Anda di halaman 1dari 12

LINUS - Modal Insan

Email This
BlogThis!
Share to Twitter
Share to Facebook
Share to Pinterest

Pengenalan

Program Literasi dan Numerasi (LINUS) akan mula dilaksanakan mulai 2010 hingga 2012 di seluruh
negara. Program LINUS yang bertujuan memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010 dapat menguasai
kemahiran asas membaca, menulis (literasi) dan mengira (numerasi) selepas tahun 2012, iaitu berada di
Tahun 4. Pelaksanaan program LINUS ini merupakan sebahagian daripada NKRA Kementerian Pelajaran
Malaysia yang disasarkan menjelang tahun 2012. Sehubungan itu, semua guru Tahun 1 yang mengajar
Bahasa Melayu dan Matematik diwajibkan mengikuti kursus pengajaran dan pembelajaran modul LINUS
mulai tahun 2010. Kursus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM akan
dilaksanakan di seluruh negara mengikut zon negeri masing-masing.


Apa itu Linus?

Linus dengan kata lain Literacy and Numeracy Screening, merupakan satu program pemulihan yang
dimurnikan dan direka bentuk semula bagi murid-murid tahun satu. Hal ini untuk membentuk satu
program pemulihan yang lebih lengkap, mantap dan berkesan. Linus dengan kata lain adalah literasi dan
numerasi untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik. Hal ini bertujuan untuk mengurangkan
malahan mengsifarkan buta huruf dan kemahiran-kemahiran asas dalam matematik. Program ini
dimulakan di semua sekolah sejak tahun 2010. Semua guru tahun satu diwajibkan untuk menghadiri
kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.


Konsep Linus

National Key Results Areas (NKRAs) menyasarkan bahawa semua murid berkeupayaan menguasai asas
literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012 iaitu dari tahun
satu hingga tahun tiga. Semua murid kecuali berkeperluan khas berkeupayaan menguasai asas literasi
dan numerasi setelah tiga tahun mengikuti pendidikan rendah tahap satu di akhir tahun 2012.


Rasional Penggubalan

LINUS mula dilaksanakan pada tahun 2010. Hal ini adalah hasil kajian yang mana masih terdapat lebih
kurang 13% (54,000) murid Tahun 1 yang tidak menguasai 2M iaitu Membaca dan Menulis. Perkara ini
dianggap amat serius kerana apabila melangkah ke Tahap 11, masih terdapat murid murid yang tidak
menguasai 3M Membaca, Menulis dan Mengira. Dapatan menunjukkan murid-murid yang tidak
menguasai 3M akan menyumbang kepada peningkatan kadar keciciran di sekolah, selain meningkatkan
masalah disiplin. Selain itu, murid-murid yang tidak menguasai 3M dari peringkat awal akan
menyebabkan berlakunya kegagalan akademik secara kumulatif dan perkara ini amat sukar diperbaiki
apabila berada di peringkat lebih tinggi. Menyedari perkara ini, maka penekanan diberikan kepada
penguasaan 3M untuk murid Tahun 1 sehingga Tahun 3.


Program LINUS diperkenalkan supaya masalah murid yang tidak menguasai 3M akan dapat diatasi dan
saringan yang dijalankan dalam program ini adalah untuk mengenal pasti masalah sebenar yang
dihadapi oleh seseorang kanak-kanak sama ada mempunyai masalah pembelajaran atau murid
keperluan khas. Masalah murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran yang masih belum
menguasai kemahiran asas 3M belum dapat diatasi dengan baik, walaupun Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai program pemulihan. Antara program tersebut ialah
program KIA2M untuk tahun satu, pemulihan khas untuk tahun dua dan tiga, sementara program
PROTIM pula untuk tahun empat, lima, enam dan selepas UPSR. KPM berpendapat satu pendekatan
yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan dan dipulihkan
seawal tahap pendidikan di sekolah

.

