Anda di halaman 1dari 13

1

MENGENALI PUNCA KEMEROSOTAN MINAT PELAJAR TERHADAP


PEMBELAJARAN & PENGAJARAN PENDIDIKAN ISLAM
MARSHITAH MOHD AINI
MOHD ADERI CHE NOH
AB HALIM TAMURI

ABSTRAK: Pendidikan Islam merupakan tunjang dalam diri manusia. Minat yang mendalam
perlu ada bagi melahirkan rasa kecintaan dan meningkatkan tahap pemahaman serta penghayatan
tentangnya di dalam kehidupan. Namun kemerosotan minat pelajar terhadap mata pelajaran
tersebut semakin membimbangkan. Kemerosotan minat yang akhirnya menyebabkan timbulnya
pelbagai masalah sosial dan disiplin. Namun apakah punca berlakunya gejala kemerosotan minat
pelajar untuk terus mempelajarinya. Kertas kerja ini mengupas isu ini secara terperinci bagi
mengenal pasti punca, kesan dan kaedah terbaik dalam menanganinya.
Kata Kunci: Kemerosotan Minat Pelajar, Pembelajaran & Pengajaran, Pendidikan Islam.
PENDAHULUAN
Minat merupakan sesuatu yang akan mendorong seseorang individu untuk melakukan sesuatu
perkara dengan penuh keikhlasan, berterusan serta tanpa rasa bosan. Minat yang mendalam
terhadap sesuatu akan menghindarkan individu dari bersikap sambil lewa. Namun kemerosotan
minat pelajar terhadap pelajaran pendidikan Islam umpama satu wabak penyakit yang mampu
memudaratkan kehidupan sejagat. Ia bukan sekadar mengganggu prestasi pencapaian sekolah
namun yang pasti ia merupakan penanda aras yang membuktikan kegagalan seorang guru
pendidikan Islam dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai mudarris, mua’llim,
muaddib, murabbi dan mursyid.
DEFINISI MINAT
Menurut Siti Hanim Ramli (2006) minat akan mendorong jiwa bergerak secara aktif untuk
menerima sesuatu dari luar. Perhatian secara tetap (persistent attention) akan berlaku apabila
lahir perasaan minat. Yahya Abdullah (2003) dalam penulisannya membawakan definisi oleh
Crow dan Crow (1983), Seogarda (1981) dan Strong (1964) iaitu minat adalah kecenderungan,
kesukaan, kesediaan jiwa terhadap sesuatu yang berkait rapat dengan pengetahuan serta usaha
yang dilakukan untuk mendapatkan sesuatu kemahiran tersebut. Berdasarkan definisi berikut
dapat difahami wujudnya minat dapat memotivasikan seseorang pelajar untuk terlibat secara
terus mengikuti pembelajaran dan pengajaran pendidikan Islam di dalam dan di luar bilik darjah.
FAKTOR PELAJAR KURANG MINAT
Tugas dan tanggungjawab guru telah lama dibincangkan oleh ramai tokoh pendidik. Hossein
Nasr (1987) menjelaskan guru menurut perspektif Islam mempunyai tanggungjawab dalam
pembangunan akhlak iaitu sebagai murabbi (a trainer of souls and personalities) dan bukan
semata-mata seorang mu’allim (a transmitter of knowledge). Rosnani Hashim (1997) melihat
guru sebagai muaddib yang bertanggungjawab dalam menerapkan adab ( disiplin dalam
pemikiran, fizikal dan rohani ). Halstead (1995) pula menjelaskan bahawa guru sangat disanjung
kerana mereka bukan sekadar berilmu malah memiliki personaliti dan komitmen kepada Islam
2

serta menunjukkan contoh yang baik kepada para pelajar sehingga para pelajar boleh mengikuti
guru mereka tanpa ragu-ragu (Kamarul Azmi Jasmi et. al 2007).
Namun permasalahan mula timbul apabila pelajar mula kurang berminat untuk terlibat
dalam sesi pembelajaran dan pengajaran pendidikan Islam di sekolah. Minat amat penting kerana
dari sana akan timbul perubahan sikap, pembentukan persepsi serta lahir penghayatan yang
mendalam terhadap pelajaran. Zaiton Mustafa & Hishamuddin Salim (2012) menyatakan
terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan para pelajar tidak atau kurang berminat mengikuti
pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam iaitu pengaruh ibu bapa, pengaruh guru
pendidikan Islam dan kurikulum pendidikan Islam itu sendiri. Malah dalam dapatan kajian yang
mereka lakukan menunjukkan guru pendidikan Islam (GPI) adalah kunci utama penyebab
kepada permasalahan ini.
FAKTOR IBU BAPA
Oleh kerana salah satu cara untuk mengembangkan potensi individu ialah melalui pendidikan
maka mendapat pendidikan adalah satu perkara wajib. Untuk mendidik seorang anak, Hasan
(1981) tidak menafikan bahawa tanggungjawab untuk mencorak potensi semula jadi yang wujud
sejak anak-anak dilahirkan adalah dipikul oleh kedua ibu dan bapa mereka, iaitu penjaga mereka.
Dalam menegaskan hal ini beliau telah mengemukakan sebuah hadis Sabda Rasulullah S.A.W
yang bermaksud :”Setiap bayi itu dilahirkan dengan fitrah ( potensi semula jadi ). Hanya ibu
bapalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi”.
Oleh kerana tugas dan tanggungjawab mendidik anak adalah terletak di bahu ibu bapa,
maka mereka perlulah bijak memilih pendidikan yang sesuai untuk anak-anak mengembangkan
fitrah atau potensi mereka sehingga mencapai konsep mengenali Allah. Maka menurut Hasan
(1977) ibu bapa perlulah menyediakan persekitaran dan rangsangan yang menggalakkan
perkembangan potensi anak-anak itu terlebih dahulu. Sebagaimana pandangan beliau:
“..........bakat hanya bisa menjadi berketerampilan (skill) yang akan dinikmati kalau ia disokong
oleh alam sekitar (environment) yang sesuai dengan bakat tersebut”. Maka adalah menjadi
tanggungjawab ibu bapa untuk mengembangkan potensi tersebut dengan menyediakan
rangsangan yang positif seperti memuji dan memberikan ganjaran sekiranya anak-anak
melakukan ibadat. Selain daripada itu ibu bapa juga perlu menyediakan persekitaran yang
menggalakkan anak-anak melakukan ibadat seperti solat berjemaah, menonton rancangan
televisyen yang bercorak islam, menunjukkan role model mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W
dan sebagainya.
Namun apa yang menjadi suatu kebimbangan kini apabila institusi kekeluargaan mulai
rapuh. Ibu bapa mula meletakkan tanggungjawab menjaga makan minum anak-anak kepada
pembantu rumah, sementara tugas mendidik pula diserahkan sepenuhnya kepada institusi
pendidikan seperti sekolah. Persoalannya di manakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh
mereka, bukankah pendidikan itu bermula di rumah. Adakah mereka beranggapan tugas mereka
sekadar menghasilkan dan melahirkan anak serta mencari nafkah semata-mata. Bagaimana pula
soal mendidik hati, pemikiran dan pembentukan akhlak anak-anak yang semakin pincang dan
terabai.
Isu masalah disiplin pelajar yang sering dipaparkan di dalam keratan akhbar menegaskan
tentang punca kepada permasalahan sosial ini berpunca daripada hubungan ibu bapa dan remaja.
3

