Anda di halaman 1dari 9

PENGENALAN Masyarakat kita sering menganggap bidang perguruan sebagai satu kerjaya yang kurang profesional.

Sejak kebelakangan ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan ahli politik berusaha untuk mempertingkatkan martabat profesion perguruan. Ini adalah kerana kepekaan mereka dalam menilai peranan guru dalam merealisasikan Wawasan 2020. Sehubungan dengan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan untuk meningkatkan martabat profesion perguruan termasuk kenaikan gaji serta cara bagaimana profesion perguruan dapat ditingkatkan kemuliannya di mata masyarakat seperti di zaman datuk nenek kita dahulu. Peranan guru sebenarnya sangat penting. Guru adalah sumber penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para pelajar. Selain itu, guru juga berperanan sebagai tempat untuk memperkembangkan bakat, minat dan kebolehan pelajar serta sebagai wadah untuk membina daya pemikiran yang kritis dan kreatif pelajar sehingga mereka nanti dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Seorang guru yang telah menyempurnakan latihan samada di maktab perguruan atau di mana-mana pusat pendidikan guru tidak seharusnya menganggap proses pembelajaran mereka telah sempurna. Begitu juga dengan guru yang telah lama mengajar. Kejayaan seseorang guru dalam kerjayanya antara lain bergantung kepada kesediaan guru untuk memajukan diri dan profesionnya melalui pelbagai aktiviti dan program pendidikan secara formal, informal atau nonformal. Guru akan melalui pelbagai bentuk perubahan samada di dalam atau di luar profesion. Diantara tuntutan dalaman yang diperlukan ialah kesediaan guru untuk mencuba pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang efektif disamping menghadapi perubahan dari segi istilah, kandungan kurikulum serta penggunaan teknologi baru (Mohamad Sani Ibrahim & Zuraidah Majid, 2002). Membangunkan guru itu sendiri menjadi salah satu faktor dalam membangunkan pendidikan di sesebuah negara. Perkembangan profesional juga dilihat sangat diperlukan kerana kebanyakan guru terutama generasi dulu yang telah 10 hingga 20 tahun mengajar di sekolah masih mengguna cara lama dalam mengajar, misalnya. Borko (1998) menyatakan bahawa guru-guru yang telah lama mengajar lebih menumpukan kepada penguasaan konsep sebagai fokus utama dan kurang memberi fokus kepada proses itu sendiri atau ilmu yang dijana dari penyelesaian masalah dalam subjek tersebut. Fokus kedua ini sebenarnya dapat diperolehi dengan memperbanyakkan aktiviti yang menggalakkan penglibatan pelajar dalam membina, mengguna dan menilai pemikiran mereka. Sebagai contoh, untuk pengajaran Pendidikan Islam misalnya, perlulah memasukkan lebih penyelesaian masalah dalam Pendidikan Islam, lebih komunikasi antara guru Pendidikan Islam dengan pelajar dan mencari hubungkait antara idea Pendidikan Islam dan aplikasi. Dengan ini satu perubahan

