Anda di halaman 1dari 18

Isu Keguruan: Beban Tugas Guru

1.0 PENGENALAN

Dewasa ini, dunia pendidikan kerapkali dihujani dan digemparkan dengan pelbagai
isu terutama yang berkait dengan guru. Di dada akhbar, isu yang melibatkan guru
bagaikan menjadi satu topik hangat yang sering diwar-warkan dan begitu laris bagai
pisang goreng panas. Isu beban tugas guru, kenaikan gaji guru, guru dibenarkan
berpolitik dan pelbagai lagi isu yang melibatkan profesionalisme guru dan keguruan
diperbincangkan. Profesionalisme guru menurut Hoyle (1980) dalam buku Asas
Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, adalah sikap dan tindakan yang
menyentuh aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang
syarat-syarat kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan
dengannya.
Salah satu isu yang penting berkaitan dengan bidang keguruan adalah isu beban
tugas guru. Isu ini bukanlah isu baru namun sehingga kini isu ini masih menjadi topik
yang kerap dibincangkan. Buktinya, banyak kali tajuk ataupun isu ini diperkatakan
didada akhbar, blog-blog dan sebagainya. Sebagai contoh:

a. Beban Kerja Guru Kini Terlalu Berat Utusan Malaysia 23 Januari 2008
b. Seksa Jadi Cikgu Berita Harian 1 April 2010
c. Tokoh Syor Empat Langkah Kurang Beban Tugas Guru Berita Harian 24 Mei
2010
d. Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru Utusan Malaysia 1April
2010
e. Guru Tidak Perlu Kerja 9 Jam Utusan Malaysia 21 November 2011
f. Jawatankuasa Kerja Tangani Isu Beban Guru Sedang Laksana 28 Perakuan-
g. Muhyiddin Utusan Malaysia 16 Mei 2012
h. 14 Isu Beban Guru Ditangani Utusan Malaysia 17 Mei 2012

Sepertimana yang kita ketahui, guru dapat didefinisikan sebagai pendidik, pengasuh
dan orang yang mengajar. Tugas pula mempunyai definisi iaitu kewajipan sesuatu
atau dalam kata lain kerja, tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Beban pula
bermaksud jumlah tugas yang perlu dikerjakan oleh proses atau sistem yang mesti
dilaksanakan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).
Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan ini, dapat disimpulkan bahawa tugas
utama seorang guru ialah mengajar dan mendidik dalam suasana pengajaran dan
pembelajaran bersandarkan kepada kewajipan mereka sebagai guru. Walau
bagaimanapun, tugas guru saban hari semakin bertambah
Menurut kajian oleh Mohamad Shukri bin Salleh (1998), beban tugas bermaksud
tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilakukan oleh para guru sama ada
tanggungjawab di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah untuk
menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Beban tugas ini boleh diukur dengan melihat
jumlah masa yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya.
Tugas dan tanggungjawab guru di sekolah bukan sahaja merangkumi tugas
akademik malahan juga tugas bukan akademik. Tugas-tugas akademik merupakan
tugas-tugas yang berkait dengan tugas pengajaran dan pembelajaran secara formal
sama ada di dalam atau luar bilik darjah. Tugas akademik hanya dijalankan oleh
guru-guru yang berkelayakan dalam bidang-bidang tertentu sahaja. Tugas akademik
ini terbahagi kepada tugas akademik rutin harian dan tugas akademik bermusim.
Tugas bukan akademik merupakan tugas-tugas yang dilakukan oleh guru di sekolah
dan tugas ini boleh juga dilakukan oleh mereka yang bukan guru. Tugas bukan
akademik adalah tugas yang tidak melibatkan proses pengajaran secara formal.
Tugas ini termasuklah tugas-tugas pengekeranian, tugas-tugas khas dan tugas
kokurikulum. Tugas bukan akademik yang dilakukan seharian dinamakan tugas
bukan akademik rutin harian dan tugas bukan akademik yang dilakukan mengikut
musim dinamakan tugas bukan akademik bermusim.
Berdasarkan tajuk muka hadapan Berita Harian Seksa Jadi Cikgu bertarikh
1 April 2010. Paparan muka hadapan ini jelas menyatakan seksa menjadi guru
kerana guru dikatakan menanggung beban tugas yang terlalu banyak. Dalam artikel
ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah membuat aduan
mengenai beban tugas guru kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana
Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30
Mac 2010.


