Anda di halaman 1dari 4

INGAT MATI, TINGKAT PRODUKTIVITI

Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan
menurun, kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali
dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.
Kenapa tuan beranggapan begitu? tanya saya.
Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik
solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju
langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak
setuju! katanya berterus-terang.
Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti
dan produktiviti syarikat ini, kata saya.
Kenapa pula? Kali ini dia pula yang bertanya.
Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah, jawab saya pendek.
Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?
Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan
memperbanyakkan ibadah.
Itu yang saya kata tadi! bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai
bekerja. Habislah syarikat ini.
Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep
ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang bermain di mindanya.
Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat,
zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.
Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.
Maksud awak saya tak faham konsep ibadah? tusuknya tiba-tiba.
Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga ibadah asas, ibadah
sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain
rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat
dan puasa sunat.
Itu saya tahu, getusnya.
Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah
asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur,
bermesyuarat dan lain-lain.
Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.
Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum
terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-
belit ni.
Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu
dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah,
habluminallah, habluminannas, pujuk saya.
Saya tak yakin mereka boleh difahamkan. Orang Melayu kita ni bila ingat
mati gementar, takut, kecut! saya tak mahu menakut-nakutkan mereka. Kita
nak kualiti, kita nak produktiviti. Ingat mati ni soal peribadi, bukan soal
organisasi. Dalam organisasi kita bercakap soal keuntungan.
Tuan, Islam menganjurkan agar kita ingat mati, bukan takut mati. Yang tuan
bimbangkan tu takut mati, bukan ingat mati.
Apa bezanya? tanyanya. Suaranya mula meninggi.
Saya diam sejenak. Berfikir untuk mengolah kata-kata yang baik. Mengadun
antara kebenaran dan kelembutan
Saya teringat maksud sebuah hadis! kata saya memulakan penjelasan.
Awak jangan berselindung di sebalik hadis!
Bukan berselindung tuan, tetapi pada siapa lagi yang patut kita sandarkan
segala hujah dan pandangan melainkan kepada Rasulullah? jelas saya
perlahan.
Apa maksud hadis tu? Direct to the point!
Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan
tenang dalam hidup. Itu maksud hadis. Sama ada ibadah asas, sunat dan
umumnya. Tapi orang yang takut mati, akan hilang semangat untuk hidup.
Takut mati menyebabkan mereka juga takut hidup. Hilang daya dan tenaga
untuk berusaha.
Saya masih bimbang mereka akan takut mati bukan ingat mati.
Perlahan-lahan saya menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang saya mula
berfikir, ini masalah dia atau masalah pekerjanya.
Tuan jangan lupa satu golongan lagi. Mereka tu ingat mati pun tidak, takut
mati pun tidak!
Ada lagi?
Ya, satu golongan lagi adalah mereka yang lupa mati. Golongan ini akan
menangguhkan taubat, meremehkan ibadah dan jiwanya sentiasa kacau.
Mereka ini sangat benci bila diperingatkan tentang mati kerana itu
mengganggu keseronokan mereka melakukan maksiat dan dosa, ujar saya
lagi. Kebenaran itu memang pahit, walau betapa indahnya bahasa kita
mengucapkannya.
Saya masih khuatir mereka akan berkurung di surau, asyik solat, solat duha,
doa berjam-jam lamanya. Kerja tertangguh.
Terkedu saya. Satu kebimbangan yang tidak berasas.
Kita perlu terangkan kepentingan ibadah umum. Ibadah umum yang
kebanyakannya dikategorikan dalam fardu kifayah. Fardu kifayah
kedudukannya lebih tinggi daripada ibadah sunat.
