Anda di halaman 1dari 20

1

PENYEPADUAN ELEMEN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DALAM MATA


PELAJARANPENDIDIKAN ISLAM KBSM

Fatimahbt Mohd Dahalan ( Ph.D)
Siti Halimah bt Md Yassin
Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan
IPG Kampus Bahasa Melayu
tim7508@gmail.com dan fatin995@yahoo.com
Abstrak
Pendidikan Alam Sekitarmerupakan satu cara yang baik untuk menyalurkan tingkah laku
manusia di peringkat persekolahan menuju ke arah kesedaran alam sekitar supaya generasi
akan datang lebih menghargai dan menghayati khazanah alam sekitar yang dipelihara.
Pendidikan Alam Sekitar juga penting untuk memberi kesedaran yang lebih mendalam tentang
konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari yang dapat membentuk sikap
keprihatinan manusia terhadap alam sekitar. Oleh itu kesepaduan elemen Pendidikan Alam
Sekitar dalam mata pelajaran khususnya mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja dapat
meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kesedaran, sikap dan nilai malah dapat menghasilkan
alam sekitar yang mapan dan lestari. Ini adalah kerana Pendidikan Alam Sekitar adalah proses
pembelajaran sepanjang hayat bagi pembentukan masyarakat yang celik alam sekitar,
berpengetahuan serta komited terhadap alam sekitar.

Penyepaduan Pendidikan Alam Sekitar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam diyakini
dapat membangunkan insan yang berakhlak positif, berjiwa sensitif yang berteraskan kepada
nilai-nilai murni agama, yakni melahirkan sifat bertanggugjawab terhadap alam. Malahan
aspek Pendidikan Alam Sekitar sewajarnya disepadukan dalam pendidikan Islam dan perlu
diberi penekanan yang serius kerana insanlah sebagai pentadbir dan pengurus serta
bertanggungjawab memakmurkan alam ini.Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) Pendidikan Islam
KBSM yang sangat cantik kandungannya telah menggabungkan tiga aspek utama di dalam kurikulumnya
iaitu Tilawah Al-Quran dan Hadith, Ulum Syariah yang merangkumi Akidah, Ibadah,Sirah dan Tamadun
Islam,Adab dan Akhlak Islamiah. Melalui kesemua aspek dalam mata pelajaran Pendidikan Islam
berdasarkan beberapa tajuk yang terkandung, penyepaduan elemenPendidikan Alam Sekitar boleh
disepadukan.
2

Kata Kunci : Penyepaduan , Elemen Pendidikan Alam Sekitar, Mata pelajaran,
Pendidikan Islam, KBSM (Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah)

PENGENALAN
Alam sekitar ditakrifkan sebagai alam ciptaan Tuhan yang meliputi segala aspek yang terdapat
di sekeliling manusia.Oleh kerana manusia yang ada di muka bumi adalah khalifah maka
manusia bertanggungjawab menjaga, memelihara dan memulihara alam sekitar bagi
mengekalkan keseimbanganalam sekitar (Abu Bakar 1998). Setiap spesies manusia, tumbuhan
dan haiwan adalah saling berinteraksi bagi mewujudkan keseimbangan alam. Masalah timbul
apabila keseimbangan alam terjejas,(Robin Kerrod (1998); dan Nor Akhmal (2004)). Ini kerana
manusia telah semakin alpa dan jahil dan tidak lagi menjaga, memelihara, memulihara dan
mengekalkan keseimbangan alam sekitar (Abdullah 1987), akibat mahu hidup selesa. Kejahilan
manusia inilah sebagai masalah utama dalam isu alam sekitarBosak (1991); Abu Bakar (1998);
dan Sham Sani (1990). Kesannya,alam sekitar kini semakin rapuh dan tahap kerapuhannya
semakin teruk (Berita Harian. 2006. 9 Mei).

Bagi menunjukkan komitmen antarabangsa untuk bersama-sama menangani masalah
yang berkaitan dengan isu-isu alam sekitar yang bersifat global, Pengisytiharan Langkawi
(dikeluarkan oleh Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Langkawi pada 21 Oktober, 1989),
dengan sebulat suara telah memutuskan untuk merancang dan melaksanakan satu program
pendidikan yang berkesan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan
pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menyedari akan hakikat untuk memelihara dan memulihara alam sekitar, Kementerian
PelajaranMalaysia di bawah Pusat Perkembangan Kurikulumdalam merangka Kurikulum
3

Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1998, telah menerapkan program Pendidikan
Alam Sekitar Merentas Kurikulum melalui semua mata pelajaran termasuklahmata pelajaran
Pendidikan Islam. Proses ini melibatkan pendidikan tentang alam sekitar, untuk alam sekitar dan
melalui alam sekitar, yang bertujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran
tentang pengurusan alam semesta secara bijaksana (PPK 1998).

