Anda di halaman 1dari 8

LITERASI BAHASA

MAKSUD LITERASI BAHASA


LITERASI bahasa atau dalam bahasa Melayu pernah juga disebut sebagai "kenal huruf"
atau "celik huruf" bermaksud kemampuan minimum untuk membaca dan menulis dalam
suatu bahasa. Penulis tidak menggunakan istilah kenal huruf dalam makalah ini kerana
maksud kenal huruf akan terpesong apabila perbincangan tentang konsep literasi dikupas
secara terperinci, dan merangkum bukan sahaja mengenal huruf dan dapat menulis
semula huruf tersebut secara mekanis. Konsep literasi bahasa lebih meluas daripada
istilah kenal huruf yang kita ketahui selama ini apabila perbincangan menyentuh aspek
pemahaman bacaan dan penulisan yang berkesan, serta menggunakan daya pemikiran
yang kritis dan analitis dalam pembacaan dan penulisan. Pada suatu ketika dahulu
seseorang yang tahu membaca dan menulis namanya sendiri dianggap telah mempunyai
keupayaan literasi bahasa. Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-
Bangsa Bersatu (UNESCO) mendefinisikan orang yang mempunyai keupayaan literasi
sebagai orang yang 99 membaca dan menulis suatu pernyataan yang pendek dan mudah
dalam kehidupan hariannya. Namun demikian, kita harus sedar bahawa banyak orang
yang dapat membaca sesuatu pernyataan yang ditulis di tempat-tempat awam dengan
lancar seperti papan tanda di hadapan gedung membeli belah, tanda jalan, peraturan jalan
raya dan sebagainya, baik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, tetapi mereka
masih tidak mempunyai keupayaan literasi yang dapat membantu mereka menggunakan
kemahiran membaca dan menulis tersebut dalam kehidupan harian mereka sepenuhnya
kerana kelemahan mereka dalam menguasai kemahiran bahasa tersebut. Tahap
keupayaan membaca dan menulis bagi mengukur tahap literasi sebenarnya semakin
meningkat selaras dengan peredaran masa dan meningkatnya kemajuan masyarakat
menggunakan bahan bercetak dan sumber maklumat pelbagai media. Bidang kemampuan
literasi pun semakin hari semakin bertambah apabila sesuatu masyarakat menempuh arus
kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan. Keupayaan literasi yang lebih luas ini dapat
dihubungkan dengan literasi budaya, literasi ekonomi, literasi undang-undang, literasi
teknologi maklumat, dan sebagainya. Semakin maju sesuatu masyarakat, semakin banyak
bidang kehidupan yang perlu diketahui oleh anggotanya. Bagi menjadikan tahap literasi
bahasa berfungsi dalam kehidupan hariannya, seseorang itu haruslah dapat memanfaatkan
kebolehan membaca dan menulis sepenuhnya dan berterusan bagi tujuan pembentukan
dirinya dan penglibatan diri dengan masyarakatnya.
LITERASI BERFUNGSI
LITERASI berfungsi bermaksud kemampuan menggunakan set minda untuk
memanfaatkan kemampuan membaca dan menulis dalam kehidupan harian dengan lebih
bermakna. Hal ini bermaksud, sekiranya seseorang itu dapat memberikan apa-apa makna
dan kesan terhadap mindanya, atau mempengaruhinya supaya mengambil sesuatu
tindakan, maka proses literasi berfungsi masih tidak berlaku. Hal ini jelas dapat dilihat
dalam situasi orang yang dapat membaca dengan lancar dalam sesuatu bahasa yang tidak
dikuasainya, menjadikan pembacaannya tidak mendatangkan apa-apa makna, dan tidak
pula mendapat apa-apa faedah atau pengajaran daripada apa-apa yang dibacanya. Tahap
literasi berfungsi berbeza-beza juga menurut sejauh mana pertalian dapat dilakukan
antara si pembaca dengan bahan yang dibacanya. Kadangkala si pembaca hanya dapat
memanfaatkan bahan yang dibacanya pada tahap pemahaman sahaja, iaitu mengetahui
maksud perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat sesuatu teks yang dibaca. Proses
literasi berfungsi begini berlaku pada tahap yang rendah. Pada tahap yang lebih tinggi,
proses literasi berfungsi berlaku apabila si pembaca dapat membuat taakulan, penilaian,
dan penghayatan terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini si pembaca bukan sahaja
dapat memberikan makna perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat, tetapi dapat pula
membuat ulasan, analisis, dan sintesis terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini,
pembaca bukan sahaja dapat memanfaatkan maklumat yang diperoleh daripada bahan
bacaan, malah dapat pula menghalusi bahasa yang digunakan penulis. Tindak balas
pembaca secara eferen dan estetik (Rosenblatt 1978) terhadap bahan bacaan adalah
matlamat yang harus dicapai dalam pembacaan pada peringkat tertinggi. Tindak balas
secara eferen bermaksud pembaca meneliti bahan bagi mendapatkan maklumat daripada
bahan yang dibaca supaya dapat dijadikan panduan untuk mengambil tindakan, seperti
membaca manual mesin basuh pakaian yang baru dibeli bagi menggunakan mesin
tersebut. Tindak balas estetik pula dilakukan bagi menikmati bahan bacaan dari sudut
keindahan bahasa yang digunakan penulis dalam bahan penulisannya.
PEMBELAJARAN LITERASI BAHASA
LITERASI bahasa ialah kemampuan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa,
iaitu mendengar, bertutur (kecuali bagi mereka yang mempunyai kecacatan kekal
pendengaran dan pertuturan), membaca, menulis, dan berfikir. Kemahiran-kemahiran
tersebut perlu berlaku serentak dan bukan terpisah-pisah. Kemahiran berfikir
mendampingi keempat-empat kemahiran asas bahasa tersebut. Oleh hal yang demikian,
bagi membantu murid-murid membina dan menguasai literasi bahasa, guru perlu
mengambil kira bahawa setiap komponen kemahiran yang dinyatakan tidak diabaikan.
Setiap kemahiran seharusnya tidak diajarkan secara berasingan atau diajarkan dalam
tajuk yang terpisah-pisah kerana kesemua aspek kemahiran tersebut terbina secara
bersepadu dan saling bantu-membantu antara satu sama yang lain. Kekurangan pada satu
aspek akan menyebabkan berlakunya kekurangan pada aspek yang lain.
Pada masa yang lalu, penekanan terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal
persekolahan lagi. Kanak-kanak diajarkan menghafal huruf A hingga Z dan dilatih tubi
dengan membaca carta huruf dan kad imbas supaya dapat menguasai bacaan berdasarkan
suku kata yang terkandung dalam bahasa Melayu. Penekanan kemahiran bacaan secara
ini tertumpu pada tahap mengenal huruf semata-mata, sehingga kanak-kanak hanya
mempunyai kemampuan menyebut perkataan yang ditunjukkan menerusi carta atau kad
imbas tersebut tanpa mengaitkan bahan yang dibacanya dalam satu situasi yang lebih
bermakna. Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di sekolah pada masa yang sama
juga percaya bahawa kanak-kanak perlu belajar membaca terlebih dahulu sebelum
diajarkan kemahiran menulis. Pengajaran penulisan secara bermakna hanya berlaku
setelah pelajar memasuki tahun kedua persekolahan. Penulisan karangan hanya
diperkenalkan kepada pelajar pada tahun tiga atau empat. Kelewatan mendedahkan
pelajar pada pengalaman membaca dan menulis dalam situasi yang sebenar menyebabkan
menguasai kedua-dua kemahiran tersebut terbantut. Kajian yang dijalankan membuktikan
bahawa sekiranya pelajar lambat didedahkan kepada kemahiran membaca dan menulis
yang sebenar, dan tidak dapat menguasai kedua-dua kemahiran tersebut pada akhir tahun
ketiga persekolahan, mereka bukan sahaja akan terus ketinggalan dalam kemahiran
membaca dan menulis tetapi juga dalam semua aspek akademik pada peringkat yang
lebih tinggi.