Strategi Pelaksanaan

Program Linus wajib dilaksanakan di semua sekolah rendah iaitu SK, SJKC, SJKT, SABK. Terdapat tiga
saringan setiap tahun iaitu saringan 1 (Mac), Saringan 2 (Jun), dan saringan 3 (September). Semua murid
tahun satu akan menduduki ujian Linus saringan 1 untuk melihat tahap penguasaan kemahiran asas
mereka pada awal tahun setiap tahun. Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Malaysia, Matematik
dan Pemulihan.


Literasi dan Numerasi

Literasi adalah keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat
majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta
komunikasi harian di samping menggunakan pendekatan belajar membaca dan menulis secara
bersepadu dan menyeluruh. Literasi akan melalui proses secara bersepadu, ansur maju, didik libur,
gabung jalin kemahiran dan pengulangan. Semua modul pengajaran telah disediakan oleh KPM dan
Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Objektif Program Literasi adalah memastikan pada akhir
program Pencapaian Literasi , murid dapat :


i. Mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup.

ii. Membaca dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup dan

perkataan yang berimbuhan awalan dan akhiran

iii. Membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat-ayat majmuk yang

mudah dengan menggunakan kata hubung dan'


Numerasi pula merupakan operasi asas matematik (tambah, tolak, darab dan bahagi) digubal khusus
bagi menangani masalah yang dihadapi murid dalam menguasai kemahiran asas mengira serta
memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik
dalam kehidupan harian.

Kandungan program telah dipilih dan disusun supaya dapat memberi pengalaman yang cukup kepada
murid untuk membina asas yang kukuh dalam membuat pengiraan dan seterusnya membolehkan
mereka mengikuti pembelajaran Matematik dengan lebih bermakna dan berkesan. Objektif Program
Numerasi adalah memastikan murid berupaya:

i. menyebut, menulis, membilang, menyusun, menentukan nilai digit dan tempat
bagi nombor hingga 1000
ii. menguasai fakta asas tambah
iii. menguasai fakta asas tolak
iv. menguasai fakta asas darab
v. menguasai fakta asas bahagi
vi. mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik yang mudah dalam wang,
menyatakan masa dan waktu serta bentuk tiga dimensi dan bentuk dua dimensi.
Literasi dan numerasi yang diperkenalkan menggunakan modul-modul untuk guru dan murid dirancang
dengan teliti bagi mencakupi semua isi pelajaran dan kemahiran yang telah dibentuk oleh BPK.
Perancangan yang dijalankan telah dikaji secara menyeluruh dan dijalankan secara bersepadu dan ujian
saringan dijalankan secara berperingkat. Hal ini adalah untuk melihat keberkesanan perjalanan program
Linus ini.
Modal Insan

Modal insan mengikut Kamus Dewan (2005), merupakan modal yang ada pada seseorang insan seperti
ilmu pengetahuan, kekuatan mental, fizikal dan rohani. Manusia dilihat sebagai modal yang dinamakan
modal insan dan merupakan aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi
dan pembangunan negara. Menurut Sidek Baba (2009) pula;

