Anda di halaman 1dari 3

Bahasa Melayu alat penyatuan nasional

Teo Kok Seong


2013/05/29

Masalah timbul apabila kaum Cina enggan beri kerjasama

Bahasa adalah entiti yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia boleh digunakan untuk
mengungkapkan budaya dan menjadi alat untuk membentuk semangat kebangsaan.

Ia juga adalah sumber penyatuan nasional. Pada zaman purba, China menggunakan sistem tulisan bagi
menyatukan rakyatnya daripada pelbagai suku yang menuturkan bahasa yang tidak sama. Pada zaman
moden pula, bahasa Jerman dan Itali digunakan untuk tujuan penyatuan di Jerman dan Itali. Indonesia
menggunakan bahasa Indonesia untuk tujuan ini.

Dalam semua kes ini, bahasa didapati memang berjaya mendukung peranan murni ini. Untuk ini, ia
mesti bahasa yang dikongsi bersama oleh masyarakat yang ingin disatukan itu. Lazimnya dalam hal ini,
hanya satu bahasa digunakan dan saluran pentingnya adalah pendidikan.

Sehubungan ini, melalui Laporan Pendidikan Razak yang diperkenal pada 1956 dan kemudian termaktub
dalam Akta Pendidikan 1961, tujuan utama sistem pendidikan kita ialah untuk menyatukan semua kaum
dengan menggunakan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, melalui penggunaan kurikulum yang sama. Ia
masih menjadi tujuan dasar pendidikan kita sehingga ke hari ini.

Sistem pendidikan banyak aliran

Walaupun begitu, untuk memenuhi kehendak sesuatu kaum yang berhak memperoleh pendidikan
dalam bahasa ibundanya, sistem pendidikan kita dari awal lagi hingga kini, tidak bersifat satu aliran,
yakni menggunakan bahasa Melayu, seperti dicadangkan itu. Sebaliknya, ia terdiri beberapa aliran yang
setiap satunya menggunakan bahasa berlainan sebagai bahasa pengantar, terutama pada pendidikan
sekolah rendah. Dengan ini, bahasa Melayu hanya boleh mula digunakan sebagai alat penyatu pada
pendidikan sekolah menengah saja.

Dengan sistem pelbagai aliran ini, proses penyatuan melalui penggunaan bahasa Melayu, hanya bermula
di sekolah menengah untuk sebahagian besar golongan muda, khususnya yang menghadiri sekolah
vernakular sebelum ini. Sudah tentu ini bukan cara terbaik untuk tujuan penyatuan seperti dihasratkan
oleh sistem pendidikan kita. Adakah ia ikut menyebabkan polarisasi kaum yang banyak diperkata kini?

Polarisasi kaum yang menjadi begitu nyata melalui corak pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) lalu, sebenarnya sudah lama wujud. Sebelum ini, ia diperkata sekali-sekala dan tidak pun
dianggap sebagai ancaman besar kepada keharmonian kaum di negara ini. Hakikatnya, masyarakat
Malaysia tidak pernah bersatu dalam erti kata sebenar-benarnya. Sebaliknya, yang wujud ialah pautan
sosial yang memperlihat hubungan etnik yang langsung tidak utuh.

Cina enggan kongsi bahasa

Pelbagai sebab boleh dihubungkaitkan dengan perkara ini. Antaranya sistem pendidikan kita yang gagal
menyatukan semua kaum melalui penggunaan bahasa yang dikongsi. Kegagalan ini terletak pada
keengganan sektor masyarakat tertentu, antaranya kaum Cina, untuk ikut merealisasikannya agar
menjadi kenyataan.

Sehubungan ini, banyak usaha untuk memanfaatkan kepelbagaian aliran pendidikan ini untuk tujuan
penyatuan, khususnya melalui bahasa Melayu, tidak diterima baik. Antaranya, pengenalan subjek baru
Malaysia Negaraku, bakal diajar sekali minggu selama 30 minit, kepada murid Tahun Satu di semua
aliran pendidikan, melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang diperkenal pada 2011.

Ia yang dicadangkan disampaikan dalam bahasa Melayu, tidak diterima. Sebaliknya ia akan diterima jika
disampaikan dalam bahasa Mandarin. Walaupun pelbagai alasan diberikan untuk penolakan ini,
semuanya memperlihat kaum Cina tidak bersedia untuk bersatu melalui penggunaan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu untuk mengajar subjek ini sudah tentu bertujuan integratif. Selain boleh
memupuk perasaan kebersamaan melalui kandungannya, bahasa Melayu yang digunakan itu boleh ikut
memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan golongan muda kita. Kedua-dua ini sebetulnya adalah
sebahagian daripada semangat perpaduan yang amat penting dalam sebuah negara majmuk.

Penyatuan nasional yang kini akan menjadi agenda utama negara, untuk mempertingkat perpaduan
kaum, perlu banyak membabitkan bahasa Melayu selaku bahasa negara, khususnya dalam peranannya
sebagai bahasa kebangsaan. Melalui peranan ini, bahasa Melayu hendaklah diangkat semula untuk
bukan saja mewakili setiap rakyat Malaysia.

Tetapi yang lebih penting lagi ia adalah hak milik kita semua dan aspek penting mengenai kerakyatan
kita. Dengan ini, ia wajar sekali dijadikan antara alat penyatuan nasional.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysi

Anda mungkin juga menyukai