Penyepaduan elemen Pendidikan Alam Sekitardikenalpasti dapat membantu,dalam
membentuk kesedaran, keprihatinan dan penghargaan akibat tindakan manusia dalam amalan
tingkah laku dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar (Salequzzman & Stocker 2001;
Bradley et al. 1999; Fien 1997). Sementelah itu, guru khususnya guru mata pelajaran Pendidikan
Islam boleh memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan pelaksanaan
Pendidikan Alam Sekitardalam kalangan pelajar. Telah terbukti bahawa sikap , pengetahuan dan
tingkah laku guru terutamanya guru mata pelajaran Pendidikan Islam terhadap alam sekitar boleh
memberi kesan dalam mempengaruhi sikap, pengetahuan dan tingkah laku pelajar (Summers
2000; Bradley et al. 1999; Tartar 1998).

ISU-ISU BERKAITAN PENDIDIKAN ALAM SEKITARYANG MEMERLUKAN
KEPADA PENYEPADUAN ELEMEN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DALAM MATA
PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM.

1. Untuk membentuk masyarakat yang lebih peka dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar
serta memperoleh pengetahuan, kemahiran, kesedaran, nilai, sikap dan komitmen dalam
menyelesaikan isu-isu alam sekitar.
2. Program Pendidikan Alam SekitarMerentas KurikulumBersepadu Sekolah Rendah
(KBSR) danKurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dalam semua mata
4

pelajaran dengan memberi penekanan kepada konsep alam sekitar dan interaksi manusia
dengan alam sekitar serta pengurusan alam sekitar secara bijak ke arah meningkatkan
kualiti alam sekitar (PPK 1998).
3. Didapati Guru-guru baharu dan guru-guru lama yang melaksanakan penyepaduan elemen
Pendidikan Alam Sekitar, kurang menghayati strategi pengajaran dan pembelajaran
bersepadu serta mempunyai kefahaman yang tidak mendalam terutama tentang aspek
penerapan nilai-nilai murni dan proses pengajaran dan pembelajaran bersepadu (PPK
1992; EPRD 1995; Faridah 1996; Nik Faizah 1996; Sharifah 1996). Antaranya:
i. kesepaduan ilmu pengetahuan, kemahiran nilai dan bahasa dalam pelajaran;
ii. kesepaduan pengalaman pembelajaran antara mata pelajaran;
iii. kesepaduan antara teori dengan amali dalam mata pelajaran;
iv. kesepaduan antara pengalaman dan kesan pembelajaran dalam bilik darjah dengan
aktiviti di luar bilik darjah, persekitaran dan pengalaman hidup seharian pelajar; dan
v. Kesepaduan dalam strategi pengajaran dan pembelajaran.
(Pukal Latihan KBSM PPK 1990)
4. Kajian oleh Tamby Subahan dan Abd. Raof (1989) mengenai strategi pengajaran dan
pembelajaran KBSM yang digunakan oleh guru-guru di enam buah sekolah menengah di
Hulu Langat mendapati bahawa kebanyakan guru, kurang menghayati strategi pengajaran
dan pembelajaran bersepadu.
5. Terdapat juga guru-guru yang tidak memahami keseluruhan konsep kesepaduan
terutamaperkaitannya dengan kehidupan seharian serta nilai-nilai murni yang perlu
diamalkan.
5

6. Guru juga kurang memahami Pendidikan Alam Sekitar dan kurang memahami konsep
bersepadu dalam KBSM terutamanya yang berkaitan dengan falsafah. Sebaliknya guru
hanya boleh menghurai dan membina aspek kesepaduan seperti yang tercatat dalam
dokumen tanpa menghuraikan secara eksplisit dan mendalam. Sepatutnya hakikat
kesepaduan menekankan aspek pembangunan manusia dan nilai dalam pendidikan
namun ini kurang dicapai sehingga masalah alam sekitar semakinserius (Habsah 2000).
7. Tumpuan guru yang lebih kepada mengajar fakta dan berorientasikan peperiksaan.
menyebabkan komponen Pendidikan Alam Sekitartidak dititik beratkan dalam pengajaran
dan pembelajaran (Ambikavathi 1995).
8. Menurut Brody (1994), penyepaduan sewajarnya dapat meningkatkan pengetahuan,
kesedaran, kemahiran, nilai dan sikap terhadap alam sekitar. Manakala penyepaduan,
menurut New Straits Time(1992, 10 April), perlu dimulakan dengan melatih guru-guru
(multiplying factor) kerana mereka adalah gedung ilmu bagi pemimpin pada masa
hadapan (Rohiza 2004) supaya dengan ini dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran,
nilai dan sikap mengikut kehendak dan aspirasi program Pendidikan Alam Sekitar(Abu
Bakar 1991).
9. Guru-guru perlu diingatkan bahawa kandungan program Pendidikan Alam Sekitar tidak
hanya melibatkan ilmu, tetapi juga kemahiran, nilai dan sikap (Hassan Langgulung
1986). Oleh itu peningkatan tahap kesedaran golongan pendidik adalah penting bagi
menyedarkan para pelajar tentang perlunya memulihara dan memelihara alam sekitar
melalui penyepaduan elemen Pendidikan Alam Sekitar
10. Kajian oleh Rohiza (2004), tentang pencapaian guru sekolah menengah dalam penyataan
isu alam sekitar juga mendapati guru-gurusekolah menengah mempunyai tahap
6

penguasaan yang kurang baik mengenai isu alam sekitar. Walaupun guru-guru telah
didedahkan dengan isu alam sekitar semasa di universiti dan di maktab perguruan, tetapi
guru-guru masih mempunyai konsepsi yang salah dalam pengetahuan asas tentang isu-isu
alam sekitar yang dikaji.

