Anda di halaman 1dari 4

Refleksi Pengajaran Makro 1.

0 Kekuatan Kekuatan yang dapat dikesan melalui penilaian semula rakaman mikro pengajaran ialah kelantangan suara. Kelantangan suara membantu menarik perhatian murid dalam mengikuti pengajaran yang sedang berjalan. Selain itu kelantangan suara juga membantu murid memahami isi kandungan pengajaran yang disampaikan. Bukan itu sahaja ketegasan suara juga telah ditunjukkan apabila saya ingin menyampaikan sesuatu yang penting dan mesti difahami oleh murid. Apabila ada ketegasan suara pada sesetengah tempat, ini akan memberi faham kepada murid perlunya mengingat fakta yang disampaikan. Bukan itu sahaja, melalui kelantangan dan ketegasan suara juga dapat mengawal disiplin murid semasa belajar dan sentiasa menjaga adab ketika berhadapan dengan guru. Penggunaan bahan bantu dari komputer riba dan LCD amat membantu dari segi tumpuan murid. Murid dapat fokus kepada skrin, membaca maklumat yang dipaparkan dengan jelas dan dengan bantuan penerangan guru mengukuhkan ingatan murid terhadap isi kandungan pelajaran. Murid-murid luar bandar seperti dalam kelas saya tidak mempunyai kemudahan komputer di rumah. Oleh sebab itu, apabila pembelajaran dijalankan di makmal komputer mereka berasa amat seronok dan ini membantu menimbulkan minat untuk belajar. Gerak kerja berkumpulan yang menggunakan borang jawapan secara atas talian amat membantu menjimatkan masa dari segi mengumpul jawapan murid. Murid menaip jawapan dalam komputer dan menghantar jawapan secara atas talian. Jawapan semua kumpulan terus dapat dipaparkan melalui skrin komputer guru. Melalui cara ini semua murid dapat melihat jawapan setiap kumpulan tanpa perlu menulisnya semula di papan putih. Dari pemerhatian, aktiviti melalui komputer amat menarik minat murid dan setiap kumpulan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memberikan jawapan terbaik mereka. Bagi mempersembahkan jawapan yang baik, murid dilihat bekerjasama dengan baik dalam kumpulan dan saling bantu-membantu. Penerapan nilai murni melalui aktiviti berkumpulan dilihat berjaya diterapkan kepada murid-murid. Saya juga dapat menyelitkan unsur-unsur kecindan dalam penerangan. Ini amat membantu menghidupkan suasana pembelajaran dan murid tidak terlalu tertekan dengan penyampaian isi tanpa sedar melalui jenaka. Murid yang ditegur tidak berasa dimalukan dan dari pemerhatian sebelum ini, teguran-teguran sebegini memberi kesan ingatan kepada murid berbanding teguran dengan hukuman.

2.0 Kelemahan Kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dibuat ialah ketepatan masa mengikut seperti perancangan. Masa yang digunakan semasa aktiviti pengajaran sebenar tidak seiring seperti perancangan saya. Masalah-masalah yang timbul semasa pengajaran dan pembelajaran begitu menggangu ketepatan masa seperti perancangan. Sememangnya ketepatan masa begitu penting dalam memastikan kelancaran aktiviti-aktiviti setiap langkah pengajaran. Pelanggaran had masa menyebabkan langkah-langkah pengajaran seterusnya terganggu kelancarannya dan menjadi tergesa-gesa. Sungguhpun begitu, masa yang diambil untuk keseluruhan pengajaran tidaklah begitu terjejas. Kelemahan seterusnya ialah saya tidak dapat menjangka masalah -masalah yang timbul daripada isi kandungan pelajaran yang berkait dengan kandungan dari sukatan pelajaran Pendidikan Islam Tahun Dua. Hal ini berlaku pada langkah kedua di mana murid tidak dapat memberikan definisi yang betul bagi hukum Fardu Ain dan Fardu Kifayah yang menjadi asas kepada hukum solat berjamaah yang diajar. Jangkaan bahawa kemahiran ini telah diajar semasa murid berada di tahun dua yang lalu masih lagi difahami dan diingati tetapi sebaliknya yang berlaku menyebabkan pengulangan terhadap tajuk tersebut dilakukan kerana pemahaman konsep Fardu Ain dan Fardu Kifayah adalah perlu bagi membolehkan murid mencapai objektif menyatakan hukum solat berjamaah dengan betul. Selain itu, kelemahan yang turut dikesan dalam pelaksanaan pengajaran tersebut ialah penggunaan bahasa yang bercampur antara bahasa Melayu standard dengan dialek utara. Sungguhpun penggunaan dialek berlaku dalam pengajaran tersebut, ia tidak menjejaskan pencapaian objektif pengajaran kerana dari segi geografinya murid-murid tersebut sememangnya terdedah dengan dialek tersebut dalam kehidupan seharian. Cuma yang menjadi sedikit kelemahan ialah dari segi kemahiran merentas kurikulum iaitu penerapan bertutur dalam bahasa Melayu yang betul. Kebiasaan menggunakan dialek dalam pengajaran akan memberi kesan negatif pada pertuturan dan penulisan dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Walaupun penglibatan murid adalah baik, tetapi teknik penyoalan murid masih kurang berkesan. Soalan-soalan dilihat tidak teratur dan disampaikan dengan bahasa yang kurang tersusun. Rangsangan dan galakan kepada murid untuk cuba memberikan jawapan adalah baik tetapi kurang penumpuan kepada murid-murid yang pasif. Ada kalanya murid pasif dilihat gementar untuk memberikan jawapan dan rasa malu serta kurang yakin dengan jawapan mereka. 2

