Anda di halaman 1dari 4

Menilai rakaman video satu sesi pengajaran.

Pelajar perlu menilai dengan memilih salah satu aspek kemahiran mikropengajaran yang terdapat dalam rakaman video tersebut. 1.0 Pengenalan Mikropengajaran merupakan satu set kemahiran mengajar yang berkesan dan dapat membantu mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan. Terdapat sepuluh kemahiran mikropengajaran yang perlu dikuasai oleh seseorang guru iaitu kemahiran memulakan pengajaran, menyoal, menerang memperkukuh, mengilustrasi dengan contoh, membuat demonstrasi, mengendali perbincangan, mengendali kerja amali, menutup pengajaran dan membuat refleksi. Kemahiran-kemahiran ini diintergrasi dan dilaksanakan secara bersepadu dan harmoni bagi membantu pembelajaran mencapai hasil yang berkesan. Sebagai seorang guru, sepuluh kemahiran mikropengajaran ini perlulah dikenalpasti terlebih dahulu sebelum dapat menguasai setiap daripada kemahiran-kemahiran tersebut. Penguasaan yang baik setiap satu kemahiran mikropengajaran akan memberikan satu pengalaman pembelajaran yang berkesan kepada pelajar-pelajar. Penulisan ini akan membincangkan tentang satu daripada sepuluh aspek kemahiran mikropengajaran yang telah dijalankan oleh seorang guru melalui satu rakaman video yang telah dibuat. 2.0 Penilaian rakaman video pengajaran. Saya memilih aspek kemahiran menerang yang telah dilaksanakan oleh guru tersebut yang terdapat dalam rakaman video pengajarannya. Kemahiran menerang merupakan salah satu daripada sepuluh kemahiran mengajar yang patut ada pada seseorang guru. Jika satu-satu pengajaran dan pembelajaran dibahagikan kepada 4 fasa, kemahiran ini biasanya dilaksanakan pada fasa kedua pengajaran. Namun kemahiran ini juga boleh dilaksanakan pada fasa ketiga dan keempat sebagai langkah peneguhan kepada pelajar. Kemahiran menerang bertujuan untuk menyampaikan maklumat dengan cara berkesan, membina pengetahuan dan kefahaman pelajar dan membolehkan pelajar mengikut arahan dan langkah-langkah tertentu. Melalui rakaman video tersebut, kemahiran menerang telah dilaksanakan ketika guru tersebut menerangkan alat-alat bersuci dan alat-alat yang tidak boleh digunakan untuk bersuci. Guru tersebut menerang untuk menyampaikan maklumat dan membina pengetahuan serta kefahaman pelajar berkaitan isi pelajaran. Guru tersebut menerang 1

sambil menunjukkan objek yang boleh digunakan untuk bersuci dan tidak boleh digunakan dalam bersuci. 2.1 Kekuatan pengajaran dari aspek kemahiran menerang Kekuatan yang dapat saya lihat semasa aspek menerang dilaksanakan dalam pengajaran guru tersebut ialah : i- Penggunaan bahan maujud. Penggunaan bahan adalah amat penting bagi menunjukkan gambaran yang jelas tentang isi kandungan yang ingin diterangkan kepada pelajar. Dalam pengajaran guru tersebut telah menunjukkan alat-alat yang boleh digunakan untuk bersuci dan alat-alat yang tidak boleh digunakan untuk bersuci. Pelajar dapat melihat sendiri rupa bentuk alat tersebut dalam keadaan yang nyata bukan sekadar bayangan. ii- Bahasa yang mudah. Guru tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami dan sesuai dengan aras pelajarnya. Penerangannya dapat difahami dan maklumat yang sepatutnya sampai kepada pelajar berjaya disampaikan. Pengetahuan dan pemahaman pelajar dilihat dapat dibina dengan baik menerusi penerangannya. iii- Menumpukan aspek yang spesifik. Penerangan guru tersebut bertumpu kepada isi kandungan yang ditetapkan. Maklumat yang disampaikan terarah dan berfokus membuatkan pelajar mudah mengetahui dan memahami tentang pengajaran guru. iv- Melibatkan pelajar. Dalam peringkat penerangan juga murid dilibatkan dengan cara menulis jawapan di papan putih. Melibatkan murid akan memberikan peluang kepada pelajar untuk menunjukkan yang mereka telah dapat mengetahui maklumat yang diterang dan memahaminya. Selain itu, ia juga dapat menarik perhatian murid untuk memberikan tumpuan kepada pengajaran guru tersebut.