Justeru itu,sesuai dengan saranan Kementerian Pelajaran adalah menjadi tanggungjawab
guru-guru di sekolah terutamanya guru mata pelajaran Pendidikan Islam KBSM memainkan
perananmenyepadukan Pendidikan Alam Sekitardalam pengajaran Pendidikan Islam kerana
mata pelajaran ini amat hampir kepada konsep tauhid dan tanggungjawab manusia sebagai
hamba dan khalifah memakmurkan bumi ini.

Sementelah Adab Menjaga Alam menjadi salah satu tajuk yang perlu diajar dalam
bahagian Adab dan Akhlak Islamiyah Pendidikan Islam Tingkatan lima (Buku Teks Pendidikan
Islam, 2009) dan Adab di Tempat Rekreasi serta Adab Menjaga Kemudahan Awam ( Buku
Teks Pelajaran, 2008) merupakan intisari sukatan yang diberi penekanan dalam bab Adab dan
Akhlak Islamiyah Pendidikan Islam Tingkatan empat.

Penyepaduan
Penyepaduan memberi tumpuan kepada unsur kerohanian dengan memberi tempat yang khusus
kepada peranan Pencipta dalam menganalisis unsur kognitif, kemahiran, sikap dan nilai yang
menjadi realiti dalam keperluan asas dan tujuan hidup (Nik Aziz 1994).Penyepaduan juga
menegaskan bahawa alam semesta dijadikan oleh Allah dan bukan terjadi dengan sendiri untuk
kegunaan manusia. Ia wujud dengan teratur mengikut ketetapan Allah dan mengandungi tanda-
7

tanda kewujudan, kekuasaan dan kebijaksanaan Allah yang harus dijadikan bahan renungan,
pemikiran, dan pengajaran oleh manusia (Osman 1992; Nik Azis 1990).
Penyepaduan menjelaskan bahawa pengetahuan mengenai elemen Pendidikan Alam
Sekitar perlu dibina sendiri oleh setiap individu melalui tiga aktiviti iaitu aktiviti penyertaan
aktif, refleksi dan abstraksi. Pengetahuan yang dibina itu bersifat relatif kerana ia tidak
mewakilkan realiti yang sebenar tentang persekitaran. Hanya Pencipta yang mempunyai
pengetahuan mutlak tentang alam sekitar (Al-Ghazali 1982). Oleh itu ilmu wahyu yang
bersumberkan Al-Quran dan As-Sunah serta ilham dari Pencipta adalah sumber rujukan mutlak
bagi memahami realiti yang sebenar.

Rumusannya, penyepaduan elemen Pendidikan Alam Sekitar akan dilihat berdasarkan
penyepaduan ilmu wahyu dari Al-Quran dan As-Sunah ke dalam mata pelajaran Pendidikan
Islam KBSM. Manusia dianggap dapat menghayati nilai murni dan sikap yang positif apabila
mereka hidup dengan berpegang kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Bagi mereka yang
nilai murni dan sikapnya terpisah daripada kehidupan rohani akan memiliki moraliti yang tidak
murni atau rapuh dalam mengharungi masalah alam sekitar yang semakin serius (Zarin 1999).

Elemen Pendidikan Alam Sekitar
Elemen PAS merupakan kesepaduan daripada pendidikan tentang alam sekitar, melalui
alam sekitar dan untuk alam sekitar. Elemen tersebut merupakan elemen yang terdapat dalam
kandungan Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum yang sepatutnya disepadukan ke
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam, KBSM dan ia tidak
dapat dipisahkan (Ahmad 2003).
8

Pendidikan tentang alam sekitar, berperanan untuk mempertingkatkan pengetahuan dan
kefahaman tentang nilaidan sikap terhadap alam sekitar. Pendidikan melalui alam sekitarpula
menggalakkan para pelajar menggunakan alam sekitar berdasarkan pengetahuan yang diperolehi
melalui proses kepelbagaian strategi, kaedah dan pendekatan dalam pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam. Manakala pendidikan untuk alam sekitar pula
menggalakkan para pelajaruntuk melihat serta memerhati masalah atau isu alam sekitar secara
bersepadu dengan lebih jelasbagi memperolehi kesedaran dalam melahirkan sikap
bertanggungjawab, simpati serta prihatin terhadap alam sekitar. Ini boleh dialami berdasarkan
pengetahuan dan kajian yang dilakukan sendiri oleh para pelajar melalui proses penyepaduan
elemen PAS dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam KBSM.