perlu dilakukan di mana ahli jabatan di universiti perlu meningkatkan kualiti pengajaran, fakulti pendidikan mesti menitikberatkan kepentingan ilmu dan kerajaan negeri mestilah berusaha keras dalam menjalankan satu usaha yang sistematik untuk mengembangkan pembangunan profesional para guru (Wu, 1999). Hasil membangunkan profesional guru, kelak kita akan dapat membina kemahiran, pengetahuan dan strategi pengajaran-pembelajaran, ketrampilan serta kemampuan untuk berurusan dengan masyarakat sekolah dengan lebih baik. Mungkinkah profesional guru boleh terbangun? Sekiranya pembangunan profesional guru tidak menjadi pelan utama bagi Kementerian Pendidikan, sehingga itulah kita tidak akan memenuhi keperluan pendidikan bagi semua pelajar. Untuk mencapai apa yang kita inginkan, bukan sahaja para guru yang terlibat tetapi juga sepatutnya melibatkan banyak pihak termasuk pentadbir di jabatan pendidikan, para pentadbir sekolah, staf sokongan dan penjaga atau ibu bapa. Ia mestilah dianggap tanggungjawab bersama dalam mendidik anak bangsa kita. Diantara kepentingan perkembangan profesional di sekolah sebagaimana yang disarankan oleh Anna Cratt (1996) ialah ia dapat membaiki kemahiran prestasi kerja guru, membaiki ketrampilan, menambah pengalaman untuk perkembangan kerjaya atau untuk naik pangkat, membina pengetahuan profesional dan pemahaman seorang guru, meningkatkan peribadinya, menghargai sumbangan guru, memberi kepuasan dari segi ikhtisas, meningkatkan kefahaman guru, membolehkan guru menjangka dan bersedia untuk berubah dan memperjelaskan polisi sekolah dan jabatan guru. Untuk membangunkan profesional guru perlu dibuat dengan usaha yang teliti dan berhati-hati. Ini kerana, kita tidak mahu usaha kerajaan yang mengguna dana yang banyak tidak mendapat hasil yang sepatutnya.

PERKEMBANGAN PROFESIONAL DI KALANGAN GURU Perkembangan profesional ialah perkembangan profesionalisme sepanjang karier

seseorang. Ia melibatkan kedua-dua aspek iaitu aspek deskriptif dan preskriptif. Bagi aspek deskriptif, perkembangan profesional merujuk kepada cara bagaimana evolusi seorang guru mengambil tempat atau berperanan sepanjang kariernya. Sebaliknya, aspek preskriptif menghubungkan faktor latihan dalam mencorak sikap profesionalisme sebagaimana yang kita inginkan (Kelchtermans, 1993). Day (1999) menakrifkan profesionalisme diri sebagai hasil dari suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam pembelajaran sepanjang hayat. Proses ini melibatkan penyemakan semula, pembaharuan dan peningkatan dalam komitmen mereka sebagai agen perubahan terhadap tujuan pengajaran. Pembangunan profesional juga dilihat sebagai suatu proses yang intensif, berterusan dan sistematik untuk meningkatkan pengajaran, pembelajaran dan persekitaran sekolah (Ferst & Berliner, 1985). Pembangunan profesional juga boleh dilihat sebagai suatu proses kesedaran dalaman yang membawa kepada pemikiran yang kritis dan usaha untuk menyelesaikan masalah (Boon P.Y, 2002). Perkembangan profesional boleh dilihat sebagai perkembangan dalam aspek penyuburan diri guru dalam pekerjaan mereka, mengukuhkan keyakinan, memupuk kemahiran, mengemaskini pengetahuan secara berterusan, mendalami dan memahami dengan meluas apa yang mereka ajar dan menambah kesedaran tentang sebab mereka perlu berbuat sesuatu di dalam bilik darjah (Perry, 1980). Menurut Kathryn et al. (2008), pembangunan profesional ialah suatu proses yang intensif, berterusan dan bersistematik yang bertujuan untuk meningkatkan pengajaran, pembelajaran dan suasana sekolah. Tambahan lagi, beliau berpendapat bahawa melalui proses ini juga, guru akan diberi peluang untuk meningkatkan ilmu dan skil dalam kandungan dan pengajaran mereka. Dengan peningkatan ini diharap dapat meningkatkan pembelajaran Pendidikan Islam dan sains di semua sekolah di seluruh dunia.