Modal insan mengaitkan potensi manusia sebagai sumber kemajuan dan
perubahan. Lazimnya orang mengaitkan faktor modal itu adalah wang,
harta, saham, pelaburan juga bisnes. Tetapi modal insan juga memberi
kesan kepada modal kerana dari manusia boleh dijana pemikirannya dan
dari pemikirannya yang berkembang akan terhasil ilmu. Dari manusia
memiliki keahlian dan kepakaran dan darinya ia menyumbang ke arah
penyelidikan dan pembangunan.
Modal insan yang diwar-warkan adalah kehendak kerajaan bagi membentuk dan menghasilkan
warganegara yang mempunyai modal insan dari sudut sahsiah yang terpuji, menghayati sistem
kepercayaan berfalsafah dan berprinsip. Di samping itu jua kerajaan modal insan yang dibentuk
mempunyai integriti iaitu ada wawasan, perancangan yang rapi, keterampilan diri, pemantauan dan
adab serta akhlak terpuji. Dengan kata lain, Modal insan merupakan individu yang berilmu,
berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-
santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan
berdaya saing. Dalam konteks lebih luas, modal insan mencorak hala tuju negara ke arah wawasan yang
disasarkan. Tanpa sumber manusia berkualiti, sesebuah negara akan lemah kerana ketiadaan faktor
manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam kegiatan sosioekonominya. Untuk
memahami maksud pembangunan sumber manusia, kita perlu jelas atau tahu matlamat kewujudan
unsur terpenting yang hendak dibangunkan iaitu manusia itu sendiri. Pihak kerajaan memandang jauh
ke depan dan merangka satu perancangan dari akar umbi bagi mencapai impian tersebut. Linus
merupakan perancangan jangka panjang kerajaan dalam menyediakan modal insan terhadap keperluan
negara dan global.


Y.A.B. Mantan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang telah mencetuskan
revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu
landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang
paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju,
Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang Wawasan 2020. Secara tidak langsung Linus yang
dilaksanakan merupakan generasi masa depan yang akan menjadi aset kepada pembangunan dan
kecemerlangan negara. Linus akan membekalkan aset yang celik huruf dan celik nombor dalam
merealisasikan kehendak negara untuk menjadi negara maju.


Kepentingan modal insan adalah untuk membangunkan dan memberi ilmu pengetahuan yang
secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah
yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mereka mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan
rohani. Kita mestilah menjadi rakyat yang cintakan negara ini, rakyat yang bersemangat, bersedia
bekerja dengan kuat, bekerja dengan rajin serta menjadi rakyat yang mengamalkan budi bahasa yang
bermutu tinggi. Program Linus yang diajar secara bersepadu dan gabung jalin dengan komponen lain
menjadikannya mantap dalam semua sudut.


Pembangunan Modal Insan Melalui Linus

Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras
kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif. Tidak ada negara mampu mencapai
kemajuan tanpa memiliki modal insan cemerlang yang berkemahiran tinggi, boleh bertindak balas
dengan pantas dan kreatif terhadap perubahan ekonomi, dan berpaksikan kepada penjanaan dan
penggunaan pengetahuan. Oleh itu, membangun, menarik dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia
merupakan prasyarat penting bagi mencapai hasrat negara.
Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi, tahap
kemahiran yang tinggi dalam bidang teknikal dan profesional, serta paras produktiviti yang tinggi adalah
antara ciri utama modal insan dan tenaga kerja negara berpendapatan tinggi. Berdasarkan ciri ini, usaha
perlu ditumpukan bagi mencapai tahap modal insan bertaraf dunia menjelang tahun 2020.

Kerajaan telah memperuntukkan RM400 juta untuk Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (Linus)
antara tahun 2010 dan 2012 bagi memastikan semua pelajar memiliki kemahiran asas literasi dan
numerasi selepas tiga tahun pertama di sekolah rendah. LINUS dilaksana bagi merapatkan jurang
pencapaian bagi pelajar yang ketinggalan dalam pembelajaran dan meningkatkan pencapaian sekolah
berprestasi rendah. Langkah ini akan memastikan setiap pelajar di Malaysia boleh berjaya bagi
pembentukan modal insan yang boleh dibanggakan.


Pembangunan modal insan bertaraf dunia di Malaysia memerlukan usaha yang komprehensif dan
bersepadu daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat. Sehubungan ini, kolaborasi antara
pelbagai kementerian dan sektor swasta perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan keberkesanan
pembangunan modal insan dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat. Pendekatan holistik akan
memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia di sepanjang peringkat kehidupan. perkara terpenting
untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau
rakyat yang terpelajar.


Faktor yang utama kejayaan sesebuah negara ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap
literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk
kemahiran-kemahiran baru. Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang
berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan
produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah
keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara.