Pertentangan pendapat antara mereka timbul apabila kedua pihak cuba untuk mempertahankan
kebenaran masing-masing. Remaja bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya
mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya kerana kesibukan ibu bapa dengan kerjaya.
Lantaran itu mereka kekurangan masa bersama, kasih sayang yang diharapkan telah diganti
dengan wang ringgit dan kemewahan. Tanggungjawab diserahkan kepada pembantu rumah yang
telah dibayar gaji dan guru di sekolah umpama pusat jagaan bayi dewasa. Ibu bapa pula keliru
dan beranggapan sekolah yang gagal melahirkan pelajar berdisiplin.
Ismail (2011) dalam Rozmi Ismail (2012) menegaskan kanak-kanak yang awalnya sangat
rapat dengan ahli keluarga dan keluarga adalah dunia bagi mereka, namun kemudiannya mereka
beransur-ansur membina konsep diri, mencari kelainan dan nilai yang terasing dan rangkaian
sosial yang tersendiri. Mereka mula mencari identiti diri dan mengenal siapa mereka. Dalam
konteks ini mereka akan melakukan pelbagai tingkah laku dan ujikaji yang kadang-kadang sukar
diterima keluarga. Ahli psikologi berpendapat bahawa zaman remaja berlaku beberapa proses
perkembangan yang besar iaitu perkembangan fizikal seperti bentuk badan, organ seksual,
pertumbuhan bulu dan lain-lain. Perkembangan intelektual seperti merujuk kepada kebolehan
mental dan keupayaan berfikir dengan lebih abstrak dan meramal serta memahami sesuatu
dengan lebih mendalam. Sementara perkembangan sosial pula melibatkan pembinaan jaringan
sosial yang baru seperti pencarian kawan dan kawan rapat, kawan bermain an satu hobi, orang
istimewa berlainan jantina dan komunikasi yang mendalam. Perkembangan personaliti dan
perangai juga didapati wujud selari dengan perkembangan ketiga-tiga aspek tersebut.
Kajian sains neurologi melalui ujian MRI (Magnetic Resonance Imaging) terhadap
perkembangan otak manusia umur 4-12 tahun menunjukkan bahawa bahagian otak (prefontal
cortex) kanak-kanak dan remaja awal masih belum matang sepenuhnya. Sebaliknya proses
kematangan dan kefungsian otak didapati terus berkembang sehingga ke tahap umur 18 dan 20
tahun. Oleh itu dapat difahami bahawa mengapa sesetengah remaja bawah 18 tahun, perangai
dan cara berfikir mereka dilihat masih keanak-anakan (Nitin Gogtay et. al 2004; NIH’s National
Institute of Mental Health, 2011; Label & Beaulieu, 2011 dalam Rozmi Ismail, 2012).
Berdasarkan penemuan sains neuro dan psikologi ini jelas bahawa mengapa kebanyakan
remaja bertindak bertentangan dengan norma keluarga dan masyarakat, sering melawan,
menentang orang dewasa dan sentiasa merasakan mereka tidak dihiraukan atau bukan
sebahagian daripada sistem masyarakat sama ada dalam bentuk rasmi atau tidak rasmi. Mereka
sering merasakan suara mereka tidak didengari dan merasakan wujudnya benteng besar antara
mereka dengan golongan lebih tua atau pihak pemerintah. Andai keadaan ini tidak dikawal,
akhirnya remaja ini akan terjebak dengan gejala sosial semata-mata untuk menarik perhatian
(Rozmi Ismail, 2012). Namun andai institusi kekeluargaan kuat dan utuh sebati dalam diri
mereka, pasti mereka lahir sebagai remaja benteng pertahanan negara dan berkeyakinan tinggi
dalam menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Ibu bapa seharusnya sedar kepentingan
didikan agama dalam diri anak-anak sejak mereka di dalam kandungan. Perkuatkan dalaman
anak-anak dengan identiti agama yang akan menjadi panduan dalam kehidupan tatkala mereka
bersama dengan masyarakat kelak. Andai langkah mereka tersasar, percayalah betapa agama
yang diterapkan dalam diri akan menarik mereka ke jalan kebenaran semula. Jadilah teman dan
sahabat rapat kepada anak-anak agar mereka senantiasa merasa diri dihargai dan disayangi.
Teori Ekologi Manusia (Bronfenbrenner, 1979) menjelaskan bahawa manusia tidak hidup
dalam keadaan vakum yang terpisah dari sistem dan persekitaran luar. Konteks sistem luar
4

