Anda di halaman 1dari 7

Mengenal

Syed Muhammad Naquib al-Attas :


Pemikiran dan Sumbangannya selama 3 dekade

Ditulis Oleh Khalif Muammar
Thursday, 13 October 2005

FALSAFAH DAN AMALAN PENDIDIKAN ISLAM SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-
ATTAS: Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi. Oleh: Wan Mohd Nor Wan Daud.
Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, 2005. xii+404 halaman, indeks: 397-
404. ISBN: 983-100-241-5.

Syed Muhammad Naquib al-Attas diakui sebagai sarjana ulung dan pemikir
Muslim yang telah memberikan sumbangan besar dalam pemikiran Islam
kontemporari dan pendidikan Islam. Idea dan pandangan beliau sering menjadi
rujukan bukan saja oleh golongan mahasiswa tetapi juga oleh sebahagian besar
para pakar dan cendekiawan pada hari ini. Ketokohan al-Attas ini, bukan sekedar
disebabkan oleh kelangkaan titel Ph.D. yang diperolehinya pada tahun 1960an
dari SOAS (School of Oriental and African Studies), Universiti London, tetapi
ketokohan beliau sebenarnya adalah disebabkan oleh kemantapan pemikiran
beliau dan pengalaman luas dalam dunia akademik dan intelektual.

Pengalaman sebagai Profesor tamu di Universiti Temple; menjadi pemegang
pertama Kursi Tun Abdul Razak untuk Pengajian Asia Tenggara di Universiti
Ohio; peranan beliau dalam penubuhan beberapa institusi pendidikan di
Malaysia; beliau jega telah membentangkan lebih 400 makalah ilmiah pada
seminar dan konferensi antarabangsa; sebagai pencetus idea-idea besar semua
ini telah mengangkat nama beliau setanding bahkan par excellence dengan
pemikir-pemikir besar kontemporari.

Menyedari hal ini maka mengkaji pemikiran beliau menjadi suatu kemestian bagi
sesiapa yang ingin mendalami pemikiran Islam dan pendidikan Islam. Kini
dengan kemunculan buku Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bahasa
Malaysia ini masyarakat luas akan dapat membaca hasil buah fikiran al-Attas
dengan lebih mudah. Buku ini pertama kali diterbitkan oleh ISTAC pada tahun
1998, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh
Penerbit Mizan pada tahun 2004, dan kini telah dialih bahasa ke dalam bahasa
Malaysia dan dicetak kembali oleh Penerbit Universiti Malaya.

Penulis buku ini, Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud, yang dahulunya
merupakan orang kanan al-Attas dalam mentadbir ISTAC (International Institute
of Islamic Thought and Civilization) mengatakan bahawa al-Attas
menyumbangkan tiga di antara penemuan ilmiah terpenting di Dunia Islam yang
sangat berpotensi mempengaruhi perjalanan kehidupan umat Islam secara
mendalam dan menyeluruh. Sumbangan besar al-Attas ini ialah: Pertama,
bahawa masalah terpenting yang dihadapi oleh umat Islam kini ialah masalah
ilmu pengetahuan; kedua, ilmu pengetahuan moden tidak neutral kerana
dipengaruhi oleh pandangan keagamaan, kebudayaan, dan falsafah, yang
mencerminkan kesedaran dan pengalaman manusia Barat; dan ketiga, umat

Islam, oleh sebab itu, perlu mengislamkan ilmu pengetahuan masa ini dengan
mengislamkan simbol-simbol linguistik tentang hakikat dan kebenaran (hlm.
259).

Pendirian al-Attas mengenai permasalahan ummat cukup jelas sejak tahun 70an
lagi, dalam surat jawapan beliau kepada Sekretariat Islam di Jeddah beliau
menyatakan bahawa permasalahan yang berasal daripada kemunduran
ekonomi, sains, dan teknologi hanyalah sesuatu yang bersifat luaran, cerminan
daripada masalah ilmu pengetahuan yang mendasar (hlm. 268).