Rajah 1. Keratan akhbar Berita Harian 1 April 2010
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel tersebut
juga telah mengulas bahawa berdasarkan aduan yang dibuat oleh NUTP, antara
tugas guru bukan sahaja meliputi hal pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah, malahan juga ada guru yang terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum,
hal ehwal murid, pentadbiran, pengkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.
Selain itu, NUTP turut membuat aduan bahawa guru terpaksa bekerja setiap Sabtu
disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti sedangkan pekeliling yang dikeluarkan
membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.
Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman
menyebut;
Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani
dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim
persekolahan baru bermula. Guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat
peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain. Mereka perlu
mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta
keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan,
malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat
kesihatan. Mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana
ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya
perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga
tergalas di bahu mereka.
Tugas-tugas sedemikian sememangnya mendatangkan beban kepada guru
kerana telah mengganggu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar. Pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia memandang berat isu ini dengan menubuhkan
sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru dan mengkaji tahap
keseriusan isu beban tugas guru ini.
Berdasarkan artikel ini, dapat disimpulkan bahawa isu beban tugas guru
perlu dipandang serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malahan semua pihak
termasuk masyarakat. Setiap individu perlu mengembleng tenaga dan idea untuk
menyelesaikan masalah dan isu ini. Ini kerana, beban tugas yang semakin
bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi seorang guru terjejas
dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi murid-murid di sekolah.
2.0 PERKEMBANGAN HUJAH

Isu beban tugas guru bukanlah perkara baru di dalam negara kita kerana sejak
beberapa tahun ini, perkara ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat setiap kali
bermulanya musim persekolahan.
Sebagai contoh, pada 8 Januari 2006 dalam Berita Harian telah mendedahkan
bahawa guru di empat negeri, Selangor, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur didapati
menanggung beban kerja berlebihan, iaitu 74 jam seminggu berbanding maksimum
48 jam yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Tugas guru semakin
hari semakin bertambah bukan sahaja berkaitan dengan bidang pengajaran
malahan juga yang meliputi di luar bidang tugas mereka. Fenomena ini
menyebabkan ramai guru sering mengeluh dan mengalami tekanan akibat
tanggungan beban tersebut.

Gambarajah 1: Bebanan tugas seorang guru

Berdasarkan butir-butir yang terkandung dalam laporan kaji selidik NUTP bertajuk
Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru Meliputi Sekolah Rendah, Sekolah
Menengah, Sekolah Teknik dan Politeknik, beban tugas guru dibahagikan kepada
lima bidang iaitu:
1. Urusan data, fail, buku rekod dan laporan
Pemprosesan maklumat guru, pelajar dan sekolah
Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), stok mata pelajaran dan bengkel
Penilaian kerja kursus mata pelajaran untuk peperiksaan
Penilaian lisan berasaskan sekolah (PLBS)
Buku Nilam Sekolah
Laporan Adab Belajar
Baitulmal dan biasiswa
Laporan guru bertugas
Urusan disiplin pelajar
Urusan pusat sumber
Program khas dari Jemaah Nazir
Buku rekod kerja sekolah

2. Pentadbiran
Pegawai pinjaman di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan
Daerah
Pengurusan pentadbiran
Kutipan yuran dan pelbagai
Guru kelas

3. Kurikulum
Jenis peperiksaan
Program sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran
Kertas kerja kajian tindakan
Panitia
Mata pelajaran
Pentaksiran Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS)
Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)

4. Kokurikulum
Aspek keselamatan & perlindungan guru dan pelajar

5. Hal Ehwal Murid (HEM)
Urusan HEM Sekolah Menengah Berasrama
Laporan kaji selidik yang telah dijalankan pada 1 Jun 2005 menunjukkan bahawa
tugas guru meliputi pelbagai bidang, namun tugas yang dijalankan lebih tertumpu
kepada tugas pentadbiran. Menurut Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata
pihaknya risau apabila mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan
kerja pentadbiran.
Masalah beban tugas guru tidak pernah ada pasang surutnya. Pada 30 Mac 2010,
NUTP telah membuat aduan mengenai beban tugas guru. Perjumpaan bersama
pihak NUTP dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan
dalam Berita Harian, 1 April 2010. Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban
Tugas Guru. Jawatakuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan
Sri Alimuddin Mohd Don dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil
NUTP bertujuan untuk mengenal pasti tahap keseriusan isu dan mengenal pasti
punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi
menyelesaikannya.