keluarga seperti sistem kejiranan, persekitaran tempat kerja, peraturan dan undang-undang, adat
resam dan tatasusila sesuatu budaya mengikut konteks tempatan mempunyai pengaruh tersendiri
dan mampu pula dipengaruhi oleh keluarga. Kajian terdahulu (Acock & Demo, 1994; Amato &
Keith, 1991) menyokong bahawa variabel proses keluarga terutama keibubapaan memainkan
peranan paling penting dalam menentukan kesejahteraan anak. Keutuhan dan keruntuhan
institusi keluarga mempunyai pengaruh dan implikasi unik ke atas kehidupan keluarga dan
masyarakat. Keluarga yang mengamalkan tingkahlaku keibubapaan yang menekankan kawalan-
antonomi, sokongan dan penglibatan dalam aktiviti anak dilihat mempunyai fungsi keluarga
yang lebih memberangsangkan (Portal J.K.D. 2007).
Kemantapan institusi kekeluargaan merupakan penyumbang terbesar dalam melahirkan
warganegara yang di cita, warganegara yang berilmu, beriman dan beramal soleh. Ibu bapa yang
menekankan kepentingan beragama dan penekanan aspek amalan serta penghayatan agama di
dalam kehidupan anak-anak akan mempermudahkan proses mendidik yang akan dipikul oleh
para pendidik di institusi pendidikan. Minat beragama yang ditanamkan dalam diri anak-anak
sejak mereka dari dalam kandungan lagi akan menjadi benteng pertahanan yang melindungi
mereka ke mana sahaja mereka bermusafir di atas bumi Tuhan ini. Namun kealpaan dan
kecuaian dalam menanamkan minat beragama akan melumpuhkan tamadun bangsa.
FAKTOR GURU PENDIDIKAN ISLAM
Profesion GPI adalah satu kerjaya yang amat mencabar kerana mereka bertanggungjawab
merealisasikan kehendak dan matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Islam
( FPI ) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Dalam Islam tugas pendidik umumnya
adalah untuk mendidik, iaitu berusaha mengembangkan seluruh potensi murid sama ada potensi
psikomotor, kognitif atau afektif. Masyarakat umum pada hari ini melihat institusi pendidikan
seperti sekolah sebagai satu institusi untuk melahirkan manusia yang ‘lengkap’ dengan
penguasaan terhadap seluruh potensi tanpa menghiraukan betapa peranan masyarakat itu sendiri
amat diperlukan (Ab. Halim Tamuri et. al, 2010). Masyarakat kini lebih suka berlepas tangan
daripada bersama memikul tugas mendidik dan mudah mencari pihak yang harus dipersalahkan
andai berlaku kegagalan.
Menurut Syed Hossein Nasr (1987) serta Husain dan Ashraf (1989) paksi utama dalam
sistem pendidikan ialah guru. Al- Muhammadi (1991) menegaskan guru sebagai seorang
pendidik harus bersikap zuhud dalam menyampaikan ilmu kepada anak didiknya iaitu tidak
mengharapkan balasan kebendaan atau penghormatan masyarakat sebaliknya hanya
mengharapkan keredaan Allah S.W.T semata-mata. Menurutnya lagi seorang guru akan berjaya
melaksanakan tugasnya apabila memiliki rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap
muridnya sebagaimana kasih seorang bapa terhadap anaknya sendiri (Abidin, 1998; al-Abrasyi,
1974; al-Aroosi, 1992). Apabila perasaan kasih sayang menguasai pengajaran dan pembelajaran,
proses pendidikan seperti memberi nasihat dan peringatan akan menjadi lebih mudah (Ahmad
Tafsir, 1994). Ini bertepatan dengan konsep bersepadu seorang mu’allim yang diajar oleh
Rasulullah S.A.W sebagaimana sabda baginda S.A.W yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah
yang bermaksud ( al-Bukhari, t.t.:554 ): “ Sesiapa yang tidak menyayangi orang lain, pasti dia
tidak akan disayangi” (Ab. Halim Tamuri et. al, 2010).
Berdasarkan huraian yang dibahaskan oleh para ilmuan Islam, nyata di sini betapa
beratnya amanah, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang guru terutama guru
5