Buku yang pengulas percaya telah banyak menyita masa dan tenaga penulisnya
ini, mempersembahkan pemikiran al-Attas secara panjang lebar dengan
membahagikannya kepada tujuh bab. Bab pertama membahas tentang
pandangan metafizika mengenai wujud dan kewujudan (hlm. 29-49). Bab kedua
membahas konsep ilmu dan cara mencapainya (hlm. 61-96). Bab ketiga
membahas makna dan tujuan pendidikan (hlm. 109-135). Bab keempat
membincangkan idea dan realiti universiti Islam (hlm. 151-184). Bab kelima
membicarakan kurikulum dan kaedah pendidikan (hlm. 201-243). Bab keenam
membincangkan Islamisasi ilmu pengetahuan semasa: teori dan amalan (hlm.
259-307). Dan bab ketujuh membahas respons terhadap Islamisasi ilmu
pengetahuan semasa (hlm. 327-359).

Al-Attas dikenali sebagai pemikir yang lantang memperjuangkan perlunya
penggunaan istilah yang tepat. Ini kerana penggunaan istilah yang salah sangat
berpengaruh kepada minda masyarakat. Lebih dari itu, al-Attas juga dikenal
dengan pandangan-pandangan kritis beliau untuk memperbetulkan pemahaman
umat Islam terhadap konsep-konsep penting dalam Islam. Beliau menolak
penterjemahan sekularisme kepada ilmaniyyah atau almaniyyah dalam bahasa
Arab. Beliau memberi gagasan universiti Islam (jamiah-kulliyyah) dan berkeras
agar worldview/weltanschauung diterjemahkan kepada ruyat al-Islam li al-
wujud dan bukan narat al-Islam li al-kawn. beliau memperkenalkan konsep
tadib sebagai konsep yang tepat dalam pendidikan Islam (hlm.360).

Akar permasalahan intelektual ummat Islam adalah kekeliruan mereka
memahami sejumlah kata kunci seperti pandangan alam, agama, Allah s.w.t.,
ilmu pengetahuan, pendidikan, kebahagiaan, keadilan, kebijaksanaan,
pembangunan dsb.(hlm. 84). Oleh kerananya, menurut beliau, perpecahan dapat
diselesaikan apabila terdapat kesatuan pemahaman di antara sarjana Muslim
tentang idea dan konsep fundamental yang berkaitan dengan agama Islam dan
peradaban ummat (hlm. 84). Analisis yang dilakukan oleh al-Attas ini memang
sangat penting khususnya pada hari ini kita lihat kekeliruan dan penyelewengan
dalam memahami Islam seringkali berpunca daripada perbezaan dalam
memahami konsep-konsep penting dalam Islam seperti: ilmu, agama,
epistemologi menurut Islam.

Sebagai seorang pendukung aliran tradisionalisme, al-Attas jelas berpegang
kepada tradisi sufi yang mengakar dari sejak al-Junayd (m. 910) dan al-Ghazzali
(m. 1111) sehingga Hamzah Fansuri (m. 1600) dan al-Raniri (m. 1658).
Membaca pemikiran Sufi al-Attas, dapat dipastikan bahawa tradisi Sufi yang

beliau fahami tidak sama dengan tasawwuf yang difahami oleh masyarakat pada
hari ini. Bagi al-Attas, tasawwuf adalah amalan Shariah dalam maqam isan.
(hlm. 33).

Namun demikian al-Attas menggariskan perbezaan di antara pseudo-sufi, sufi
yang jahil dan sufi cendekiawan. Beliau menyelar sebagian penulis yang
memukul rata tasawwuf, kerana tasawwuf dan sufisme selalu disalahfahami.
Baginya ajaran para pseudo-sufi, seperti para sofis (sufastaiyyah) dan kelompok
wujudiyyah itu bukan sufi yang sebenar. Begitu juga kelompok sufi yang jahil.
Sufi yang benar, bagi al-Attas, mengakui bahawa agama terdiri daripada aspek-
aspek yang mapan (seperti Syariah) dan yang kabur (hakikat). Yang kabur
didasarkan pada kebenaran yang jelas daripada aspek-aspek yang mapan.

Al-Attas mengatakan bahawa Islamisasi alam Melayu telah melalui dua fasa: fasa
sebelum Hamzah Fansuri adalah fasa pertama, di mana peranan fiqih sangat
dominan dalam mengamalkan Islam. Dan fasa kedua setelah Hamzah Fansuri
yang ditandai dengan pengaruh tasawuf dan kalam (hlm. 260-261).
Pembahagian fasa ini tidak bermaksud memisahkan kedua bidang ilmu
melainkan sekedar menunjukkan proses kematangan dalam beragama.
Pemahaman murni al-Attas terhadap sufisme membawa beliau kepada
kesimpulan bahawa falsafah sufisme merupakan penghebatan proses Islamisasi.
Tesis ini bertentangan dengan tesis Izutsu yang menilai metafizika dan ontologi
sufi terlalu bebas dan sewenang-wenang (hlm. 283)

