sri Wira Dr. Abdul Rahman Arshad, Profesor
Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo
Hashim.

Sebagai menghargai usaha guru, Guru Besar dan Pengetua dalam memperkasakan ICT di sekolah,
Anugerah Guru Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Anugerah Pemimpin TMK juga
akan diadakan.

Sempena sambutan Hari Guru itu juga, Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran
akan mengadakan Festival Hari Guru Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) bermula
14 Mei sehingga 17 Mei dengan pelbagai acara menarik untuk orang ramai.

Anda mungkin juga menyukai