pendidikan Islam. Cabaran dunia pendidikan semakin memuncak terutama apabila para guru dari
generasi ‘baby boomers’ (berumur 47 tahun hingga 67 pada 2012), generasi X ( berumur 32
hingga 47 tahun ) dan generasi Y ( berumur 19 hingga 32 tahun ) ini terpaksa berhadapan dengan
anak didik dari generasi Z ( berumur 18 tahun ke bawah ) yang digelar “digital in their DNA”
seperti menurut United Nation of Education and Cultural Organisation (UNESCO) dan Persatuan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Ali Mohammed, (2012). Maka di sinilah konflik mula
berlaku dalam dunia pendidikan masa kini. Konflik dalam mencari satu titik persamaan dalam
membina dan membangunkan ummah cemerlang, gemilang dan terbilang. Terikat dengan
kaedah lama menyukarkan proses pembelajaran dan pengajaran. Namun andai guru bersedia
meneroka pelbagai kemahiran terkini yang bersesuaian dengan pelajar dan mengaplikasikannya
dalam sesi pembelajaran dan pengajaran, pasti proses penitisan ilmu akan meresap dalam jiwa
pelajar.
Konsep 5‫ م‬iaitu guru sebagai mudarris, muaddib, murabbi, mursyid dan mu’allim yang
diasaskan oleh Ab. Halim Tamuri dalam Kamarul Azmi Jasmi (2007) merupakan suatu garis
panduan yang bermanfaat untuk diamalkan oleh guru secara amnya dan guru pendidikan Islam
khususnya. Menurut konteks kajian 5‫ م‬ini terdapat 25 ciri guru sebagai mudarris antaranya
menarik perhatian pelajar semasa P & P, menyesuaikan strategi pengajaran dengan sumber yang
sedia ada, mengawal bilik darjah dengan baik, memiliki unsur kecindan, mempelbagaikan
metodologi pengajaran dengan berkesan dan menjawab soalan pelajar dengan penuh hikmah.
Guru sebagai muaddib pula antaranya merangkumi aspek pemakaian yang sesuai dan kemas
(menutup aurat), menunjukkan kewibawaan (berautoriti dan berilmu), menunjukkan sikap yang
prihatin terhadap kebajikan pelajar, menampilkan perwatakan atau personaliti yang baik dan
mempamerkan sifat tawaddu’ atau rendah diri. Begitu juga guru sebagai murabbi antaranya
memerlukan guru itu menerapkan unsur ketauhidan, kemanusiaan, menyah serta menyingkirkan
nilai bukan Islam, menggunakan bahasa komunikasi yang sesuai dengan pelajar, menegur pelajar
secara hikmah (tidak mengugut, sindir dan berleter), menghukum dengan tujuan mendidik bukan
mendenda serta memanggil pelajar dengan panggilan yang mesra dan penuh kasih sayang.
Mursyid pula merujuk peranan guru yang bersikap adil terhadap pelajar, tegas, kepimpinan
berhikmah, mengawal suasana pembelajaran kelas dengan berkesan serta membimbing pelajar
membuat keputusan. Sementara konsep yang terakhir iaitu guru sebagai mu’allim antaranya
memiliki dan menguasai ilmu, menggalakkan percambahan ilmu, meransang pemikiran pelajar
melalui Kemahiran Berfikir Kreatif dan Kritis ( KBKK ) serta mengetahui isu semasa.
Apabila di dalami dan diperhalusi kelima-lima konsep 5‫ م‬yang digariskan di atas,
ternyata aplikasi sikap dan amalan-amalan tersebut dalam pembelajaran dan pengajaran akan
mampu menarik minat, merubah persepsi dan sikap serta meningkatkan tahap pemahaman dan
penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran pendidikan Islam. Tidak akan timbul sebarang
masalah seperti ponteng kelas, ponteng sekolah, tidur di dalam kelas, melawan guru, merokok di
kawasan sekolah serta banyak lagi permasalahan disiplin yang melanda dunia pendidikan. Andai
guru berperanan sebagai seorang mudarris, muaddib, murabbi, mursyid dan mu’allim yang dekat
dengan hati dan jiwa pelajar, menjadi contoh dan idola dalam kehidupan, pasti martabat
pelajaran pendidikan Islam kembali dijulang. Untuk mendidik pelajar melakukan sesuatu perkara
yang baik, haruslah bermula dengan diri guru itu sendiri. Apabila guru mengamalkan amalan-
amalan yang baik, pelajar akan dapat rasa aura tersebut malahan mereka akan mudah menerima
dan mengamalkan segala suruhan guru dengan rela hati.
6

Guru sebenarnya telah lama diberi mandat dan kepercayaan mendidik dan
membangunkan potensi yang ada pada kanak-kanak seperti aspek kerohanian, kepercayaan,
moral dan integriti diri dalam meningkatkan pencapaian diri (Halstead, 2004) namun masih
terdapat GPI yang tidak memiliki personaliti diri yang baik sehingga mereka gagal untuk
menjadi role model kepada para pelajar (Abdul Aziz, 1995 dalam Zaiton Mustafa et. al 2012).
Dalam sirah Nabawiyyah tugas seorang guru berkait rapat dengan tugas pendakwah atau da’i
(Ab. Halim Tamuri, 2012). Ini memperlihatkan kepada semua betapa besarnya peranan seorang
GPI dalam mencorak pemimpin masa hadapan memandangkan GPI tidak hanya mendidik ilmu
duniawi malah ilmu ukhrawi, mendidik manusia menjadi khalifatullah.
Namun masalah mula timbul apabila GPI gagal memainkan peranan sebagai seorang
pendidik. Ini berpunca apabila terdapat kes GPI yang menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan
terakhir, lalu tugas dan amanah tidak dilakukan dengan sepenuh hati, apa yang penting hujung
bulan gaji sedia menanti. Begitu juga dengan sikap segelintir mereka yang tidak melengkapkan
diri dengan kemahiran-kemahiran yang amat diperlukan sebagai seorang pendidik seperti
latihan-latihan khusus. Abdullah Ishak (1989) dan Ahmad Mohd Salleh (1997) dalam Ab.
Halim Tamuri (2010) berpendapat bagi memastikan keberkesanan dalam menyampaikan ilmu
pengetahuan dan pendidikan, seorang pendidik itu perlu memiliki sifat-sifat keperibadian yang
unggul, ketokohan dan perwatakan yang sempurna. Ini kerana teknik mengajar yang berkesan
ialah apabila murid mudah menerima, menghayati dan boleh mengaplikasikan pembelajaran
dalam suasana kehidupan seharian.
Selain itu kewibawaan seseorang guru bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan yang
dikuasainya tetapi juga dari segi mitra atau imej, tingkah laku dan keperibadiannya adalah antara
aspek yang amat kritikal bagi mewujudkan keyakinan dalam diri pelajar tentang sesuatu perkara
yang diajarkan selain penggunaan pelbagai kaedah, teknik dan alat bantu pengajaran (Ab. Halim
Tamuri et. al 2011). Seseorang yang bergelar guru pendidikan Islam harus memperlengkapkan
pakej diri apabila sanggup memikul amanah sebagai ustaz dan ustazah. Ini kerana mereka tidak
sekadar berperanan menyampaikan ilmu sebaliknya memastikan ilmu-ilmu yang diajar dapat
difahami dan diamalkan dalam kehidupan pelajar selam-lamanya. Andai mereka menyedari
beratnya amanah yang dipikul pasti tidak timbul sebarang isu seperti pelajar tidak berminat
dengan mata pelajaran pendidikan Islam dan sebagainya. Allah S.W.T menjadikan pelajar
bermasalah sebagai penanda aras seseorang guru, sama ada dia berjaya atau gagal menjalankan
amanah dan tanggungjawab mendidik. Guru yang sabar, penuh kasih sayang, keikhlasan dan
berwibawa dalam menjalankan tugasnya pasti tabah untuk terus mengharungi onak duri dunia
pendidikan kerana ia sedar inilah sahamnya di akhirat kelak.
Guru adalah role model bagi para pelajar sama ada di sekolah mahupun sehingga para
pelajar ini meninggalkan bangku persekolahan. Guru yang dekat di hati pelajar akan dikenang
selamanya. Juhana (2012) dalam kajiannya menyatakan seseorang guru harus berusaha sedaya
upaya memberi rangsangan, motivasi, galakan dan semangat kepada para pelajar untuk terus
berusaha. Setiap pelajar mempunyai kebolehan mereka yang tersendiri dan guru harus memberi
peluang kepada mereka untuk meneroka dunia dengan bijaksana. Ada kalanya pelajar akan
merasa takut untuk melakukan kesilapan, malu untuk mencuba sesuatu, mudah panik dan kurang
keyakinan diri. Namun apabila kuasa dorongan yang kuat diterima dari seorang guru, semua ini
dapat diatasi.
7