Mengenai epistemologi Islam, khususnya definisi ilmu dalam worldview Islam,
al-Attas menjelaskan bahawa mendefinisikan ilmu secara hadd adalah mustahil,
ilmu hanya dapat didefinisikan dengan tepat secara rasm (deskriptif) (hlm. 85).
Dalam hal ini, beliau mengetengahkan definisi yang diberikan oleh al-Tahanawi
(Kashshaf Itilaat al-Funun) dan al-Jurjani (Kitab al-Ta'rifat) dan menolak
pandangan ulama lain yang menggunakan pendekatan hadd dalam pendefinisian
mereka. Bagi al-Attas ilmu adalah kepercayaan yang benar (keyakinan), ia adalah
satu aspek daripada keupayaan spiritual manusia.

Oleh itu, ilmu adalah iman dan kebenaran kerana ia melibatkan penegasan
spiritual dan pengesahan fizik. Lebih menarik lagi beliau mengatakan Ilmu
adalah kesatuan antara orang yang mengetahui dengan makna. Kesatuan ini
hanya dapat berlaku apabila seseorang yang memiliki potensi juga memiliki
persiapan intelektual dan spiritual. Maka dari itu, atas dasar bahawa ilmu adalah
pemberian Allah kepada sesiapa yang dipilih-Nya, walaupun ramai manusia yang
berpotensi tetapi sedikit yang dianugerahkan ilmu yang betul.

Atas premis bahawa ilmu itu datang daripada Allah s.w.t. dan diperoleh jiwa
yang kreatif, beliau membahagikan pencapaian dan pendefinisian ilmu secara
deskriptif ke dalam dua bahagian. Pertama, sebagai sesuatu yang berasal
daripada Allah s.w.t., dapat dikatakan bahawa ilmu itu adalah tibanya makna
sesuatu objek ilmu ke dalam jiwa pencari ilmu (husul surat al-shay fi al-aql);
kedua, sebagai sesuatu yang diterima oleh jiwa yang aktif dan kreatif, ilmu dapat
diberikan sebagai tibanya jiwa pada makna sesuatu objek ilmu. (wusul al-nafs ila
mana al-shay)(hlm. 87).


Definisi ilmu seperti yang diungkapkan oleh al-Attas di atas, memberikan kita
gambaran yang jelas bahawa pencarian ilmu bukan sekedar pengumpulan
maklumat dan fakta. Apa yang penting adalah kefahaman dan kesedaran yang
dicapai oleh jiwa atau hati nurani seseorang. Sehingga ilmu yang diperolehinya
dapat memberi manfaat kepadanya supaya menjadi pelita yang menerangi
kehidupannya. Dengan memahami hakikat ilmu seperti ini maka akan
terungkailah kemusykilan mengenai wujudnya segolongan pemegang ijazah
yang tinggi hatta dalam pengajian Islam tetapi tidak membawanya kepada
hidayah dan jalan yang lurus. Masyarakat memandang golongan ini sebagai
ilmuwan, tetapi pada hakikatnya mereka tidak lebih dari sekedar pengumpul
maklumat.

Berlawanan dengan kecenderungan falsafah Barat dan golongan modenis dan
liberal, bagi al-Attas, objek ilmu, bukanlah khayalan manusia, ia benar-benar
wujud, berdiri sendiri. Ia disebut haqiqah dan huwiyyah sekaligus. Untuk
memiliki makna yang benar makna yang diperoleh harus sepadu dengan unit-
unit konsep lainnya yang terdapat dalam sistem konseptual al-Quran (hlm. 89).
Di sinilah pentingnya seseorang yang ingin memahami hakikat sesuatu
mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap al-Quran.

Pengaruh pemikiran al-Attas terhadap pemikiran Islam masa kini cukup besar,
di Malaysia khususnya beliau telah berjasa dalam menggembleng generasi muda
yang kini sangat berpengaruh seperti ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia),
GAPIM (Gabungan Penulis Islam Malaysia), dan ASASI (Akademi Sains Islam
Malaysia). Beliau adalah pengasas dan penggubal konsep keislaman di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) bahkan mereka bentuk logo UKM (hlm. 266). Beliau
juga yang mengusahakan terbentuknya Fakulti Pengajian Islam sebelum
menubuhkan dan mengetuai IBKKM (Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan
Kebudayaan Melayu) yang pada hari ini telah bertukar menjadi ATMA (Institut
Alam dan Tamadun Melayu) (hlm. 268).

Pengaruh al-Attas terhadap tokoh-tokoh masyarakat hari ini juga amat besar.
Penglibatan al-Attas dalam pendidikan negara di peringkat pengajian tinggi,
bahkan sumbangan beliau dalam mengasaskan banyak institusi dalam universiti
tempatan pada peringkat awal penubuhannya tentu dengan sendirinya
mengangkat beliau sebagai Guru Bangsa. Ini dapat dilihat dengan baik apabila
kita selidik kembali tokoh-tokoh ilmuwan yang muncul sekarang kebanyakannya
adalah bekas murid al-Attas. Khususnya ilmuwan yang berkecimpung dalam
bidang pemikiran Islam dan pengajian Melayu. Tokoh-tokoh terkenal hari ini
seperti Dato Dr. Siddiq Fadzil, Prof. Dr. Osman Bakar merupakan bekas murid
beliau (hlm.15).

Al-Attas berjaya membuktikan, sekurang-kurangnya kepada golongan yang
memperlekehkan sumbangan golongan intelektual sebagai tidak penting
berbanding sumbangan dalam bidang politik dan ekonomi. Idea-idea beliau yang
berwibawa dan usaha gigih beliau yang berterusan, sehingga terbinanya ISTAC,
adalah membuktikan keberkesanan pandangan beliau dalam mengatasi
kebingungan dan kekacauan pemikiran. Atas dasar ini, masyarakat perlu

diberikan kefahaman yang betul dalam usaha mereka menjadi terbilang dalam
pelbagai lapangan kehidupan. Bukan menjadi ajang percubaan kerana harga
yang terpaksa dibayar akibat miskonsepsi mengenai konsep pendidikan,
pembangunan dan kebudayaan adalah terlalu mahal.

Bagi al-Attas, Islamisasi adalah sebuah revolusi epistemologi dan harapan
untuk merealisasikan kebangkitan Islam. Konsep Islamisasi menjadi tumpuan
minda dan jiwa beliau semenjak sekian lama sebelum tertuang menjadi gagasan
besar. Konsep Islamisasi ini pernah dibicarakan oleh sarjana-sarjana ulung lain
seperti Seyyed Hossein Nasr (hlm. 338) dan Fazlur Rahman (hlm. 342), Namun
penggunaan terma Islamisasi yang dipakai oleh sarjana-sarjana tersebut
dilakukan bukan berangkat daripada kajian epistemologis. Oleh karenanya
gagasan Islamisasi sebelum al-Attas adalah gagasan yang tidak konkrit.
Islamisasi yang dimaksudkan al-Attas bukan sekedar merubah disiplin ilmu, ia
adalah Islamisasi fikiran, jiwa dan raga serta kesan-kesannya terhadap
kehidupan manusia. Dan ini direalisasikan dengan beberapa cara di antaranya
Islamisasi istilah dan konsep kunci yang menjadi agenda penting dalam
pemikiran beliau.

Islamisasi berangkat dari beberapa premis yang mapan. Dalam buku Risalah
untuk Kaum Muslimin yang ditulis oleh beliau pada tahun 1973, al-Attas telah
menjelaskan berbezaan yang luas dan mendalam antara Islam dengan Barat
dilihat dari aspek keagamaan, epistemologis, pendidikan dan budaya. Melalui
analisis mendalam tentang worldview Barat ini beliau berkesimpulan bahawa
ilmu itu benar-benar tidak bebas nilai (neutral). Ini kerana ilmu yang dikuasai
oleh Barat pada hari ini telah diresapi nilai keagamaan dan kebudayaan
pandangan hidup seseorang, dan budaya berkuasa yang mengajukannya (hlm.
269).

Melalui analisis bidang semantik yang menjadi metodologi kajiannya, al-Attas
telah merumuskan bahawa Islamisasi di alam Melayu telah berlaku melalui
pengislaman istilah dan konsep kunci dengan demikian ia kemudian merubah
atau mengislamisasikan pandangan alam bangsa Melayu-Indonesia (hlm. 261).