Sehingga hari ini, tugas guru semakin bertambah dari sehari ke sehari. Dengan
perubahan arus zaman globalisasi dan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi yang begitu meluas, tugas guru menjadi semakin mencabar. Guru
merasakan tugas mereka semakin berat kerana mereka perlu menjalankan tugas
yang tiada kaitan dengan tugas hakiki guru iaitu mendidik seperti tugas
pengkeranian yang lebih menjurus kepada tugas pengurusan dan pentadbiran.
Tugas guru dalam bidang pengkeranian telah diakui oleh pihak Kementerian
Pelajaran seperti yang tertera di dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet yang
mengkaji tentang Dasar Pelajaran Malaysia 1979;
..oleh sebab terdapat kekurangan kerani, guru-guru terpaksa menjalankan tugas-
tugas bukan ikhtisas dan ini turut menjejaskan prestasi mereka dalam bidang
ikhtisas.
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengulas serba sedikit berkaitan beban tugas guru
dalam wawancara beliau bersama Penulis Buku Sudut Pandang Muhyiddin Yassin:
Penulis : Bagaimana dengan rungutan sesetengah guru yang mendakwa mereka
dibebankan dengan kerja pentadbiran sehingga mengganggu tugas hakiki mereka?
Tan Sri Muhyiddin: Kita sedang mengkaji dan memperhalusi perkara ini dan antara
lainnya bertujuan untuk melihat dan memastikan tugas sebenar guru. Jika mengikut
definisi biasa, tugas guru adalah mendidik dan mengajar. Bagaimanapun,
kebiasaannya ada tugas lain yang turut dipertanggungjawabkan kepada guru,
contohnya membabitkan aspek disiplin dan kokurikulum. Ini juga sebahagian
tanggungjawab guru. Jadi apabila didakwa sebagai beban, kita perlu tahu apa
sebenarnya yang dikatakan beban itu dan di peringkat mana gandaan kerja itu
berlaku.
Tambahan lagi, pada zaman ini kebanyakan data berkaitan murid perlu diisi dan
dimasukkan secara atas talian internet, sebagai contoh Sistem Maklumat Murid,
Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) dan sebagainya. Ini lebih
menyukarkan tugas guru kerana tidak semua guru pakar dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi. Selain itu, kekangan yang terpaksa dihadapi sewaktu
proses memasukkan data seperti masalah server internet di sekolah yang
kadangkala terganggu, atau lambat. Data yang ingin dimasukkan pula bukan sedikit
dan kadangkala berlaku pertindihan proses memasukkan data antara guru-guru di
satu-satu sekolah yang menyebabkan talian internet menjadi lambat.
Rungutan para guru berkaitan kesukaran proses memasukkan data dalam
talian telah ditulis dalam Berita Harian, 21 September 2011 bertajuk Guru Merungut
Program SAPS Lebih Sukar Dari Manual.
...sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya
menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata
sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang
menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di
rumah.Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan
melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.
Petikan rencana dalam Berita Harian 21 September 2011.
Selain itu juga, tugas guru menjadi satu beban yang berat kerana wujudnya arahan
dalam arahan. Guru melakukan beban kerja berganda kerana program-program
yang telah dirancang di peringkat kementerian perlu dilaksanakan, di samping
melaksanakan program yang lebih kurang sama yang dianjurkan oleh pihak Jabatan
Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan seterusnya program sedia ada
yang telah dirancang di dalam takwim sekolah. Kesemua program ini perlu
dilaksanakan mengikut tempoh masa tertentu dan guru perlu menyediakan kertas
kerja program, merancang jawatankuasa kerja dan memastikan program ini berjalan
mengikut rancangan.
NUTP dalam Berita Harian bertarikh 2 April 2010 mendedahkan guru menanggung
beban kerja berganda apabila terpaksa melakukan tugasan dalam skop yang sama
berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza. Setiausaha Agung
NUTP, Lok Yim Pheng berkata senario berlaku apabila Kementerian Pelajaran
mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu,
namun pada masa yang sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program
seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN)
atau Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian
hampir sama. Hal ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan menjejaskan
tanggungjawab guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
Tugas mengurus murid-murid di dalam bilik darjah turut menambah beban di bahu
para guru apabila jumlah murid yang terlalu ramai dalam satu bilik darjah. Ketika ini,
kebanyakan sekolah terutama sekolah di Bandar, mengalami masalah kepadatan
bilik darjah sehingga ada yang melebihi 40 orang murid, menyebabkan guru
menaggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar
murid berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah
serta menyemak latihan. Lum Chee Hong menulis laporan bertajuk 2 Cikgu, Satu
Kelas Disokong turut menyatakan bahawa terlalu ramai murid dalam kelas, sehigga
jumlahnya melebihi 30 orang satu kelas menyebabkan persekitaran menjadi sempit
dan menyukarkan guru untuk melakukan pemantauan terhadap semua murid.
Mohd Feroz dalam laporan khas yang ditulis dalam Berita Harian, 13 Mei 2011,
menyatakan beban waktu mengajar guru yang tidak seimbang antara sekolah
menjadi sebab beban guru bertambah. Hasil tinjauan yang dijalankan menunjukkan
bahawa Sekolah Menengah Harian (SMH) mengalami kekurangan guru khususnya
guru subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Fizik,
Kimia dan Kemahiran Hidup. Beban tugas guru di SMH bertambah apabila bilangan
guru tidak mencapai tahap optimum. Ini berbeza dengan Sekolah Menengah Teknik
dan Vokasional dan Sekolah Berasrama Penuh.
Selain agihan guru tidak seimbang antara jenis sekolah berbeza, kakitangan
kumpulan sokongan dan pentadbiran mengikut bilangan pelajar dan bukan mengikut
beban kerja dalam organisasi sekolah merupakan penyebab beban guru bertambah.
Mengikut amalan sekarang, nisbah antara Pembantu Tadbir sekolah dengan pelajar
ialah 1:300 iaitu seorang Pembantu Tadbir bersamaan 300 pelajar. Akibat
pembahagian guru dan Pembantu Tadbir yang tidak realistik, beban kerja guru
menjadi semakin bertambah dan ini merupakan salah satu sebab tugas-tugas
pengkeranian terpaksa dilakukan oleh guru.
Jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia telah
menjalankan analisis beban tugas guru. Hasil dapatan awal kualitatif analisis dan
tinjauan tersebut menyenaraikan beberapa beban tugas guru, iaitu;