3.0 Penambahbaikan Segala kelemahan dan kekurangan yang dikesan dari pelaksanaan pengajaran tersebut perlukan penambah baikan agar kualiti pengajaran dapat ditingkatkan pada masa akan datang. Penambah baikan yang perlu dilakukan ialah pengunaan masa ketika penyampaian isi pelajaran kepada murid-murid bagi setiap langkah perlu selari dengan perancangan yang telah dibuat. Permulaan pengajaran dan set induksi dan langkah kedua telah memakan sedikit masa pengajaran. Penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah dengan memadatkan set induksi dengan soal jawab yang tidak berulang perlu dielakkan. Selain itu, guru juga perlu bersedia dengan jangkaan bahawa akan ada murid yang lupa dengan kemahiran dari pelajaran yang diajar pada tahun-tahun sebelumnya. Nota ringkas pada slide tayangan akan dapat membantu murid mengingat semula kemahirankemahiran yang telah dipelajari dan diperlukan semula dalam tajuk ini. Ini akan memastikan masa pada langkah tersebut berjalan seperti yang dirancangkan dan dalam masa yang sama kefahaman murid tidak diabaikan demi memenuhi tuntutan ketepapan masa. Dari segi penggunaan dialek semasa menyampaikan penerangan kepada muridmurid perlu dielakkan. Ini hanya dapat direalisasikan dengan memupuk dalam diri sendiri tabiat bertutur mengikut bahasa Melayu yang standard. Pelaziman adalah satu langkah membiasakan guru berkomunikasi dengan baik dan teratur agar penyampaian isi kandungan pelajaran dapat difahami oleh murid-murid. Sesuatu yang penting dalam menyampaikan arahan, penerangan dan memberikan solan kepada murid ialah bahasa yang teratur dan mudah difahami. Ketidakpetahan atau tidak lancar berkomunikasi masih boleh diperbaiki dengan melatih diri untuk sentiasa berkomunikasi dengan tenang, lancar, teratur dan mudah difahami dalam kehidupan seharian. Persediaan untuk menyampaikan isi pelajaran itu amat penting supaya apa yang diajar kepada murid dapat diterima dengan baik. Guru boleh menyediakan nota kecil dengan menulis soalan yang bakal diajukan kepada murid-murid agar ia bersesuaian dengan aras murid dan secara tidak langsung dapat menjimatkan masa pengajaran dengan tidak perlu mengulangi soalan yang sama untuk memahamkan murid akan kehendak soalan. Bagi mengelakkan sesetengah murid daripada berterusan bersikap pasif dan rasa takut dengan guru, maka tumpuan harus diberi kepada murid ini. Guru sukar untuk menjangka kefahaman murid yang pasif begini sama ada telah menguasai atau belum kemahiran yang diajar. Oleh itu, dengan tumpuan dan galakan yang diberi akan menjadikan murid lebih berani menjawab soalan dan yakin dengan jawapan yang diberikan serta mampu membantu guru membuat penilaian kefahaman semua murid terhadap kemahiran 3

yang diajar. Murid juga perlu digalakkan untuk bertanya kerana pembelajaran melalui penerokaan sendiri terhadap ilmu yang disampaikan akan menjadikan kelas lebih aktif dan guru dapat berperanan sebagai pembimbing kepada murid-murid.

Anda mungkin juga menyukai