Al-Attas menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan kontemporari adalah produk
daripada kerangka intelektual peradaban Barat yang didasarkan kepada: (a)
meletakkan akal semata-mata untuk membimbing manusia mengharungi
kehidupan (rasionalisme). (b) konsep dualisme yang meliputi hakikat dan
kebenaran. (c) ideologi sekular. (d) Doktrin humanisme. (e) Konsep tragedi (hlm.
272). Menyedari pengaruh sekularisme terhadap masyarakat Barat dan
besarnya kesan sekularisasi terhadap dunia hari ini, maka apa yang perlu
dilakukan oleh cendekiawan Muslim sebagai tindak balas adalah desekularisasi
(menyah-sekularisasikan). Oleh yang demikian, al-Attas selalu menterjemahkan
Islamisasi sebagai proses desekularisasi. Walaubagaimanapun, tumpuan proses
Islamisasi bagi al-Attas adalah individu dan bukannya umat seperti yang
ditekankan oleh al-Faruqi dalam konsep Islamisasinya.

Setelah melihat penjelasan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa Profesor
Wan Mohd Nor telah berjaya membuktikan bahawa konsep Islamisasi adalah

idea asli al-Attas. Konsep yang juga dikongsi oleh al-Faruqi dari IIIT ternyata
memberikan respon yang tidak memberangsangkan. Namun demikian al-Faruqi
boleh dikatakan cendekiawan ulung yang telah berjaya mempopulerkan idea
Islamisasi ilmu pengetahuan sehingga menjadi concern para cendekiawan
lainnya. Pendekatan yang berbeza antara al-Attas dan al-Faruqi dalam
menkonseptualisasikan Islamisasi ilmu pengetahuan kontemporari tidak perlu
diperbesar-besarkan. Apa yang penting keduanya ikhlas dan bersungguh-
sungguh memikirkan jalan keluar bagi kegentingan umat Islam. Pendekatan al-
Attas yang lebih sistematik boleh dianggap pelengkap bagi pendekatan al-Faruqi
yang lebih menekankan pada disiplin ilmu.

Di sebalik penulisan yang sophisticated dan kematangan pemikiran yang
ditumpahkan ke dalam buku ini, terdapat beberapa kesilapan ejaan dan teknikal
yang sedikit mencacatkan penerbitan buku ini, ini menunjukkan tetap adanya
kelemahan manusia yang jauh daripada kesempurnaan. Namun ia masih boleh
diperbaiki untuk penerbitan seterusnya. Kesilapan ejaan seperti: kereta ditulis
kereka (hlm.129), rubah ditulis dengan ejaan lama robah (hlm. 97). Ejaan
Indonesia ada yang masih belum dirubah seperti dualistis (hlm. 54)
persaudaraan diertikan dalam bahasa Arab sebagai ikhwah bukan ukhuwwah
(hlm. 278) begitu juga kehormatan diertikan sebagai muruwwah yang
sepatutnya muruah (hlm. 278). Tidak mengambil ilmu sepatutnya makna dari la
yaqbidu (menggunakan huruf qaf ) bukan la yaghbidhu (hlm. 270).

Boleh dikatakan bahawa buku ini merupakan rumusan daripada pemikiran Al-
Attas selama lebih tiga dekad yang sebenarnya merupakan keperihatinan beliau
terhadap aspek pendidikan dan pemikiran ummat Islam. Sumbangan beliau amat
bermakna dalam mencorakkan pemikiran Islam yang sejati. Di samping juga
menjadi senjata yang cukup ampuh untuk melawan segala bentuk
penyelewengan terhadap Islam. Asas-asas epistemologi yang telah beliau bina
boleh menjadi fondasi yang kuat untuk menentang arus liberalisasi dan
dekonstruksi Islam pada hari ini.

Sangat ketara sekali bahawa pemikiran al-Attas telah memberi kesan yang
mendalam pada jiwa penulis. Kata-kata di bawah ini menarik untuk dicermati:
Persoalan kita bukanlah pada kurangnya sumber-sumber kewangan, material,
spiritual, dan intelektual, melainkan yang lebih penting adalah keengganan kita
untuk meletakkan setiap sumber yang kita miliki pada tempatnya yang benar
dan tepat(hlm. viii).

Khalif Muammar A. Harris
Akademi Kajian Ketamadunan
http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=132&
Itemid=108

March 17, 2009 at 8:34pm
https://www.facebook.com/notes/syed-muhammad-naquib-al-attas/mengenal-
syed-muhammad-naquib-al-attas-pemikiran-dan-sumbangannya-selama-3-
dekad/57465460887

Anda mungkin juga menyukai