Jadual 1. Hasil Dapatan Kajian Oleh Jawatankuasa Menangani Beban Tugas Guru


3.0 IMPLIKASI ISU BEBAN TUGAS GURU

Beban tugas mendatangkan pelbagai implikasi kepada guru dan juga bidang
pendidikan itu sendiri. Jika diamati, guru pada hari ini bukan hanya bertugas sebagai
pendidik di dalam bilik darjah, malahan juga guru turut bertindak sebagai kerani,
setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip, juruhias, dan sebagainya. Implikasi beban
tugas yang terlalu banyak juga kadangkala memaksa guru bekerja lebih masa. Guru
juga mendapat kurang waktu berehat apabila dipanggil menjalankan pelbagai
aktiviti pada hari Sabtu.
Memetik kata-kata Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, pertambahan beban tugas
guru dikhuatiri akan menyebabkan hala tuju sistem persekolahan negara lebih
mementingkan keputusan berasaskan peperiksaan, berbanding memupuk budaya
mencintai ilmu di kalangan pelajar. Guru kini selain mengejar waktu untuk
menghabiskan silibus mata pelajaran, hanya memberi tumpuan terhadap aspek
kemahiran pelajar menjawab soalan peperiksaan.
Lok menegaskan bahawa guru ingin memberi tumpuan kepada core
business mereka, iaitu mengajar. Bagaimanapun katanya, guru lebih menghabiskan
masa menguruskan data, fail, rekod dan laporan, menguruskan pelbagai
pertandingan kurikulum dan kokurikulum serta program akademik dan bukan
akademik di luar sekolah. Beliau menambah, guru kelas dibebankan dengan
pelbagai kerja pengkeranian dan hanya sedikit masa digunakan untuk tujuan
persediaan alat bantu mengajar dan rancangan mengajar serta menyemak buku
latihan pelajar.
Arumugam (1975) menyatakan punca-punca penting bagi ketegangan dan
ketidakpuasan yang dialami oleh guru-guru di Malaysia adalah tugas-tugas
pengkeranian yang banyak. Walaupun guru-guru sebenarnya menolak tugas
pengkeranian yang diberikan kepada mereka, mereka terpaksa menerima dan
melaksanakannya.
Beban tugas guru yang terpaksa dipikul ini akan menyebabkan para guru mengalami
ketegangan seperti pendapat yang dikemukakan oleh Payne & Furnham (1987) iaitu
di antara punca yang kerap berlakunya stress di kalangan guru ialah beban tugas
bukan mengajar. Ketegangan yang tinggi di kalangan guru boleh menyebabkan rasa
kecewa, agresif, bimbang dan mengurangkan prestasi kerja. Coldicot (1985)
menjelaskan ketegangan yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit dan
kemerosotan dalam prestasi kerja.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan
Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim,
berkata tekanan terhadap komitmen tugas yang perlu dilaksanakan mengikut
standard tertentu memungkinkan guru bertindak di luar batasan. Menurutnya, guru
yang tidak sanggup lagi menerima tekanan boleh bertindak di luar kawalan termasuk
melempiaskan kemarahan kepada pelajar tanpa disedari hingga mengakibatkan
masalah lain.
Dulu, guru boleh mencorakkan cara pengajaran sendiri tanpa perlu memberi
banyak komitmen terhadap tugasan lain. Berbanding sekarang, terlampau banyak
kerja remeh temeh terpaksa dilakukan termasuk tugas dokumentasi yang perlu
diserahkan kepada pihak tertentu. Ab Aziz Mohd Yatim
Hal ini begitu membimbangkan kerana di dada akhbar banyak kes berkaitan guru
sakit jiwa dilaporkan. Salah satu contoh, adalah yang dilaporkan oleh Siti Nor Afzan
Kasiman dalam akhbar KOSMO bertarikh 30 Ogos 2012, profesion perguruan
terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental. Didalam laporan ini
menyebut bahawa;
Kajian oleh NUTP mendapati 70 peratus daripada 9000 guru di seluruh negara
tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi terpaksa berdepan dengan
kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Salah seorang guru yang ditemu bual oleh penulis, mendedahkan bahawa akibat
terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, beliau mengalami sakit jiwa. Beliau yang
mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut
lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.
Semasa saya mengajar di Sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu dari
pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak. Hari Isnin
hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta
menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.Hari Sabtu pula, ada
kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya
selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat."
Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal dalam akhbar KOSMO, setiap tahun dianggarkan
22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan.
Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru. Malah, jelas
Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk
mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan
buah pinggang.

4.0 CADANGAN MENANGANI ISU BEBAN TUGAS GURU

Oleh kerana tanggungjawab dan tugas guru di sekolah yang terlalu banyak, maka
setiap pihak perlulah memperhalusi dan mengkaji semula setiap tugas yang
diberikan agar tugas tersebut tidak menjadi bebanan yang tidak mampu dipikul oleh
guru. Pelbagai cadangan serta cara disarankan oleh pihak tertentu untuk
menyelesaikan isu ini. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri telah
menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru
(JKPMIBTG).


JKPMIBTG telah mencadangkan 28 perakuan bagi menangani isu ini. Perakuan ini
terkandung dalam Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi
Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia. Antara perakuan yang telah diambil
tindakan:
1) Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu diadakan secara
berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan, satu surat siaran telah dikeluarkan
oleh KPM untuk memastikan pihak sekolah mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil
8/2005: Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu;

2) Bagi mengurangkan beban tugas rencam guru di sekolah, satu Garis Panduan
Penggabungan Jawatankuasa telah disediakan supaya jumlah Jawatankuasa di
peringkat sekolah tidak melebihi sepuluh yang terpenting;

3) Bagi mengurangkan tugas perkeranian yang ada pada ketika ini dilaksanakan
oleh guru, KPM telah memohon pertambahan jawatan Pembantu Tadbir melalui
urusan pindah butiran perjawatan/trade off bagi tujuan pelaksanaan kajian rintis di
50 buah sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1500 orang murid;

4) Bagi mengurangkan kekerapan guru keluar meninggalkan kelas untuk
berkursus:
a) Satu Pelan Operasi Latihan (POL) Tahunan yang komprehensif sedang
dibangunkan untuk dilaksanakan dalam tahun 2011;
b) Kursus Dalam Perkhidmatan secara atas talian (online) akan diperkenalkan;
c) Pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam pembentangan bajet
2011 yang telah diumumkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia

5) KPM telah memohon peruntukan kewangan dalam Anggaran Belanja Mengurus
2011 bagi menampung keperluan khidmat Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan
(KGSK) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT);

6) One Stop Centre diwujudkan di peringkat KPM bagi tujuan pengumpulan dan
penyelarasan data.