Rumusannya, penyepaduan elemen PAS bukan sahaja mendidikpara pelajar tentang alam
sekitar, melalui alam sekitar malah supaya para pelajar boleh bertindak untuk alam sekitarnya.
Proses penyepaduan ini adalah untuk memahami interaksi manusia dengan Tuhan dan dengan
alam sekitar serta bagaimana manusia mengurus alam sekitar dengan penuh bertanggungjawab
demi kesejahteraan manusia sendiri.
MatapelajaranPendidikan IslamKBSM
Mata pelajaran Pendidikan Islam KBSM yang digubal merangkumi tiga aspek utama kurikulum
iaitu Tilawah AlQuran dan Hadith, Ulum Syariah yang merangkumi Akidah, Ibadah, Sirah
Nabawiyah dan Tamadun Islam,sertaAdab dan Akhlak Islamiah.Kurikulumnya digubal sebegitu
rupa bertujuan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan
bersepadu meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi bagi melahirkan insan yang
seimbang, harmonis dan berakhlak muliadi samping untuk memperbaiki dan memperkukuhkan
9

kurikulum sekolah menengah selaras dengan perakuan-perakuan dalam Laporan Jawatankuasa
Kabinet mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979.( Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan
Islam Menengah Atas)

PENYEPADUAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DALAM MATAPELAJARAN
PENDIDIKAN ISLAM KBSM.

Seperti yang dimaklumi alam sekitar perlu ditadbir dan diurus melalui kaedah dan pendekatan
yang lebih seimbang dan menyeluruh agar dapat menjamin kehidupan insan yang lebih harmoni
di dunia ini. Justeru, melalui pendidikan bersepadu, penyepaduan Pendidikan Alam Sekitar
dengan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah menengah khasnya diyakini dapat
membangunkan insan yang berakhlak positif, berjiwa sensitif yang berteraskan kepada nilai-
nilai murni agama, yakni melahirkan sifat bertanggungjawab terhadap alam. Malahan aspek
Pendidikan Alam Sekitar yang disepadukan dalam Pendidkan Islam itu perlu diberi penekanan
yang serius kerana insanlah sebagai pentadbir dan pengurus alam ini. Ini sesuai dengan perintah
agama Islam yang suci ini yang terkandung di dalam Al-Quran dalam Surah Hud: 61yang
bermaksud
Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya
tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.Dialah yang menjadikan kamu
dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya...

Rumusannya, pendidikan merupakan salah satu cara untuk mencorak manusia menjadi
seseorang yang beriman. Iman adalah asas kepada akhlak Islam. Tidak akan sempurna iman
seseorang jika tidak disertai oleh akhlak yang baik. Contohnya dengan melaksanakan segala
perintah Allah yang berupa ibadah kerana kesemua perintah Allah tersebut bertujuan untuk
membersihkan diri dan menyuburkan jiwa manusia dengan sifat-sifat terpuji.Pendidikan formal
10

dan tidak formal adalah penting untuk mempertingkatkan pembangunan mapan dan
memperbaikikeupayaan manusia untuk menangani isu-isu alam sekitar dan pembangunan.
Pendidikan juga penting untuk mencapai kesedaran tentang alam sekitar, membentuk sikap,
etika, nilai dan kemahiran serta tingkah laku yang konsisten dalam membuat keputusan yang
berkesan. Melalui kurikulum mata pelajaran Pendidikan Islam,penyepaduan unsur-unsur
Pendidikan Alam Sekitar boleh diterapkan melalui pelbagai pendekatan, strategi dan teknik
unsur-unsur gabungjalin. (Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam Menengah Atas)
Pra Syarat Untuk Penyepaduan Pendidikan Alam Seiktar dalam Pendidikan Islam
Islam menekankan pentingnya seseorang individu pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan yang
berkaitan dengan alam dan sains sebagai langkah pertama ke arah memahami kaedah
memelihara dan pemuliharaan alam sekitar.Orang yang berilmu dan mengamalkannya tidak akan
melakukan perkara yang boleh merosakkan diri, masyarakat dan juga alam sekitar dan seorang
yang berilmu mempunyai ikatan rohani yang dengan Tuhannya. (Mohd Yusof Othman, 2006)

Malahantamadun manusia tidak akan terbina melainkan dengan ilmu. Ini jelas
menunjukkan bahawa gesaan dan perintah Allah SWT supaya manusia memakmurkan bumi ini
tidak akan tercapai tanpa ilmu. Malah Al-Quran membuka seluas-luasnya pintu penyelidikan
ilmiah kepada semua manusia sesuai dengan maksud firman-Nya dalam Surah al-Jathiyah :13
( ) .
Dan Ia memudahkanuntuk ( faedah dan kegunaan) kamu,
segala yang ada di langit dan yang di bumi,(sebagai rahmat
pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu
mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan
kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.
11