Zaiton Mustafa (2012) mengakui hakikat GPI yang terlibat dalam isu pengabaian pelajar
hanyalah segelintir. Oleh itu masih ada ruang dan peluang bagi memperbetulkan keadaan ini
dengan memberi kesedaran tentang konsep amanah yang ditaklifkan oleh Allah S.W.T ke atas
para guru terutama guru pendidikan Islam kerana mereka bukan sekadar mengajar sukatan
pelajaran namun membawa bersamanya tugas membangunkan ummah. Guru adalah murabbi,
mu’allim dan muaddib yang berperanan besar dalam pembangunan akhlak dan diri (Ab. Halim
Tamuri et. al, 2010). Andai guru amanah terhadap tanggungjawab mendidik dengan penuh
keikhlasan pasti Allah S.W.T akan mempermudahkan jalan perjuangannya. Pengabaian terhadap
pelajar akan menghilangkan minat mereka untuk menuntut ilmu agama dan sekali gus
menjauhkan mereka dari jalan Tuhan. Walau apa pun permasalahan yang dihadapi oleh guru
selama mereka mendidik pelajar, anggaplah itu semua sebagai cabaran bukannya masalah.
Tumpukan perhatian kepada pelajar yang lemah dalam pembelajaran agar mereka dapat
menggunakan ilmu yang diberi oleh guru apabila berhadapan dengan dunia luar yang mencabar.
Memahamkan pelajar pintar adalah perkara biasa tetapi memahamkan pelajar yang kurang pintar
dan lemah adalah suatu perkara yang cukup luar biasa.
FAKTOR KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM
Isu pertindihan kurikulum pendidikan bukanlah satu isu baru. Umumnya kandungan yang
terdapat dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Pendidikan
Islam Negeri adalah hampir sama dalam beberapa tajuk khususnya ibadah dan aqidah. Bagi
bidang Tafsir, Hadis dan al-Quran wujud perbezaan daripada ayat-ayat hadis yang dipilih. Aspek
yang jelas membezakan antara kedua-dua kurikulum ini ialah bahasa penghantar yang berbeza
iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. Isu ini perlu dikaji secara mendalam kerana memberi
implikasi yang besar terhadap pelaksanaan kedua-dua kurikulum tersebut. Begitu juga dengan
ketidakselarasan kurikulum pendidikan Islam peringkat negeri yang akhirnya membawa kepada
sistem peperiksaan yang berbeza di peringkat negeri seperti Peperiksaan Menengah Agama
(PMRU) di negeri Kelantan dan Sekolah Menengah Agama (SMA) di negeri Selangor (Ab.
Halim Tamuri et. al 2011).
Selain itu di antara perkara yang paling penting di dalam pembentukan setiap kurikulum
tidak terkecuali kurikulum pendidikan Islam ialah penyusunannya. Namun untuk penyusunan
yang rapi dan berkesan, kerjasama antara pihak sekolah dan pihak penggubal kurikulum amat
penting. Penyusunan tersebut hendaklah menitikberatkan kesesuaiannya mengikut kemampuan
pelajar. Penyusunan kurikulum yang tepat akan membawa manusia semakin hampir kepada
Allah. Seterusnya akan melahirkan generasi ‘para sahabat’ yang intelek, berilmu, beriman dan
beramal. Kurikulum baru yang lebih berkesinambungan dari peringkat rendah hinggalah
peringkat menengah berterusan ke peringkat universiti sesuai dengan kehendak dan keperluan
negara.
Memandangkan matlamat kurikulum dan pendidikan Islam adalah untuk melahirkan
individu yang sempurna, sama ada rohani mahupun jasmani, mata pelajaran dalam kurikulum
pendidikan Islam tidak boleh hanya terbatas kepada ilmu-ilmu yang bersifat teoritis sahaja, baik
bersifat naqli atau naqli tetapi juga berbentuk praktis seperti pendidikan jasmani, latihan
ketenteraan, teknik, pertukangan, pertanian dan perniagaan. Kurikulum yang semata-mata
membekalkan pelajaran berbentuk spiritual boleh menyulitkan sesebuah institusi pengajian
khususnya dari segi pembangunan material (Abdullah Ishak, 1989 dalam Razalinda, 2008).
Manusia adalah makhluk bernyawa yang perlu kepada suatu sistem yang tidak menafikan
8

