Anda di halaman 1dari 2

ARKIB : 18/10/2008 More Sharing Services0

Pelajar tendang guru digantung seminggu


Oleh Syed Ridzuwan Syed Ismail

KANGAR 17 Okt. - Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini yang memukul dan menendang seorang guru kelmarin, digantung sekolah selama seminggu berkuat kuasa semalam. Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati perbuatan pelajar terbabit melanggar batasan antara anak murid dan guru.
Keratan Utusan Malaysia muka 13 pada 17 Oktober 2008.

Beliau sedih dengan kejadian yang berlaku kerana ia tidak mencerminkan perlakuan sepatutnya antara pelajar dengan guru yang mendidik mereka. Tambah Mansor, pihaknya telah memanggil guru dan pelajar terbabit termasuk penjaganya bagi mendapatkan penjelasan. "Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin juga telah diadakan semalam dan memutuskan seorang pelajar yang memukul dan menendang guru berkenaan digantung sekolah selama seminggu berkuat kuasa serta merta. "Seorang lagi pelajar tidak dikenakan tindakan kerana dia hanya mahu meleraikan salah faham tersebut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini. Akhbar hari ini melaporkan seorang guru wanita ditendang oleh seorang pelajar ketika mahu mendapatkan penjelasan mengenai perkataan kesat yang ditulis dalam laporan kerja kursus yang diberikan. Guru itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kira-kira pukul 12 tengah hari semalam. Mansor berkata, dalam hal ini, guru tersebut berpendapat dia berada di pihak yang benar dan telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut. Menurutnya, pihak jabatan juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut perkara ini dan mengambil tindakan susulan. "Bagaimanapun kes ini tidak melibatkan gangsterisme kerana ketika saya berada di sana petang semalam, saya tidak melihat pelajar itu membawa rakannya untuk membuat sebarang perkara tidak sepatutnya.

"Sebaliknya pelajar itu menyatakan rasa kesal atas apa yang berlaku tetapi kita perlu mengambil tindakan atas perbuatannya," jelasnya. Tambahnya, masalah disiplin di sekolah itu juga terkawal walaupun berlaku beberapa insiden tidak diingini sebelum ini. "Memang ada rekod lama berkaitan disiplin di sekolah itu tetapi secara keseluruhan keadaan terkawal. "Kita juga mengambil langkah sewajarnya agar perkara sebegini tidak berulang pada masa depan," ujarnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Yusof Md. Diah ketika dihubungi berkata, pelajar, guru dan penjaga pelajar itu akan dipanggil memberi keterangan berkaitan insiden tersebut di IPD hari ini. "Kes ini tidak mendatangkan kecederaan parah tetapi disebabkan sikap pelajar itu yang tidak dapat menerima teguran yang dibuat oleh gurunya maka berlaku salah faham. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1018&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=d n_07.htm&arc=hive#ixzz2MBcet06C Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai