Anda di halaman 1dari 6

PROGRAM LINUS DI PRASEKOLAH

Nancy Ngerong
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Abstrak
Program LINUS diperkenalkan oleh KPM menggantikan Program KIA2M untuk mengatasi
masalah murid yang tidak menguasai kemahiran 3M di Tahap 1 sekolah rendah. KPM
mensasarkan semua murid Tahun 3 dapat menguasai 12 konstruk dalam Saringan LINUS sebelum
melangkah ke Tahun 4. Banyak pihak menerima tekanan untuk mencapai sasaran tersebut
sehingga terdapat PPD dan sekolah mengambil langkah agresif. Salah satunya adalah dengan
melibatkan prasekolah dalam Program LINUS untuk membendung masalah 3M seawal mungkin.
Langkah tersebut merupakan satu kesilapan yang boleh menjejaskan perkembangan awal
kanak-kanak prasekolah seterusnya gagal melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi,
intelek, rohani dan sosial. KPM perlu menilai semula pelaksanaan Program LINUS dan
menambahbaik pendekatan yang digunakan dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di negara ini.
Ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dengan memahami keperluan anak-anak dalam
setiap fasa perkembangan mereka.
Kata Kunci : Program LINUS, prasekolah, literasi awal

Pengenalan
National Key Result Areas (NKRA) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah
Government Transformation Programme 1.0 (GTP 1.0) telah mensasarkan bahawa semua
murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran dapat menguasai asas literasi dan
numerasi selepas 3 tahun mengikut pendidikan rendah menjelang 2012. Oleh itu KPM
telah memperkenalkan Literacy And Numeracy Screening Programme (LINUS) pada
tahun 2010. Setelah 5 tahun Program LINUS dilaksanakan, masih terdapat banyak
sekolah yang gagal mencapai sasaran tersebut sehingga pelbagai cara dan program
intervensi telah dilakukan untuk memastikan prestasi sekolah meningkat. Dalam usaha
tersebut beberapa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mula mengambil langkah agresif
dengan melibatkan prasekolah dalam Program LINUS dengan harapan dapat
membendung masalah literasi dan numerasi seawal yang mungkin sebelum memasuki
Tahun 1. Namun hakikatnya langkah tersebut amat tidak wajar dilaksanakan atas
sebab-sebab yang akan dikupas dalam artikel ini.
Program LINUS menggantikan Program Kelas Intervensi Awal Menulis Dan
Membaca (KIA2M) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2006. Program LINUS bermula
pada tahun 2010 dengan melibatkan hanya murid Tahun 1 di sekolah rendah sebagai
kumpulan kohort pertama. Sehingga tahun 2016 ini, 4 kohort telah pun melalui Program
LINUS. Sebelum Program LINUS diperkenalkan, pelbagai program sudah diwujudkan
oleh KPM untuk mengatasi masalah murid yang tidak menguasai kemahiran membaca,
menulis dan mengira (3M). Program-program tersebut adalah seperti Program Pemulihan

Khas, Program KIA2M, Program Pemulihan Asas Kemahiran Membaca, Menulis dan
Mengira (PROTIM) untuk murid Tahap 2 dan PROTIM selepas Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR). Walaupun telah wujud program-program tersebut, masalah 3M di
kalangan murid Tahap 1 dan Tahap 2 masih berada di tahap yang kurang memuaskan.
Justeru itu, Program LINUS adalah penambahbaikan daripada Program KIA2M
sebagai satu pendekatan yang bersepadu agar masalah literasi dan numerasi dapat dikesan
dan dipulihkan seawal Tahap 1 sekolah rendah. Perkara ini diberi perhatian yang serius
kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M merupakan kumpulan yang
berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan
pelajaran dan kerjaya. Bagi memastikan kejayaan Program LINUS ini, KPM telah
mengambil langkah mewujudkan jawatan-jawatan baru seperti Guru Pemulihan LINUS
dan Fasilitator LINUS. Selain itu semua sekolah rendah diwajibkan menyertai Program
LINUS malah guru-guru diberi latihan pra-perkhidmatan dan latihan dalam perkhidmatan.
Pemantauan berterusan daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran
Negeri (JPN) dan KPM juga turut dilaksanakan.

