Anda di halaman 1dari 28

http://arkitekbangsaku.blogspot.

com/2012/09/artikel-2-isu-guru-menjalankan-
kerjaya.html
September 2012 Artikel 2: Isu Guru Menjalankan Kerjaya Sambilan

1.0 PENGENALAN ISU
Profesion perguruan adalah suatu profesion yang mulia, dihormati dan
disanjungi. Guru merupakan seorang yang akan dikenang jasanya oleh anak didiknya
hingga ke akhirnya. Ia adalah suatu profesion yang mempunyai etikanya tersendiri di
mana guru dianggap segala-galanya. Guru ibarat pakar rujuk dalam setiap bidang dan
menjadi orang yang dihormati serta disegani dalam masyarakat. Walaubagaimanapun,
profesion perguruan abad ini tidak terlepas daripada isu-isu hangat yang diperkatakan
seperti isu penyalahgunaan dadah, salah laku seks, rasuah, salah guna kuasa,
mendera, sakit mental dan sebagainya. Isu-isu yang diperkatakan menjadi semakin
bertambah hari demi hari yang menampakkan keburukan serta kepincangan yang
mencalar profesion perguruan itu sendiri walaupun ianya berpunca dari individu
tertentu yang bergelar guru.

Isu kebiasaannya dikaitkan dengan sesuatu perkara yang diperkatakan dan
boleh menjadi sesuatu yang besar. Tidak banyak definisi isu yang dapat dinyatakan
namun menurut satu laman web (artika.com), isu adalah suatu masalah yang
dikedepankan atau diperkatakan untuk ditanggapi oleh orang ramai. Ia juga
merupakan suatu berita yang tidak jelas asal usulnya dan tidak terjamin
kebenarannya.
Dalam era globalisasi masa kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua
bidang haruslah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas
dan nilai-nilai murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu
tersebut. Etika ditakrifkan sebagai satu cabang ilmu pengetahuan yang berurusan
dengan apa yang baik dan tidak baik dan dengan kewajiban dan tanggungjawab
moral (Harold Koontz & Heinz Weihrich Pengurusan terjemahan Mohd Salmi Mohd
Sohod & Siti Nadzrah Sheikh Omar DBP).
Istilah etika atau ethic berpunca daripada perkatan Greek ethos yang
bermaksud perwatakan atau keperibadian. Mengikut pengertian Kamus Dewan (1995),
etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan.
Pengertian dari sudut Islam pula menyatakan etika adalah akhlak. Manakala dalam
konteks pekerjaan merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap
amanah yang dituntut oleh syarak.
Ia juga merupakan suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak atau
tingkah laku bagi sesuatu kumpulan atau organisasi. Sistem dasar meliputi aspek-
aspek moral yang baik atau buruk serta betul atau salah sebagai panduan kepada ahli-
ahli. Dalam kehidupan manusia memerlukan satu sistem atau panduan untuk
menentukan mereka bertingkah laku. Perkara ini mendasari perkembangan etika
dalam masyarakat tersebut.
Menurut sarjana barat, J.L. Mackie beliau mentakrifkan etika sebagai disiplin
yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan
garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorag. Menurut A.R. Licey
dan W.L. Reese, etika dikatakan sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan
tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang atau
masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dari sudut pandangan ahli falsafah,
etika merujuk kepada pengajian moral yang bertumpu kepada nilai dan kelakuan
manusia.
Etika juga dikatakan menggariskan semua panduan yang bertujuan
meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan
memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan
peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Skop Etika
Profesional mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal
yang benar-benar peribadi. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh
manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.
Oleh itu berdasarkan pengertian di atas, jelas bahawa etika berkaitan dengan
pembuatan keputusan bagi semua jenis tindakan di mana tindakan-tindakan tersebut
membawa seseorang untuk berinteraksi dengan orang lain secara berprotokol,
sempurna, berhemah dan berkesan. Di samping itu juga, etika melihat secara khusus
mengenai tingkah laku manusia yang dikira patut atau tidak patut dilakukan selaras
dengan norma-norma dan nilai-nilai yang diterima oleh semua masyarakat pelbagai
kaum di Malaysia.
Guru perlu mempunyai sahsiah yang tinggi dan memberi komitmen yang tinggi
terhadap tugas sebagai pendidik yang baik. Media massa banyak melaporkan pelbagai
kes dan isu seperti guru memukul murid, guru menerima rasuah, guru pecah amanah,
cikgu cabul murid dan sebagainya yang menarik perhatian umum serta menguji
kredibiliti profesion perguruan. Namun kes-kes seperti ini semakin meningkat setahun
demi setahun. Berdasarkan pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan ini,
maka saya telah memilih satu artikel yang bertajuk Guru menjalankan kegiatan
penyalahgunaan dadah sebagai kerja sambilan. Saya berpendapat bahawa isu ini
melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar etika profesion perguruan.
Fenomena masyarakat yang bekerja sambilan merupakan perkara asas yang
jarang diperkatakan. Namun ia bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat
termasuk di kalangan guru pada hari ini. Guru-guru di Malaysia umumnya tidak
diketahui secara jelas sejauhmana seriusnya mereka terlibat dengan aktiviti
pekerjaan sampingan. Bahkan, untuk mengetahui statistik sebenar golongan yang
bekerja sampingan, ia tidak mudah untuk diperolehi disebabkan kebanyakan mereka
yang terlibat tidak bersedia untuk membuat pengakuan atas alasan-alasan yang
tersendiri. Walaubagaimanapun, fenomena ini dapat dilihat di kebanyakan sekolah
berdasarkan kepada pemerhatian yang dilakukan oleh guru-guru sendiri di sekolah
masing-masing. Kerja sampingan merupakan istilah yang membawa maksud seseorang
yang melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat menambahkan pendapatannya
walaupun memiliki kerjaya utama.
Guru merupakan golongan profesional yang diberi peranan penting sebagai agen
perubahan dalam masyarakat. Menurut Noriati et. al. (2010), guru yang komited
diperlukan untuk menyediakan program pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti
dan berpegang teguh dengan strategi-strategi akauntabiliti yang berkesan. Guru
sebagai kakitangan sekolah pula harus memberikan sepenuh komitmen kepada pihak
pentadbiran bagi melancarkan urusan berkaitan pengurusan sekolah selain
memberikan sokongan padu dalam merealisasikan visi dan misi sekolah yang telah
digariskan (Abdullah Sani et. al. 2007).
Komitmen guru menjadi salah satu faktor yang penting dalam menentukan
kejayaan perubahan sesuatu dasar dan agen pendidikan yang dirancang. Malah ia
bukan sekadar ketika berada dalam waktu bertugas di sekolah, malah pada bila-bila
masa. Selain menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran, bidang tugas guru
turut merangkumi pelbagai perkara yang berkaitan dengan bidang pengurusan
akademik termasuk penglibatan dalam pengurusan kokurikulum, pengurusan kebajikan
murid, terlibat dalam mesyuarat serta menghadiri kursus dan sebagainya (Burnham,
2011). Keadaan itu telah memperlihatkan kepelbagaian tugas seorang guru dalam
dunia pendidikan yang sentiasa wujud perubahan seiring dengan keperluan semasa
(Mohamad Najib, 2004).
Walaubagaimanapun, sebagai seorang manusia guru tetap memerlukan masa
yang perlu diluangkan untuk menguruskan hal-ehwal peribadi sama seperti individu
lain (Lambert, 2003). Ini merupakan hak guru melakukan semua perkara untuk
kepentingan dirinya di luar waktu bertugasnya di sekolah. Selain melakukan tugas
peribadi, mengurus keluarga atau terlibat dengan sebarang aktiviti komuniti
setempat, terdapat dalam kalangan guru yang mengambil inisiatif melakukan sesuatu
yang dapat menambahkan pendapatannya dengan melakukan kerja sambilan.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada situasi ini di mana kesan-kesan
yang wujud daripadanya menjadi kayu ukur kepada tahap komitmen guru-guru yang
terlibat.
Menurut Mariatin (2009), oleh kerana kejayaan sesebuah organisasi banyak
bergantung kepada kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh kakitangan maka,
seharusnya tidak ada sebarang halangan yang dapat menyumbang kepada kegagalan
guru dalam memberikan komitmen kepada organisasinya. Ini disebabkan komitmen
semua guru diperlukan bagi memastikan pengurusan sekolah dapat dijalankan dengan
jayanya kerana guru adalah sebahagian daripada kakitangan yang menggerakkan
organisasi sekolah bagi mencapai misi dan visi yang selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (Abdullah Sani, 2005).


Kerja sambilan merupakan istilah yang diadaptasi daripada perkataan Bahasa
Inggeris iaitu moonlighting di mana perkataan ini pada asalnya diambil daripada
perkataan moonlight. Menurut kamus Oxford (2011), kerja sambilan membawa
maksud seseorang yang mempunyai pekerjaan kedua di mana kebiasaannya dilakukan
pada waktu malam secara rahsia sebagai tambahan daripada pekerjaan utamanya.
Kemudian, Pere (2007) dan Betts (2002) menyatakan istilah moonlighting ini seerti
dengan istilaah second job, part-time job, dual job, multiple job dan
seumpamanya. Kesemua ini bermaksud bahawa seseorang yang bekerja sambilan
secara separuh masa namun pada masa yang sama mempunyai pekerjaan lain yang
utama di mana ia dilakukan secara sepenuh masa.
Idea ini selari dengan Champion (2010), Michael (2010) dan Betts (2006) yang
menyatakan moonlighting di dalam Bahasa Melayu adalah kerja luar yang bermaksud
mempunyai dua pekerjaan atau lebih separuh masa serta pekerjaan tambahan ini
berlaku kepada seseorang yang memiliki sesebuah kerjaya yang menjadi pekerjaan
utamanya.
Azanza (2000) pula berpendapat bahawa kerja sambilan merupakan salah satu
cara untuk memperolehi pendapatan walaupun seseorang itu mempunyai pekerjaan
tetap. Di samping itu beliau turut menyatakan kerja sambilan itu merangkumi
seseorang yang bekerja sendiri seperti menjadi perunding, mengajar kelas malam,
membuat pelaburan selain menjadikan hobi dan kemahiran yang dimiliki sebagai cara
untuk menambahkan pendapatan.
Berdasarkan kepada definisi dan konsep kerja sambilan yang telah dihuraikan di
atas, isu ini memfokuskan kepada guru yang terbabit dengan sebarang kegiatan atau
aktiviti yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan semasa berada di dalam
kawasan sekolah atau sebaliknya pada bila-bila masa (Parham, 2006). Keadaan ini
sama ada bekerja separuh masa secara makan gaji di tempat lain selepas waktu
mengajar, menjalankan perniagaan sendiri dengan menjual produk atau sebagai agen
jualan, penyediaan sesuatu perkhidmatan, memiliki syarikat perusahaan sendiri atau
usahasama dengan keluarga atau sebarang sumber yang dapat menambahkan
pendapatan mereka walaupun aktiviti berkenaan dijalankan secara kecil-kecilan.
2.0 PERKEMBANGAN HUJAH
Isu berkenaan guru yang bekerja sambilan ini bukanlah satu trend atau khusus
di sesebuah tempat malahan di mana-mana tempat dan organisasi akan wujud
kakitangan yang melakukan pekerjaan sampingan. Walaupun faktor kewangan dilihat
lebih dominan dalam kalangan guru yang melakukan kerja sampingan (Livanos &
Zangelidis 2008, McClintock et. al. 2004), Robinson & Wadsworth (2007) menyatakan
ia bukan disebabkan masalah kewangan atau menerima gaji yang rendah daripada
pekerjaan utama semata-mata. Sebaliknya terdapat juga pelbagai faktor lain yang
turut menyumbang kepada seseorang itu mengambil keputusan untuk melakukan
pekerjaan sambilan yang merangkumi faktor peribadi dan faktor kerjaya (Betts 2002).

Menurut Betts (2002), dalam laporannya menyatakan salah satu faktor daripada
pekerjaan sampingan itu dilakukan adalah kerana faktor peribadi. Pandangan ini juga
turut diselari dengan para pengkaji yang lain di mana kerjaya sampingan yang
dilakukan itu tidak berkaitan dengan faktor kewangan dan tidak dipengaruhi oleh
unsur lain selain atas kehendak diri sendiri semata-mata. Kebanyakan mereka yang
bekerja sambilan juga didapati sangat menyukai untuk melakukannya tanpa terikat
dengan faktor kewangan (Hipple, 2010).
Dickey et. al. (2011) dan Betts (2002) berpendapat seseorang yang menjalankan
kerja sampingan adalah disebabkan oleh faktor peribadi iaitu untuk memenuhi minat
serta mengisi masa lapang di luar waktu bertugas mereka. Bahkan wujud dalam
kalangan mereka untuk memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya di mana ia tidak
diperolehi daripada pekerjaan utamanya (Dickey et. al. 2011, Panos et. al. 2011)
dengan melakukan sesuatu pekerjaan lain yang diminati.
Winters (2010) dalam kajiannya mendedahkan, walaupun seseorang itu
melakukan pekerjaan sampingan tetapi ia bukan atas alasan kewangan walaupun
memperolehi pendapatan kecil daripada kerjaya utamanya seperti mana yang
dijelaskan oleh Hipple (2010). Malahan kajian ke atas guru menunjukkan majoriti
daripada mereka yang terlibat mengakui mereka tetap akan melakukan pekerjaan
sampingan walaupun tangga gaji mereka sebagai guru dinaikkan (Pearson et. al.
2001). Keadaan ini menunjukkan mereka sememangnya menyukai dan gembira dengan
kerja sampingan yang dilakukan (Renna & Oaxaca 2009) walaupun terpaksa
mengorbankan masa lapang di luar waktu bekerja.
Selain itu, seseorang yang menjalankan pekerjaan lain selepas waktu bertugas
adalah bagi meningkatkan bakat dan kemahiran yang dimiliki serta mempunyai minat
mendalam terhadap aktiviti sampingan yang dilakukan. Hipple (2010) berpendapat
pekerjaan sampingan yang dilakukan seseorang adalah sebagai cara untuk membina
kemahiran baru dan menimba pengalaman lain yang berbeza daripada pekerjaan
utama sedia ada yang dimiliki (Dickey et. al. 2011, Renna & Oaxaca 2009).
Terdapat juga dalam kalangan individu yang melakukan kerja sampingan bagi
membina rangkain hubungan sosial dengan rakan baru (Betts 2002). Salah satu
tujuannya adalah untuk mengenali seseorang yang dapat membantunya mencapai
sesuatu yang diingini seperti peluang pekerjaan baharu (Pere 2007). Kesemua alasan-
alasan berbentuk peribadi ini memperlihatkan mereka melakukan kerja sampingan
adalah atas dasar sukarela dan merasa bahagia melakukannya (Hipple 2010, Averett
2001) walaupun menyedari pelbagai kesan yang akan dihadapi daripada tindakan
melakukan pekerjaan sampingan.
Kebanyakan pengkaji mengatakan bahawa faktor ekonomi atau kewangan
merupakan penyebab utama kepada seseorang itu melakukan kerja sampingan (Dickey
et. al. 2009) termasuklah dari kalangan guru. Walaupun mempunyai pendapatan
daripada pekerjaan utama sebagai guru secara sepenuh masa, terdapat juga di
kalangan mereka yang melakukan pekerjaan sambilan bagi mengatasi masalah
kewangan yang dihadapi.
Hipple (2010) berpendapat bahawa mereka yang memiliki kerjaya lain yang
mendatangkan pendapatan adalah berpunca daripada faktor kewangan sebagai sebab
utama. Beliau turut menyebut keadaan ini adalah disebabkan mereka mempunyai
beban tanggungan hutang atau pinjaman yang perlu dijelaskan sama seperti mana
yang dilaporkan oleh Verma (2008) dan Averett (2001). Laporan daripada Parham
(2006) juga menyebutkan faktor penyebab guru menjalankan kerja sambilan adalah
kerana masalah kewangan dan ianya sukar untuk dihentikan setelah terlibat dengan
aktiviti bekerja sambilan walaupun mengetahui terdapat kesan di sebaliknya.
Keinginan untuk meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik dengan
memperolehi pendapatan tambahan telah menyebabkan ramai yang mengambil
keputusan untuk bekerja sampingan. Kenyataan ini selari dengan Hyder & Ahmed
(2009), Guanglia & Kim (2004), Kimmel & Conway (2002) dan Partridge (2002) yang
mengemukakan alasan gaji atau pendapatan yang kecil daripada kerjaya utama
menjadi punca kepada seseorang itu melakukan pekerjaan sampingan.
Terdapat kajian yang menunjukkan individu menjalankan kerja sambilan adalah
disebabkan faktor kerjaya. Keadaan ini bermaksud seseorang itu menjalankan kerja
sampingan atas tuntutan yang berhubung dengan kerjaya mereka sendiri (Dickey et.
al. 2009), untuk menimba pengalaman baharu (Dickey et. al. 2011), memperolehi
pengetahuan bagi memperkukuhkan kerjaya pada masa depan dan sebagai satu cara
bagi meninggalkan kerjaya perguruan (Henderson 2000) atas pelbagai asalan.
Terdapat pelbagai kerja sambilan yang dilakukan oleh guru-guru pada masa
kini. Ada antara mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjadi penceramah
dalam sebarang khusus atau seminar, berniaga di pasar-pasar malam, MLM, memandu
teksi malah ada antara mereka yang mungkin turut terlibat dengan pekerjaan jenayah
yang menyalahi undang-undang negara. Jesteru, fenomena guru menjalankan kerja
sambilan telah mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM). Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak kementerian telah mengeluarkan Surat
Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 1999 mengenai penglibatan pegawai dan
kakitangan di bawah dalam Pekerjaan Luar. Menerusi surat tersebut, Ketua Jabatan
telah diberi kuasa meluluskan permohonan dan membuat pemantauan terhadap
mereka yang berkenaan.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini banyak aduan yang telah diterima dan
dibangkitkan sama ada di media cetak mahupun elektronik mengenai salah laku
pegawai yang terlibat sebagai guru tuisyen mahupun tenaga pengajar sambilan sama
ada mereka telah diberi kebenaran atau tidak telah didapati tidak mengutamakan
tanggungjawab ke atas tugas hakiki yang disandang malahan ada yang mengambil
kesempatan menjadikan institusi pendidikan sebagai platform atau medan perniagaan
dalam mempromosi khidmat tuisyen berbayar yang berunsur kepentingan peribadi.
Pada dasarnya pegawai perkhidmatan awam dilarang melakukan pekerjaan luar
atau kerja sampingan yang mendatangkan sebarang bentuk faedah atau keuntungan
sama ada dalam bentuk upah atau keuntungan. Namun demikian, atas keprihatinan
kementerian terhadap keperluan para murid dalam mendalami ilmu dan menguasai
pembelajaran tambahan, pihak kementerian telah membenarkan para pendidik untuk
membimbing murid melalui kelas persendirian di mana-mana institusi pendidikan
swasta dengan syarat aktiviti yang dijalankan tidak bertentangan dengan kepentingan
dirinya sebagai penjawat awam.
Kebenaran bersyarat ini adalah sebagai alat kawalan dalaman bagi memastikan
aktiviti tersebut selaras dengan kehendak Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai
Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan itu
dikeluarkan adalah untuk memberi garis panduan yang terperinci mengenai
pengendalian dan syarat-syarat khusus kepada pekerjaan luar sebagai guru tuisyen
atau tenaga sambilan bagi anggota Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sebagai kesimpulannya, kerja sampingan boleh dilakukan oleh guru tetapi
pertimbangan yang sewajarnya haruslah diberikan supaya kerja sampingan tersebut
tidak mengganggu tugas hakiki guru di sekolah. Setiap guru harus secara
bertanggungjawab terhadap tugas sebenar di sekolah dan menjadikan kerja
sampingan benar-benar sebagai sampingan. Guru sebaliknya tidak boleh sama sekali
menjadikan tugas hakiki di sekolah sebagai kerja sampingan.
Namun demikian, kebenaran ini juga telah disalah ertikan oleh guru dengan
melakukan pekerjaan jenayah sebagai kerja sampingan yang menyalahi undang-
undang. Merujuk kepada laporan berita-berita semasa yang disiarkan melalui media
massa, terdapat pelbagai isu yang melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar
etika profesion perguruan sekarang ini. Antara salah satu isu hangat yang telah
menimbulkan permasalahan serta memberi kesan terhadap profesion keguruan ialah
yang dipetik dari artikel melalui sumber laman web rasmi, Guru Sains disyaki edar
dadah akan digantung kerja (Berita Harian Online: 21 Februari 2010).
Merujuk kepada laporan akhbar dalam Berita Harian Online melaporkan: Guru
Sains Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat yang ditahan polis,
Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah bakal berdepan tindakan digantung
kerja, dipindahkan atau dibayar separuh gaji. Guru sains tersebut dipercayai
mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan
bergaya.
Menurut sumber, guru berusia 31 tahun itu baru saja berjinak-jinak dalam
pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dengan menggunakan kereta Proton Savvy
miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan dan ditahan
kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah Batu Pahat.
Sumber itu berkata, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit
membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana
pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini. Menurut
beliau juga, pihaknya memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak teragak-
agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba
mencemarkan profesion perguruan yang selama ini dipandang tinggi di kalangan
masyarakat.
Berdasarkan laporan yang dibuat dalam akhbar terkenal itu jelas menunjukkan
bahawa guru tersebut secara terang melanggar etika profesion perguruan dan kod
etika perguruan di Malaysia yang menyatakan bahawa guru perlu mematuhi kod etika
perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru kepada pelajar, ibu
bapa pelajar, rakan sejawat, masyarakat dan negara. Namun dalam kes ini guru telah
membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadi. Dengan ini jelas
menunjukkan sikap tidak profesional guru tersebut yang tidak berfikir dengan wajar
tentang impak negatif yang akan dihadapi sebelum melakukan pekerjaan sambilan
tersebut yang jelas menjejaskan masa depannya serta memburukkan nama baik
profesion perguruan yang sepatutnya disanjung tinggi. Jesteru itu, guru berkenaan
akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan tatakelakuan yang ditetapkan
dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dimana
Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman gantung kerja kerana guru
tersebut telah disabitkan melakukan kegiatan jenayah dalam penyalahgunaan dadah
secara kerja sambilan.
Malahan, baru-baru ini sudah terdapat isu berkenaan guru melanggar etika
profesion perguruan iaitu bekerja sambilan telah dilaporkan menerusi Berita Harian
Online: 4 Januari 2010 Guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan.
Menurut sumber, beberapa persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih
mengutamakan kerja luar berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana
mengejar pendapatan yang lumayan. Dalam laporan tersebut, Setiausaha Agung
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata tindakan
segelintir guru yang lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu umpama nila
setitik rosak susu sebelanga. Maka, keadaan ini akan memperlihatkan kesan negatif
terhadap bidang profesion perguruan dimana tindakan guru berkenaan boleh
mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru adalah komited
menjalankan tanggungjawab mereka masing-masing.
Tambahan lagi, isu guru melakukan penyalahgunaan dadah secara sambilan ini
menjadi semakin hangat apabila timbul pula laporan akhbar yang ditulis oleh M
Hifzuddin Ihksan dalam Berita Harian Online melaporkan BETONG: Kegiatan seorang
guru dari Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah
sekolah menengah di sini terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil
nospan di sini petang semalam. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan
Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin
dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan
berkenaan. Suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak tahun lalu
dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah.

Guru yang disebutkan di atas sememangnya mementingkan kehendak dan
kepuasan diri tanpa memikirkan nilai sahsiah dan moral yang sepatutnya dimiliki oleh
seorang pendidik. Selain menggelapkan masa depannya sendiri, tindakan di luar
kewarasannya itu turut memusnahkan masa depan pelajarnya ke arah melahirkan
generasi pengedar dadah yang sepatutnya di jaga dan dilindungi olehnya sekaligus
memburukkan nama atau mencemarkan nama profesion perguruan. Malah keadaan ini
bukan sahaja mencemarkan imej perguruan tetapi turut menjejaskan kredibiliti dan
kepercayaan masyarakat setempat terhadap peranan guru sebagai pendidik.
Profesion perguruan merupakan sebuah profesion yang sangat mulia dan
dipandang tinggi oleh semua golongan lapisan masyarakat. Dengan kesalahan-
kesalahan segelintir guru yang melanggar etika perguruan sesungguhnya telah
mencemarkan kemuliaan profesion itu. Kegagalan sahsiah guru itu adalah
kegagalannya secara individu, namun mungkinkah ianya adalah kegagalan pihak lain
yang menyumbang kepada kesalahan dan pelanggaran nilai sahsiah dirinya sendiri.
Jika kesalahan yang dilakukannya adalah disebabkan faktor kewangan yang mendesak
guru tersebut melakukan kerja sambilan dengan mengedar dadah untuk mendapatkan
pendapatan yang lumayan, perkara ini hendaklah dipandang serius oleh pihak-pihak
tertentu supaya dapat memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap guru yang
lebih mengutamakan kerja luar untuk kepentingan diri sendiri.
Mungkinkah perkara ini tidak berlaku jika guru berkenaan dapat mengawal
kemahuan peribadi yang menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa
memikirkan keperluan utama atau dengan tujuan memenuhi kepuasan mereka dalam
bekerjaya. Jesteru itu, sebagai seorang guru yang berprofesional harus bijak dalam
menguruskan bidang kerjaya dan peribadi dari segi kewangan serta kecenderungan
minat kerana kebijaksanaan dalam pengurusan ini akan memberi kesan kepada
kejayaan pengajaran guru di dalam kelas. Maka, guru perlu mengenalpasti dan
merancang setiap keperluan dan kemahuan dalam kehidupan mereka bagi menjamin
kejayaan dan kualiti hidup sebagai pendidik.

Kesalahan individu sering kali dilihat sebagai kegagalan individu itu sendiri,
namun jika diteliti dan diperhalusi terdapat beberapa faktor lain yang turut
menyumbang kepada berlakunya gejala sosial seperti melakukan kegiatan
penyalahgunaan dadah sebagai pekerjaan sambilan semata-mata untuk mengejar
kemewahan hidup. Tanpa pegangan agama yang kuat, kewarasan akal kadang kala
tidak dapat menyekat kehendak naluri individu itu untuk terus cenderung melakukan
kesalahan.
Jika menurut teori Maslow (1968), kegagalan manusia mendapatkan sesuatu
keperluan yang utama boleh menyumbang kepada seseorang cenderung melakukan
kesalahan demi mengisi keperluan yang dihajatinya. Manakala, teori ini juga turut
bertepatan dengan teori Psikoanalitik yang diasaskan oleh Sigmund Frued (1856-1939)
melihat manusia dilahirkan dengan sifat semula jadi dan tingkah lakunya lebih kepada
naluri kehaiwanan yang hanya dapat dibendung dengan pengalaman-pengalaman
dalam masyarakat dan sosialisasi. Sekiranya pengalaman ini tiada atau kurang, maka
ia cenderung ke arah merosakkan peraturan-peraturan dalam sesebuah masyarakat.
Fenomena bekerja sambilan bukanlah sesuatu yang baru wujud dalam kalangan
masyarakat malah dalam kalangan guru yang bekerjaya pun situasi ini tidak
terkecuali. Faktor kewangan bukanlah satu-satunya punca yang menyumbang kepada
penglibatan guru di dalam aktiviti bekerja sambilan dengan melakukan kegiatan
jenayah dalam kalangan guru bahkan berkait rapat dengan faktor peribadi dan kerjaya
mereka. Walaupun seseorang yang melakukan kerja sampingan tersebut atas
kemahuan sendiri yang menginginkan hidupan yang mewah serta pendapatan yang
lumayan, namun secara tidak langsung keputusan yang dibuat itu bukan sahaja
memberi kesan kepada diri sendiri tetapi juga melibatkan organisasi di tempat kerja
(Betts, 2002).





3.0 IMPLIKASI HUJAH
Setiap isu yang timbul atau ditimbulkan oleh guru sudah semestinya akan
memberi implikasi secara langsung atau tidak langsung terhadap diri guru itu sendiri,
pelajar, sekolah, masyarakat dan juga negara. Pembangunan sahsiah seseorang guru
sebenarnya terbentuk sejak kecil lagi bahkan sejak di dalam kandungan ibunya dan
suasana di dalam rumah tempatnya membesar. Peranan keluarga sangat penting
sebagai memainkan peranan utama manakala pembangunan sahsiah di sekolah
hanyalah program sokongan peneguhan dan pengayaan peribadi seseorang.
Pembangunan guru juga bermula dari pembangunan individu dan ia dipengaruhi oleh
beberapa faktor seperti baka dan persekitaran.
Tahap pendidikan dan penghayatan ilmu membantu perkembangan dan
pembangunan sahsiah ke arah lebih positif. Jika terdapat guru yang mempunyai
sahsiah buruk dan menimbulkan isu yang negatif, pembangunan sahsiah di kalangan
guru seolah-olah tidak berjaya dan ia sesuatu yang membimbangkan memandangkan
guru merupakan golongan yang menjadi harapan untuk membangunkan bangsa dan
negara.
Sahsiah sering dikaitkan dengan peribadi yang ditonjolkan oleh seseorang guru
melalui tindakan atau perlakuannya. Tindakan yang dipilih dapat dilihat sebagai
tindakan yang boleh diterima atau tindakan positif yang merupakan tindakan yang
sejajar dengan jangkaan masyarakat dan kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia.
Berita-berita membanggakan yang melambangkan sahsiah positif seorang guru seperti
guru bertindak berani menyelamatkan anak muridnya serta ketabahan guru
menghadapi dugaan dan cabaran untuk mendidik anak bangsa merupakan perkhabaran
yang membuatkan kita kagum dengan profesion perguruan. Namun tindakan negatif
yang tidak melambangkan sahsiah guru seperti isu guru edar pil khayal kena tahan dan
guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan turut menjadi fokus
perbincangan utama media massa dan para penyelidik.