haknya. Penyepaduan ilmu duniawi dan ukhrawi akan melahirkan insan yang seimbang dari
segala aspek yang bertanggungjawab terhadap makhluk dan alam semesta.
Abdul Rahman Salih (1982) menyatakan keberkesanan sesuatu metod dan kaedah dalam
pengajaran bergantung kepada isi kandungan kurikulum di mana ia tidak dapat dipelajari dengan
berkesan melainkan ia dirancang dan disusun dengan cara yang betul dan sempurna. Ab. Halim
Tamuri, 2007; Rosnani, 1998; Mohd Arif, 1998 pula berpandangan meskipun banyak perubahan
dilakukan terhadap kurikulum pendidikan Islam, namun ia masih gagal dalam pembangunan
ummah secara bersepadu. Peningkatan perlakuan tidak bermoral yang melibatkan pelajar-pelajar
Islam menjadi tanda bahawa kurikulum pendidikan Islam masih memerlukan banyak perubahan
dan penambahbaikan (Zaiton Mustafa et. al 2012). Hakikatnya banyak pihak yang terlibat dan
menyumbang ke arah sifar perlakuan tidak bermoral di kalangan pelajar ini iaitu ibu bapa, guru
dan pendidik serta kurikulum yang terkini dan bersesuaian. Keyakinan perubahan akan tetap
berlaku andai semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan efektif.
Terdapat dua aspek penting dalam kurikulum pendidikan Islam yang perlu diberi
perhatian serius iaitu isi kandungan buku teks dan penggunaan tulisan jawi dalam pengajaran dan
pembelajaran pendidikan Islam. Lazimnya GPI akan berhadapan dengan dua kumpulan pelajar
sama ada kumpulan yang dapat memahami isi kandungan pelajaran dengan baik dan kumpulan
yang tidak dapat memahami pelajaran lantaran kegagalan dan kelemahan mereka untuk
membaca dan memahami tulisan jawi. Kebiasaannya GPI kurang memberi tumpuan terhadap
kumpulan pelajar kedua kerana kekangan masa mengajar dan sukatan pelajaran yang harus
dihabiskan, lalu pengajaran dan pembelajaran diteruskan hingga menyebabkan pelajar kumpulan
kedua tercicir, ketinggalan jauh, hilang minat dan mula melakukan aktiviti lain lantaran tidak
dapat terlibat secara aktif dalam sesi pembelajaran tersebut. Tidak dinafikan terdapat program
pemulihan jawi jQAF namun pelaksanaannya menghadapi banyak masalah antaranya ketiadaan
GPI mengikuti kursus dan program luar sekolah menyebabkan kelas pemulihan tidak dapat
dilaksanakan oleh guru-guru jQAF kerana mereka terpaksa masuk ke kelas menggantikan GPI.
Ini adalah antara isu-isu yang dikatakan terpencil namun hakikatnya memberi impak negatif
terhadap generasi muda dalam jangka masa panjang.
Pembentukan dan pemartabatan FPK dalam Akta Pendidikan 1996 membuktikan
komitmen berterusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk melahirkan generasi pelajar
berakhlak mulia sejajar dengan Laporan Awal PIPP Malaysia 2013-2025 iaitu untuk melahirkan
murid yang mempunyai nilai etika dan kerohanian sebagai persediaan untuk membolehkan
mereka bersaing I peringkat global (Azhar Ahmad, 2012). Namun realiti semasa menunjukkan
petanda jurang yang semakin melebar antara idealisme kepentingan akhlak dalam konteks
pembangunan negara dengan kemelut sosial yang sedang dihadapi masyarakat (Pahrol Mohd
Juoi, 2008) dalam Azhar Ahmad (2012). Oleh itu penggubalan kurikulum yang bersesuaian
dengan tahap dan kemampuan pelajar serta cabaran zaman generasi Y dan generasi Z harus
diberi perhatian sewajarnya. Dalam menentukan kejayaan dan keberkesanan pendidikan Islam di
setiap peringkat persekolahan, penyusunan kurikulum pendidikan Islam perlu dilakukan secara
teliti, sistematik dan senantiasa dikemaskini mengikut keperluan semasa. Seterusnya kerjasama
yang erat semua pihak yang terlibat dalam dunia pendidikan dengan disokong oleh pihak
kerajaan.
KESAN PENGABAIAN TERHADAP PELAJAR
9

Bermula dengan pengabaian guru terhadap minat pelajar dalam proses pembelajaran dan
pengajaran pendidikan Islam, bermula permasalahan disiplin pelajar sekolah yang awalnya
berkisar sekitar kenakalan mereka merosakkan harta benda awam, ponteng sekolah, ponteng
kelas, merokok, melepak dan sebagainya. Namun begitu hari demi hari mereka semakin berani
melakukan perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang seperti
pergaduhan antara pelajar yang mengakibatkan pembunuhan, mengandung anak luar nikah, kes
rogol pelajar, pecah rumah, curi kenderaan, mencuri dan memukul.
Laporan yang didedahkan oleh akhbar tempatan sepanjang tahun 2000 hingga 2012
menunjukkan betapa generasi penerus negara ini sedang menghadapi masalah keruntuhan akhlak
pada peringkat yang begitu membimbangkan. Semua ini berlaku rentetan dari pengabaian pelajar
oleh ibu bapa, guru dan masyarakat yang bersikap tidak suka ambil peduli. Smith & Krohn,
(1995) menyatakan remaja yang mempunyai ikatan perhubungan kekeluargaan yang kuat dan
menerima tahap pemantauan yang tinggi daripada ibu bapa mempunyai tahap penglibatan
masalah disiplin yang rendah berbanding rakan-rakan mereka yang lain. Perhubungan yang
positif antara ibu bapa dan anak akan membentuk perasaan saling memerlukan antara satu sama
lain di mana ia dapat meminimakan jurang hubungan kekeluargaan dan meningkatkan
keupayaan menghargai antara satu sama lain. Keluarga adalah alasan utama menyebabkan
masalah disiplin remaja (Athur & Ericson, 1992; Kosterman, 1996) dalam Portal J.K.D
(2007).
Remaja hamil luar nikah juga merupakan salah satu masalah serius. Perangkaan Jabatan
Pendaftaran Negara bagi tahun 2000 hingga Julai 2008 mencatatkan lebih 257,000 sijil kelahiran
didaftarkan tanpa catatan nama bapa. Ini bermakna purata 2,500 kes anak luar nikah direkodkan
setiap bulan atau hampir 84 kes setiap hari. Data mengikut pecahan agama menunjukkan agama
Islam menduduki tempat tertinggi sebanyak 30,978 orang, diikuti Hindu 17,236 orang, Buddha
dan Kristian 3,395 orang (Portal Berita UKM, Jun 2010) dalam Khadijah Alavi et. al, (2012).
Antara faktor-faktor dikenal pasti menjadi punca kepada permasalahan adalah pengaruh rakan
sebaya dan internet serta kurangnya penekanan agama dan nilai moral keluarga.
Semua permasalahan ini pastinya tidak dapat lari dari peranan yang dimainkan oleh GPI
dan warga sekolah dalam menentukan pembentukan peribadi dan sahsiah pelajar. Tugas
mendidik para pelajar tentang hukum halal dan haram adalah tugas GPI, pemahaman yang baik
tentangnya akan meningkatkan tahap aplikasi dalam kehidupan. GPI harus sedar akibat
penyisihan pelajar secara tidak sedar semasa proses P & P akan membuatkan para pelajar ini
merasa rendah diri, tiada semangat dan tiada keyakinan diri sehingga akhirnya bertindak berhenti
sekolah dan mula terlibat dengan pelbagai gejala maksiat yang bisa meruntuhkan tamadun
bangsa.
CADANGAN
Tiada sesuatu yang tidak disebut oleh al-Quran mahupun sunnah. Apa sahaja yang diperlukan
oleh manusia maka al-Quran an sunnah telah memenuhinya. Allah SWT berfirman dalam surah
16:89 mafhumnya ‘ Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan
menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi
orang-orang yang Islam’..
10

