Anda di halaman 1dari 6

BERKAWAN BIAR SERIBU

Di dalam sebuah hutan, tinggallah binatang-binatang yang hidup bermuafakat di antara


satu sama lain. Mereka saling tolong menolong dan sentiasa hidup di dalam keadaan
yang aman damai.

Pada suatu hari, tupai ingin mengadakan majlis harijadi di rumahnya. Beberapa hari
sebelum itu ia telah sibuk melakukan persiapan untuk meraikan ulangtahunnya itu. Kad-
kad jemputan juga telah diedarkan kepada seluruh isi hutan. Lagipun si tupai itu sudah
rindu untuk berjumpa dengan rakan-rakannya untuk bertukar-tukar pendapat.

Bila tiba harinya, tupai kelihatan sibuk membersihkan halaman rumahnya dan
menyusun kerusi meja. Disapunya daun-daun kering yang berselerakan di halaman
rumahnya dan dibakar semua sampah sarap yang ada. Setelah puas hati semuanya
bersih si tupai berkata di dalam hatinya. "Sekarang semuanya sudah bersih, dan
sekarang aku akan menyiapkan hidangan untuk para tetamu pula."

Dengan berhati-hati dibantu oleh keluarganya, tupai mengeluarkan hidangan dan
meletakkannya di atas meja. Bermacam-macam jenis kuih telah disediakan. Tanpa
disedari oleh tupai di dalam ia sibuk menghidangkan makanan di halaman rumah, ada
sepasang mata sedang mengintainya dari atas pokok. Setiap kali tupai membawa
makanan dari dapur, setiap kali itulah monyet yang di atas pokok itu gelisah.

Sebenarnya monyet itu memang terkenal dengan sikapnya yang tidak suka bergaul dan
suka pula mencuri. Monyet menunggu peluang sehingga tupai siap menghidang
makanan. Apabila saja tupai masuk ke dalam rumahnya, monyet cepat-cepat turun dari
pokok tempat persembunyiannya. Kemudian dengan cepatnya dia mencuri makanan
yang ada di atas meja dan lari semula di belakang pokok melihat bagaimanakah reaksi
tupai seterusnya.


Namun si monyet itu tidak menyedari yang tupai sedang melihatnya dari dalam rumah.
"Oh si monyet rupanya yang mencuri makananku. Nanti, tahulah aku bagaimana
mengajar ia," kata tupai di dalam hati.

Dengan tidak membuang masa, tupai mengambil alat penyembur dan menyembur
makanannya satu persatu. Sambil bersiul-siul tupai, ia melirik pandang ke arah tempat
persembunyian monyet.

Monyet terkejut besar. "Apalah agaknya yang disemburkan oleh tupai? Sudah tentu dia
menyemburkan racun. Tentunya makanan aku sudah dicampurkan dengan racun. Aku
tidak bodoh. Aku tidak mahu mati kerana si tupai," kata monyet tegas.

Monyet terus membuang makanan-makanan yang masih ada di tangannya. "Mujur aku
tidak sempat makan. Dengan tergesa-gesa monyet meninggalkan tempat itu.
"Baguslah sekarang monyet telah pergi, tentu ia marah kalau tahu yang aku hanya
menyembur air biasa," kata tupai tersenyum puas.

Tupai merasa amat gembira kerana hari ini ia berjaya mengenakan monyet. Sambil
tersenyum ia menanti kedatangan para tetamunya. Tidak lama selepas itu, kelihatan
kawan-kawan tupai datang membawa hadiah untuk tupai. Apabila semuanya telah
berkumpul, masing-masing sibuk bertanyakan hal si monyet

Tupai menceritakan segalanya pada kawan-kawannya. Mereka tertawa mendengar
cerita si monyet ditipu. Gajah yang sedang sibuk makan berkata, "biarkan dia tahu
bagaimana seksanya hidup tanpa kawan-kawan dan sering ditipu begini."

