Anda di halaman 1dari 2

S : Anak lelaki saya berusia enam tahun.

Guru di tadika ada memberitahu bahawa anak saya tidak memberi tumpuan di dalam kelas. Dia suka bermain di dalam kelas dan juga suka mengganggu rakannya. Apa yang harus saya lakukan atau apa tindakan guru itu sendiri. Liza Ismail Pasir Mas, Kelantan J : Apabila kanak-kanak berusia enam tahun dihantar ke tadika pastinya transisi perubahan persekitaran berlaku untuk penyesuaian diri. Latar belakang keluarga dan persekitaran di rumah mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak di tadika. Kanak-kanak yang datangnya daripada keluarga besar lebih mudah menyesuaikan diri untuk bersama rakan di tadika. Bertolak ansur dengan rakan, bekerjasama untuk melakukan aktiviti dan boleh berkongsi peralatan. Kanak-kanak ini juga mudah berkomunikasi dengan rakan sebaya dan juga orang yang lebih dewasa. Kanak-kanak yang latar belakang keluarga kecil terutama yang tidak mempunyai adik beradik lain agak kekok pada permulaannya untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru di tadika. Kadangkala kanak-kanak ini suka menyendiri dan mengelakkan diri daripada bergaul dengan rakan sebaya. Ada juga yang berlaku di sebaliknya, kanak-kanak semasa di rumah diberi kebebasan penuh tanpa sebarang kawalan maka sikap tersebut terbawa-bawa ke tadika. Kanak-kanak ini sukar dikawal dan mengganggu rakan di tadika. Jika dibiarkan berlanjutan boleh memberi kesan negatif kepada kanak-kanak lain. Kanak-kanak yang tidak memberi tumpuan di kelas tadika kemungkinan terlalu aktif kerana mempunyai tenaga yang berlebihan. Tidak semua kanak-kanak begitu aktif dan pihak guru hendaklah bersedia dengan mempelbagaikan aktiviti supaya kanak-kanak ini tidak merasa cepat bosan. Tumpuan kanak-kanak yang aktif tidak lama dan mereka melakukan sesuatu aktiviti begitu cepat sekiranya terlalu mudah. Oleh itu guru hendaklah memberi aktiviti yang mencabar supaya mereka lebih menumpukan sesuatu aktiviti lebih lama. Punca Kurang Tumpuan Sekiranya aktiviti yang diberikan bukan sesuatu yang diminati oleh kanak-kanak, mereka tidak akan memberi penumpuan. Guru hendaklah peka dengan tingkah laku kanak-kanak sewaktu kanak-kanak menjalankan aktiviti. Perancangan hendaklah dibuat supaya dapat menyesuaikan keperluan kanak-kanak. Sekiranya terdapat di kalangan kanak-kanak yang tidak mahu melakukan sesuatu aktiviti yang disediakan, guru memberi pilihan alternatif supaya kanakkanak dapat menjalankan aktiviti dengan lebih berkesan. Orang dewasa sama ada ibu bapa dan guru mungkin keliru atau kurang jelas peranan main kepada kanak-kanak berusia di bawah enam tahun. Main merupakan pusat pembelajaran kepada kanak-kanak. Pada orang dewasa main adalah riadah dan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan. Malahan main boleh dijadikan sebagai profesion kerjaya pada masa ini. Sebaliknya main pada kanak-kanak adalah proses pembelajaran. Kanak-kanak tidak boleh menumpukan perhatian tanpa diselangi aktiviti yang berunsur mainan. Aktiviti seperti menyelesaikan masalah menggunakan bongkah dan puzzle mempunyai unsur main dan perkembangan kognitif. Membaca dan menulis hendaklah diselang-selikan dengan aktiviti main seperti main teka huruf dan menulis perkataan yang digemari berdasarkan keupayaan sendiri. Kanak-kanak yang suka mengganggu hendaklah dilihat menerusi dalam diri kanak-kanak. Pada pandangan orang dewasa mengganggu kanak-kanak lain secara lisan atau fizikal merupakan tingkah laku negatif dan kanak-kanak ini biasanya dilabelkan nakal. Biasanya kanak-kanak ini terus mendapat hukuman dengan tujuan untuk membetulkan kesalahannya. Pernahkah kita melihat secara mendalam tentang kehendak kanak-kanak itu sendiri. Apakah yang tersirat di sebalik kelakuan kanak-kanak yang suka mengganggu, tidak memberi tumpuan dan bersikap agresif di dalam kelas?