Setiap perakuan yang telah dijalankan oleh pihak KPM dapat mengurangkan beban
tugas guru. Unpamanya, rungutan para guru berkaitan tidak cukup rehat kerana
terpaksa bertugas setiap sabtu atau hari minggu. Oleh itu, dengan pelaksanaan
aktiviti pada hari Sabtu secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan
melegakan para guru kerana guru bukan sahaja mempunyai tugas di sekolah
malahan juga perlu menguruskan keluarga memerlukan masa bersama keluarga
masing-masing.
Tugas perkeranian merupakan salah satu beban tugas yang paling besar yang perlu
ditangani oleh guru. Oleh itu, dengan pertambahan kakitangan Pembantu Tadbir
merupakan cadangan yang amat baik dan disambut lega oleh pelbagai pihak. Tan
Sri Muhyiddin Yassin menyatakan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 16 Mei 2012,
satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatamn Awam
bagi memperluas penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah
bawah kementerian.
Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman turut
bersetuju dengan perakuan tersebut dan mengulas bahawa penambahan jawatan
staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar
mereka iaitu mengajar. Beliau menyebut .guru perlu fokus untuk pengajaran,
bukan dalam kerja perkeranian. Jangan biarkan guru terus buat banyak kerja lain
setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan.
Pihak KPM juga telah mengeluarkan surat siaran berkaitan pelaksanaan perakuan
Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2012. Pihak KPM telah
melaksanakan peraturan dan perakuan berhubung mengurangkan bilangan ujian
dan pelaksanaan peperiksaan setara di sekolah. Ini bermaksud pihak KPM telah
memutuskan bahawa mulai tahun 2012, Bahagian-Bahagian KPM, Jabatan
Pelajaran Negeri, dan Pejabat Pelajaran Daerah hanya dibenarkan untuk
menyelaras dan melaksanakan satu peperiksaan setara sahaja sama ada bagi
Peperiksaan Percubaan atau Peperiksaan Akhir Tahun. Pelaksanaan peperiksaan
setara ini akan dimansuhkan bermula pada 1 Januari 2013. Pihak sekolah tidak
dibenarkan untuk menyelaras jadual (setara) bagi ujian formatif. Untuk itu, guru-guru
boleh melaksanakan ujian formatif mengikut jadual waktu pengajaran dan
pembelajaran masing-masing.
Bagi perakuan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), pengoperasian LDP akan
dijalankan secara School-Based di Sekolah-Sekolah di bawah KPM. Bagi
mengelakkan dan mengurangkan kekerapan guru meninggalkan bilik darjah, LDP
hendaklah dilaksanakan seperti berikut:
1) 60% latihan secara berasaskan sekolah (school-based)
2) 30% latihan secara berpusat di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan
Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)
3) 10% latihan berpusat di peringkat Bahagian KPM
Selain itu, pihak KPM turut menyediakan garis panduan penglibatan guru dalam
aktiviti anjuran KPM. Garis panduan tersebut menetapkan bahawa pentadbir sekolah
hendaklah mengagihkan tugas dan tanggungjawab kepada semua guru secara
seimbang bagi mengelakkan penglibatan guru yang sama dalam aktiviti yang
dianjurkan.
Majlis Guru Besar Malaysia turut mencadangkan kepada KPM untuk mengkaji
nisbah guru dan pelajar untuk mengurangkan beban guru. Yang Dipertua Gabungan
Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) Awang Mohamad melalui BERNAMA, 3 Ogos
2005 berkata Satu daripada cara untuk meringankan beban kerja ini ialah dengan
menambah bilangan guru, ertinya kalau sekarang satu bilik darjah 1.5 guru,
sekarang kita minta satu bilik darjah 2.0 (ertinya satu bilik darjah ada dua orang
guru).
Saranan yang disampaikan oleh Awang juga relevan dengan saranan pihak lain
berkaitan jawatan pembantu guru bagi mengatasi masalah yang sama. Tokoh
akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad bersetuju dengan jawatan pembantu guru
bagi membantu guru di setiap kelas bagi melakukan tugas pentadbiran dan
perkeranian. Memetik kata-kata beliau dalam Berita Harian, 2 April 2010;
.Ini bukan sahaja meringankan tugas guru, malah pada masa yang sama
membantu murid yang ketinggalan untuk maju standing dengan rakan lain..
Bagi mengatasi bilik darjah yang mengandungi terlalu ramai murid, kalangan
guru menyokong syor menempatkan dua guru dalam kelas bagi meringankan beban
tugas guru. Ini bersesuaian dengan saranan pihak lain yang mahukan pembantu
guru di dalam bilik darjah. Perkara ini telah dinyatakan dalam rencana Berita Harian,
15 Disember 2010.
Bukan itu sahaja, salah satu usaha atau cadangan bagi meringankan beban
tugas guru yang semakin bertambah adalah ganjaran atau imbuhan guru
ditingkatkan setanding dengan tugas dan amanah yang dipikul. Malahan, pihak KPM
telah menyediakan tiga insentif sebagai ganjaran dan penghargaan kepada guru
yang komited dalam memikul amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan
matlamat pendidikan. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Berita Harian, 20 Mei 2010
menjelaskan mengenai insentif yang digunakan untuk meringankan beban tugas
yang dipikul guru serta meningkatkan motivasi kerja guru di sekolah. Antara bentuk
insentif adalah kenaikan gred perkhidmatan berdasarkan time-based. Ini bermaksud
peningkatan gred dilakukan berdasarkan tahun perkhidmatan serta kualiti
perkhidmatan.
Pihak KPM turut menawarkan insentif sebanyak RM 900 hingga RM7500
kepada Pengetua, Guru Besar dan guru sekolah yang mencatat prestasi cemerlang
mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Ia
boleh dianggap sebagai alternatif kepada cadangan membayar elaun kerja lebih
masa kepada guru yang dituntut oleh NUTP namun telah ditolak oleh kerajaan.