Setiap permasalahan pasti ada jalan keluar. Begitu juga dengan isu pengabaian GPI
terhadap minat pelajar dalam pembelajaran dan gejala sosial yang melanda ummah masa kini.
Ab. Halim Tamuri et. al (2010) dalam perbahasannya menggariskan beberapa garis panduan
perubahan GPI seperti memiliki kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kemahiran mengajar ialah perkara penting dalam komponen keperluan guru menurut Dunkin
dan Briddle (1974), Atan (1978) dan Mustaqim (2001). Antara kemahiran mengajar yang perlu
dikuasai adalah kemahiran memulakan pengajaran, mengemukakan soalan, menggunakan
contoh-contoh, menggunakan papan tulis, menutup pelajaran, kemahiran menyediakan soalan-
soalan yang baik, pengurusan bilik darjah dan kemahiran memotivasikan murid. Penggunaan
strategi dan kaedah mengajar yang bersesuaian dengan tahap kecerdasan serta teknik pengajaran
yang baik dapat menyumbang kepada mutu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Seterusnya beliau menyatakan pentingnya penguasaan ilmu pengetahuan oleh GPI.
Ashraf (1995) menegaskan guru yang berpengetahuan dan bijaksana terhadap mata pelajaran
yang diajarnya akan membantu para pelajar dalam membina an mempertajamkan daya intelek
mereka. Seorang pendidik perlu sentiasa mempertingkatkan keilmuannya, pengetahuan yang
mendalam serta menguasai ilmu pengetahuan agama, sejarah, geografi, matematik, bahasa dan
sebagainya (Al-Nahlawi, 1996). Hassan Langgulung (1997) menekankan kepentingan
pengetahuan sebagai asas memperoleh bentuk-bentuk kemahiran kognitif yang lebih tinggi.
Aspek motivasi diri GPI merupakan langkah seterusnya yang digariskan oleh beliau.
Sesuatu proses pembelajaran akan lebih berfaedah dan menyeronokkan apabila para pelajaran
terlibat secara aktif dalam sesi tersebut. Namun aktiviti ini perlu kepada satu motivasi yang kuat
dari GPI itu sendiri. Al-Ghazali turut membahagikan tingkah laku manusia kepada dua tingkat
iaitu pertama yang dikuasai oleh motivasi-motivasi dan faktor kegopohan serta yang kedua
dikuasai oleh kemahuan dan akal (Hassan, 1997). Akhir sekali beliau membawakan kepentingan
memiliki personaliti positif sebagai seorang pendidik. Ini kerana pendidikan merupakan suatu
proses perubahan tingkah laku yang merujuk kepada sahsiah atau personaliti seseorang. GPI itu
sendiri berperanan untuk membantu membersih dan membina jiwa agar menjauhi keburukan dan
memeliharanya sesuai dengan fitrah kejadiannya, memindahkan ilmu pengetahuan dan akidah
kepada muridnya supaya diaplikasi di dalam diri dan kehidupan mereka (al-Nahlawi, 1996).
Sebagai role model guru mesti mempunyai sahsiah yang unggul supaya mereka dicontohi dan
dihormati. Tingkah laku dan sikap guru sering diperhati dan dinilai oleh para pelajar bukan
sahaja semasa proses p & p dalam bilik darjah malah ketika berada di luar kawasan sekolah.
Perwatakan guru melambangkan personaliti mereka (Ab. Halim Tamuri et. al, 2010).
Selain pihak guru pendidikan Islam, peranan yang seharusnya dimulakan dari rumah oleh
ibu bapa itu sendiri seharusnya tidak diabaikan. Pendidikan awal anak-anak bermula dari rumah,
kuat asas didikan agama yang diterima oleh mereka sejak awal mengenal dunia, maka akan tetap
teguhlah mereka meski berhadapan dengan badai dan taufan dari segenap arah. Mantapkan
sistem pendidikan Islam yang sedia ada di samping usaha bersepadu dari semua pihak, pasti
semua permasalahan dapat diatasi.