2.2 Kelemahan pengajaran dari aspek kemahiran menerang 2

Kelemahan yang dapat saya lihat semasa aspek menerang dilaksanakan dalam pengajaran guru tersebut ialah : i- Tiada bahan sebagai contoh dalam satu isi pengajaran Semasa guru menerangkan satu alat yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu batu, guru tidak menunjukkan sebarang bahan atau media bagi memberi gambaran yang lebih jelas kepada pelajar. Pelajar hanya dapat mengetahui bahawa batu adalah satu daripada alat bersuci tetapi tidak dapat memahami bentuk batu bagaimana yang sebenarnya dikehendaki dan boleh digunakan dalam bersuci. ii- Intonasi suara yang sama Intonasi suara guru sama sahaja ketika menerangkan alat yang boleh digunakan untuk bersuci dan alat yang tidak boleh digunakan semasa bersuci. Penegasan suara boleh dibuat bagi menunjukkan perbezaan antara alat yang boleh digunakan untuk bersuci dan alat yang tidak boleh digunakan untuk bersuci. Pelajar akan dapat membezakan keduanya dan ini akan memberi kesan ingatan yang lebih jika dapat dipraktikkan. iii- Urutan atau kesinambungan dalam menerang. Guru tersebut tidak menggunakan variasi dan kata penghubung mengaitkan antara objek atau alat dengan kenapa ia tidak boleh digunakan semasa bersuci. Penggunaan penanda wacana dalam penerangan tidak digunakan untuk menjadikan penerangan guru lebih berkesan. 2.3 Cadangan penambahbaikan Melalui pemerhatian terhadap rakaman pengajaran guru tersebut dan penilaian kepada kekuatan dan kelemahan dalam aspek kemahiran menerang yang dilaksanakan, beberapa cadangan penambahbaikan boleh dilakukan agar penerangan menjadi lebih berkesan. i- Penggunaan media dan bahan. Bahan maujud yang digunakan adalah baik tetapi jika guru tersebut dapat menyediakan bahan tersebut dan memberikan kepada setiap kumpulan, pelajar berpeluang menyentuh dan merasai sendiri alat tersebut dan ini akan dapat membantu memudahkan penerangan guru. Guru juga boleh menayangkan gambar alat-alat yang boleh dan tidak boleh digunakan untuk bersuci melalui tanyangan slide. Semua pelajar dapat melihat dengan lebih jelas rupa bentuk alat-alat yang diterang oleh guru. 3

ii- Menggunakan penanda wacana dalam penerangan Guru perlu menggunakan perkataan atau frasa yang dapat membantu penerangan yang lebih berkesan. Contohnya, Tulang mempunyai sisi atau sudut yang tajam. Sudut yang tajam boleh mencederakan kita jika digunakan untuk bersuci. Oleh sebab itu, tulang tidak boleh dijadikan alat untuk bersuci. Penerangan guru akan lebih tersusun dan ini akan memberikan kesan kepada kefahaman pelajar-pelajar. 3.0 Rumusan Penguasaan kemahiran mikropengajaran amat penting bagi guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penguasaan yang baik akan memberi kesan kepada hasil pengajaran yang dihasratkan. Guru tersebut telah berjaya menyampaikan isi pengajarannya dengan kemahiran menerang yang dilaksanakan dengan baik. Sungguhpun mempunyai sedikit kekurangan, namun kekurangan tersebut yang sedikit tidak menjejaskan penguasaan pelajar terhadap maklumat yang ingin disampaikan.

Anda mungkin juga menyukai