Orang dewasa khususnya guru hendaklah membuat pemerhatian dan memahami akan matlamat merangsang kanak-kanak melakukan tingkah laku negatif. Setiap tindakan yang akan diambil hendaklah bersesuaian mengikut kesalahan tingkah laku atau tingkah laku negatif kanak-kanak. Masalah tingkah laku kanak-kanak hendaklah dilihat punca berlaku masalah. Adalah sukar dan tidak boleh menukar masalah tingkah laku kanak-kanak secara berkesan tanpa menganalisis dan memahami matlamat dan mengenal pasti matlamat yang boleh merangsang kanak-kanak melakukan tingkah laku negatif. Tindak balas yang sesuai terhadap tingkah laku kanak-kanak bergantung pada matlamat kanak-kanak itu sendiri. Contohnya, terdapat kanak-kanak yang cuba mendapat perhatian. Ini merupakan langkah pertama masalah tingkah laku kanak-kanak. Cara Membantu Kanak-kanak ini akan menunjukkan kebolehannya dengan melakukan aksi yang tidak bersesuaian. Cara mengatasinya dengan tidak menghiraukan atau tidak mempedulikannya. Ini bukan bermakna kita tidak langsung memberi perhatian kepada kanak-kanak. Dalam masa yang sama memberi perhatian kepada tingkah laku yang positif setiap masa dan seberapa kerap. Misalnya apabila kanak-kanak menunjukkan sikap positif seperti membantu rakannya hendaklah diberi perhatian. Sebaliknya tingkah laku yang tidak bersesuaian untuk mendapat perhatian perlu diabaikan. Masalah tingkah laku kanak-kanak yang seterusnya adalah cuba menunjukkan kuasa, pengaruh atau kekuatan. Kesemuanya dilakukan kerana kanak-kanak ini ingin mendapat perhatian. Tindak balas terhadap kanak-kanak yang mempunyai matlamat cuba menunjukkan kuasa atau pengaruh adalah dengan tidak terikut-ikut dengan matlamat perebutan kuasa. Pertandingan kekuatan tidak menjadi pertandingan jika anda sebagai lawan menolak atau menarik diri daripada pertandingan. Kanak-kanak perlu merasakan dirinya penting tetapi cara untuk membina rasa penting bukanlah menerusi tidak mematuhi arahan atau peraturan, kemarahan dan perbalahan. Anda boleh membantu kanak-kanak mencari cara lain untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap kekuasaan tetapi bukan dengan cara permainan berbentuk pertandingan. Apabila kanak-kanak gagal mendapatkan perhatian orang dewasa, mereka akan terus merasa tidak dihargai dan cara untuk memenuhi kehendaknya adalah dengan membalas dendam. Tujuannya untuk mendapatkan lebih perasaan kecewa dan dipinggirkan dengan mencederakan orang lain. Ini penting untuk mengenal pasti kanak-kanak yang membuat percubaan mencederakan orang lain tetapi sebenarnya adalah refleksi kecederaannya. Cara mengatasi jangan sesekali menunjukkan perasaan kesakitan kepada kanak-kanak tersebut kerana akan menggalakkan kanak-kanak akan bertindak melakukannya berterusan. Orang dewasa jangan membalas dendam sebaliknya lakukan sesuatu yang boleh membuatkan kanak-kanak merasa diterima oleh rakan-rakannya dan sentiasa memberi galakkan bekerjasama dengan rakanrakannya.

Anda mungkin juga menyukai