Kanak-kanak pada usia awal persekolahan perlu didedahkan kepada pengalaman
membaca dan menulis yang sebenar secara bersepadu. Melatih tubi dengan kad imbasan
atau carta huruf yang disediakan oleh guru tidak mencukupi bagi mengayakan mereka
dengan pengalaman tersebut. Mereka perlu disuakan dengan bahan bacaan yang
diterbitkan dalam bentuk yang asal seperti buku cerita yang mempunyai tema dan mesej
yang tertentu, di samping mengandungi pelbagai ilustrasi yang menarik. Mereka perlu
juga diberikan peluang menyalurkan apa-apa yang terkandung dalam pemikiran mereka
dalam bentuk lisan atau penulisan dengan kemampuan yang ada pada peringkat usia
mereka sendiri. Sungguhpun sebahagian daripada hasil penulisan mereka itu nanti
berbentuk cakaran huruf yang tidak jelas, tidak tepat, dan tidak membawa maksud yang
tertentu, latihan begini perlu sebagai langkah awal bagi membina pengalaman yang lebih
kukuh pada peringkat yang lebih matang. Semakin banyak seseorang kanak-kanak itu
mencuba, semakin kukuh kepercayaannya menyungkil makna daripada bahan yang
bercetak dan menyampaikan maksud menerusi alat tulis dan kertas yang digunakannya.
Ejaan ciptaan yang digunakan kanak-kanak pada peringkat awal ini menjadi asas bagi
memperkenalkan alam penulisan yang sebenar pada peringkat yang lebih dewasa. Contoh
pengajaran guru pada awal makalah ini menunjukkan bagaimana guru tersebut
menggunakan buku cerita Anak Ayam dengan Sang Musang dalam pengajaran bacaan
dan pemahaman bacaannya secara interaktif. Murid-murid yang terlibat secara langsung
mendengar bacaan guru, membuat taakulan, dan memberikan pandangan secara lisan.
Seterusnya, dalam aktiviti perbincangan secara kumpulan, murid-murid menulis, dan
mengemukakan pandangan masing-masing dalam kumpulan kecil dan dalam bilik darjah.
Cara begini mengukuhkan pengalaman literasi mereka secara langsung.
PENAMPILAN LITERASI
PADA masa yang lalu, pendidik bahasa dan bacaan kerap berbicara tentang "kesediaan
membaca" di kalangan kanak-kanak peringkat awal persekolahan. Mereka berpendapat
bahawa pengajaran bacaan hanya dapat dijalankan sekiranya pelajar dapat menguasai
satu set kemahiran asas sebagai persediaan untuk menguasai kemahiran membaca.
Sebagai contoh, kemahiran mengenal semua huruf seperti yang dibincangkan pada
bahagian sebelum ini. Mereka percaya bahawa kegagalan menguasai prasyarat kemahiran
asas ini akan menggagalkan kemahiran yang seterusnya. Seterusnya mereka percaya
bahawa penumpuan yang perlu dibuat pada peringkat awal usia kanak-kanak yang baru
mengenali literasi ialah pada aspek pembacaan. Hal ini bermaksud juga bahawa penulisan
(kecuali pembentukan huruf secara mekanis dan tulisan tangan) perlu ditangguhkan
sehingga pelajar telah mencapai kemahiran membaca sepenuhnya. Berdasarkan
kepercayaan inilah guru Bahasa Melayu yang mengajar tahap satu atau dua menekankan
aspek kemahiran "mengenal huruf" dalam pengajaran mereka. Guru yang mendokong
kepercayaan ini berpendapat bahawa pelajar perlu mempelajari teknik membaca, bukan
menguasai kemahiran membaca.
Konsep penampilan literasi dicetuskan daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh M.M.
Clay (1967), tokoh bahasa dari New Zealand. Kajian-kajian beliau menekankan aspek
penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak hinggalah ke
alam remaja. Penampilan literasi bermaksud kanak-kanak membina kemahiran membaca
dan menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Kedua-dua kemahiran tersebut
terbina secara serentak dan saling bergantung antara satu sama yang lain tanpa turutan
yang tertentu (Strickland 1990; Teale dan Sulzby 1986). Hal ini bermaksud, literasi
tampil dalam diri seseorang individu secara berterusan, tanpa prasyarat mengenal huruf,
dan terbina secara bersepadu antara kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis,
dan berfikir. Walau bagaimanapun, proses ini bermula lama sebelum seseorang kanak-
kanak memasuki alam persekolahan - menerusi aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang
diperoleh dalam kehidupan hariannya dan interaksinya dengan rakan sebaya dan orang
yang lebih dewasa (Goodman 1986). Pemelajaran literasi melibatkan kesemua ciri proses
komunikasi - membaca, menulis, bertutur, mendengar, dan berfikir. Hal ini bermaksud
kanak-kanak membina kefahaman membaca dengan berkongsi bahan-bahan bacaan yang
bermakna bagi mereka dengan rakan sebaya atau orang yang lebih dewasa.
PENGUASAAN BAHASA SECARA HOLISTIK
SEPERTI yang dinyatakan di atas, proses menguasai bahasa adalah berterusan dan tidak
ada batasannya. Setiap waktu kita akan terus mempelajari aspek bahasa yang baru
menerusi interaksi dan pengalaman yang kita lalui. Oleh itu, penguasaan bahasa adalah
satu proses sosial dan aktif (Cook-Gumprez 1986, Wells 1990). Dalam keadaan normal,
seseorang kanak-kanak akan dapat menguasai tatabahasa asas bahasa ibundanya sebelum
mencapai ulang tahun kelahirannya yang ketiga. Ketika memasuki kelas Tadika dan
Tahap Satu persekolahan, mereka telah mempunyai asas bahasa yang kukuh, walaupun
mungkin ada antara mereka yang menguasai bahasa yang tidak bersesuaian dengan
bahasa yang perlu digunakan di alam persekolahan tersebut seperti kanak-kanak yang
bukan penutur jati bahasa Melayu dan juga mereka yang menggunakan dialek daerah atau
negeri tertentu. Guru harus sedar akan perbezaan ini bagi memastikan kanak-kanak ini
tidak terpinggir kerana tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang
baru ditempuh mereka pada peringkat awal persekolahannya. Walau bagaimanapun,
perbezaan ini tidak akan menyekat konsep yang ditegaskan pada awal-awal lagi, iaitu
kemahiran literasi terbina daripada penguasaan bahasa yang dipunyai oleh kanak-kanak
secara semula jadi, dan penguasaan literasi perlu dijalankan secara holistik. Mereka
berhak memperoleh kemahiran literasi berasaskan bahasa yang dibawa dari rumah ke
sekolah, walaupun bahan yang digunakan mungkin mempunyai beberapa perbezaan yang
jelas berbanding dengan bahasa mereka. Tugas guru ialah mengendalikan jurang
perbezaan yang terdapat antara kedua-dua bahasa tersebut.
