Anda di halaman 1dari 4

81

Jurnal Antarabangsa Kajian Asia Barat International Journal of West Asian Studies Vol.2 No. 1 2010 ISSN 1394 0902 pp 81-84

Ulasan Buku oleh Dr. Latifah Abdul Majid The Palestine-Israeli Conflict: A beginners Guide. Oleh Dan Cohn-Sherbok & Dawoud El Alami. Oneworld Publication, Oxford, 2003. Hlm. 238 + hlm 230-227(Bibliography) + hlm.229-238 (Index). ISBN: 1851683321. Buku ini adalah merupakan sebuah buku yang menceritakan konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin. Ia sebagai asas permulaan bagi mereka yang ingin mengetahui dan memahami konflik yang tercetus di antara dua bangsa ini. Tujuan penulisan ini adalah untuk mendorong pembaca untuk mendapatkan pemahaman maklumat dari sudut pandangan dua orang intelektual iaitu mewakili Yahudi dan Palestin seterusnya membuat kesimpulan sendiri mengenai sejarah pergolakan tersebut. Buku ini mengandungi 238 halaman ini, dikarang oleh dua orang sarjana iaitu Dan Cohn-Sherbok dan Dawoud el-Alami. Dan Cohn-Sherbok merupakan seorang Rabi Amerika yang mendapat pendidikan di Hebrew Union College Jewish Institue of Religion dan kemudiannya memperoleh ijazah kedoktoran dari Universiti Cambridge. Beliau kemudiannya berkhidmat di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Afrika Selatan. Ketika buku ini ditulis beliau bertugas sebagi Profesor di University of Wales, Lampeter, United Kingdom. Beliau telah menulis sebuah kajian mengenai Israel iaitu Israel: The History of an Idea yang menyokong pembetukan sebuah tanah air bagi rakyat Palestin. Walau bagaimanapun beliau juga adalah penyokong kuat negara Israel di Timur Tengah. Dawoud el-Alami berasal dari keluarga Palestin yang lahir di Jurusalem. El-Alami mendapat pendidikan di Mesir dan merupakan graduan Universiti al-Azhar dalam bidang undang-undang. Pada awalnya beliau bekerja sebagai peguam dan kemudiannya dilantik sebagai salah seorang tenaga pengajar di beberapa buah universiti misalnya Universiti of Kent, Canterbury, Universiti Oxford, Universiti al-Bayt di Jordan dan Universiti of Wales, Lampeter. Melalui silsilah keturunannya maka tidak hairanlah walaupun beliau merantau di luar negaranya namun ia tidak menghalang kekentalan semangatnya. Beliau sangat bersemangat di dalam membela nasib bangsa dan negara Palestin di dalam penulisannya ini, di samping itu juga mengkritik dasar-dasar kedua buah negara tersebut; Israel dan Palestin. Buku yang ditulis pada musim panas tahun 2001 dan kemudiannya diulang cetak pada 2003 ini, dimulakan dengan kronologi peristiwa yang mencetuskan konflik antara Israel dan Palestin yang bermula semenjak tahun 1862 hingga tahun 2003. Perbincangan di dalam buku ini

82
Ulasan Buku The Palestine-Israeli Conflict: A beginners Guide Latifah Abdul Majid

dibahagikan kepada dua bahagian utama; iaitu bahagian pertama adalah merupakan perbincangan ke atas isu dan konflik yang berlaku menurut perspektif sarjana Yahudi iaitu Dan Cohn-Sherbok. Ia dibentuk sebanyak enam bab bersama sub-sub topik tertentu, manakala untuk bahagian kedua sebanyak enam bab merupakan perbincangan dari perspektif Dawoud el-Alami yang melihat dari kacamata dirinya sebagai seorang individu berbangsa Palestin. Bagi memahami konflik dan permasalahan yang berlaku maka Sejarah gerakan Zionis (hlm.3-16), selepas Perang Dunia Pertama (hlm. 21-33), pembetukan negara Yahudi (hlm. 3850), peperangan enam hari dan selepasnya (hlm 55-67), jalan-jalan keamanan (hlm. 72-84), dan peristiwa sebelum dan 11 September serta akibatnya (hlm 89-98) merupakan antara bab-bab yang dibincang oleh Cohn-Sherbok di dalam buku ini. Manakala bahagian kedua pula, tumpuan yang diberikan oleh el-Alami ialah kepada sejarah asal-usul Palestin moden (hlm 105117),Palestin, Yahudi dan British (hlm 119-139) ke arah pembetukan negara Israel (hlm.141148), hubungan Arab-Yahudi (hlm.152-164) serta pembebasan dari peperangan (hlm. 167-180). Buku ini diakhiri dengan tajuk perdebatan (hlm.197-216) di antara kedua penulis yang membahaskan kembali hujah yang dikemukakan oleh keduanya. Di dalam perdebatan ini keduadua pengarang mengemukakan kewajaran hujah dan cadangan penyelesaian bagi menangani konflik tersebut. Di dalam penulisan buku ini, diutarakan dua pandangan dari kedua-dua belah pihak. Walaupun terdapat banyak perkara yang tidak dipersetujui oleh kedua-duanya, namun terdapat beberapa isu yang dipersetujui oleh mereka berdua iaitu antaranya mereka berpendapat Palestin berhak membentuk negara mereka sendiri. Antara perbezaan yang wujud di antara kedua-duanya ialah kewajaran pembentukan negara Israel di dalam tanah Negara Palestin. Cohn-Sherbok berpendapat bahawa pembetukan negara Israel adalah tindakan bermoral selepas berkurun anti-Semitism dan penindasan yang dilakukan terhadap mereka di tanah Palestin dahulu (hlm. 198). Walau bagaimanapun, el-Alami berpendapat sebaliknya iaitu tindakan yang dilakukan oleh Israel adalah suatu tindakan yang tidak bermoral: sejarah Yahudi Palestin berakhir pada 137 sebelum Masehi. Sehingga pertengahan abad kedua puluh, tiada majoriti Yahudi di Palestin iaitu semenjak seribu lapan ratus tahun yang lalu...dalam suasana abad ini yang menentang penjajahan maka adalah tidak wajar Yahudi menakluk dan menjajah tanah yang bukan hak mereka El-Alami juga mengkritik dan mempertikaikan tindakan tidak bermoral kerajaan Britain yang telah membuat perjanjian dengan Israel mengambil tanah Palestin untuk membentuk negara Yahudi Zionis ini (hlm 207). Beliau mempersoalkan kewajaran negara Britain menangani

