Anda di halaman 1dari 2

NAMA PESERTA : DAYANGKU NURUL ATIQAH KARENA BT. AK. MOHD.

HANIF
NAMA SEKOLAH : SK. PEKAN PAPAR

KISAH BUAH LABU DAN BUAH LANGSAT
HASIL KARYA: MOHD. RIDUWAN BIN WAHAB


Di sebuah desa, tinggal seorang petani miskin yang malas bekerja.
Kehidupannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun, si
petani tersebut tidak pernah berpuas hati dengan rezeki yang diperolehnya.
Dia sering merungut dan menyalahkan takdir atas nasib yang menimpa dirinya.
Dia tidak sedar bahawa sikapnya yang malas itulah punca segala-galanya.
Alangkah bertuahnya orang lain, memiliki banyak harta, dapat hidup
senang-lenang. Sedangkan nasibku masih tidak berubah. Mengapakah aku
begini? Demikianlah keluhan hatinya setiap kali dia mengenang akan nasib
diri.
Pada suatu hari, sebaik sahaja selesai mengerjakan kebun sayurnya, dia
berjalan ke arah sebatang pokok langsat untuk berehat. Sewaktu dalam
perjalanan ke tempat rehatnya itu, dia melalui sebuah kebun labu milik
penduduk kampung. Tatkala itu, terfikir dalam hatinya, mengapakah saiz buah
labu itu sebesar buyung, sedangkan batangnya hanya sekecil jari?
Setibanya petani itu di bawah pokok langsat, dia mengaru-garu
kepalanya. Kali ini tercetus lagi rasa tidak puas hati dalam dirinya. Dia tidak
puas hati melihat saiz batang pokok langsat yang tidak setara dengan saiz
buahnya. Maka si petani itu berkata dalam hatinya, tengoklah, pokok langsat
yang batangnya sebesar pemeluk ini hanya memiliki buah yang sekecil jari.
Alangkah tidak adilnya! bisik petani itu seorang diri.
Tidak semena-mena, sebiji buah langsat jatuh ke atas kepala si petani.
Petani itu tersentak. Sejenak dia terfikir, Nasib baiklah buah langsat ini tidak
sebesar buah labu. Jika tidak, sudah tentu sakit kepalaku dibuatnya. Kejadian
itu benar-benar memberikan kesedaran yang mendalam terhadap petani
tersebut.
Patutlah selama ini aku masih miskin. Rupanya aku lebih banyak
merungut daripada berusaha untuk mengubah nasibku. Seharusnya aku
berusaha keras untuk menjadi seorang yang berjaya dalam hidup.
Fikirnya lagi, Allah itu memang sangat adil. Dia akan memberikan rezeki
yang banyak kepada orang yang rajin berusaha. Aku tidak sepatutnya
menyalahkan takdir. Aku perlu berubah mulai dari sekarang.
Semenjak hari itu, si petani mula rajin bekerja untuk meningkatkan taraf
hidupnya. Dia tidak lagi merungut dan bersyukur dengan setiap rezeki yang
diterimanya. Malah, di samping berusaha, dia juga sering berdoa dan
bertawakal agar hasratnya untuk berjaya termakbul.
Begitulah, sikap segelintir individu yang lebih suka menyalahkan takdir
dan merungut daripada berusaha untuk berjaya. Kawan-kawan haruslah
mengambil iktibar daripada kisah ini. Fahamilah bahawa apa-apa sahaja yang
berlaku dalam dunia ini pasti ada hikmahnya.
Bagi yang beragama Islam, kawan-kawan tentu mengerti bahawa setiap
ciptaan dan kejadian yang berlaku ada sebab-sebab yang tersendiri. Dia tidak
akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia seperti yang dipaparkan dalam kisah
petani dengan buah langsat tadi. Sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat
ganjarannya. Begitu juga, ajaran agama lain turut menyeru umatnya berusaha
untuk mengubah nasib diri.
Namun, seandainya hasil yang diterima tidak seperti yang diingini,
usahlah mudah kecewa dan berputus asa. Mungkin yang kita hasratkan itu
sebenarnya tidak mendatangkan kebaikan dan manfaat buat kita. Dalam hal
ini, kita hendaklah berlapang dada menerimanya dan berusaha dengan lebih
tekun lagi. Mudah-mudahan dengan usaha yang tidak mengenal jemu itu, hasil
yang bakal diperoleh bukan setakat secupak, malah lebih daripada segantang.
Ketahuilah bahawa inilah resipi utama kejayaan individu.

Anda mungkin juga menyukai