Pada peringkat awalnya tentulah mereka akan menempuh pelbagai kesukaran dan banyak
melakukan kesilapan dalam proses menguasai "bahasa baru" yang digunakan di alam
persekolahan, terutama bagi kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa Melayu atau
yang menggunakan dialek daerah dan negeri. Banyak teori penguasaan bahasa yang telah
dibincangkan oleh ahli psikologi dan ahli linguistik. Golongan nativists percaya bahawa
kanak-kanak menguasai bahasa secara semula jadi tanpa perlu dilatih atau dipaksa
(Chomsky 1965). Hal ini bermaksud kanak-kanak akan menguasai bahasa seperti mereka
menguasai kemahiran merangkak, kemudian bertatih, dan akhirnya berjalan. Bahasa
dikuasai kerana memberikan makna dan kemudahan berinteraksi dalam kehidupan
kanak-kanak tersebut, seperti berjalan memberikan mereka kemudahan untuk bergerak ke
merata tempat. Teori ini banyak dipersoalkan kerana terdapat beberapa kes kanak-kanak
tidak menguasai bahasa kerana mereka tidak terdedah kepada bahasa yang digunakan
oleh manusia. Hal ini membuktikan bahawa bahasa tidak dapat dikuasai secara semula
jadi, tanpa penglibatan sosial yang aktif antara manusia.
Mereka yang mendokong pandangan dari sudut pembangunan kognitif pula berpendapat
bahawa kanak-kanak menguasai bahasa secara berperingkat-peringkat (Piaget dan
Inhelder 1969) dan setiap peringkat harus dilalui dan dikuasai sepenuhnya sebelum
mereka dapat meningkatkan kemahiran pada peringkat yang seterusnya. Tokoh bahasa
Rusia yang disebut di atas, iaitu Vygotsky, percaya bahawa kanak-kanak akan dapat
menguasai kemahiran berbahasa dengan bantuan orang dewasa. Konsep "sokongan" yang
disarankan oleh Vygotsky ialah satu konsep yang menegaskan bahawa kanak-kanak perlu
menerima sokongan daripada orang dewasa bagi menguasai kemahiran asas berbahasa.
Apabila mereka telah mempunyai asas bahasa yang kukuh ini, maka sokongan tersebut
secara beransur-ansur akan dilepaskan. Konsep ini samalah seperti kita membina
bangunan konkrit, yang memerlukan sokongan pada setiap bahagian bangunan tersebut.
Apabila konkrit telah kering dan kukuh, sokongan akan ditanggalkan dan bangunan akan
dapat berdiri dengan sendiri.
Oleh hal yang demikian, menurut teori ini, pada peringkat awal kanak-kanak mempelajari
kemahiran berbahasa, interaksi mereka dengan orang dewasa amatlah penting.
Penguasaan bahasa mereka bergantung pada kebiasaan bahasa yang digunakan oleh
orang dewasa yang paling rapat dengan mereka. Jika mereka menerima sokongan bahasa
yang kasar, maka asas pertuturan mereka juga akan menjadi kasar. Halliday (1975)
berpendapat bahawa penguasaan bahasa adalah proses aktif yang berlaku apabila kanak-
kanak mencuba menggunakan bahasa yang betul menerusi kemampuan mereka meniru.
Dalam proses ini, mereka akan melakukan kesilapan, dan pembetulan terhadap kesilapan
tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat. Dengan cara inilah mereka dapat
menguasai bentuk bahasa yang betul.
Menerusi teori ini kita dapat memahami bagaimana bahasa dikuasai. Secara ringkasnya,
kita mempelajari bahawa bahasa dikuasai:
1. Apabila bahasa itu mengandungi makna.
2. Menerusi interaksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa.
3. Dengan melakukan taakulan yang aktif.
4. Pada kadar yang berbeza dan menerusi peringkat-peringkat tertentu
walaupun mereka akan menerusi peringkat penguasaan yang sama.
Berdasarkan pengetahuan terhadap proses penguasaan bahasa ini kita dapat merangka
satu program pengajaran literasi Bahasa Melayu berasaskan konsep meningkatkan
perkembangan pemahaman bacaan dan kebolehan menulis. Proses pemelajaran literasi
dalam program ini akan menekankan aspek penguasaan bahasa dan literasi secara
bersepadu, bermakna, dan berterusan. Seterusnya, kita akan dapat merangka bagaimana
prinsip asas pengajaran literasi bahasa dapat digubal berdasarkan teori-teori yang
dibincangkan di atas.

Anda mungkin juga menyukai