Generasi muda Malaysia pada hari ini memperuntukkan masa yang lebih lama di sekolah iaitu 11.5
tahun. Oleh itu, asas pendidikan formal yang dilaksanakan kini oleh kerajaan sangat memberangsangkan
kerana 95 peratus daripada rakyat negara ini celik huruf. Pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi
awam dan swasta akan turut mempercepatkan proses pembangunan modal insan kerana rakyat yang
terpelajar adalah kunci kepada pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti.

Peningkatan kadar literasi dan numerasi adalah penting untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar
berpunca daripada ketidakupayaan mereka untuk mengikuti pembelajaran. Dengan penguasaan
kemahiran literasi dan numerasi asas yang kukuh pada peringkat awal persekolahan, kemungkinan
berlaku keciciran pelajar daripada sistem persekolahan dapat dikurangkan. Penguasaan literasi dan
numerasi di peringkat awal sangat penting kerana tanpa kemahiran ini mereka akan menghadapi
kesukaran mengikuti pembelajaran di peringkat selanjutnya. Program Penyaringan Literasi dan
Numerasi (LINUS) adalah bertujuan untuk memastikan semua pelajar menguasai asas kemahiran literasi
dan numerasi selepas tiga tahun pertama pendidikan sekolah rendah. Program LINUS memberi tumpuan
kepada intervensi awal dengan menempatkan fasilitator dan guru pemulihan terlatih di sekolah.
Sehingga kini, seramai 15,500 fasilitator dan guru pemulihan telah pun dilatih.


Kesimpulan modal insan Pembangunan modal insan merupakan elemen asas dan kritikal dalam
mentransformasikan ekonomi Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara
berpendapatan tinggi. Untuk mencapai daya saing yang tinggi di peringkat global dan ekonomi
berasaskan inovasi, pendekatan yang sistematik dan menyeluruh untuk membangun, menarik dan
mengekalkan modal insan berkepakaran tinggi negara diperlukan. Malaysia perlu merapatkan jurang
untuk mencapai modal insan berkepakaran bertaraf dunia. Kerajaan akan melaksanakan perubahan
menyeluruh di setiap tahap pembangunan modal insan sepanjang kitaran hayat, iaitu daripada
menambah baik pendidikan awal kanak-kanak sehingga peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada.
Modal insan berkemahiran tinggi merupakan asas terpenting bagi mencapai ekonomi berpendapatan
tinggi. Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia untuk Malaysia amat memerlukan
usaha yang tekal, terselaras dan berfokus supaya kepelbagaian dapat dimanfaatkan ke peringkat
antarabangsa serta untuk memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi di
Malaysia.


Pembangunan modal insan sangat baik namun dari satu segi kita bimbang terlalu menumpukan kepada
modal insan. Hal ini akan menyebabkan pendidikan ilmu pengetahuan akan terpesong dek kerana
penekanan modal insan bermakna mementingkan peperiksaan semata-mata dan kecemerlangan diukur
melalui peperiksaan dan prestasi tinggi dalam ujian. Bak kata pepatah ita memiliki teknologi, tetapi
hilang hubungan sosial dan akal budi. Kita berjaya membangunkan insan tinggi intelek, tetapi rendah
nilai keinsanan. Kita berjaya membangunkan insan celik S&T, tetapi buta agama dan budaya. Kita
berjaya membangunkan alam, tetapi mematikan insan. Kita berjaya memerdekakan negara, tetapi
memiliki jiwa hamba. Kita kaya dengan harta, tetapi miskin dengan akal budi. Kita berjaya mengurus
dunia, tetapi daif dalam mengurus untuk ke akhirat.