5.0 RUMUSAN
Secara tuntasnya, isu beban tugas guru telah lama digembar gemburkan dan
sehingga ke hari ini isu ini masih cuba ditangani oleh kementerian pelajaran. Saya
bersetuju dengan isu ini bahawa beban tugas guru pada hari ini semakin bertambah
dan guru banyak melakukan tugas-tugas pentadbiran seperti perkeranian. Tugas
memasukkan maklumat murid secara atas talian merupakan salah satu beban tugas
yang pada hemat saya begitu mencabar bagi sesetengah guru yang jarang-jarang
menggunakan internet dan komputer.
Apa yang saya perhatikan, banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih
bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga
yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak songeh serta pelbagai kritikan
lagi seperti sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut.
Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu
mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan
sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan
longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga
atas katil sebelum tidur.
Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini
menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data
peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran,
rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada
peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.
Adalah tidak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada
zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara
berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan,
bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik
komputer.
Justeru, pada pendapat saya, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan
dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara
ini.
Saya penuh percaya bahawa guru yang berdedikasi tidak akan melihat tugas
tersebut sebagai beban. Jika kita benar-benar minat, walaupun tugas itu berat, kita
sedia berkorban dan jauh sekali mahu melihatnya sebagai beban. Konsep
pengorbanan dalam profesion perguruan hakikatnya sangat penting dan saya tahu
ada guru sanggup datang ke sekolah tanpa disuruh oleh guru besar untuk
membimbing pelajar. Inilah bukti kepimpinan dan komitmen guru yang membezakan
mereka daripada guru-guru lain Tan Sri Muhyiddin Yassin (2011).
Saya bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin
ini. Namun berharap agar isu guru menjalankan tugas perkeranian dapat
diselesaikan melalui cadangan kerajaan menambah bilangan jawatan pembantu
tadbir agar guru dapat menjalankan tugas mendidik yang sepatutnya menjadi tugas
hakiki mereka dengan lebih efektif.
http://cahayapendidik.blogspot.com/2012/08/isu-keguruan-beban-tugas-guru.html

Anda mungkin juga menyukai