Anda di halaman 1dari 5

a) Memberikan definisi bagi moral, akhlak dan etika dengan memberi contoh untuk

membezakan tiga istilah ini.


Moral
Moral pada dasarnya berasal daripada perkataan Latin mores yang membawa
maksud sama seperti etika (Ashmore, 1987). Namun, moral merupaka satu perkara
yang lebih merujuk kepada tingkah laku manakala etika merujuk kepada peraturan-
peraturan yang ditentukan untuk memperbaiki sesuatu keadaan. Moral juga bersifat
praktikal kerana moral merupakan disiplin yang memberitahu apakah sistem moral yang
dihayati oleh sesuatu masyarakat dan etika pula bersifat teoretika kerana etika
mengkaji, menganalisis dan mengkritik sistem moral tersebut. Perkara ini menerangkan
moral merupakan bahan yang dikaji oleh etika manakala etika adalah ilmu yang
mengkajinya.

Mengikut kamus Oxford Advanced Learners, Edisi keenam, moral bermaksud
kesedaran tingkah laku betul dan salah, apa yang perlu dipatuhi dan ditinggalkan serta
bersifat praktikal. Moral juga bermaksud sebagai tingkah laku yang sesuai dengan
tatasusila atau peraturan masyarakat setempat di mana masyarakat bertindak sebagai
penentu. Pertimbangan moral juga bergantung kepada suasana atau keadaan yang
membentuk individu contohnya seperti sistem sosial, kelas sosial dan kepercayaan
yang dianuti. Kesedaran moral mempunyai hubung kait dengan hati nurani atau dalam
bahasa asing disebut conscience, conscientia, gewissen, geweten dan dalam Bahasa
Arab disebut qalb, fuad. Kesedaran moral ini merangkumi tiga perkara iaitu kewajipan
untuk melakukan tindakan bermoral, wujud berasaskan rasional dan objektif iaitu
sesuatu perbuatan secara umum dapat diterima oleh masyarakat dan ketiga ialah
muncul dalam bentuk kebebasan.

Sebagai contoh, dalam kehidupan bermasyarakat, kesedaran moral dapat
mewujudkan masyarakat yang harmoni dan progresif. Hal ini kerana, kesedaran moral
yang wujud dalam setiap diri masyarakat dapat memupuk persefahaman, bertimbang
rasa, tolong-menolong dan lain-lain nilai yang baik. Perkara ini seterusnya akan
membantu dalam melahirkan sebuah negara yang aman dan tenang di mana setiap
rakyat akan sentiasa berasa selamat dan sejahtera dengan adanya masyarakat yang
mempunyai kesedaran moral yang tinggi.
Contoh diatas jelas menyokong kata-kata Thomas Hobbes yang telah
menggambarkan kepentingan hidup bermoral seperti berikut,
Tanpa peraturan sosial (moral), akan wujud satu keadaan konflik yang tidak
berkesudahan dan persengketaan yang mengakibatkan kehidupan manusia menjadi
jahat, bersifat buas dan angkuh.
(Mohd. Janib Johari, 1994).













Akhlak
Akhlak boleh ditakrifkan melalui dua pendekatan iaitulinguistic(kebahasaan) dan
pendekatan terminologic(peristilahan). Akhlak dari sudut bahasa berasal daripada
perkataan arab, khuluq yang bermaksud budi pekerti. Menurut Iman Al Ghazali, akhlak
merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan
daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan
atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk
tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia
adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.
Dari sudut istilah pula, akhlak merujuk kepada tingkah laku, tutur kata,
penampilan atau imej diri berlandaskan kepada ajaran Islam. Erti kata lain, akhlak
adalah satu bentuk tingkah laku yang berkaitan dengan nilai-nilai murni yang mesti
dilakukan oleh setiap individu. Merujuk Ibn Miskawih(w. 421 H/1030 M) yang terkenal
sebagai pakar bidang akhlak terkemuka menerangkan takrif akhlak dari sudut istilah
sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa yang mendorong seseorang untuk melakukan
perbuatan tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan. Manakala menurut Imam
Al-Ghazali (1015-1111 M) yang lebih dikenali sebagaiHujjatul Islam(pembela Islam)
telah mentakrifkan akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya
timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih
dahulu.Menurut Profesor Dr Ahmad Amin, akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan
ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan.
Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat
dan pembawaan dalam hatinya. Sebagai contoh, analogi berkaitan akhlak ini boleh
diumpamakan seperti pokok dengan akarnya yang membawa maksud tingkah laku atau
perbuatan seseorang akan baik apabila baik akhlaknya. Sama seperti pokok apabila baik
akarnya maka baiklah pokoknya. Jika rosak akar, maka akan rosaklah pokok
dan cabangnya. Contoh ini dikukuhkan lagi dengan firman Allah Subhanahuwataala:
Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan
tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami
mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.
(Al- Araf: 58)