Key Performance Index (KPI) LINUS


Dalam Program LINUS, KPM menetapkan KPI bagi peringkat kebangsaan yang mana
menjadi penanda aras bagi pihak JPN, PPD dan sekolah. Saban tahun KPI ini semakin
meningkat dan memberi pelbagai ragam kesan kepada golongan pelaksana program
terutama di peringkat sekolah. Bagi memastikan KPI dicapai, semua pihak telah
mengambil langkah-langkah yang difikirkan bersesuaian dan berkesan serta dilaksanakan
menurut perancangan yang telah ditetapkan baik di peringkat KPM, JPN, PPD mahupun
sekolah. Tidak dinafikan semua pihak telah bekerja keras bagi memastikan kejayaan
Program LINUS ini. Namun timbul isu yang menjadi persoalan iaitu masih ramai murid
Tahun 3 yang belum menguasai 3M dan tidak mencapai 100% menguasai seperti yang
diharapkan dalam Program LINUS.
Pelaksanaan Program LINUS sedikit sebanyak telah membaikpulih ramai murid yang
tidak pandai membaca dan mengira kepada murid yang dapat membaca dan mengira
dengan lancar. Walau bagaimanapun, terdapat isu di mana sejauh mana ketelusan
program ini dilaksanakan oleh para pengajar dan pihak pentadbiran sekolah. Hal ini
sedemikian kerana majoriti kumpulan yang terlibat terpaksa mengejar sasaran KPI KPM
yang telah ditetapkan apabila ditekankan murid Tahun 3 perlu menguasai semua konstruk
pada akhir persekolahan sebelum melangkah ke Tahun 4. Situasi ini paling memberi
impak kepada murid kohort pertama tahun 2010 apabila mereka berada di Tahun 3
persekolahan pada tahun 2012 tetapi masih mempunyai masalah dalam pembelajaran.
Pihak sekolah diberi tekanan oleh KPM untuk memberikan surat tunjuk sebab mengapa
murid tersebut masih belum dapat membaca dan mengira serta gagal menguasai kesemua
12 konstruk dalam Literasi dan Numerasi jika dibandingkan sebelumnya hanya perlu
menguasai 8 konstruk untuk Literasi Bahasa Melayu dan 10 konstruk untuk Numerasi
pada tahun 2010 dan 2011. Sehingga kini sekolah-sekolah yang gagal mencapai KPI

