Anda di halaman 1dari 1

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Zambri Bin Abdul Rahim,Guru Besar Sekolah

Kebangsaan Besout 3, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kerana memberi ruang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini. Hadirin sekalian, Cepatnya waktu berlalu.Sedar tidak sedar, usia kami sudah menjangkau enam tahun berada di bawah bimbingan guru-guru sekolah ini. Kini, tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum kami melangkahkan kaki ke alam sekolah menengah. Walaupun terasa berat di hati namun kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi.Hakikat yang terpaksa dilalui meskipun kami amat menyayangi sekolah ini. Sebagai ketua pelajar, saya mewakili murid-murid Tahun 6 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di sekolah ini. Kami amat menghargai akan jasa kalian yang telah mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan mengira. Pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara akan sentiasa kami ingati. Hadirin sekalian . Seperti yang kita ketahui setelah bertungkus lumus sejak sekian lama, pada tahun ini Sekolah Kebangsaan Besout 3 telah berada di persada kegemilangan. Sekolah kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Seramai 25 orang murid telah mendapat keputusan 5A dan tiada seorangpun murid yang kandas walaupun dalam satu mata pelajaran. Pencapaian ini amat membanggakan. Kejayaan yang cemerlang ini sudah pastinya hasil titik peluh semua pihak terutama guru-guru yang tidak jemu mendidik kami.Sebagai murid Tahun 6 kami berasa amat bertuah kerana warga pendidik di sekolah ini begitu perihatin dan berdedikasi. Pada majlis yang terakhir ini kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Jasa dan pengorbanan guru-guru tidak mampu kami balas. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru. Kami berharap agar guru-guru juga dapat mendoakan kami supaya terus memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran pada masa-masa akan datang. Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun,


Tuai padi antara masak, Esok jangan layu-layuan, Intai kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai