Anda di halaman 1dari 4

JURNAL MINGGU 1

(1 April 2013 5 April 2013)


HASIL PEMBELAJARAN TIDAK TERCAPAI

Masalah
Pada hari Selasa bersamaan 3 April 2013, saya mengajar subjek Sains bagi
murid-murid tahun 5 Tekun. Tajuk yang diajar ialah memahami litar bersiri dan selari
selama satu jam. Saya telah menetapkan tiga hasil pembelajaran yang perlu dicapai
oleh murid adalah seperti berikut:-
1. melukis simbol komponen litar elektrik iaitu bateri, mentol, wayar penyambung
dan suis dengan betul
2. melukis dua gambar rajah litar dengan betul
3. membanding beza susunan mentol dalam litar bersiri dan litar selari secara
bertulis
Hanya hasil pembelajaran kedua tidak tercapai setelah saya menyemak lembaran
kerja yang diberikan. Tiada seorang murid yang berjaya melukis dua gambar rajah
yang betul. Saya telah menunjukkan satu contoh gambar rajah litar dan melukisnya
di papan hitam serta memberikan penerangan yang ringkas sebelum waktu proses
pengajaran dan pembelajaran tamat. Malahan, murid-murid ini mengangguk dan
mengatakan faham apa yang telah diajar.

Analisis Masalah
Soalan-soalan yang timbul di dalam pemikiran saya setelah menyemak lembaran
kerja murid adalah seperti berikut:-
1. Adakah murid faham tentang pengajaran melukis gambar rajah litar?
2. Adakah murid akan mengangguk tanda faham walaupun mereka tidak
faham?
3. Bagaimanakah tahap pembelajaran murid ini jika diberikan kerja rumah?
4. Apakah tahap intelektual murid-murid ini?
5. Mungkinkah faktor pengajaran guru yang kurang jelas?
6. Apakah yang perlu saya lakukan untuk membantu murid tersebut?


Berdasarkan pemerhatian saya di dalam bilik darjah, murid-murid mengangguk
tanda faham dan aktif menjawab soalan yang dikemukakan. Setiap soalan yang
diberikan akan memenuhi jangkaan jawapan murid yang saya nyatakan. Hal ini
bermaksud murid faham dan mempunyai idea tentang sesuatu konsep sains.

Maka, saya telah berjumpa dengan guru sains 5 Tekun dan memberitahu tentang
masalah ini. Berdasarkan temu bual dengan guru tersebut, saya dapat merumuskan
bahawa:-
1. Murid-murid faham tentang pengajaran gambar rajah litar tersebut kerana
memberikan respon yang positif selepas saya mengajar.

2. Murid-murid akan menunjukkan respon yang negatif jika tidak faham sesuatu
seperti bertanya kepada guru, mengatakan tidak faham dan mengerutkan
dahi.

3. Oleh kerana kelas ini merupakan kelas terakhir, guru sains tersebut mengakui
bahawa terdapat segelintir murid yang tidak dapat mengaplikasikan ilmu yang
telah dipelajari secara bertulis. Mereka boleh menjawab soalan lisan dengan
baik tetapi tidak dapat menyatakannya secara bertulis. Selain itu, mereka
tidak yakin untuk menjawab soalan secara bertulis.

4. Setelah melihat keputusan ujian pertama baru-baru ini, terdapat empat orang
yang gagal dalam ujian tersebut. Tahap intelektual murid-murid tersebut
berada di tahap yang sederhana kerana saya berpendapat mereka mudah
faham terhadap sesuatu pengajaran.

5. Menurut Brophy dan Good (1998), ciri-ciri guru yang berkesan ialah
meletakkan harapan yang bersesuaian dengan pelajar serta mengajar untuk
pelajar menguasai pengetahuan. Pada pendapat saya, pengajaran guru yang
kurang jelas merupakan salah satu faktor hasil pembelajaran tidak tercapai.
Kelemahan diri saya yang tidak faham akan keperluan murid iaitu mereka
perlu dibimbing dengan melukis satu gambar rajah litar manakala saya akan
membetulkan lukisan tersebut semasa di dalam bilik darjah agar mereka
boleh menjawab soalan yang seterusnya di rumah.
Cadangan
Antara cadangan untuk menyelesaikan masalah ini adalah seperti berikut:-
1. Saya mengajar melukis gambar rajah litar pada kelas seterusnya
2. Saya mengubah rancangan pengajaran harian yang lebih ringkas tetapi
bermakna
3. Penerangan guru mestilah lebih jelas dan spesifik
4. Aktiviti yang dirancang memberi peluang kepada murid untuk memahami litar
bersiri dan selari serta melukis gambar rajah litar berdasarkan pemerhatian
5. Murid-murid perlu membuat pembetulan bagi lembaran kerja yang diberikan
dan disemak oleh guru

Tempoh penyelesaian
5 April 2013 sehingga 12 April 2013

Tindakan Susulan
1. Usaha yang pertama ialah saya menyediakan dan mengubah rancangan
pengajaran harian yang lebih ringkas dengan dua hasil pembelajaran yang
memungkinkan murid-murid dapat mencapainya di akhir pengajaran dan
pembelajaran. Hasil pembelajarannya ialah melukis satu gambar rajah litar
dengan betul berdasarkan litar yang telah dibina dan menerangkan secara
lisan tentang litar bersiri dan litar selari.

2. Seterusnya, penerangan guru diberikan dengan lebih jelas dan spesifik pada
fasa penstrukturan semula idea. Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1983)
pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat
membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya.
Hal ini melibatkan corak pengajaran berstruktur dari segi organisasi bilik
darjah serta mementingkan isi pelajaran. Ketika penerangan diberikan, saya
menjelaskan kesalahan-kesalahan murid melukis gambar rajah litar dan
menunjukkan cara melukis dua gambar rajah litar dengan betul di papan
putih. Saya mengingatkan mereka tidak mengulangi kesalahan melukis
gambar rajah litar.

3. Aktiviti yang disediakan dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap
kumpulan melukis satu gambar rajah litar dan mengikut stesen yang
diagihkan oleh murid. Hal ini kerana tempoh pengajaran dan pembelajaran
hanya tiga puluh minit sahaja. Oleh itu, saya membetulkan gambar rajah litar
yang telah ditampal pada papan putih agar murid sedar akan kesilapan yang
dilakukan. Sememangnya saya tidak menggalakkan kumpulan membuat
pembentangan.

4. Murid-murid perlu membuat pembetulan bagi lembaran kerja yang diberikan
kerana lembaran kerja yang diberikan mudah. Saya berharap murid-murid
dapat menguasai kefahaman tentang melukis gambar rajah litar daripada
peringkat mudah. Saya akan menyemak pembetulan yang dilakukan oleh
murid.


Kesimpulan
Menurut Dick and Reiser (1989), pengajaran yang berkesan membolehkan
pelajar memperolehi kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan. Maka,
guru berperanan utama untuk menyediakan aktiviti pengajaran yang memungkinkan
murid-murid mencapai hasil pembelajaran yang dirancang. Hal ini demikian kerana
guru akan menilai sama ada hasil pembelajaran tercapai mahupun tidak pada akhir
pengajaran dan pembelajaran.

Anda mungkin juga menyukai