Kedua dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, aspek penting yang paling
ditekankan ialah konsep tauhid. Ini kerana tauhid merupakan keperluan asas dalam Islam. Dalam
pandangan tauhid, bahawa manusia sebagai makhluk yang diangkat martabatnya sebagai
khalifah, diberi kemampuan melihat fenomena alam dan berusaha pula untuk mengambil
manfaat daripada kejadiannya serta mentadbir alam ini dan dalam masa yang sama mampu
meletakkan dirinya sebagai seorang hamba yang hanya menumpukan sepenuh harapan dan
kehendak serta takut kepada Allah. (Mohd Yusof Othman, 2006)
Ketiga menerusi akhlak. Akhlak adalah amat penting terutama sekali kearah pengurusan
alam sekitar. Akhlak yang mulia adalah akhlak yang mengarah kepada kebaikan dan
keharmonian. Dalam konsep penjagaan alam sekitar, sifat-sifat mulia seperti bersyukur, kasih
sayang, sifat suka menjaga dan memelihara kebersihan dan keindahan alam, bertanggungjawab,
tidak membazir, tidak merosakkan, bertimbang rasa dan sikap murni yang lain amat penting
dalam menjaga alam sekitar dengan baik.(Buku Teks Pendidikan Islam, 2009). Lihat juga
lampiran 1 senarai elemen nilai-nilai murni alam sekitar ( PPK, 1998)
Kaedah penyepaduan elemen Pendidikan Alam Sekitar dengan Pendidikan Islam
Pendidikan Alam Sekitar merentas Pendidikan Islam menengah atas khasnya telah pun
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.Sukatan Pelajaran bahagian Adab dan Akhlak Islamiah
Tingkatan 5 secara khusus meletakkan Adab Memelihara Alam sebagai salah satu tajuk yang
wajib dipelajari.Pelajaran dalam bab tersebut secara jelas meletakkan objektif pengajaran dan
pembelajarannya antara lainmahu memastikan para pelajar dapat ;
i. memahami kepentingan alam sekitar dan menjaganya
12

ii. menjelaskan punca-punca berlakunya pencemaran alam
iii. menghuraikan langkah-langkah mengatasi kerosakan alam.( Buku Teks Pendidikan
Islam, 2009)
Tajuk ini secara kognitifnya menghendaki para pelajar mengetahui kepentingan alam
sekitar kepada kehidupan manusia di bumi ini. Selanjutnya menerusi kaedah inkuiri dan
kemahiran berfikir,para pelajar diminta menyelidik dan menyiasat serta berbincang untuk
menyenaraikan punca-punca terjadinya pencemaran atau kerosakan alam sekitar seperti
pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah dan pencemaran bunyi.Sukatan pelajaran
bab ini telah menyenaraikan setiap satu punca pencemaran atau kerosakan pada alam sekitar
untuk dibincangkan oleh pelajar secara kritis. Di sinilah peranan guru membimbing para pelajar
berbincang, berbahas dan memikirkan sebab, akibat dan langkah pencegahannya.
Tidak dapat dinafikan bahawa semakin pantas dunia berkembang seiring dengan
teknologi terkini, semakin bertambahnya masalah-masalah yang melibatkan alam sekitar.Banjir
kilat, udara berjerebu, tanah runtuh dan penipisan lapisan ozon serta iklim dunia yang semakin
panas akibat pemanasan global merupakan petanda bagaimana kegagalan manusia dalam
memelihara alam sekitar. Berlakunya pencemaran udara secara berleluasa disebabkan
bertambahnya bilangan kenderaan di jalanraya dan banyaknya asap yang dikeluarkan oleh
kilang dan kenderaan selain tabiat buruk manusia menjalankan pembakaran secara terbuka.
Demikian juga pencemaran air berlaku berpunca daripada pembuangan sisa toksid dan sisa
pepejal (sampah) serta najis dan tumpahan minyak ke dalam sungai dan laut, selain kerana
penerokaan hutan yang tidak terancang.Kesemua elemen yang disebutkan menyumbang kepada
pencemaran dan mengganggu keharmonian hidup manusia dan haiwan di bumi ini. ( Buku Teks
Pendidikan Islam, 2009)
13

Daripada tajuk pelajaran Adab Menjaga Alam dalam Sukatan Pelajaran Tingkatan 5, ia
juga boleh digabungjalinkan dengan pelajaran Tilawah AlQuran,dengan kaedah kesepaduan
pengalaman pembelajaran antara mata pelajaran;di mana guru dapat menyepadukan Pendidikan
Alam Sekitar melalui penekanan kepada pemahaman ilmu dan alam, tugas dan tanggungjawab
manusia sebagai khalifah serta penekanan terhadap aspek-aspek akhlak terpuji ke dalam setiap
diri pelajar sebagaimanaintisari ayat-ayat Al-Quran dalam Tilawah Al-Quran Tingkatan 4 dan
5tadi. Ia menggesaagar manusiamemiliki ciri-ciri akhlak yang mulia dan terpuji serta bijaksana
dalam menilai dan membuat keputusan serta dapat pula menyempurnakan tanggungjawab
sebagai seorang individu muslim terhadap alam dan isinya.
Sheikh Mohamad Abu Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama'(1999)
menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling
kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas,
cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.Justeru itu,Pendidikan Islam amat
menekankan kepada pembinaanakhlak yang terpuji sama ada menerusi pelajaran adab dan
akhlak itu sendiri, mahupun menerusi pemahaman terhadap intisari ayat-ayat Al-Quran apatah
lagi jika dipandang dari sudut ibadah umum.
Tuntutan dan gesaan Nabi Muhammad SAW agar umat manusia berakhlak mulia disebut
dalam hadith baginda sebagaimana sabdanyaSesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia. Akhlak Rasulullah SAW dengan makhluk laindi dunia
yang patut dicontohi. Antara lain ;
Rasulullah SAW begitu peka dan prihatin terhadap makhluk yang lain seperti haiwan,
tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.
14

Rasulullah SAW menasihati umatnya supaya berlaku ihsan kepada haiwan dan binatang
ternakan serta tidak menzalimi atau menyiksa mereka. Demikian juga tumbuh-tumbuhan
dan alam sekitar.
Berasaskan kepada perbincangan di atas,jelas bahawa sebarang masalah atau isu yang
berhubung dengan penjagaan atau pencemaran alam sekitar adalah berpunca daripada
kesempurnaan akhlak manusia terhadap dirinya, alam dan Tuhan atau sebaliknya. Hubungan
akhlak dengan konsep tauhid sangat hampir di mana manusia sebagai khalifah perlu sedar
bahawa bahawa alam sekitar ini merupakan hak Allah dan ciptaan-Nya bukan milik manusia,
maka manusia perlu melaksanakan misi dan amanah itu. Di samping itu, alam ini merupakan
tanda tentang kebesaran, kekuasaan dan keagungan Allah.( Mohd Yusof Othman, 2006)
Seterusnya menerusi aspek ibadah, guru perlu menerapkan konsep pengembangan dan
penghayatan ibadah yang lebih luas dalam konteks pendidikan. Ibadah harus difahami sebagai
suatu tuntutan umat Islam yang membawa kemaslahatan seluruh ummat, bukan sekadar ibadah
khusus sahaja yang diyakini dapat melahirkan sifat-sifat ketaqwaan yang tinggi dalam diri
pelajar. Namun begitu, tugas penuntut ilmu, bukan sekadar ingin tahu, malahan bagi
merealisasikan sifat taqwa yang tinggi, Islam telah menggariskan ciri-ciri yang perlu dihayati
oleh setiap individu muslim dalam konteks ibadah.Pertama, menjaga hubungan baik dengan
pencipta manusia( ) , kedua menjaga hubungan baik dengan sesama manusia (
) dan ketiga menjaga hubungan baik dengan alam sekitar dan dirinya sendiri.(Mohd Kamal
Hassan, 2006).
Justeru, konteks ibadah yang wajar diberi penekanan oleh guru Pendidikan Islam agar
difahami dan dihayati oleh setiap pelajar adalah menjalinkan hubungan yang baik dan harmoni
15

dengan pihak-pihak yang disebutkan tadi, dan sudah semestinya melibatkan seluruh aktiviti
hidup manusia zahir dan batin, fizikal dan spiritual.Apabila keadaan seperti ini dapat
dilaksanakan, maka akan tercetuslah keseimbangan, kestabilan dan kedamaian hidup
sejagat.Malah menjaga alam sekitar supaya menjadi tempat tinggal yang selesa bagi semua
habitat dan manusia merupakan suatu tuntutan sebagai ibadah umum .(Abdul Shukor Husin,
2006).
Sementara penyepaduan unsur Pendidikan Alam Sekitar juga dapat dicernakan oleh guru
ke dalam jiwa para pelajar melalui Pendidikan Islam menerusi pelajaran Tilawah AlQuran dan
Hadith. Sukatan pelajaran Tilawah AlQuran di Sekolah Menengah yang merangkumi beberapa
surah yang wajib dipelajari dan difahami maknanya, seharusnya digunakan oleh guru untuk
mengajar dan mendidik pelajar secara bersungguh-sungguh memahami akan segala perintah dan
laranganAllah serta mengamalkannya ajaran, memberi peringatan dan menegaskan amaran
terhadap yang terkandung di dalam ayat-ayat yang merupakan perintah Allah ini. (Fuziah
Muhammad Ramli 2008, Muhammad Zaini Yahya et. al 2009)
Umpamanya Sukatan Pendidikan Islam Tingkatan 4, para pelajar digesa membaca dan
memahami serta menghayati pengajaran ayat-ayat Al-Quran daripada Surah As-Sajadah
berkaitan dengan tuntutan Allah SWT terhadap keperluan setiap individu menjaga tingkah laku
dan adab serta tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi, termasuk memelihara
alam.Justeru, guru wajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, dengan
menggunakan teknik inkuiri dan kaedah deduksi, dan diyakini mampu memberi penekanan
tentang penghayatan dan pengajaran daripada ayat-ayat al-Quran akan segala tanggungjawab
manusia sebagai khalifah yang ditugaskan untuk memakmurkan alam ini. Istilah memakmurkan
16

alam ini adalah merangkumi semua aspek kehidupan manusia, sama ada yang berkaitan dengan
hubungannya dengan Penciptanya, sesama manusia mahupun dengan alam sekitarnya.( Buku
Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4, 2008)
Sebaliknya jika alam sekitar ini tidak dijaga dengan baik, Allah Taala memberi amaran
kepada umat manusia sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Rum,ayat 41
( )
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan
di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan
manusia; timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak
merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-
perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka
kembali ( insaf dan bertaubat )