KESIMPULAN
11

Tugas dakwah adalah tugas semua pihak sama ada ibu bapa, guru-guru, masyarakat, pemimpin,
sistem itu sendiri. Indahnya Islam tatkala kita bersatu fikrah, bergabung tenaga bersama
menyelesaikan segala permasalahan yang menimpa ummah. Tidak ada manusia yang sempurna,
tidak akan ada satu sistem yang benar-benar dapat memuaskan hati semua pihak dan adil
saksama. Oleh itu marilah bersama, bermula dengan tekad di hati, kesungguhan melestari dan
derapan langkah kaki menuju jihad membangun dan menyedarkan ummah dari lena yang
panjang. Sesebuah tamadun hanya mampu terbina andai pemudanya mara ke hadapan
mempertahankan agamanya.
RUJUKAN
Ab. Halim Tamuri. 2012. Tahap Profesionalisme Guru Pendidikan Islam Dalam Sistem
Pendidikan Negara: Pembangunan Remaja Muslim Di Malaysia. Seminar Kebangsaan
Transformasi Remaja Muslim ( SKTRM2012) 10-11 November. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Ab. Halim Tamuri. 2012. Memugar Kecemerlangan Guru Pendidikan Islam. Wacana Hadhari
Siri 6. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ab. Halim Tamuri & Nik Rahimi Nik Yusof. 2011. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.
Ab. Halim Tamuri & Mohamad Khairul Hamzah. 2010. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan
Islam Berkesan Berteraskan Konsep Mu’allim. Jurnal of Islamic and Arabic Education,
2 (1):.43-56.
Ab. Halim Tamuri, Adnan Yusopp, Kamisah Osman, Shahrin Awaluddin, Zamri Abdul Rahim
& Khadijah Abdul Razak. 2004. Keberkesanan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam Ke Atas Pembangunan Diri Pelajar. Laporan Penyelidikan Fakulti
Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia & Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam
dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Abd. Ghafar Md. Din. 2003. Prinsip dan Amalan Pengajaran. Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Jamir Md Saad, Ab. Halim Tamuri & A’dawiyah Ismail. 2012. Pembelajaran Aktif
Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Persidangan Kebangsaan Pendidikan
Islam.
Abdul Rasid Jamian. 2011. Permasalahan kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu
Murid-Murid Sekolah Rendah di Luar Bandar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. Vol 1,
Bil (1) Mei: 1 -12.
Abdullah Al-Amin Al-Na’miy; penterjemah Mohd Ramzi Omar. 1994. Kaedah dan Teknik
Pengajaran Menurut Ibn Khaldun dan Al-Qabisi. Dewan Bahasa & Pustaka: Kuala
Lumpur.
Ahmad Ayob Ibrahim. 2012. Yayasan Taqwa: Cabaran & Peranan Pembentukan Remaja
Muslim. Seminar Kebangsaan Transformasi Remaja Muslim ( SKTRM2012) 10-11
November. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ali Mohammed. 2012. Cabaran Remaja Muslim Masa Kini. Seminar Kebangsaan Transformasi
Remaja Muslim ( SKTRM2012) 10-11 November. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Azhar Ahmad. 2012. Peranan Guru Dalam Transformasi Pembangunan Akhlak Remaja.
12

Seminar Kebangsaan Transformasi Remaja Muslim ( SKTRM2012) 10-11 November.


Universiti Kebangsaan Malaysia.
Juhana. 2012. Psychological Factors That Hinder Students from Speaking in English Class ( A
Case Study in a Senior High School in South Tangerang, Banten, Indonesia. Journal of
Education and Practice. Vol 3, No 12.
Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam, Kaedah Pengajaran &
Pembelajaran. Universiti Teknologi Malaysia.
Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir, Mohd Suhaimi Mohamad &
Noorhasliza Mohd Nordin. 2012. Hamil Luar Nikah Dalam Kalangan Remaja. Journal of
Social Sciences and Humanities. Vol 7. No 1: 131-140 April Series.
Louis Cohen, Lawrence Manion and Keith Morrison. 2004. A Guide To Teaching Practice. 5th
Edition. Routledge Falmer Taylor & Francis Group: London & New York.
Maimun Aqsha Lubis, Ramlee Mustapha & Muhammad Nazir Mohammed Khalid. 2012.
Integrated Islamic Education: Philosophical Issue and Challenges. Proceeding 3rd
International Conference of ASEAN on Integrated Education in Islamic Studies and
Civilization, Songkla Thailand. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhammad Sharif Mustaffa & Suria Abd Jamil. 2012. Mengenal Pasti Punca-Punca Masalah
Ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Rendah: Satu Kajian Kes. Journal of Educational
Psychology & Counseling. Vol 6 June: 50-73.
Paul D. Eggen & Donald P. Kauchak. 2001. Strategies for Teacher, Teaching Content and
Thinking Skills. Fourth Edition. A Pearson Education Company: United States of
America.
Rozmi Ismail. 2012. Fenomena Rempit dan Keberkesanan Program Intervensi Kem Perkasa
Remaja Menangani Remaja Terbabit Dalam Aktiviti Merempit. Seminar Kebangsaan
Transformasi Remaja Muslim ( SKTRM2012) 10-11 November. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Rusleda Awang, Wan Kamal Mujani, Ruziah Sidek, Kamaruzaman Abd. Ghani. 2012. Potensi
Manusia Menurut Pemikiran Hassan Langgulung. Persidangan Kebangsaan Pendidikan
Islam.
Samuel Atindanbila, Nana Afua Gyamfua & Dorothy Awuah. 2012. A Comparative Study
Between Introverts and Extraverts in Their Conforming Behaviours Among Students at
Galaxy International School in Ghana. Journal of Education and Practise, Vol 3: No 13.
Siti Hanim Ramli. 2006. Faktor-Faktor Mempengaruhi Pencapaian Pelajar dalam Mata
Pelajaran Tasawur Islam di Daerah Hulu Langat, Selangor. Projek Penyelidikan Sarjana
Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.
Yahya Abdullah. 2003. Persepsi, Minat dan Penghayatan Terhadap Mata Pelajaran Pendidikan
Islam di Kalangan Pelajar-Pelajar Tingkatan Lima di S.M.K Mudzaffar Shah, Simpang
Empat Semanggol, Perak Darul Ridzuan. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan.
Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.
Yahya Buntat & Said Daud. 2010. Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Masalah Disiplin di
Kalangan Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah di Sekitar Daerah Klang, Selangor.
Universiti Teknologi Malaysia.
Zaiton Mustafa & Hishamuddin Salim. 2012. Factors Affecting Students Interest in Learning
Islamic Education. Journal of Education and Practice, Vol 3: No 13.
13

Zulkifli Mohd Yusoff. 2012. Pembangunan Insan Pelajar Mengikut Perspektif Al-Quran dan
Sunah. Seminar Kebangsaan Transformasi Remaja Muslim ( SKTRM2012) 10-11
November. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Internet
www.jkdpdg.scl. my/modules.php Portal J.K.D Perdagangan Daerah Batu Pahat. 2007 . Masalah
Disiplin Di Kalangan Pelajar Sekolah.
www.mukmin.com.my/baca.php. 2012. Membentuk Pelajar Lemah Menjadi Cemerlang.
Razalinda.wordpress.com/2008/04/14/kurikulum-pendidikan-islam. Kurikulum Pendidikan
Islam.

Anda mungkin juga menyukai