CABARAN

YANG

MEMPENGARUHI

GURU

DALAM

PERKEMBANGAN

PROFESIONALISME. Perkembangan dan cabaran dunia pendidikan yang dinamik masa kini menuntut guru membuat anjakan paradigma yang menyeluruh. Pergolakan dalam bidang pendidikan memerlukan guru meneliti setiap aspek pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan perubahan yang dilakukan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat dalam sesebuah institusi pendidikan. Mengikut Sufean Husin (2008) cabaran yang dihadapi oleh guru dalam profesion keguruan dikategorikan kepada cabaran daripada pihak sekolah, cabaran daripada murid, cabaran untuk memenuhi harapan dan jangkaan ibu bapa, cabaran untuk memenuhi harapan dan jangkaan negara, cabaran untuk memenuhi tuntutan perubahan masa dan cabaran dalam diri guru itu sendiri terhadap profesion keguruan. Cabaran Daripada Pihak Sekolah

Cabaran daripada pihak sekolah merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh guru. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan melihat kejayaan sekolah berdasarkan prestasi peperiksaan yang dicapai oleh muridnya. Fenomena ini mencetuskan persaingan akademik dalam kalangan pentadbir sekolah untuk mendapatkan pengiktirafan umum dengan mengarahkan guru mengadakan program akademik seperti kelas tambahan termasuk dalam masa cuti dan menambah bilangan buku rujukan serta menjalankan aktiviti bercorak motivasi untuk menjana kecemerlangan murid dalam peperiksaan. Hal ini memberikan tekanan kepada guru serta menambahkan lagi beban tugas mereka. Sekiranya peratusan kelulusan yang disasarkan tidak dicapai, maka guru akan dianggap sebagai guru yang tidak komited dan kurang berjaya. Selain daripada itu, masalah kekurangan guru, kekurangan prasarana dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh sesetengah sekolah turut memberikan tekanan kepada guru. Kekurangan tenaga guru menyebabkan guru sedia ada terpaksa memikul tanggungjawab tambahan untuk mengajar mata pelajaran yang bukan opsyennya. Hal ini menyebabkan guru terpaksa mengorbankan masa rehatnya untuk membuat persediaan rapi dengan merujuk kepada bahan pembelajaran mata pelajaran yang bukan opsyennya. Bilangan murid yang ramai, keadaan bilik darjah yang sesak memburukkan keadaan. Cabaran Daripada Murid

Pengurusan pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah merupakan cabaran kepada guru. Pelbagai kerenah yang dijelmakan oleh murid daripada pelbagai latar belakang, tahap pencapaian dan kebolehan merupakan situasi yang sering dihadapi oleh guru. Kewujudan keperluan yang berbeza dalam kalangan murid merupakan cabaran kepada guru yang menuntut usaha yang lebih daripada pihak guru untuk memahami serta memenuhi kepelbagaian murid serta keperluan mereka. Dalam hal ini, guru perlu mempunyai

pengetahuan yang secukupnya dalam aspek memahami keperluan murid serta mempunyai kemahiran pengurusan bilik darjah yang baik supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Guru juga terbeban dengan masalah tingkah laku dan disiplin dalam kalangan murid. Disamping itu juga ditambah lagi dengan masalah murid yang tidak minat untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Ini merupakan masalah yang perlu ditangani oleh guru secara berkesan. Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan berkesan, implikasi terhadap murid bermasalah dan murid lain akan menjadi lebih serius. Dalam hal ini, sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat adalah amat diperlukan bagi menangani masalah yang timbul. Masyarakat dan ibu bapa dapat membantu dari aspek pemantauan aktiviti anak-anak mereka di rumah. Kolaborasi di antara pihak sekolah, masyarakat dan ibu bapa sudah tentu akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh guru dalam memberikan pendidikan yang berkualiti. Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Ibu bapa.