Maaflah, awak masih berfalsafah. Kita mesti realistik. Syarikat ini sedang
mengalami masalah. Produktiviti dan kualiti menurun secara drastik.
Mengapa? Apa sebabnya?
Culas, curi tulang, pembaziran, rasuah!
Tuan, itu semua sikap orang yang lupakan mati, jolok saya pula.
Lagi-lagi mati. Kita bercakap tentang hidup sekarang!
Bercakap tentang mati akan menyebabkan kita jelas tentang hidup.
Persediaan menghadapi mati dibuat semasa hidup. Keadaan hidup selepas
mati sangat berkait dengan keadaan hidup sebelum mati!
Saya tambah tak faham dengan awak.
Maksud saya orang yang curi tulang, culas dan rasuah itu tidak takut dengan
dosa. Mereka hanya takut dengan undang-undang dunia. Kalau mereka
nampak undang-undang dunia ada kelemahan, kurang penguatkuasaan,
maka di situlah mereka ambil kesempatan.
Apa kaitan itu dengan mati?
Lucu. Kali ini dia pula yang mengingatkan saya tentang mati.
Kalau mereka ingat mati, mereka ingat hari pertemuan dengan Allah di hari
akhirat. Di sana segala dosa yang disembunyikan dari manusia dan yang
terlepas dari undang-undang dunia akan dipaparkan dengan nyata. Bukan
dipaparkan sahaja, bahkan akan beri hukuman dengan api neraka.
Dia mula diam.
Di sana nanti Allah akan tanyakan segala-galanya. Tentang solat, tentang
kerja, tentang keluarga. Jika semua beres, baiklah keadaan hidup kita di
sana. Itu yang saya katakan tadi, keadaan hidup selepas mati sangat
ditentukan oleh corak kehidupan kita sebelum mati.
Maksud awak keadaan hidup di dunia kita sangat menentukan keadaan
hidup di akhirat?
Ya, begitulah tuan. Orang yang ingat mati, akan melaksanakan amanah dan
tanggung jawabnya dengan baik dalam famili, organisasi dan masyarakat.
Saya takut orang yang ingat mati asyik solat sahaja!
Asyik solat? Apa salahnya dengan solat?
Kalau asyik solat sahaja mana sempat buat kerja?
Saya macam nak tergelak. Macamlah ramai sangat orang yang solat sampai
tak sempat buat kerja. Realitinya, ramai yang bekerja sampai tak sempat
solat. Dan lebih ramai orang yang tak sempat buat kedua-dua. Solat tidak,
kerja pun tidak. Lalai, leka dan terbuai dengan hiburan semata-mata. Ramai
yang curi masa di pejabat kerana leka dengan kerja-kerja luar, buat direct
selling, game, chatting, face book dan segala macam.
Saya rasa orang yang solatlah yang paling jujur dan amanah dalam kerja.
Mana boleh macam tu!
Ini Al Quran kata. Solat itu mencegah dari fahsya dan mungkar. Termasuklah
mungkar dalam pekerjaan seperti culas, membazir, rasuah, curi tulang dan
lain-lain.
Saya pernah jumpa orang yang banyak solat tapi rasuah, curi tulang!
Tentu ada salah di mana-mana dengan solatnya. Kalau solat tak mencegah
kemungkaran, solat itu bukan solat. Ini hadis.
Maksud awak?
Mungkin solat kerana riyak. Mungkin jahil dengan ilmu solat. Atau tidak
mujahadah hingga solatnya dikategorikan sebagai solat orang yang lalai.
Khusyuk jauh sekali!
Jalan penyelesaian?
Perlu diberi ilmu, dididik dan dilatih dengan program solat yang sebenar!
Ke situ balik! saya bercakap tentang produktiviti dan kualiti kerja, awak
bercakap dengan kualiti solat! Pelik!
Saya tersenyum. Inilah realiti kefahaman majoriti umat Islam. Amalan Islam
dilihat secara terpisah-pisah. Padahal semua amalan Islam itu bersepadu.
Yang satu mempengaruhi yang lain. Solat ada impaknya kepada pekerjaan.
Membetulkan solat boleh membetulkan pekerjaan. Soal ketepatan waktu,
pengurusan masa, amanah, fokus, kebersihan, keikhlasan yang menjadi teras
dalam solat seharusnya melimpah kesannya bila kita bekerja.
Kalau begitu kita perlukan program latihan yang menyentuh soal mati ke,
solat ke atau produktiviti? Saya makin keliru sekarang! kata pegawai tinggi
tersebut.
Ketiga-tiganya sekali. Kita perlu program latihan yang bersepadu. Hingga
dengan itu pekerja yang ingat mati akan serius dengan solat dan seterus akan
meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaannya! jawab saya.
Dia tersentak. Saya semakin yakin, sebelum orang bawahannya menjalani
program latihan yang dibincangkan itu! dialah orang yang perlu
menjalaninya terlebih dahulu. Ketua yang keliru, akan mengelirukan anak
buahnya!
http://genta-rasa.com/2009/11/17/ingat-mati-tingkat-produktiviti/

Anda mungkin juga menyukai