Isu-isu yang positif mahupun negatif sebegini telah memberi impak yang besar
terhadap profesion perguruan. Isu positif akan meningkatkan semangat dan motivasi
para guru, meningkatkan kepercayaan masyarakat serta turut mengharumkan persada
pendidikan. Walaubagaimanapun, kewujudan isu negatif telah mula menjadikan
kebanggaan kita terhadap profesion perguruan kini semakin pudar. Malah, pihak
media, penyelidik bahkan masyarakat telah memberikan tekanan dan desakan yang
hebat terhadap pihak warga pendidik, sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia
khasnya.
Isu guru mengedar dadah secara kerja sambilan adalah antara isu yang
melanggar etika perguruan dan ianya semakin hangat diperkatakan. Ia boleh
meninggalkan kesan yang bukan sedikit terhadap pembangunan sahsiah individu itu
sendiri dan terhadap pembangunan sahsiah golongan guru yang lain. Kesan tindakan
itu turut memberi impak terhadap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak
langsung termasuklah pihak sekolah, Jabatan Pendidikan serta Kementerian Pelajaran
Malaysia. Malahan tindakan guru mengedar dadah menggunakan rangkaian pelajar
sebagai orang tengah akan turut mendatangkan impak kepada pelajar dan keluarga
pelajar tersebut.
Guru berkenaan telah melakukan satu kesalahan jenayah menyalahgunakan
dadah yang menunjukkan kelakuannya yang dilarang dengan cara yang boleh
memburukkan atau mencemarkan nama baik perkhidmatan profesion perguruan.
Kesalahan guru berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib Peraturan 7 mengikut
peraturan tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dimana Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan
hukuman gantung kerja. Malah, berdasarkan laporan akhbar tersebut menyatakan
bahawa guru dipercayai mengedar dadah secara kerja sambilan kerana mahu
menjalani kehidupan mewah. Jesteru itu, kes ini menunjukkan guru tersebut
melanggar peraturan tatakelakuan dan tatatertib iaitu Peraturan 4(2), di mana guru
berkenaan membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadinya. Jika
disabitkan kesalahaan tindakan tatatertib akan dikenakan di mana ia bergantung
kepada jenis pelanggaran tatakelakuan seperti tindakan amaran, denda atau lucut hak
emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan penggantungan
kerja.
Guru yang telah melakukan kesalahan jenayah seperti mengedar dadah secara
sambilan ini telah menampakkan sahsiahnya yang sangat rendah dan martabatnya
sebagai guru dikesali kerana seorang guru tidak sepatutnya memiliki sahsiah
sedemikian, bahkan guru antara golongan terpelajar dan berilmu. Sepatutnya, guru
memainkan peranan cuba membimbing generasi muda mengenai bahaya
penyalahgunaan dadah dan bukannya guru sendiri bertindak membekalkan dadah
tersebut kepada pihak lain. Pembangunan sahsiah guru terbabit akan dikategorikan
sahsiah yang negatif walaupun dia seorang guru yang berkaliber dan berjasa. Moralnya
akan menjadi persoalan dan diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat serta
mendapat cemuhan. Segala kebaikan dan bakti yang dicurahkan selama ini akan hilang
begitu sahaja. Malahan, kes pengedaran dadah ini juga merupakan satu kegiatan
jenayah yang boleh membawa hukuman mati dan penjara jika disabitkan kesalahan.
Jika dia dijatuhkan hukuman, alangkah rendahnya martabat seorang pendidik yang
terpaksa menghabiskan masa bersama-sama pesalah lain yang rata-rata bukanlah dari
golongan cendikiawan sepertinya.
Sekiranya guru berkenaan sudah selesai menjalani hukuman atau berjaya
membayar denda yang dikenakan, isu ini pasti tidak akan berhenti begitu sahaja. Isu
dan sashsiah guru ini akan tetap menjadi tajuk bualan dan dia akan dipandang serong
oleh orang lain. Di sekolah, guru ini tidak lagi dihormati malah mungkin akan ditakuti
oleh pelajar. Rakan sekerja juga berkemungkinan akan mempertikaikan tugasnya
mendidik pelajar dan jika dia sudah insaf, guru ini masih terpaksa menerima balasan
di dunia mahupun di akhirat di atas perbuatannya sekiranya ia masih diragui serta
tidak diberi kepercayaan. Malahan guru-guru dari sekolah lain juga akan
menjadikannya sebagai bualan atau akan menjadikannya sebagai sempadan dan
ingatan terhadap perkara yang sudah terjadi. Masyarakat sekeliling pula akan turut
menjadikan perkara sebegini adalah lumrah di dalam masyarakat kita dan melabelkan
guru tersebut sebagai penjenayah yang boleh membunuh generasi bangsa. Kesan
daripada itu, sahsiah guru yang akan dibina selepas itu akan menjadi lebih sukar dan
dan memerlukan banyak kesabaran untuk melaluinya. Ia perlulah tabah
menghadapinya kerana tindakan yang dilakukan akan meninggalkan kesan mendalam
dan sepanjang hayat.
Selain itu, kesan buruk seorang guru sebagaimana tertuduh melakukan kes
berkenaan bukan sahaja memburukkan imejnya sebagai guru secara peribadinya,
malah tempiasnya turut dirasai oleh semua guru. Ia seolah-olah menunjukkan
keperibadian guru yang gagal mencerminkan seorang guru yang sebenarnya
sebagaimana yang diaspirasikan oleh Negara. Melalui kod etika guru yang
diperkenalkan, guru bertanggungjawab terhadap rakan sekerja. Namun, perbuatan
jenayah ini diibaratkan telah mengkhianati rakan sekerja lain yang turut menanggung
malu akibat daripada perbuatan rakan mereka yang bergelar seorang guru.
Dari segi pembangunan sahsiah guru, perbuatan mengedar dadah secara kerja
sambilan yang dilakukannya menyebabkan masyarakat menilai sahsiah guru secara
umum bahawa guru-guru sekarang sudah tidak bersahsiah. Adakah benar bahawa guru-
guru sekarang menjadi guru bukan atas dasar minat dan tanggungjawab, tetapi
disebabkan mahu mendapat sesuatu pekerjaan demi menjamin ekonominya? Adakah
gaji pekerjaan seorang guru tidak mencukupi di sebabkan desakan kewangan, tekanan
hidup dan desakan nafsu kemahuan mengejar pendapatan tambahan yang lumayan
serta menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa mempunyai rasa bersyukur
di atas rezeki yang diperolehi sehingga sanggup melakukan kegiatan mengedar dadah
sebagai kerja sambilan? Guru-guru ini tidak menghayati sepenuhnya akan
tanggungjawab, maksud yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dan kod
etika perguruan kerana jawatannya dianggap sebagai sandaran untuknya mendapatkan
sumber ekonomi, bukan atas dasar tanggungjawab.
Isu guru menjalankan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan yang
menyalahi undang-undang negara ini biasanya ia dilakukan tanpa mengira masa sama
ada setelah tamat waktu kerja rasmi atau dilakukan pada waktu malam dan masa
terluang. Setelah penat bekerja di sekolah sepanjang hari, guru menyambung kerja
mereka dengan melakukan kerja sampingan tersebut. Keadaan ini sudah pasti
memerlukan tenaga kerja yang maksimum dan akhirnya guru berkenaan yang akan
menerima kesanya. Mereka pasti akan keletihan dan pergi ke sekolah pada keesokan
harinya dalam keadaan yang lesu dan tidak bermaya atau pergi ke sekolah sibuk
melakukan pekerjaan sampingan. Akhirnya segala perancangan pengajaran dan
pembelajaran tidak dibuat dan tugas mengajar dilaksanakan secara ala kadar sahaja,
sekadar melepaskan batuk di tangga. Guru seharusnya menjadikan tugas di sekolah
sebagai tugas utama, kerja luar hanya sampingan sahaja. Namun, agak malang kerana
perkara yang terjadi adalah di sebaliknya. Kerja luar sudah menjadi kerja utama,
sebaliknya tugas mengajar pula yang menjadi kerja sampingan mereka. Keadaan ini
amatlah menyedihkan dan sekiranya ia tidak diatasi para murid akan turut menjadi
mangsa tindakan segelintir guru berkenaan.
Golongan yang melakukan kerja sambilan ini memberi kesan tumpuan terhadap
kerjaya utamanya sebagai pendidik. Guru berkenaan akan dilihat kurang memberikan
komitmen terhadap tugas seterusnya organisasi mereka iaitu sekolah. Keadaan ini
akan menyumbang kepada pelbagai masalah lain yang berhubungkait dengan bidang
tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Selain itu, kurangnya komitmen
terhadap kerjayanya telah menyebabkaan prestasi menjadi merosot disebabkan hilang
daya tumpuan semasa melakukan tugas. Hyder & Ahmed (2009) menyatakan individu
yang menjalankan pekerjaan sampingan memperuntukkan masa selepas waktu bekerja
utamanya hingga menjejaskan produktiviti dan prestasi mereka sendiri.
Pendapat ini turut disokong oleh Champion (2010) yang menyatakan mereka
yang bekerja sambilan ini mengalami masalah kekurangan tenaga dan kurang daya
keupayaan sehingga menjejaskan tumpuan untuk menjalankan tugas. Ini kerana guru
terbabit biasanya menjalankan kegiatan tersebut pada waktu malam dan memerlukan
tenaga untuk menjalankan pekerjaannya. Maka, keadaan ini juga akan menyebabkan
tahap poduktiviti berkurangan yang dilihat sebagai satu liabiliti kepada pihak sekolah.
Kesan yang wujud hasil daripada perbuatan guru tersebut yang melakukan
pekerjaan sambilan dengan mengedar dadah adalah berhubung dengan komitmen
mereka terhadap sekolah sebagai guru dan kakitangan perlu dinilai adakah ia
menjejaskan komitmennya sebagai guru di sekolah terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran, organisasi dan juga profesion. Ini disebabkan kerjaya perguruan
memerlukan komitmen yang tinggi memandangkan guru merupakan agen yang
membawa kepada perubahan bagi sesebuah negara melalui sistem pendidikan yang
bersifat dinamik.
4.0 CADANGAN/RUMUSAN
Berdasarkan kepada huraian yang dijelaskan berkenaan isu guru melakukan
kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai kerja sambilan, saya mencadangkan bahawa
setiap guru perlu mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta boleh
dicontohi oleh murid. Pembentukan sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap
yang elok, bersabar, bermurah hati, sentiasa bersifat tenang dan mampu
menguruskan kehidupan serta kewangan dengan lebih berkesan. Kebanyakan kualiti
kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang diikutinya semasa
menjalani kursus di institusi perguruan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap
sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran
yang berkesan.
Selain daripada menjalankan tugas di dalam bilik darjah, guru juga perlu sedar
akan peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya, guru diharapkan
menjadi pengganti ibu bapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam
pembentukan sahsiah murid, menjadi kaunselor, pengamal dan penyebar nilai
kebudayaan yang baik dan seterusnya menjadi contoh sahsiah yang terpuji kepada
masyarakat. Sebagai seorang guru perlu membimbing generasi muda kini tentang
keburukan penyalahgunaan dadah dan bukannya dia sendiri yang bertindak mengherat
pelajarnya ke kancah dadah yang menjadi musuh pembunuh utama negara.
Pada masa yang sama, guru juga harus sentiasa mengikuti kursus-kursus dan
seminar motivasi pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran,
Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai etika profesion
perguruan. Sebagai contoh, guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun
Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kursus-kursus pendidikan ini penting
bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion
pendidikan yang kian mencabar dan kompleks selari dengan era globalisasi kini. Oleh
kerana sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah untuk menyokong usaha-usaha
kerajaan, maka profesion keguruan dharapkan dapat membuat anjakan paradigma
kepada budaya yang berasakan ilmu dan pemikiran (Rohani Abdul Hamid, 1998) demi
meletakkan nama negara setanding dengan negara maju yang lain.
Selain daripada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia mempelbagaikan aktiviti dan program kepada bakal pendidik
semasa menjalani kursus latihan di institusi perguruan lagi. Contohnya, mengadakan
bengkel, ceremah, seminar, pertandingan, aktiviti sukan dan sebagainya. Di dalam
program ini guru-guru pelatih akan didedahkan dengan konsep sebenar berkenaan kod
etika dan akauntabiliti keguruan. Penyediaan program dan aktiviti seperti ini akan
melahirkan pendidik negara bangsa yang beretika dan mempunyai sahsiah yang tinggi.