Etika
Definisi etika dari segi bahasa, berasal daripada bahasa InggerisEthic dan bahasa
Greek Ethos yang membawa maksud nilai-nilai atau perkara yang berkaitan dengan sikap
yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan.
Etika dari segi istilah telah dikemukakan oleh para filosofi dengan maksud yang
berbeza mengikut sudut pandangan masing-masing. Menurut Frankena(1973), etika
merupakan falsafah moral atau pemikiran falsafah tentang kemoralan, masalah moral dan
pertimbangan moral. Menurut Ahmad Amin (1983) pula, beliau mengertikan etika adalah
ilmu yang menjelaskan baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh
manusia dan menyatakan tujuan di dalam perbuatan mereka. Begitu juga menurut Abdul
Fatah Hassan (2001), etika ialah tindakan menyelidik, memikirkan dan mempertimbangkan
mengenai yang baik dan yang buruk. Selain itu, menurutEncyclopedia Britanica, etika
dinyatakan sebagai falsafah moral yang berkaitan dengan pembelajaran sitematik
mengenai sifat dasar dari konsep-konsep nilai baik, buruk, harus, benar, salah, dan
sebagainya.
Berdasarkan definisi-definisi etika berikut, dapat dinyatakan bahawa etika
merupakan ilmu pengetahuan yang berhubung dengan keupayan menentukan
perbuatan yang dilakukan manusia untuk dikatan baik atau buruk. Erti kata lain, etika
adalah aturan atau pola tingkah laku yang dihasilkan oleh akal manusia bagi
membezakan antara yang baik dan buruk dalam masyarakat serta membatasi
perlakuan baik dan jahat . Etika merupakan tingkah laku dan kelakuan moral yang
dijangka diikuti oleh manusia sejagat manakala ilmu etika merupakan satu disiplin ilmu
yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan
manusia yang betul. Fungsi etika menggariskan beberapa prinsip atau ukuran asas
untuk menentukan apakah tingkah laku yang betul, apakah yang salah, apakah tingkah
laku yang bertanggungjawab dan apakah yang tidak.

Contohnya, mencuri dan merosakkan harta kerajaan merupakan perbuatan
vandalisme dan salah mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kedua kelakuan
tersebut sememangnya salah dan melanggar etika kemasyarakatan sehingga
menghalang hak dan mengganggu keselesaan orang lain untuk menggunakanya.
Fungsi etika mengkelaskan perlakuan tersebut adalah salah dan tingkah laku yang
tidak bertanggungjawab bagi menentukan batas kelakuan yang baik dan jahat yang
meliputi pelbagai ragam masyarakat.















Perbezaan Akhlak, Moral dan Etika
Akhlak secara umumnya ialah sistem atau tingkah laku manusia yang bersumberkan
kepada asas wahyu atau syarak. Sementara itu, etika ialah sistem tingkah laku manusia
bersumberkan selain daripada wahyu iaitu bersumberkan falsafah. Tingkah laku yang telah
ditentukan oleh etika sama ada baik atau jahat pula dinamakan moral.
Akhlak merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir dan batin manusia,
manakala moral ialah satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia sahaja. Akhlak juga
mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan
Pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain. Moral pula hanya
mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan
manusia sahaja. Nilai-nilai yang terdapat dalam akhlak bersifat mutlak, sempurna dan tetap
manakala nilai-nilai moral bersifat relatif, subjektif dan sementara.
Contoh bagi membezakan akhlak dan moral mengikut perspektif Islam ialah dari
segi pemakaian, pemakaian bagi seseorang muslim mengikut Islam mestilah menutup
aurat dan jika individu muslim tersebut tidak menutup aurat, mereka dikatakan tidak
berakhlak kerana telah melanggar ajaran yang ditetapkan tetapi mengikut pandangan moral
jika seseorang itu mendedahkan aurat tetapi masih mempunyai perlakuan yang baik,
mereka masih dianggap bermoral.
Moral merupakan sebahagian daripada etika. Masalah etika adalah berkaitan
dengan sesuatu yang membuahkan hasil yang salah atau sesuatu yang tidak adil.
Ruang lingkup perbincangan etika adalah lebih luas berbanding dengan moral. Fokus
etika lebih luas mencakupi estetika, etika profesional, tingkah laku dan logik. Etika
mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia bagi menyediakan prinsip
tanggungjawab dan menilai tindakan yang berkaitan dengan kemanusiaan. Moral pula
merujuk kepada cara berfikir, bertindak dan bagaimana mereka harus bertindak,
manakala etika adalah falsafah moral berkaitan dengan masalah betul atau salah.
Contohnya adalah seperti penggodaman atau hack. Permasalahan ini bukan masalah
berkaitan etika tetapi adalah kesalahan moral untuk mendapatkan capaian yang tidak
mendapat kebenaran.

Anda mungkin juga menyukai