Anda di halaman 1dari 9

Sabtu Februari 27, 2010

Vandalisme Lif Semakin Berleluasa - JKKM

Motosikal dibakar di dalam lif yang telah dirakamkan oleh pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - Foto Ihsan UTUSAN KUALA LUMPUR: Vandalisme lif di rumah pangsa kos rendah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semakin berleluasa dan membimbangkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Malaysia (JKKM) kerana pelakunya sanggup melakukan perkara kejam termasuk membakar bayi di dalamnya. Ketua Pengarah JKKM Datuk Johari Basri berkata selain sikap tidak berperikemanusiaan itu, ada juga pengguna lif yang membakar motosikal di dalamnya sehingga menyebabkan kerosakan pada jentera pengangkut itu. Selain itu, pelaku vandalisme turut merosakkan pintu dan punat lif yang menjejaskan urusan seharian penghuni rumah pangsa berkenaan, katanya kepada pemberita pada Majlis Dialog Keselamatan Lif Rumah Pangsa dengan para penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di sini, hari ini. Johari berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya menerima 100 aduan tentang kerosakan lif yang menurutnya ada kaitan dengan sikap penghuni yang tidak mematuhi peraturan menggunakan lif di mana ada di antara mereka turut membawa lembu dan motosikal menggunakan jentera itu.

"Kita menyeru semua pihak supaya mempunyai kesedaran mengenai kepentingan lif kerana jika berlakunya lif rosak, ia boleh menyusahkan banyak pihak terutama apabila berlaku kecemasan di tingkat tinggi," katanya. Johari berkata pada masa ini, terdapat 1,630 unit lif yang berdaftar di rumah pangsa kos rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. JKKM juga sentiasa memantau operasi lif dengan melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan lif di rumah pangsa kos rendah sentiasa berada dalam keadaan baik, katanya. Beliau berkata jabatan itu menjalankan operasi lif pada Isnin hingga Rabu lepas di 50 buah rumah pangsa kos rendah dan sederhana yang melibatkan 420 unit lif. Hasil daripada operasi itu, JKKM mendapati 13 unit rosak dan masih belum dibaiki syarikat penyelenggara lif. - BERNAMA

Kes buli: MTD singkir pelajar tingkatan lima


June 28, 2010 KUALA LUMPUR, 28 Jun Seorang pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (MTD) yang disyaki terlibat mengakibatkan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, dipercayai dibuli dan didera di maktab itu Rabu lepas, disingkir serta-merta daripada pengajiannya. Empat lagi rakannya digantung pengajian sehingga siasatan kes selesai. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan dibuat untuk menyingkirkan pelajar itu serta-merta selepas siasatan mendapati pelajar tersebut membuli dengan niat sejak awal tahun ini. Pihak maktab membuat keputusan untuk menyingkir pelajar tersebut sertamerta. Kes saman sivil juga akan dikenakan. Dia akan berdepan tindakan daripada tentera, kami (kementerian) dan polis, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada petugas Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2010) di sini hari ini. Beliau berkata kementerian memandang serius kes buli di sekolah dan tindakan perlu diambil bagi membendung gejala itu serta mengelak perkara sama daripada berulang. Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah yang juga Pengerusi MTD, berkata kementerian menyerahkan siasatan hal berkenaan kepada polis. Katanya sebelum ini maktab itu pernah mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan MTD seperti terlibat dalam kes buli, dengan mengasingkan pelajar itu atau terus menyingkirkannya dari maktab. Beliau berkata kawalan ketat akan dilakukan termasuk warden dikerah bertugas pada waktu malam bagi mengelak insiden sama berlaku. Kejadian ini membuatkan kita berhati-hati dan memandang serius dengan gejala buli di sekolah, katanya. Mohammad Naim meninggal dunia Rabu lepas di Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi selepas tidak sedarkan diri dipercayai dibuli. Pada 25 Jun lalu, polis menahan kelima-lima pelajar tingkatan lima kolej itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori. Bernama