KESIMPULAN
Melalui perbincangan ringkas ini dapat difahami bahawa penyepaduan Pendidikan Alam Sekitar
dalam Pendidikan Islam sememangnya wajar ditekankan oleh guru-guru dalam pengajarannya
jika mahu melahirkan individu pelajar yang berakhlak mulia dan tahu bertanggungjawab
terhadap alam dan menjaga keharmonian alam tempat tinggal semua habitat. Pembangunan
sesebuah tamadun dan peradaban manusia tidak akan terbina tanpa usaha memakmur dan
membangunkan alam ini secara seimbang dan sepadu. Adapun krisis alam sekitar yang telah
melanda manusia pada masa kini, sebenarnya memerlukan kepada jalan penyelesaian yang lebih
bersifat ketauhidan atau rabbani. Kaedah penyelesaiannya hendaklah berasaskan kepada
kefahaman manusia itu sendiri terhadap sejauh mana peranan yang perlu dimainkannya sebagai
khalifah di alam ini dan memahaminya sebagai satu jalan untuk menjadikannya sebagai seorang
17

khalifah yang bertanggunjawab dan sempurna akhlaknya terhadap Tuhannya, manusia dan alam.
Sebagai manusia, kita perlu selalu mengambil peringatan Allah dengan insaf supaya kejadian
buruk seperti tanah runtuh tidak berulang. Dalam perspektif pembinaan tamadun Islam,
hubungan manusia dengan alam menjadi satu prinsip utama selain hubungan manusia dengan
Allah dan hubungan manusia dengan manusia. Semoga kita terpelihara daripada orang yang
merugikan diri sendiri sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Araf ayat 56.
( ) .


Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah
menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan
berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau
tidakditerima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan
(supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada
orang-orang yang memperbaiki amalannya.


Wallahualam










18


RUJUKAN
Abdullah Mohd. Noor. 1987. Pelajar dan Pembelajaran Geografi di Sekolah Menengah (3), Pusat
Sumber Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Abdul Shukor Husin. 2006. Merealisasikan Konsep Ketaqwaan Kepada Allah Dalam Pelaksanaan Islam
Hadhari . Kertas Kerja Konvesyen Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan : Kuala Lumpur, 23- 24
Jun.

Abu Bakar Nordin. 1991. Kurikulum-Perspektif dan Pelaksanaan. Kuala Lumpur : Pustaka Antara

Abu Bakar Yang. 1998. Alam Sekitar Anugerah Tuhan. Kuala Lumpur: Institut Kemajuan Islam Malaysia

Abu Zahrah, Muhammad. 1999. Tanzim al-Islam lil-Mujtama` Al-Qahirah : Dar al-Fikr al-`Arabi.

Ahmad Mohammad Said. 2003. Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang. Temu bual 10 Jun.

Al-Ghazali, 1982. Ihyaulumiddin (Jilid 1). Singapura: Pustaka Nasional.

Bradley, J.C., Waliczek, T.M. & Zajicek, J. 1999, Relationship between environmental knowledge and
environmental attitude of high school students, Journal of Environmental Knowledge 30(30): 17-
21.

Berita Harian, 2006. 9 Mei

Brody, M.J. 1994. Student Knowledge Related to Ecological Crisis. International Journal of Science
Education 16(4): 421-435.

Bosak, S.V, Bosak, D.A. & Puppa, B.A. 1991. Science is: a Source Book of Fascinating Facts, Projects
and Activities. Ontario: Scholastic Canada Ltd.

EPRD (Educational Planning and Research Division) 1995. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kajian
Penilaian Program KBSM: Penilaian Pelaksanaan KBSM Dalam Program Latihan Perguruan Pra
Perkhidmatan di Universiti dan Maktab Perguruan.

Fien, J. 1997, Stand up, Stand up and be Counted: Understanding the myths of Environmental
education, Australian Journal of Environmental Education 13: 21-36

Faridah Abu Hassan. 1996. Penilaian KBSM peringkat menengah atas: Kajian kes. Kertas kerja Seminar
Kebangsaan Penilaian KBSM: Isu dan Hala tuju Strategik ke Arah Abad 21. Institut Aminuddin
Baki. Genting Highlands, Pahang. 2-6 September.

Fuziah Muhammad Ramli dan Aminah Idris.2008.Pendidikan Islam Tingkatan 4,Buku Teks KBSM, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hassan Langgulung. 1986. Pendidikan Sepadu dan Paradigma Ilmudlm. Tajul Ariffin Noordin &
Abdul Raof (pnyt). Pendidikan Sepadu. Kumpulan Kertas Kerja 8, Universiti Kebangsaan
Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
19


Habsah Ismail. 2000. Kefahaman Guru Tentang Konsep Pendidikan Bersepadu dalam KBSM, Tesis Dr.
Falsafah.(Tidak diterbitkan). Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Kementerian Pendidikan Malaysia. Pusat Perkembangan Kurikulum, 1998. RancanganKurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Pelaksanaan..: Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan Malaysia Pusat Perkembangan Kurikulum, 1998. Buku Panduan guru
pendidikan Alam Sekitar Merentasi Kurikulum. KBSR.: Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan Malaysia, Pusat Perkembangan Kurikulum, 1990. Pukal Latihan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah : Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia 1992. Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kuala Lumpur :
Pusat Perkembangan Kurikulum, m. s 16

Mohd Kamal Hassan. 2006. Melonjak Semula Kegemilangan Ummah Melalui Pendekatan Islam
Hadhari: Cabaran dan Strategi, Kertas Kerja Konvensyen Islam Hadhari Peringkat Kebangsaaan ;
Kuala Lumpur 23-24 Jun.

Mohd. Nor Mahmood. 1994. Pelaksanaan Kurikulum Geografi KBSM. Kajian Tentang Sikap Guru dan
Masalah-masalah yang dihadapi Dalam Pengajaran. Tesis Sarjana Pendidikan (Tidak diterbitkan).
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Mohd Yusof Othman.2006. Pemuliharaan Alam Semulajadi , Prinsip Kesembilan Pendekatan Islam
Hadhari,Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

Muhammad Zaini Yahya, Zamri Abdul Rahman dan Afandi Sahi. 2009. Pendidikan Islam Tingkatan 5,
Buku Teks KBSM, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

New Straits Time, 1992. 1 Februari.

Nik Azis Nik Pa. 1990. Program Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas. Kajang: Institut Pengajian Ilmu-Ilmu
Islam.

Nik Aziz Nik Pa. 1994. Penghayatan Wawasan Pembangunan Negara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka

Nik Faizah Mustapha. 1996. Pelaksanaan program KBSM dalam bilik darjah: dapatan dan pandangan
Jemaah Nazir Sekolah. Kertas kerja Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM: isu dan Hala tuju
Strategik ke Arah Abad 21. Institut Aminuddin Baki Genting Highlands, Pahang, 2-6 September.

Nor Akhmal Ismail. 2004. Kesedaran pelajar tentang pendidikan alam sekitar dalam Geografi. Tesis
Sarjana Pendidikan (Tidak diterbitkan). Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Osman, B. 1992. Classification of knowledge in Islam: a study in Islamic philosophies of science. Kuala
Lumpur : Institute for Policy Research

20

Peyton, P.B & Hungerford, N.R. 1978. An Assessment of Teachers Abilities to Identify, Teachers and
Implement Environmental Actions Skill. Current Issues on Environmental Education IV. Craig B.
Davis Sacks, Editors.

Robin Kerrod. 1998. Tinjau dan Selidik Sains: Alam Sekitar. Shah Alam: Federal Publications.

Rohiza Jamaluddin. 2004. Pencapaian guru sains sekolah menengah dalam pernyataan alam sekitar. Tesis
Sarjana Pendidikan (Tidak diterbitkan). Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Salequzzman, M.D., Stocker, L. 2001, The context and prospects for environmental education and
environmental career in Bangladesh. International Journal of Sustainability in Higher Education
2(2):104-21.

Sham Sani. 1993. Environmental Development in Malaysia: Changing, Concern and Approaches. Kuala
Lumpur: ISIS, Malaysia.

Sharifah Maimunah Syed Zin. 1996. Penilaian pelaksanaan KBSMPeringkat Menengah Rendah: Kajian
Kes. Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM: Isu dan Hala Tuju Strategik ke Arah Abad 21, 2-6
September, 1996.

Summers, M. 2000, Primary Teachers Understanding of Environmental Issues: An Interview Study,
Environmental Education Research 31(3): 12-19.

Tamby Subahan Mohd Meerah & Abdul Raof Dalip. 1989. Strategi Pengajaran dan Pembelajaran
Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. kertas kerja seminar latihan mengajar antara
universiti ke 6. kelolaan Fakulti pendidikan, Universiti Malaya. Kuala Lumpur, 3-4 November.

Tartar, M. 1998, Teachers as Significant Others: Gender Differences in Secondary School Pupils
Perception, British Journal of Educational Psychology 68: 217-227.

Terjemahan Al-Quran Al-Karim ( 2009). Kuala Lumpur: Al Hidayah House of Quran Sdn. Bhd.

Zarin Ismail. 1999. Pemupukan Sikap dan Nilai Murni Pelajar di Sekolah. Dlm Siri kesepaduan Ilmu.
Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur: Percetakan Bintang Jaya.

Rujukan Atas Talian.

Akhlak dalam Islamhttp://sites.google.com/site/khazalii/4udi2052akhlakdalamislam dicapai pada 25
Mei 2012

Anda mungkin juga menyukai