100% penguasaan Literasi, Numerasi & Literasi Bahasa Inggeris dituntut untk
menunjukkan surat tunjuk sebab kepada KPM.
Teori & Kajian
Arnold Gesell telah mengemukakan teori kematangan biologi yang mengatakan tingkah
laku individu berkembang mengikut jadual masa yang tetap. Ini bermaksud apabila sudah
sampai masa perkembangan manusia itu pasti berlaku. Perkembangan bagi kelakuan,
pertumbuhan tisu dan organ serta fungsi-fungsi lain berkembang mengikut pola dan
urutan yang terkawal. Oleh yang demikian, perlakuan kanak-kanak boleh diramalkan dan
beliau mempercayai kematangan menjadi faktor utama dalam proses pembelajaran.
Menurut beliau lagi, faktor-faktor persekitaran dan kebudayaan hanya bertindak
sebagai pengaruh sekunder dalam mengubahsuai kemajuan perkembangan. Beliau
menghormati hak dan individualiti kanak-kanak dan mempercayai kanak-kanak bebas
untuk mendapatkan pendidikan. Kanak-kanak perlu dibenarkan berkembang mengikut
kadar perkembangan sendiri serta tidak perlu dipaksa untuk mencapai suatu peringkat.
Personaliti, kadar minat dan kebolehan adalah aspek-aspek yang dimiliki oleh individu.
Kerana kadar pertumbuhan yang berlainan boleh berlaku pada masa yang berlainan. Oleh
itu perbezaan individu sangat penting dan harus difahami di semua peringkat.
Tahap perkembangan kanak-kanak berlaku dengan pesat pada lingkungan umur
empat hingga enam tahun. Kajian Bloom (1964) membuktikan 80% kecerdasan
seseorang individu pada usia 18 tahun terbina pada peringkat umur prasekolah. Pada usia
ini kanak-kanak bertindak aktif kepada ransangan, berinteraksi bebas dengan orang
sekeliling dan peka kepada keadaan sekeliling. Pada usia tersbut, kanak-kanak menempuh
waktu perkembangan yang paling sensitif. Sehubungan itu adalah penting bagi
kanak-kanak mengalami pengalaman pembelajaran prasekolah yang berkesan, bermakna
dan menggembirakan supaya kanak-kanak dibekalkan dengan kemahiran, keyakinan diri
dan sikap yang positif sebelum memasuki alam persekolahan formal.
Program LINUS Di Prasekolah
Penekanan untuk mencapai KPI ini menggerakkan pelbagai usaha dan program intervensi
dilakukan oleh pihak sekolah, PPD dan JPN namun pencapaian LINUS sekolah atau
negeri masih berada di tahap yang rendah. Oleh itu demi merealisasikan matlamat
mencapai KPI 100% murid tahun 3 menguasai sehingga Konstruk 12 dalam Saringan
LINUS, beberapa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) telah mengambil langkah yang agresif
dengan menekankan pelaksanaan LINUS seawal di prasekolah lagi. Langkah ini
kononnya sebagai intervensi awal agar tidak banyak masalah yang timbul apabila murid
berada di Tahun 1 kelak.
Ini merupakan satu perkara yang amat merugikan kerana memberi kesan negatif
terhadap perkembangan awal kanak-kanak itu sendiri. Perkara ini diambil maklum oleh

