Anda di halaman 1dari 2

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah kerana mengizinkan saya menyiapkan kerja kursus WAJ 3116, Bahasa Melayu

Komunikatif 2 ini dalam masa yang ditetapkan. Terus terang saya katakan, kerja kursus ini telah memberikan impak yang tinggi kepada saya dalam persediaan menjadi seorang guru. Kini saya mempunyai lebih kesedaran dalam hal kesantunan berbahasa dan juga kesantunan guru yang mana dapat memberikan impak yang besar kepada masyarakat. Guru lah yang dapat membentuk generasi yang berbudi bahasa.

Apa yang dapat saya katakan mengenai kesantunan bahasa dalam kalangan generasi muda di Negara kita pada hari ini ialah, ia semakin luntur, lesap dan luput ditelan era globalisasi. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan generasi muda kerana merekalah tunggak kepimpinan Negara pada masa akan datang. Sudah tidak ada santun dalam berbahasa dalam kalangan kebanyakan masyarakat kita dewasa ini. Persoalan yang keluar di minda, ke mana perginya kesopanan dan kesantunan dalam berbahasa dalam kalangan masyarakat kita. Cara yang terbaik untuk memperbetulkan keadaan ialah melalui institusi pendidikan dan individu yang tepat untuk kerja ini ialah guru. Seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Penerapan nilai kesantunan dalam berbahasa ini perlulah sejak dari kecil. Di sinilah datangnya peranan kita sebagai bakal guru. Maka di sini jelaslah kepentingan untuk para bakal guru mempelajari matapelajaran Bahasa Melayu Komunikatif ini.

Kerja kursus ini juga telah memberi kesedaran kepada saya tentang kesantunan berbahasa. Kini saya dapat lihat apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Ketidaksopanan dalam berbahasa berlaku di mana-mana. Pentingnya kesantunan bahasa ialah untuk mendidik anak-anak generasi muda kita kearah mewujudkan rakyat Malaysia yang mempunyai adab dalam berbahasa. Kita ingin wujudkan rakyat yang lebih beradab ketika bertutur dan bukannya seperti apa yang berlaku mutakhir ini. Cuba kita bergaul dengan golongan-golongan muda. Kita akan melihat bahawa istilah kurang ajar dalam berbahasa kian menular. Di mana sahaja akan ada orang yang mencarut. Maka cara yang tepat untuk membendung masalah ini ialah dengan adanya pengatahuan tentang kesantunan berbahasa.

Saya juga sedar bahawa perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya seorang guru lebih sukar. Sekiranya guru tidak mampu mengawal diri dan tekanan mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka bukan sahaja akan berakhir lebih awal malahan dikenakan tindakan-tindakan disiplin yang keras pula atas segala kesalahan yang

dilakukan. Perubahan demi perubahan yang berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan pada hari ini ternyata menyebabkan guru juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu untuk membuat perubahan secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai mereka dan akhirnya membawa kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah amnya dan di Malaysia khasnya. Apabila masyarakat memanggil kita dengan gelaran cikgu, ia bagaikan satu penghormatan kepada kita. Tipikal rakyat Malaysia, menganggap guru ataupun lebih mudah dikenali sebagai cikgu adalah seorang yang sempurna dalam segala hal. Guru pada minda rakyat Malaysia merupakan seorang yang lemah lembut, sopan dan baik budi pekerti serta akhlaknya. Justeru sebagai seorang guru, penting untuk kita mengekalkan tanggapan masyarakat tersebut.

Kesimpulannya,

sebagai bakal guru, kita perlulah berusaha bersungguh-sungguh

mengambil ilmu-ilmu bukan sahaja untuk mengajar, malah mendidik generasi muda kita menjadi rakyat yang lebih bersopan beradab dan berbudi mulia dalam berbahasa. Sokongan yang berterusan daripada masyarakat amat penting bagi menghasilkan generasi yang berbudi bahasa. Konflik yang sedang berlaku akan berterusan tanpa noktah sekiranya masih tiada ruang untuk bekerjasama dibuka seluas-luasnya untuk kedua-dua belah pihak.

Anda mungkin juga menyukai