Program Linus Merupakan Satu Pendemokrasian Pendidikan

Mengikut Kamus Dewan (2007), pendemokrasian bermakna peluang, tindakan atau proses manakala
pendidikan bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan. Pendemokrasian Pendidikan bermaksud
memberi peluang-peluang yang sama rata bagi setiap individu dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara. Setiap warganegara
wajib diberi keutamaan dalam sistem pendidikan antaranya;

i Setiap orang berhak mendapat pendidikan. Pendidikan harus bebas sekurang-kurangnya pada
peringkat asas dan peringkat dasar dan harus pula bersifat wajib.
ii Pendidikan harus diarahkan kepada perkembangan sepenuhnya dari keperibadian kemanusiaan
kepada memperkuatkan rasa hormat hak-hak kemanusiaan dan kebebasan.
iii Orang-orang tua berhak untuk lebih dahulu memilih jenis pendidikan yang harus diberikan kepada
anak-anak.

Pernyataan ini memberi maksud bahawa kerajaan hendaklah memberikan seluas-luasnya
ruang kepada pelbagai pihak untuk menerima pelbagai jenis pendidikan yang
dikehendaki asalkan tidak bercanggah dengan dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh
kerajaan. Satu asas yang paling penting perlu ditekankan di sini ialah pihak kerajaan
mestilah mempunyai rasa tanggungjawab yang besar untuk membuka ruang dan
mempelbagaikan bentuk pendidikan kepada rakyat agar proses pembentukan pendidikan
terus dapat diperkaya dengan semaksima mungkin. Konsep inilah juga yang
mengekalkan sekolah jenis kebangsaan cina, tamil sehingga ke hari ini di dalam Dasar
Pendidikan Kebangsaan.


Program Linus Merupakan Satu Pendemokrasian Pendidikan

Pendemokrasian pendidikan merupakan satu elemen yang penting dalam membangunkan pendidikan di
Malaysia. Kerajaan sangat mementingkan kepada keadilan sejagat dalam bidang pendidikan yang mana
membolehkan semua pihak mendapat faedah dan juga kemudahan yang sama rata untuk belajar di
mana-mana institusi pendidikan.


Konsep pendemokrasian pendidikan menjamin keadilan untuk semua pihak untuk mendapat pendidikan
yang sama dengan orang lain. Konsep pendidikan untuk semua bukanlah sekadar meliputi peluang yang
sama untuk mendapat pendidikan semata-mata tetapi pendemokrasian pendidikan yang dihajati
haruslah juga merangkumi peluang bagi semua individu untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.
Dengan lain perkataan, tidak harus wujud sebarang perbezaan dan diskriminasi di mana-mana peringkat
masyarakat dari segi peluang dan mutu dalam pelaksanaan sistem pendemokrasian pendidikan negara.


Oleh yang demikian, sistem pendidikan haruslah memastikan tidak ada mana-mana golongan di negara
ini yang tercicir dari memperolehi peluang untuk mendapat pendidikan yang bermutu kerana jika
keadaan sedemikian berlaku maka kemajuan yang akan dikecapi pada tahun 2020 pastinya pincang.
Justeru itu, program LINUS yang dilancarkan merupakan salah satu kaedah dan pendekatan bagi
memastikan bahawa semua murid berhak mendapat pendidikan yang bermutu dan memastikan semua
murid tidak mempunyai masalah pembelajaran serta berkeupayaan menguasai asas literasi dan
numerasi.

Kerajaan telah memperkenalkan suatu program pendidikan hasil penambahbaikan daripada program
KIA 2M yang diberi nafas baru dengan nama LINUS. Program LINUS adalah singkatan dari Literacy &
Numeracy Screening di mana Minister Key Performance Indicators (MPKI). Kementerian Pelajaran
Malaysia telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi
dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.
Literasi adalah kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami
perkataan, ayat tunggal dan majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan
tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian. Manakala Numerasi adalah kebolehan untuk
melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan
pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan seharian.
Program LINUS merupakan salah satu daripada National Key Result Area (NKRAs) Kementerian
Pelajaran Malaysia. Melalui program ini, kementerian telah menyasarkan bahawa semua murid yang
tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas
mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.
Program ini dilaksanakan pada tahun 2010, melibatkan murid Tahun Satu di sekolah rendah yang
merupakan kohort pertama mengikuti program ini. Semua murid Tahun Satu akan menduduki ujian
LINUS Saringan 1 pada awal tahun untuk menilai tahap penguasaan kemahiran asas literasi dan
numerasi mereka. Murid yang dikenal pasti masih belum mencapai kemahiran asas literasi dan
numerasi, akan diasingkan daripada murid arus perdana (dalam kumpulan tidak melebihi 30 orang).
Mereka akan diajar insentif oleh guru LINUS (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap 1) serta
dibantu oleh guru pemulihan khas LINUS dan dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu
Matematik mengikut peruntukan waktu sedia ada. Murid yang berjaya dipulihkan melalui program ini,
akan meneruskan pembelajaran di aliran perdana.
Pihak Kementerian Pelajaran telah merancang beberapa strategi untuk memastikan program LINUS ini
dilaksanakan dengan baik dan tidak membebankan pihak sekolah. Antaranya memberi latihan khusus
kepada guru LINUS dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk membantu murid yang mempunyai
masalah literasi dan numerasi, menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan
numerasi yang sesuai dengan tahap kebolehan murid, penambahan guru pemulihan khas, melaksanakan
program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga
sekolah dan komuniti, menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian serta menempatkan
fasilitator LINUS di setiap Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru bagi memastikan program ini
berkesan dan mencapai matlamatnya.
Pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam sistem pendidikan di negara kita
kebanyakkan adalah didorong oleh reformasi-reformasi pendidikan. Justeru itu, dari segi pendekatan,
pelaksanaan serta amalannya, reformasi-reformasi pendidikan dalam sistem pendidikan negara selama
ini adalah juga merupakan salah satu isu yang berkait amat rapat dengan pendemokrasian pendidikan.
Dalam lipatan sejarah pendidikan negara, sistem pendidikan kita telah mengalami beberapa kali
reformasi terutamanya selepas Negara mencapai kemerdekaan. Hal ini bertujuan untuk
penambahbaikan lagi sistem pendidikan sedia ada mengikut peredaran masa dan arus pemodenan.
Kerajaan sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan mutu pendidikan negara melalui program-
program yang diperkenalkan seperti LINUS. Melalui pendemokrasian pendidikan, program LINUS dapat
memberi peluang kepada semua murid lemah mendapat pendidikan sewajarnya supaya mereka tidak
ketinggalan dalam menikmati peluang-peluang pendidikan yang disediakan di negara ini.
Peluang-peluang pendidikan bukan sahaja diberikan kepada murid yang bijak, tetapi murid-murid yang
lemah dan lambat menguasai kemahiran asas tidak diabaikan sama sekali. Murid-murid ini dibimbing
dan dibentuk supaya mereka juga dapat bersaing dengan murid-murid yang pintar. Hal ini menunjukkan
bahawa program LINUS adalah merupakan satu daripada pendemokrasian pendidikan Negara

Rujukan
____. (2005). Kamus Dewan-Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Aziz Yahya. (2009). Modal Insan: Membentuk Keluarga Cemerlang. Johor Baru: Universiti
Teknologi Malaysia.
Amir Hassan Dawi (2002). Sosiologi dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books

Fatimah Daud (1992). Pengenalan Teori-teori Sosiologi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Hazil Abdul Hamid (1990). Sosiologi Pendidikan-Dalam Perspektif Pembangunan Negara.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Linus Buletin SKPA. Dipetik pada 09 Oktober 2010, dari www.skpa-bgnpinang.net/v2/.../blog-
skpa.html

Sidek Baba. (2009). Acuan Minda. Kuala Lumpur: Penerbitan Alaf 21.
T Marimuthu (1990). Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.



Posted by jue sakura Ismail at 7:17 PM No comments:

Anda mungkin juga menyukai