Profesion keguruan sentiasa terdedah kepada kritikan masyarakat. Tanggungjawab mendidik seringkali diserahkan sepenuhnya oleh ibu bapa kepada guru. Kehendak ibu bapa yang mahukan guru mendidik anak mereka dan membentuk sahsiah dan keperibadian serta kebolehan intelektual anak mereka merupakan tanggungjawab dan cabaran yang amat berat bagi guru. Ibu bapa juga cepat menyalahkan dan mempertikaikan tindakan guru terutama sekiranya berlaku sesuatu peristiwa yang kurang disenangi di sekolah yang melibatkan anak mereka. Suatu perkara yang amat penting bagi guru ialah mesti mengetahui latar belakang murid dan keluarga, matlamat dan aspirasi ibu bapa terhadap anak mereka bagi membolehkan guru menjalankan tugas mereka dengan lancar dan penuh keyakinan. Selain dari itu, perkongsian dan jaringan pintar serta hubungan yang baik antara ibu bapa dan sekolah perlu dimantapkan supaya proses pendidikan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kurang memberikan tekanan kepada guru. Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Negara

Guru ialah golongan yang menjadi harapan negara dalam proses pembentukan modal insan demi kemajuan negara di masa hadapan. Peranan guru dalam merealisasikan misi dan visi negara tertakluk kepada bentuk warga yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara. Dalam konteks ini, guru perlu memahami aspirasi masyarakat dan negara terhadap golongan guru. Dasar Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Negara merupakan antara dokumen yang perlu difahami dan dihayati oleh guru dalam usaha untuk merealisasikan hasrat negara melalui proses pembinaan modal insan. Penghasilan modal insan yang seimbang dari aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi yang menjadi tunjang pendidikan di bawah Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dengan penuh tanggungjawab. Cabaran yang dihadapi oleh guru melalui perubahan kurikulum yang bersifat dinamik selaras dengan

keperluan semasa menuntut guru untuk melakukan penyesuaian agar segala objektif yang disasarkan melalui perubahan kurikulum akan dapat dicapai. Perubahan secara mendadak boleh memberi tekanan kepada guru. Cabaran Untuk Memenuhi Tuntutan Perubahan Semasa

Cabaran utama guru adalah berkaitan dengan keperluan masyarakat dan negara dalam menghadapi era globalisasi dan k-ekonomi. Hargreaves (2003) menyenaraikan tiga cabaran utama guru dalam era k-ekonomi iaitu: 1) menjadi pemangkin kepada masyarakat berpengetahuan (knowledge society) untuk merealisasikan peluang yang dibawa bersamanya; 2) menjadi pengimbang kepada masyarakat dari ancaman yang dibawa oleh era k-ekonomi; dan 3) menjadi pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memenuhi jangkaan dari segi pendidikan dengan menggunakan kos yang minima. Dalam hal ini, bidang pendidikan dan guru adalah diharapkan berfungsi sebagai penyelamat masyarakat. Masyarakat yang berpengetahuan merujuk kepada sistem ekonomi yang dijana melalui aspek kreativiti dan keaslian. Hal ini menyebabkan masa hadapan dan kemakmuran negara bergantung kepada kemahiran tenaga kerjanya (k-worker) yang meliputi aspek menterjemahkan idea yang kompleks, mengambil peluang daripada perkembangan sains dan teknologi serta menyelesaikan masalah yang belum pernah dihadapi. Tambahan pula, golongan k-worker ini diharapkan akan dapat memberikan nilai tambah kepada sebarang bentuk produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. Sehubungan itu, sekolah dan guru adalah diharapkan dapat memainkan peranan penting dengan sebaiknya dalam menyediakan murid dengan kualiti tersebut dan memperkembangkan pengajaran tentang kreativiti dan keaslian. Justeru, guru dan sekolah adalah diharapkan akan dapat melahirkan modal insan yang berfungsi untuk kesejahteraan diri dan menyumbang ke arah pembangunan negara. Cabaran Dalam Diri Guru Terhadap Profesion Keguruan

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh guru ialah untuk memotivasikan diri menjadi pendidik selaras dengan harapan ibu bapa, masyarakat dan negara. Tekanan beban kerja, penghormatan masyarakat terhadap profesion keguruan yang agak hambar serta imbuhan pendapatan yang tidak setanding dengan golongan profesional lain boleh dikaitkan dengan tahap motivasi dalaman guru. Faktor bebanan tugas yang boleh menimbulkan fenomena burn out dalam kalangan guru, imbuhan kerja yang kurang menarik dan kekurangan peluang kenaikan pangkat menjadi faktor penolak kepada guru untuk terus kekal dalam profesion yang mulia ini.

CADANGAN MEMBANGUNKAN PROFESIONALISME GURU Perkembangan profesional guru sepatutnya mampu membawa perubahan kepada organisasi sekolah dan meningkatkan sistem perguruan. Dalam menghadapi zaman yang teknologinya berkembang dengan begitu pesat dewasa ini, guru harus mempersiapkan diri mereka dengan profesionalisme diri supaya seiring dengan perkembangan zaman. Secara amnya, usaha-usaha kearah membangunkan modal insan seorang guru dapat dilaksanakan berdasarkan ciri-ciri dan nilai-nilai yang terdapat dalam 10 Prinsip Islam Hadhari (Abdullah Md. Zain, 2007). Diantaranya ialah dengan memperbetulkan dan memperkasakan pengetahuan umat Islam tentang Tasawwur Islam, memperkasakan ketakwaan dan keimanan umat Islam, mempertingkatkan usaha penguasaan ilmu secara meluas, berterusan dan besepadu antara ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, melahirkan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang dan menggunakan sepenuhnya kepakaran dalam membangunkan negara, menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu dalam semua bidang, memperbanyakkan hasil tugasan baru yang boleh dimanfaatkan semua manusia dan menonjolkan peranan ilmuan dan sumbangan mereka kepada pembangunan ummah serta berusaha menjadikan mereka sebagai role model dalam masyarakat yang bertamadun. Di antara strategi khusus yang membolehkan perkembangan profesionalisma seorang guru dalam membangunkan modal insan mereka termasuklah aktiviti pementoran, melibatkan diri dalam latihan dalam perkhidmatan, kursus dan seminar, amalan refleksi, amalan penyelidikan tindakan, latihan profesional berterusan, perkembangan profesional online dan penglibatan dalam aktiviti Pusat Kegiatan Guru. Salah satu cara untuk meningkatkan profesionalisma di kalangan guru ialah sistem pementoran di sekolah. Sistem pementoran adalah suatu sistem dimana seorang guru yang lebih berpengalaman bertindak sebagai role model, penasihat dan pembimbing kepada guru lain yang kurang berpengalaman untuk memindahkan perkembangan profesional dan peribadinya. Ini dilaksanakan secara bersahaja dalam suasana kasih sayang di sepanjang waktu (Anderson & Shannon, 1995). Proses pementoran melibatkan pengajaran, bimbingan, memberi galakan, kaunseling dan membina persahabatan dengan guru yang lebih berpengalaman. Guru juga sepatutnya bertanggungjawab bukan sahaja dalam peningkatan profesional guru dibawahnya, malah sepatutnya peningkatan keseluruhan perkembangan guru tersebut. Pada kebiasaannya, seorang guru akan mempunyai seorang atau beberapa orang mentor untuk membimbingnya. Konsep belajar seumur hidup memberi peluang kepada guru membaca, menulis dan membuat penyelidikan tindakan. Ini dapat memahirkan guru, seterusnya dapat