Di samping itu, berkenaan isu kegiatan guru mengedar dadah secara kerja
sambilan dengan menggunakan rangkaian pelajar sebagai orang tengah perlu
dipandang serius oleh pihak berkaitan terutamanya pihak sekolah, pihak berkuasa dan
juga Kementerian Pelajaran. Saya mencadangkan agar guru terbabit dikenakan
hukuman yang berat seperti buang kerja dan tidak dibenarkan untuk memohon
sebarang pekerjaan di bawah perkhidmatan awam kerana tindakan yang dilakukan
merupakan satu kegiatan jenayah yang bukan sahaja mencemarkan imej profesion
perguruan malah dadah adalah merupakan musuh utama negara. Pandangan saya ini
adalah selari dengan pendapat Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd
Dom, yang menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru
terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada
mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini.
Maka, saya sangat bersetuju dengan pendapat beliau bahawa peraturan dan hukuman
sedia ada yang telah ditetapkan perlu dilaksanakan dengan tindakan yang tegas.
Seterusnya, sebagai guru terlatih kelak seharusnya menunjukkan penampilan
diri sebagai pendidik dengan mempunyai pelbagai ilmu tradisional dan moden. Guru
juga perlulah mempunyai kefahaman terhadap dasar dan aspirasi pendidikan negara
dengan jelas dan mantap. Guru yang bersahsiah tinggi akan menunjukkan etika
cemerlang dalam perkhidmatan mereka. Guru dengan etiket sosial tidak dapat
dipisahkan. Etiket sosial merupakan perilaku, budi bahasa, kebijaksanaan, imej,
gerak-geri yang elok mengikut kesesuaian semasa berinteraksi dan pergaulan
sehariannya. Guru haruslah berupaya menjadi agen pembangunan dan pembaharuan
dalam masyarakat dengan menampilkan etiket sosial yang disenangi.
Tambahan lagi, guru merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian
walau di mana mereka berada. Segala tindak tanduknya sering diperhatikan oleh
masyarakat sekeliling. Keadaan ini menjadi satu kewajipan bagi guru-guru
mengamalkan penampilan diri dan menunjukkan contoh akhlak yang baik bagi
memelihara martabat profesion perguruan. Oleh kerana guru ibarat idola dalam
masyarakat, maka guru perlu berupaya menampilkan diri dan mengaplikasikan nilai-
nilai kesantunan agar dapat menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan yang
dihadapinya.
Sebagai seorang guru iaitu pendidik generasi bangsa perlu sentiasa mendalami
diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat mengimbangi pemikiran sedar
dan bawah sedarnya supaya setiap tindakan yang diambil tidak akan menjejaskan
etika profesionnya yang akan meninggalkan impak ke atas semua pihak termasuklah
dirinya sendiri. Sememangnya banyak isu yang timbul atau ditimbulkan melibatkan
guru dilihat sebagai melanggar etika perguruan seperti isu melakukan kegiatan
menyalahgunakan dadah sebagai pekerjaan sambilan. Etika seorang guru yang perlu
dipatuhi melibatkan tanggungjawabnya terhadap semua pihak yang terlibat
dengannya secara langsung atau tidak langsung. Pelanggaran etika perguruan sebagai
profesionnya akan mengakibatkannya dilabel sebagi individu gagal dan bersahsiah
negatif.
Secara keseluruhannya dapatlah saya rumuskan bahawa setiap individu telah
dilahirkan dengan sifat-sifat yang baik dan faktor-faktor pembelajaran, nilai,
pergaulan banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat. Setiap isu yang timbul
melibatkan guru sebenarnya bukan menunjukkan kegagalan guru secara
keseluruhannya, namun ia hanyalah kegagalan guru terlibat secara individu
disebabkan kegagalannya menterjemahkan sesuatu keburukan yang dilakukan akan
meninggalkan impak terhadap dirinya serta banyak lagi pihak yang lain. Kebebasannya
untuk membuat sesuatu pilihan dan keputusan menyebabkannya gagal
menginterpretasikannya dalam keadaan yang betul lantaran wujud gangguan psikologi
kawalan luaran yang menghalangnya daripada membuat keputusan yang terbaik.
Semuanya adalah kerana kekurangan nilai dan moral serta akibat beberapa keperluan
asasnya tidak dapat dipenuhi dengan baik.