pihak JPN dan KPM namun tidak menghalang tindakan sedemikian kerana ia dianggap
salah satu usaha yang murni untuk menangani masalah 3M di sekolah. Jelas di sini
matlamat asal prasekolah diketepikan demi mementingkan pencapaian KPI LINUS. Di
beberapa buah sekolah misalnya, PPD mengarahkan guru-guru prasekolah mula
memasukkan pengajaran dan pembelajaran LINUS dalam subjek Bahasa Melayu dan
Matematik. Murid-murid prasekolah yang masih berumur 5 hingga 6 tahun tersebut
disasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya sehingga Konstruk 5 sebelum
memasuki Tahun 1. Konstruk 5 dalam Literasi adalah menguasai keupayaan membaca
dan menulis perkataan suku kata tertutup manakala dalam Numerasi pula Konstruk 5
adalah keupayaan mengenal mata wang Malaysia. Kemahiran dalam Konstruk 5 tersebut
amatlah tidak wajar ditekankan terhadap seorang kanak-kanak bawah umur 7 tahun untuk
dikuasai.
Ini adalah kerana perkembangan kanak-kanak pada usia tersebut belum bersedia
untuk menerima elemen akademik walaupun ia adalah hanya belajar membaca. Usia
kanak-kanak bawah 7 tahun adalah usia untuk bermain sambil belajar yang mana amat
penting untuk perkembangan Emotional Quotient (EQ) mereka. Fasa 6 tahun pertama
seorang kanak-kanak sepatutnya berfokus kepada EQ dan bukannya akademik. Apabila
terdapat PPD yang mengambil langkah dengan memperkenalkan LINUS di prasekolah
maka ini akan menjejaskan kemenjadian murid prasekolah. Keseronokan murid datang ke
sekolah semakin hilang kerana mereka ditekankan untuk mengenal huruf, membaca dan
menulis dengan betul. Masa yang sepatutnya digunakan untuk bermain sambil belajar
digantikan dengan murid terpaksa duduk diam mengikuti pengajaran dan membuat latih
tubi.
Ramai ibu bapa dan sesetangah guru berasa bangga apabila anak atau murid mereka
dapat membaca seawal umur 6 tahun ke bawah. Tidak dinafikan ini suatu pencapaian
yang luar biasa namun mereka tidak sedar akan kesan jangka panjang terhadap
kanak-kanak tersebut. Guru-guru Tahap 1 pula menekankan kepada ibu bapa agar
memastikan anak-anak boleh membaca sebelum memasuki Tahun 1 kerana jika tidak
demikian, anak-anak akan ketinggalan dengan silibus pelajaran yang kini sudah jauh
berubah oleh kerana pelaksanaan KSSR. Ramai ibu bapa mula menghantar anak-anak ke
tadika yang mengajar anak-anak membaca dan mengharapkan anak-anak menguasai asas
membaca secepat yang mungkin. Sebenarnya kita tidak perlu tergesa-gesa untuk melihat
anak-anak kecil pandai membaca kerana menurut pakar, masa yang paling tepat untuk
mulai belajar membaca adalah pada usia 7 tahun iaitu dalam kelas Tahun 1.
Untuk lebih memahami mengapa Program LINUS tidak sesuai diperkenalkan di
prasekolah atau tadika adalah dengan mengetahui dua fasa penting dan kritikal
perkembangan awal kanak-kanak. Menurut Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli seorang pakar
dalam pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, usia 0 hingga 6 tahun adalah fasa
Sistem 1 iaitu tahap di mana EQ anak-anak berkembang. Perkembangan ini merangkumi
85% dari otak anak-anak. Jika dirangsang dan dibentuk dengan cemerlang, anak dapat
memiliki EQ yang stabil maka (Intelligent Quotient) IQ juga akan dapat dibentuk dengan
baik. Kanak-kanak yang gembira dapat membentuk EQ yang hebat sekaligus akan

merangsang IQ mereka. Sistem 2 (Kognitif) pula yang hanya merangkumi 15% dari otak
kanak-kanak hanya bersedia untuk menerima pembelajaran akademik pada usia 7 tahun.
Sekiranya kanak-kanak prasekolah ditekan untuk belajar membaca sebelum masuk
Tahun 1, ia berupa satu penganiayaan terhadap kanak-kanak itu kerana Sistem 1 belum
berkembang sepenuhnya tetapi sudah dipaksa untuk memasuki Sistem 2. Kesannya
adalah buruk kerana bakal melahirkan insan yang tidak berperasaan dan kurang sifat-sifat
kemanusiaan. Menurut beliau juga, masyarakat kita perlu digalakkan untuk memupuk
pemikiran kritikal secara matang agar wujud sifat seorang penyelidik dalam diri. Ini dapat
direalisasikan dengan membiarkan kanak-kanak belajar melalui bermain dan bukannya
memperkenalkan elemen akademik terlalu awal kepada mereka pada usia yang masih
terlalu muda.
Prasekolah menggunapakai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
yang telah diwajibkan pengunaanya pada 1 Januari 2010 mengikut Akta Pendidikan 1996
(Pindaan 2002) yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pendekatan yang
digunakan dalam kurikulum prasekolah adalah belajar melaui bermain, bertema dan
bersepadu serta menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Apabila terdapat
pihak yang cuba memasukkan LINUS ke dalam kurikulum prasekolah maka ini akan
menjejaskan kesuluruhan pelaksanaan kurikulum prasekolah yang sepatutnya
dilaksanakan. Guru-guru prasekolah terpaksa mengejar silibus yang tidak perlu disentuh
dalam prasekolah. Oleh itu hal yang sepatutnya dilakukan untuk memastikan matlamat
LINUS sekolah tercapai adalah dengan memantapkan pelaksanaan LINUS itu sejurus
sahaja murid-murid memasuki Tahun 1 di sekolah rendah. Prasekolah harus dikecualikan
daripada terlibat dalam Program LINUS dan diberi ruang seluas-luasnya untuk
melaksanakan kurikulum prasekolah secara optima.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, KPM perlu melihat lebih mendalam terhadap pelaksanaan
Program LINUS di sekolah-sekolah. Tekanan yang diberikan kepada pihak JPN, PPD dan
sekolah untuk mencapai KPI perlu dinilai semula kerana sesetengah pihak terpaksa
menggunakan cara yang kurang sesuai untuk menekan semua pihak bekerja keras agar
sekolah dan PPD terselamat daripada gagal mencapai KPI LINUS yang ditetapkan.
Program LINUS dijalankan bukan lagi berfokus untuk mengatasi masalah 3M tetapi lebih
kepada memenuhi tuntutan pihak atasan sehingga sesetengah sekolah mulai menjadikan
prasekolah sebagai sasaran untuk membantu sekolah mencapai KPI LINUS.
Cadangan langkah yang perlu diambil agar tidak menjejaskan pelaksanaan kurikulum
prasekolah adalah dengan menitikberatkan persiapan guru LINUS bersama murid-murid
Tahun 1. Program LINUS Tahun 1 perlu lebih berfokus berbanding Tahun 2 dan Tahun 3
kerana pembinaan asas di Tahun 1 akan memudahkan proses di Tahun 2 dan Tahun 3.
Program LINUS adalah amat tidak sesuai dan tidak patut dimasukkan ke dalam
kurikulum prasekolah kerana mengandungi elemen akademik yang hanya akan