ARKIB : 23/11/2009

100 pelajar sekolah ponteng setiap hari


JOHOR BAHRU 22 Nov. - Kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail di Kampung Datuk Sulaiman Menteri di sini dikesan ponteng sekolah setiap hari. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Abdullah Abdul Rahim yang bimbang dengan gejala itu menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat setempat dan pihak berkuasa untuk bekerjasama menangani masalah itu. "Secara purata hampir 100 pelajar di sini ponteng sekolah setiap hari. Sekolah ini mempunyai seramai 2,400 pelajar. "Masalah ini perlu ditangani bersama, kalau boleh jika ternampak pelajar ponteng, segera kita laporkan sama ada kepada keluarga, sekolah atau pihak berkuasa," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutup Seminar Budaya Lepak, Maksiat dan Jenayah di sekolah itu di sini semalam. Seminar itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kawasan sekitar kampung itu dikenal pasti sebagai antara kawasan berisiko tinggi jenayah di negeri ini. Abdullah berkata, kebanyakan ibu bapa yang ditemui menyatakan tidak mengetahui anak mereka ponteng sekolah. Menurutnya, ibu bapa sepatutnya memberi lebih perhatian kepada anak-anak terutama golongan remaja kerana dibimbangi mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Jelasnya, terdapat juga kes pelajar ponteng sekolah dengan memberi alasan kepenatan akibat bekerja secara separuh masa di pusat membeli-belah. Abdullah memberitahu, walaupun pihak sekolah mengeluarkan surat amaran kepada pelajar yang dikesan ponteng, namun dalam beberapa kes, ia dibimbangi tidak sampai kepada keluarga pelajar itu. "Ada kes yang menunjukkan alamat diberikan tidak betul," katanya. Dalam pada itu, pengurusan pihak sekolah ketika ditemui enggan memberikan ulasan berhubung perkara itu.

Bilangan penagih dadah remaja meningkat secara mendadak


July 18, 2010, Sunday KOTA SAMARAHAN: Bilangan penagih dadah di kalangan remaja di negara ini meningkat sebanyak 128.8 peratus dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

MAKLUMAT TERKINI: Larry (kanan) ditemani oleh Hamdan Sharbini (kiri) dan Khairuddin melawat tapak pameran Program Gerak Sedar Siswa Perangi Dadah 2010, semalam. Menteri Muda Hal Ehwal dan Latihan Belia Larry Sng ber-kata peningkatan bilangan pe-nagih dadah paling ramai adalah di kalangan remaja berumur 19 hingga 24 tahun iaitu seramai 425 orang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Peningkatan penagih remaja ini adalah daripada 330 orang tahun lepas kepada 755 orang tahun ini untuk tempoh tiga bulan pertama dan senario ini amat membimbangkan serta boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara. Menurut beliau statistik penagihan dadah tersebut adalah berdasarkan yang dikumpul dan dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (BIONADI)) di seluruh Malaysia. Beliau yang merasmikan penutupan program Gerak Sedar Siswa Perangi Dadah 2010, semalam juga mengingatkan golongan remaja bahawa mereka merupakan aset paling bernilai bagi negara.

Belia merupakan aset bernilai kerajaan yang akan menyambung perjuangan bangsa dan negara serta merupakan penerus pejuang kemajuan dan kemakmuran negara. Justeru mereka harus menjalankan aktiviti berfaedah serta tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai pemuda dan pemudi harapan bangsa dan tiang negara, katanya. Beliau dalam ucapan perasmiannya juga mengingatkan masyarakat agar terus mengambil langkah tegas dan pragmatik bagi menangani masalah penagihan dadah. Ini kerana menurut beliau, masalah penagihan dadah di kalangan masyarakat dapat membantutkan pembangunan modal insan, perkembangan ekonomi, keselamatan dan kestabilan negara. Sementara itu, menurut Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Belia dan Sukan KPSU Hamdan Sharbini, golongan belia yang terdiri daripada siswa dan siswi harus dibekalkan dengan pengetahuan dan kesedaran mengenai masalah dadah. Pengetahuan dan kesedaran ini termasuklah dari segi pendidikan pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguat-kuasaan supaya timbul kesedaran untuk menjauhi najis dadah, katanya. Program Gerak Sedar Siswa Perangi Dadah 2010 yang di-adakan selama sehari di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu disertai oleh kira-kira 143 peserta. Peserta program tersebut terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi iaitu Kolej Komuniti dan Politeknik. Program tersebut merupakan anjuran UNIMAS dengan kerjasama KPSU dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak. Hadir sama pada majlis ter-sebut Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Khairuddin Abdul Hamid.