http://www.slideshare.net/5015/isu-kesantunanguru

Dalam menongkah arus kemodenan dan transformasi masa kini, acap kali kita dipertontonkan
dengan kisah-kisah mengenai salah laku yang dilakukan oleh guru melalui arus media. Antara
salah laku yang kerap dilaporkan ialah guru berniaga, guru mendenda murid, guru ponteng
kerja dan sebagainya. Namun begitu, situasi-situasi tersebut dilihat sebagai satu fenomena
yang dianggap biasa oleh masyarakat khususnya ibu bapa dan pihak atasan. Namun, sejak
akhir-akhir ini negara kita telah dikejutkan dengan berita mengenai salah laku guru yang tidak
tercapai dek akal untuk dilakukan oleh individu yang bergelar pendidik. Isu yang hangat
diperkatakan kini ialah tindakan guru yang meliwat muridnya sendiri.

Situasi ini sedikit sebanyak menyebabkan kepercayaan masyarakat terhadap profession
keguruan terjejas. Masyarakat kini seolah-olah tidak lagi mempercayai serta meletakkan guru
sebagai insan yang perlu dianjung mulia. Hal ini telah mengakibatkan guru bertentangan
dengan kod amalan etika yang telah termaktub dalam professionalisme yang perlu dipatuhi oleh
seorang guru, iaitu dalam aspek kesantunan.

a) Kes 1
Berdasarkan artikel yang telah dikeluarkan oleh laman web akhbar Utusan Malaysia,
pada tarikh 12 Ogos 2012, menyatakan terdapat satu kes mengenai salah laku yang telah
dilakukan oleh guru di sebuah negeri di pantai timur pada tahun 2011. Penulis tersebut
menyatakan bahawa seorang guru yang bergelar ustaz telah meliwat seorang pelajar tingkatan
satu di sebuah kuartes guru di sebuah sekolah di Batu Rakit, Terengganu.


Guru yang berusia 42 tahun itu telah didakwa meliwat pelajar terbabit sebanyak tiga kali
di lokasi yang sama. Penulis turut menyatakan bahawa guru tersebut telah berkahwin namun
terpaksa berjauhan dengan isterinya yang juga merupakan seorang guru di Kelantan.


b) Kes 2
Berdasarkan artikel yang telah dikeluarkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 1
September 2012 bertajuk Hukuman terhadap guru liwat murid kekal menerangkan bahawa
seorang guru di utara tanah air telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan penjara
adalah dikekalkan. Guru tersebut telah didapati bersalah di atas tuduhan meliwat dua orang
pelajarnya pada enam tahun yang lepas.

Guru tersebut melakukan kesalahan itu di rumahnya yang terletak di sebuah taman
perumahan berdekatan denga sekolah tempatnya mengajar. Pihak makamah telah
memutuskan hukuman tersebut dan membenarkan guru terbabit diikat jamin sebanyak RM35
000 dengan seorang penjamin. Pihak makamah beranggapan hukuman tersebut adalah
setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh guru terbabit kerana telah memusnahkan
masa depan murid tersebut serta meninggalkan titik hitam dalam perkembangan emosi murid
terbabit.

Berdasarkan dua kes yang dinyatakan, kita dapat melihat dewasa kini, tahap
kesantunan tingkah laku guru semakin hari kian terhakis dalam diri para pendidik kita. Mengapa
hal-hal sedemikian berlaku?? Tidakkah mereka berasa malu dan bersalah dengan perbuatan
keji yang telah mereka lakukan?? Bagaimanakah nasib mereka dalam sebagai penjawat
awam?? Mari kita bersama mengkaji mengapa isu ini terjadi dan apakah impaknya terhadap
guru dan mangsa kerakusan guru terbabit.


5. Punca Isu

Melalui pemerhatian dan kajian yang dijalankan bagi membongkar punca sebenar isu ini
terjadi, saya berpendapat bahawa guru terbabit tidak mempunyai penampilan sifat rohani dan
akhlak yang tinggi selain itu guru terbabit juga dilihat tidak mempunyai nilai kesantunan tingkah
laku dalam dirinya.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila guru dalam kes 1 yang dilihat duduk berjauhan
dengan isteri lantaran tanggungjawab sebagai pendidik telah memisahkan mereka kepada dua
lokasi yang bereza. Jadi dapat dilihat di situ bahawa guru terbabit tidak mendapat nafkah batin
yang sewajarnya seperti mana pasangan suami isteri yang lain. Namun begitu, ini bukanlah
satu alasan yang boleh diterima dek akal bagi membolehkan guru terbabit melempiaskan nafsu
songsangnya kepada mana-mana individu lain, apatah lagi murid sendiri.

Sebagai seorang guru, apatah lagi mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam, guru
terbabit seharusnya lebih tahu dan arif mengenai batasan agama dan kesannya terhadap
tindakan yang dilakukan. Guru tersebut seharusnya mempunyai tahap keimanan yang utuh
dalam dirinya, bukannya merosakkan muridnya dengan melakukan perbuatan yang keji lagi
terkutuk itu walaupun dengan kerelaan murid itu sendiri. Jelaslah tindakan ini telah
bertentangan dengan prinsip penampilan guru dalam sifat kerohanian amat rendah kerana guru
terbabit tidak dapat mengawal nafsu sendiri di samping tidak menggunakan akal yang waras
sewaktu melakukan sebarang tindakan yang hendak dilakukan.

Selain itu, guru tersebut juga dilihat tidak mempunyai penampilan akhlak yang tinggi
sebagai penjawat awam mahupun ahli masyarakat. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila
guru terbabit memaksa muridnya untuk melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Sekiranya guru
terbabit mengamalkan penampilan sifat akhlak dalam dirinya, maka guru terbabit tidak akan
tergamak merosakkan muridnya sendiri. Guru tersebut seharusnya menunjukkan keperibadian
diri yang mulia kepada murid, bukannya menunjukkan nilai akhlak yang menjijikkan itu.
Natijahnya, guru terbabit telah pun dipandang serong dan dikeji oleh ahli masyarakat lantaran
perbuatannya yang tidak boleh diterima dek akal itu.

Punca lain yang dapat diperoleh melalui kedua-dua kes ini ialah guru tersebut tidak
mempunyai nilai kesantunan yang tinggi. Nilai kesantunan, khususnya nilai kesantunan tingkah
laku yang terdapat dalam diri guru tersebut dilihat amat rendah kerana guru terbabit tidak
menunjukkan tingkah laku yang baik.

Walaupun pada dasarnya guru terbabit dilihat sebagai individu yang mempunyai tingkah
laku yang mulia sewaktu berinteraksi dengan masyarakat, namun guru terbabit dilihat tidak
menunjukkan tingkah laku tersebut dengan ikhlas. Sebaliknya, guru terbabit dilihat seolah-olah
berlakon untuk memberntuk satu perspektif yang baik dalam pandangan masyarakat terhadap
dirinya. Hal ini membolehkan guru terbabit diterima dengan baik oleh masyarakat sewaktu baru
bertugas di situ dan membolehkannya mendekatkan diri dengan murid.

Melalui kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat, khususnya ibu bapa terhadap
guru terbabit dalam mendidik anak-anak mereka, ada di antara ibu bapa yang member keizinan
kepada anak-anak mereka untuk bermalam di rumah guru terbabit atas alasan tuisyen, motivasi
dan sebagainya. Namun di sebalik kebaikan yang dihulur, akhirnya guru terbabit telah
menanggalkan topeng dengan menunjukkan diri sebenar mereka yang sememangnya tidak
mempunyai kesantunan dalam tingkah laku demi mengejar bisikan syaitan dan nafsu songsang
mereka sendiri.


6. Kesan Isu

Melalui kes yang dikaji, dapat saya menjangkakan implikasi-implikasi yang bakal
ditempoh oleh guru dan juga mangsa serta profession keguruan ini sendiri.

a) Guru
Guru yang didapati bersalah oleh makamah dalam melakukan kesalahan ini akan boleh
dijatuhkan hukuman di bawah Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu
mengikut Akta 559 yang dikuatkuasakan ke atas semua orang Islam. Individu yang disabitkan
bersalah akan dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM 5000, atau hukuman penjara tidak
lebih tiga tahun, atau sebatan tidak melebihi enam kali sebatan atau kesemuanya sekali. (Anita
Abdul Rahim, 2010).

Selain dikenakan hukuman dari pihak makahamh, guru terbabit akan dikenakan
tindakan tatatertib daripada pihak kementerian, sama ada digantung kerja atau pun
diberhentikan perkhidmatannya sebagai penjawat awam. Tindakan ini akan meninggalkan
kesan ke atas guru terbabit kerana tiada punca pendapatan selain menanggung malu di atas
kesalahan yang telah dilakukan.

b) Murid
Kesan yang bakal ditempuh oleh murid iaitu mangsa ialah murid akan mengalami
gangguan emosi seperti marah, malu, sedih dan sebaginya yang bercampur baur kerana
kehilangan maruah dan harga diri. Selain itu, murid juga boleh menjadi trauma dan fobia
dengan guru lelaki dan juga mana-mana lelaki lain berikutan titik hitam yang telah dilaluinya
sebelum ini.

Sekiranya masalah tersebut tidak dibendung, murid berkenaan berkemungkinan tidak
akan bergaul dengan lelaki dan lebih cenderung kepada perempuan. Malah jika mangsa tidak
mendapat bantuan dari pakar untuk melupakan titik hitam tersebut, mangsa berkemungkinan
akan menjadi seorang pendendam dan akan membalasnya dengan mencari mangsa yang lain
kerana ingin orang lain merasai kesakitan dan keperitan yang dilaluinya di masa lalu.

c) Profession Keguruan
Profession keguruan juga turut menerima pelbagai impak apabila timbulnya isu-isu
songsang seperti ini. Masyarakat secara tidak langsung akan memandang serong kepada guru
lain, khususnya guru yang berperwatakkan lembut. Selain itu, imej guru sedikit sebanyak akan
tercalar apabila masyarakat terus memperkatakan isu ini melalui media-media massa dengan
pelbagai unsur yang digembar-gemburkan.


7. Kesimpulan

Melalui pemerhatian yang dilakukan, saya melihat pelbagai isu yang timbul dalam etika
keguruan di negara kita. Sebagai seorang penjawat awam, guru haruslah mengamalkan sifat-
sifat murni yang sejajar dengan garis panduan etika amalan penjawat awam yang telah dibuat
oleh pihak kementerian. Guru merupakan seorang pendidik dan menjadi ikutan serta role model
kepada murid di sekolah dan juga masyarakat.

Lantaran itu, adalah penting bagi guru menunjukkan sikap dan keperibadian yang murni
dalam kehidupan seharian. Guru yang baik adalah guru yang komited terhadap kerjanya serta
sentiasa mengikut etika-etika kerja yang telah disediakan. Guru yang gagal berbuat demikian
akan dianggap sebagai guru yang tidak berkualiti serta tidak amanah dalam melaksanakan
tanggungjawab sebagai seorang pendidik sekaligus penjawat awam yang dilantik.

Guru terbabit haruslah terbuka dalam menerima teguran serta sentiasa bersedia untuik
memperbaiki kekurangan diri. Jika guru terbabit gagal mengubah kelazimannya, maka guru
tersebut haruslah keluar daripada kepompong sebagai seorang pendidik kerana jika dibiarkan,
ia akan menjadi barah dalam pembangunan modal insan anak-anak generasi bangsa kita.




Bibliografi


Buku

Amin Senin, (2008), Pembangunan Profesional Guru, Utusan Publication Sdn. Bhd., Kuala
Lumpur.
Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon, (2010), Siri Pengajian
Profesional:Asas Kepimpinan & Perkembangan Professional, Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd,
Puchong.
Jurnal
Ahmad Azam Mohammad Shariff, Anita Abdul Rahim, Ruzian Markom, (2010), Hukuman Sebat
Menurut Akta 355:Sejauh Manakah Implikasinya Dalam Kes-Kes Jenayah Syariah Di
Malaysia?, Falkulti Undang-Undang UKM.


Internet

Guru Agama Ditahan Liwat Pelajar, 12.8.2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&p
g=je_01.htm diakses pada 20.8.2012
Hukuman Terhadap Guru Liwat Murid Kekal, 1.9.2012,
http://www.hmetro.com.my/articles/Hukumanterhadapguruliwatmuridkekal/Article/ , diakses
pada 1.9.2012
at

eastna faizah 2012
http://gurucoolbainun.blogspot.com/2012/09/guru-meliwat-murid-dan-implikasinya.html

Anda mungkin juga menyukai