Anda di halaman 1dari 4

1.

Faham
Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Faham:
Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya
berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh
usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:
1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah
negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan
keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah
benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan
gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.
2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami
hukum- hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-
adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang
dipercayai.
3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang
diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf
dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah
dengan hukum- hukum dan nas-nas agama.
4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir,
tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan
sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang
mathur.
5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai
pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan
selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan,
budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian (taabbud) tanpa perlu melihat kepada
maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.
6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum
iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan
dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih
utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana
individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun
menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan.
7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-
dalil hukum dalam masalah furu hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun
demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-
dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah
dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika
dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya
dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.
8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk
berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan
kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian
ilmiah dalam masalah- masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana
penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak
menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.
9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam
kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah
tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-
Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat
berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap
sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala
bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.
10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci.
Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan
dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak
kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di
kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat baginda dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-
ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami.
(Aali Imran: 7)
11. Setiap amalan bidah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan
oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau
mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik
dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.
12. Bidah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan
mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-
masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran
dengan berpandukan dalil dan bukti.
13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang
mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang
dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
(Yunus: 63) Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.
Namun perlu diyakini
mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan
untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi
untuk melakukannya kepada orang lain.
14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah.
Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru
nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar
untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu
di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain
daripada nama Allah atau apa sahaja bidah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang
perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul
perkara yang lebih buruk.
15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu
makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang.
Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.
16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa
yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti
istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek
dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan
oleh nama tersebut.
17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota
badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun
wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.
18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam
mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan
bermanfaat.
Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya
dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.
19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak
tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung
dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak,
ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat
dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat
membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.
20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih
mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu -sama ada
mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan
ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak
mempercayai kenyataan al- Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak
bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh
diandaikan kecuali sebagai kufur. Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan
asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya:
Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.

Anda mungkin juga menyukai