ARKIB : 14/09/2010

Tiga pelajar perempuan hilang


Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI utusanperak@utusan.com.my

KAMPAR 13 Sept. - Tiga pelajar perempuan tingkatan dua termasuk dua beradik kembar kini dilaporkan hilang selepas keluar ke pekan ini untuk membeli pakaian pada hari raya kedua, kelmarin. Nurulain Kamarazmi dan kembarnya, HARLIZAH Samah (kanan) bersama Che Norliah Che Mat Nurulashiqin dari Taman Sentosa, menunjukkan laporan polis dan gambar anak mereka yang Taman Bandar Baru di sini serta hilang di Kampar, semalam.SUHAILI ABD. RAZAK sahabat mereka, Suhaili Abd. Razak dari kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini tidak pulang ke rumah masing-masing sejak Sabtu lalu. Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Taman Bandar Baru. Kehilangan pelajar-pelajar perempuan terbabit telah dilaporkan oleh keluarga masing-masing di Balai Polis Kampar pada malam mereka tidak pulang ke rumah. Ibu kepada dua pelajar kembar itu, Harlizah Samah, 44, berkata, Nurulain dan Nurulashiqin bersama Suhaili keluar berjalan kaki ke pekan Kampar yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumahnya di Taman Sentosa pada pukul 11 pagi kelmarin. Katanya, mereka masing-masing keluar dengan memakai seluar jeans dan baju T berwarna hitam kecuali Nurulashiqin yang memakai baju T warna ungu serta tidak bertudung dan membawa duit raya sebanyak RM20. "Pada pukul 5 petang, saya ada hubungi telefon bimbit Nurulain bertanyakan mereka berada di mana dan dia beritahu masih berada di pekan Kampar dan

sedang dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi tidak sampai-sampai di rumah selepas beberapa jam. "Kira-kira pukul 9 malam, saya ada hubungi dia sekali lagi tetapi seorang lelaki menjawab panggilan dan terus mematikan talian selepas saya bertanyakan dia siapa dan sejak itu telefon bimbit mereka bertiga gagal dihubungi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini. Menurut Harlizah, bimbang dengan keselamatan kedua-dua anaknya dan Suhaili, dia meminta anak lelakinya, Mohd. Akmal Shafiq keluar mencari mereka di pekan itu pada malam tersebut tetapi gagal menemui mereka. "Kepada sesiapa yang tahu di mana mereka berada sekarang, saya minta tolonglah hubungi kami. Kami hanya mahu mereka balik ke rumah sahaja sekarang ini. Baliklah, kami tidak akan marah," katanya sambil air mata bergelinangan. Ibu kepada empat orang anak itu juga menafikan kedua-dua anaknya itu lari dari rumah kerana berlaku perselisihan faham dengan keluarga. "Kami tidak bergaduh. Semasa hendak keluar pun, Nurulain dan Nurulashiqin meminta izin dan mencium tangan saya seperti biasa," jelasnya. Nurulain dan Nurulashiqin merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik manakala Suhaili adalah anak keenam daripada tujuh beradik. Sementara itu, ibu kepada Suhaili, Che Norliah Che Mat, 47, memberitahu, anaknya berkawan rapat dengan Nurulain dan Nurulashiqin sejak di sekolah rendah. Katanya, anaknya itu juga sering berkunjung ke rumah pasangan kembar itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya. "Sabtu lalu, anak saya beritahu saya dia hendak pergi ke rumah Nurulain dan Nurulashiqin kerana ingin membeli pakaian bersama di pekan Kampar. "Namun, sehingga kini, saya tidak mendengar sebarang khabar berita daripadanya kerana telefon bimbitnya ditutup mungkin kerana kehabisan bateri," katanya dengan nada sedih.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga pelajar perempuan berkenaan diminta menghubungi Harlizah di talian 0175390689 atau 05-4653252. Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan ketiga-tiga pelajar berkenaan daripada keluarga mereka malam kelmarin. "Kita sedang menyiasat kes ini dan meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di talian 05-4652222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujar beliau.

Anda mungkin juga menyukai