Tiba-tiba mereka melihat monyet datang dengan wajah yang muram. la terus
mendapatkan tupai dan meminta maaf kepada tupai kerana mencuri makanan.
Begitu'juga dengan kawan-kawannya yang lain. Monyet berjanji untuk tidak mencuri lagi
dan tidak akan mengasingkan diri dari kawan-kawan yang lain.
Semenjak dari itu si monyet menjadi kawan yang paling baik dan sering membuat
kawan-kawan yang lain terhibur dengan telatahnya yang suka berjenaka.


HELANG YANG SETIA

Al-kisah terdapat seorang pemburu mempunyai seekor burung helang yang sangat
bijak. Setiap kali dia pergi berburu, pemburu itu mesti membawa burung itu bersama.

Pada suatu hari, pemburu itu masuk ke dalam hutan untuk memburu dengan helang
kesayangannya. Sebaik tiba di dalam hutan, burung helang pun terbang sambil melihat
ke bawah mencari binatang yang diburu oleh tuannya.

Tiba-tiba burung helang terbang dengan pantas ke satu tempat. Melihat reaksi
helangnya, pemburu tahulah bahawa burung helang nampak binatang yang diburu.
Apabila tiba ke tempat itu, pemburu nampak seekor pelanduk yang sedang enak
memakan buah-buahan hutan di situ. Tanpa disangka pemburu, si pelanduk sedar akan
kedatangan pemburu itu lalu menyelamatkan dirinya.

Pemburu dan helangnya pun mengejar pelanduk itu yang lari naik bukit dan turun bukit
menyelamatkan dirinya daripada diburu. Pelanduk itu berlari dan terus berlari sehingga
tiba di tepi sungai ia pun berhenti. Pelanduk itu mula resah kerana ia tidak boleh
menyeberang sungai. Akhirnya pemburu pun berjaya menangkap pelanduk itu setelah
penat mengejarnya tadi.

Selepas penat pemburu mengejar pelanduk itu, pemburu mula rasa sangat dahaga dan
dia pergi ke tepi sungai untuk mencedok air sungai itu dengan tangan.

Apabila pemburu itu hendak meminum air sungai itu dengan tangan, tiba helangnya
menepis air di tangan pemburu. Pemburu itu mencedok air sungai sekali lagi, burung
helang menepis tangan tuannya sekali lagi.



Akibatnya pemburu itu sangat marah lalu memanah ke arah burung helang kesayangan
yang sedang terbang itu. Burung helang itu pun jatuh menyembah bumi di tepian hulu
sungai.

Pemburu itu berlari untuk mendapatkan burung helangnya dan mendapati helangnya
telah mati dengan matanya yang terbuka, seolah-olah berkata, Tuan, kenapa tuan
memanah saya? Apa salah saya?. Tidak jauh dari tempat burung helang itu jatuh,
pemburu itu ternampak seekor ular berbisa yang telah mati. Racun daripada ular
meleleh masuk ke dalam sungai.

Maka pemburu itu sedar mengapa helangnya itu menepis tangannya setiap kali dia
hendak mencedok air sungai tersebut. Sesiapa yang meminum air sungai itu pasti akan
jatuh sakit kelak.

Rasa kesal memanah helangnya pun membuak dalam hati pemburu itu. Sungguh setia
helang aku, maafkan aku helang kata pemburu itu pada helangnya yang mati itu.















PEMOTONG KAYU YANG JUJUR
Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua
dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok
yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman
hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.

Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi, pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk
menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri
tidak dapat menemani si suami kerana sakit.

Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari
kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur
seuzur usianya. Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.

Tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari
tangannya lalu termasuk kedalam sungai yang dalam. Menangis sayulah si tua kerana
kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki. Hendak terjun mencari takut disambar
arus, merataplah ia mengenangkan nasib.

Maka bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut lalu turunlah ia
bertanya, "Wahai orang tua. Kenapa bersedih hati?"

Dengan nada perasaan takut dan terkejut, orang tua tersebut menceritakan apa yang
berlaku.

"Baiklah, akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam." Lalu dengan serta
merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali
si pari-pari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa. Dengan sedih, jawab
situa, "Bukan. Ini bukan kepunyaan hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas
ini."
Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak
perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari
terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya
sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu, giranglah hatinya kerana itulah kapak
miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan
kejujurannya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan
kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran
suaminya.Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat.

Anda mungkin juga menyukai