meningkatkan profesionalisme guru tersebut. Hanya dengan ilmu pengetahuan dapat menjadikan manusia bertaqwa dan mengagumi Tuhannya (Tajul Ariffin & Noraini, 2002). Dengan ilmu jugalah manusia mampu memikul tanggungjawab mengurus dan mentadbir alam ini. Dunia sekarang semakin maju dan teknologinya juga cepat berkembang. Kemajuan dalam bidang internet memungkinkan guru di Malaysia dapat berhubungan dan bertukar maklumat. Bukan itu sahaja, kini dengan konsep dunia tanpa sempadan, membolehkan ilmu dan pengalaman dapat sampai ke negara kita dengan cepat. Menurut Mohd Amin (2002), guru-guru bahasa Inggeris sangat bagus dengan dengan penggunaan internet sebagai contohnya ialah VirTEC (Virtual Teacher Education Center) telah berjaya merangsang guru dalam membina profesionalisme mereka. Mengadakan program perkembangan staf. Diantara peranan yang dimainkan oleh perkembangan staf termasuklah memberi sumbangan kepada peningkatan ilmu, ketrampilan dan kepakaran staf, membina semangat berpasukan dan meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Menurut Sani et al. (2008), adalah mustahil untuk meningkatkan keberkesanan sekolah atau menggerakkan profesionalisme guru tanpa program perkembangan staf. Malah, banyak tugasan tentang perkembangan staf telah membuktikan bahawa penglibatan melalui aktiviti kerjasama dalam pasukan akan mencetuskan pemikiran dan memberikan perspektif baru yang penting kepada perkembangan profesional staf (Little, 1982). Pihak kementerian atau pihak swasta diharapkan tampil dengan model-model baru dalam meningkatkan pembangunan profesional guru. Kini, terdapat banyak model baru dari luar negara yang boleh kita ubahsuai dan adaptasikan dengan budaya masyarakat kita. Contoh yang ada sekarang ini ialah Model Kitar Penyelesaian Masalah. Didalam model ini terdapat 3 bengkel yang saling berkaitan untuk guru Pendidikan Islam menyelesaikan masalah Pendidikan Islam. Proses penyelesaian ini akan memberi peluang guru Pendidikan Islam untuk berkongsi pembelajaran, pelan pengajaran dan pengalaman mengajar. Disini guru juga akan memikirkan secara mendalam tentang isi kandungan Pendidikan Islam dan arahan dalam Pendidikan Islam. Guru dan fasilitator akan bekerja bersama untuk memilih matlamat untuk bengkel pembangunan profesional termasuk matlamat untuk silibus Pendidikan Islam dan meninjau latihan pedagogi yang baru (Jacob, 2005). Model ini dianggap sangat penting dalam membina profesional guru. Ini adalah kerana dalam membina masyarakat yang produktif dan bersaing dalam dunia yang semakin mencabar, pelajar sangat memerlukan penerapan ilmu Pendidikan Islam yang berkesan. Ilmu tentang Pendidikan Islam sangat besar peranannya dalam pembentukan diri pelajar dimasa akan datang.

Strategi-strategi lain yang boleh digunakan juga dalam meningkatkan profesionalisme guru ialah dengan menetapkan laluan kerjaya untuk guru-guru dan mengenalpasti guru yang boleh dilantik sebagai guru cemerlang dan memastikan guru lebih komited kepada matlamat dan nilai organisasi masing-masing.

KESIMPULAN Perkembangan profesionalisme guru secara berterusan adalah aspek yang tidak patut diabaikan oleh pentadbir institusi pendidikan termasuk sekolah. Ianya perlu dijadikan sebagai aktiviti wajib dalam usaha untuk menginstitusikan konsep pembangunan sumber manusia. Sekiranya aspek ini tidak dititikberatkan ia akan menjejaskan profesion perguruan. Di Malaysia, program perkembangan profesionalisme untuk guru-guru belum lagi merupakan program yang telah diinstitusikan diperingkat sekolah. Kegagalan dalam perkembangan profesional mendatangkan banyak kelemahan seperti kekurangan kemahiran yang nanti akan mempengaruhi pengajaran guru. Diharapkan tugasan ini dapat memberikan sedikit gambaran tentang langkah-langkah yang dapat diambil oleh semua pihak dalam meningkatkan perkembangan profesionalisme para guru.

Anda mungkin juga menyukai