83
Jurnal Antarabangsa Kajian Asia Barat International Journal of West Asian Studies Vol.2 No. 1 2010 ISSN 1394 0902 pp 81-84

pertelingkahan tersebut serta campur tangan Britain dan Amerika dalam urusan negara Palestin dan bangsa Israel tersebut. Cohn-Sherbok dalam mengkritik dasar dan beberapa tindakan Israel telah menimbulkan pertanyaan apakah alternatif yang boleh dilakukan oleh Israel dalam menghadapi situasi ini bagi membentuk kerajaan mereka? (hlm. 203). Beliau juga menimbulkan isu dari sudut sejarahnya bahawa pada masa dahulu bangsa Yahudi pernah diserang dan ditakluk oleh bangsa Arab. Justeru, adalah wajar bagi Israel meneruskan agenda pembetukan negara mereka demi kelangsungan hidup. Seterusnya el-Alami mengkritik pampasan yang diberikan kepada Israel ekoran penderitaan mereka sedangkan bangsa Palestin yang melalui penderitaan dengan kehilangan nyawa dan harta benda tidak menerima apa-apa pampasan. Walau bagaimanapun isu alternatif yang ditimbulkan oleh Cohn-Sherbok ini tidak dijawab oleh el-Alami. Berkemungkinan sukar baginya untuk menjelaskan di dalam ruangan penulisan ini. Di dalam buku ini el-Alami menganjurkan pembetukan negara Palestin, di samping mengkritik pemimpin-pemimpin negara Arab yang menggunakan penderitaan rakyat Palestin bagi mencapai tujuan politik mereka. Menurutnya bantuan yang dilakukan ke atas bangsa Palestin adalah bermotif tertentu. Perjanjian damai Camp David antar Mesir dan Israel telah dikritik oleh el-Alami kerana mengabaikan hak-hak rakyat Palestin. Beliau juga mengkritik sikap masyarakat dunia terutamanya pemimpin-pemimpin Barat dalam menangani konflik ini. Begitu juga kritikan ditujukan kepada pihak media dunia yang bersikap bias dalam laporan berhubung masalah yang berlaku (hlm. 214). Beliau berpendapat bahawa setiap kali berlakunya penaklukan dan serangan oleh Israel ke atas Palestin juga tidak diberi laporan yang adil (hlm. 215). Selanjutnya, el-Alami mempertahankan pandangan bahawa Israel tidak boleh mengambil sebahagian dari tanah Palestin untuk membentuk negara mereka. Beliau juga berpendapat bahawa bangsa Israel dan Palestin tidak mampu hidup bersama dengan aman sekiranya tidak diberi hak samarata dan adil sama ada dari segi perundangan, demokratik dan sebagainya (hlm 211). Banyak lagi isu-isu pergolakan politik dunia sama ada di dunia Barat dan dunia Islam dan persolan kenapa berlaku dan sebab yang mempengaruhi konflik di antara Israel-Palestin. Keduadua penulis bijak menimbulkan persoalan dan memberikan jawapan secara akademik dan sinis apabila mengajak pembaca merenung sejarah peperangan, penaklukan, perjanjian perdamaian di antara negara Arab dan Eropah untuk mencari jalan penyelesaian ke atas konflik yang berlaku.

84
Ulasan Buku The Palestine-Israeli Conflict: A beginners Guide Latifah Abdul Majid

Secara umum, buku ini sangat bermanfaat kepada pembaca yang berminat mengikuti isu dan konflik dua negara ini. Golongan pemimpin, akademik dan masyarakat awam di seluruh dunia pada masa ini sedang bergelut memahami permasalahan yang seolah tiada kesudahannya. Dari buku ini, pembaca akan belajar tentang sejarah Zionisme, pembentukan negara Israel dan kesannya pada masyarakat Arab. Paling penting ialah pembaca dapat melihat dan memahami masalah yang sulit dan kompleks dari perspektif individu yang berbeza keturunan dan agama dalam sebuah perdebatan iaitu Yahudi dan Muslim, Israel dan Palestin. Tegasnya, penerbitan buku ini menawarkan kepada pembaca untuk memahami konflik dan dilemma yang berlaku di antara Israel-Palestin yang berdasarkan suasana politik , keagamaan, sejarah dan isu-isu naluri emosi dan pemikiran masyarakat bagi mencapai keamanan. Dr. Latifah Abdul Majid adalah seorang pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran dan alSunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Email: umilm@yahoo.co.uk.

Anda mungkin juga menyukai