membantutkan perkembangan awal kanak-kanak yang sempurna mengikut tahap umur


mereka.
KPM juga perlu mencari punca sebenar di akar umbi mengapa kadar masalah 3M di
sekolah-sekolah di Malaysia masih tinggi. Ini boleh disebabkan oleh kekurangan dan
kelemahan dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak di negara ini selain daripada
faktor-faktor demografi murid. Kita perlu melihat kepada contoh yang baik dari
negara-negara luar yang mana amat menekankan aspek bermain kepada kanak-kanak
bawah 6 tahun dan hanya memberi pendidikan formal apabila kanak-kanak berumur 7
tahun. Sistem tersebut terbukti berkesan seperti di Finland yang mana negara itu
mempunyai tahap literasi antara yang terbaik di dunia.
Selain itu ibu bapa memainkan peranan yang penting kerana mereka adalah pihak
yang paling dekat dengan anak-anak semasa anak-anak melalui fasa Sistem 1 iaitu
perkembangan EQ mereka. Ibu bapa perlu memilih tadika yang benar-benar peka tentang
kepentingan perkembangan awal kanak-kanak agar dunia kanak-kanak mereka
benar-benar memenuhi keperluan pertumbuhan mereka dari segi jasmani, emosi, intelek,
rohani dan sosial. Anak-anak yang belajar dengan gembira melahirkan pelajar yang lebih
berkualiti.

Rujukan
Abdul Jalil Othman, Normarini Norzan, Ghazali Darusalam & Saedah Siraj. (2011).
Cabaran Guru Program LINUS Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa. Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya.
Bernama. Pendidikan Awal Penting Untuk Bentuk EQ Anak.
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/fe/newsfeatures.php?id=1276592
[10
September 2016]
Jabatan Kemajuan Masyarakat.
http://www.kemas.gov.my/index.php/my/kurikulum-tabika [10 September 2016]
Peter Gray. How Early Academic Training Retards Intellectual Development
https://www.psychologytoday.com/blog/freedom-learn/201506/how-early-academictraining-retards-intellectual-development [10 September 2016]
Valerie Strauss. The decline of play in preschoolers - and the rise in sensory issue.
https://www.washingtonpost.com/news/answer-sheet/wp/2015/09/01/the-decline-ofplay-in-preschoolers-and-the-rise-in-sensory-issues/ [10 September 2016]

Anda mungkin juga menyukai