Anda di halaman 1dari 1

.

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak
positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah
individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan
kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu
banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat
pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang
dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan
yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak
kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan
yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan
pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi
punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok
atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan
kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh
menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh
seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi,
berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman
seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik
serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan
yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin
kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang
cerdas datangnya daripada badan yang cergas
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi
menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu
mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi
positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin
boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini
perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera,
menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang
itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
.
..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang
dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek
kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah
kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita
semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
....

Anda mungkin juga menyukai