Anda di halaman 1dari 2

Pertama sekali menerima tugasan ini, persoalan utama yang berlegar-legar dan muncul di

kotak minda saya ialah mampukah saya menyiapkan tugasan kerja kursus ini memandangkan pada
masa yang sama terdapat beberapa tugasan kerja kursus yang lain yang perlu disiapkan dalam
tempoh yang sama. Keadaan ini sedikit sebanyak memberi tekanan dan menguji daya tahan saya
untuk melaksanakan tugasan tersebut. Walau bagaimanapun, saya tetap tidak mengambil mudah
memberi alasan dan helah untuk tidak menyiapkan tugasan ini dalam tempoh yang telah diberikan.
Sebaliknya, saya menyahut cabaran ini dengan melaksanakan tugasan ini mengikut arahan yang
telah diberikan. Hal ini kerana, saya memikirkan bahawa soalan tugasan yang diberikan tidaklah
begitu sukar memandangkan tajuk-tajuk yang dibincangkan bukanlah tajuk yang masih baru dan
asing bagi kami. Malah, bahan-bahan yang perlu disediakan berdasarkan kehendak tugasan
sebenarnya telah disediakan lebih awal dalam amali pada setiap minggu.

Bagi mengatasi kekangan dan kesukaran yang saya nyatakan di atas, saya telah mengambil
inisiatif berbincang dan berkolaborasi dengan rakan-rakan dan pensyarah pembimbing.
Perbincangan dan kolaborasi ini sesungguhnya sangat membantu saya menyiapkan tugasan ini
dengan sempurna kerana saya berpeluang untuk bertanya kepada rakan-rakan dan pensyarah
tentang cara-cara melaksanakan tugasan selain mendapatkan hasil yang sangat memuaskan.
Perbincangan dan kolaborasi tersebut sebenarnya juga telah saya mulakan semasa penyediaan
bahan-bahan pada setiap minggu lagi. Kolaborasi-kolaborasi tersebut antara lain ialah pemilihan
bahan yang tepat dan baik, perkongsian idea, pengetahuan dan kemahiran dan pertukaran bahan-
bahan dengan rakan. Kolaborasi seumpama ini telah banyak membantu saya menyiapkan tugasan
dengan baik.

Selepas menyiapkan tugasan ini dengan jayanya, saya telah mengambil beberapa perkara
sebagai iktibar dan panduan kepada diri saya untuk menempuhi cabaran pendidikan yang
mendatang. Melalui pelaksanaan tugasan dan amali-amali dalam subjek ini, saya mempelajari
bahawa seseorang guru haruslah menguasai dan mempunyai kemahiran yang tinggi terhadap
penggunaan komputer. Hal ini kerana, secara keseluruhannya amali dan tugasan yang perlu
dilaksanakan menggunakan komputer selaras dengan tajuk kursus ini. Oleh itu, sebagai pendidik
guru mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan komputer dengan baik. Jika
seseorang guru boleh menyediakan kemahiran asas ini, kemahiran-kemahiran yang berikutnya
sudah pasti dapat dilaksanakan dengan lebih mudah lagi.

Selain itu, saya juga telah mempelajari bahawa seseorang guru haruslah bijak dan kreatif
dalam memilih, menggunakan dan menghasilkan bahan untuk sesebuah aktiviti pembelajaran.
Kreativiti seseorang guru dalam perkara ini sangat penting dalam membantu guru menyediakan satu
aktiviti dan tajuk pembelajaran yang dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ciri asas sesebuah bahan
yang ingin digunakan mestilah menarik kepada murid-murid. Namun begitu, bahan yang menarik
sahaja tidak cukup untuk memastikan sesebuah aktiviti pembelajaran itu dapat dilaksanakan dengan
berkesan. Sebaliknya, sesebuah bahan tersebut haruslah benar-benar dapat membantu
keberkesanan sesebuah aktiviti pembelajaran tersebut. Justeru itu, kreativiti idea seseorang guru
sangat diperlukan dan dituntut dalam menjayakan perkara ini.

Sebagai tambahan, seseorang guru haruslah mengutamakan ciri-ciri tempatan dan dekat
dengan persekitaran murid dalam memilih dan menggunakan bahan-bahan untuk aktiviti
pembelajaran. Ciri-ciri tempatan atau setempat yang dimaksudkan di sini ialah ciri-ciri yang biasa
dilihat oleh murid di persekitaran mereka. Dalam kata lain, perkara-perkara ini adalah perkara-
perkara yang sangat dekat dan diketahui oleh murid. Mengutamakan pemilihan dan penggunaan
bahan bercirikan tempatan ini sudah pasti bertepatan dan bersesuaian kepada murid-murid kerana
mereka akan lebih mudah mengikuti dan memahami isi pembelajaran yang disampaikan. Penjelasan
yang dapat diberikan di sini, murid akan lebih mudah menjawab dan memberi respons kepada guru
apabila diajukan soalan dalam aktiviti pembelajaran. Contoh ciri-ciri tempatan yang boleh digunakan
ialah apa-apa sahaja yang sering dilihat oleh murid di persekitaran mereka seperti buah-buahan
tempatan dan sebagainya.

Manakala, dari segi nilai-nilai murni yang dapat saya pelajari sepanjang pelaksanaan tugasan
ini, saya belajar untuk lebih menghargai masa yang ada dalam melaksanakan tugasan ini. Maksudnya
di sini ialah, apabila sudah mendapat soalan tugasan daripada pensyarah, saya haruslah bertindak
lebih proaktif dengan melaksanakan tugasan ini dengan seberapa langsung. Hal ini kerana, jika saya
dapat melaksanakan tugasan ini lebih awal lagi, saya akan dapat mengelakkan untuk melaksanakan
tugasan pada saat-saat akhir bagi memastikan tugasan yang saya hasilkan adalah benar-benar
berkualiti dan menepati standard atau piawai yang telah ditetapkan. Pada masa yang sama juga,
saya akan dapat menguruskan masa dengan baik dan berkesan seterusnya mengelakkan budaya
kurang sihat seperti tidur lambat hanya semata-mata untuk menyiapkan tugasan ini.

Sebagai penambahbaikan, saya melihat aspek pengurusan masa ini sebagai kelemahan saya
yang paling ketara sekali. Dalam hal ini, saya mengambil sedikit pengajaran agar lebih proaktif
apabila menerima tugasan daripada pensyarah supaya saya dapat menguruskan masa yang saya ada
dengan sebaiknya dan berkesan. Dengan yang demikian, saya akan dapat menghasilkan tugasan
yang berkualiti selain menggunakan masa yang lebih tersebut untuk tujuan lain yang lebih
bermanfaat.

Akhir sekali, saya bersyukur kerana dapat menyiapkan tugasan ini dengan sempurnanya dan
berharap hasil yang saya berikan menepati kehendak yang diperlukan. Paling penting, pengetahuan
dan kemahiran yang telah saya pelajari sepanjang melaksanakan tugasan ini sudah pasti menjadi
nilai tambah kepada pengetahuan dan kemahiran sedia ada saya.

Anda mungkin juga menyukai