Anda di halaman 1dari 18

Bab 2: Bacaan Awal

Bab 2 BACAAN AWAL


HASIL PEMBELAJARAN
a. Pelajar boleh menerangkan tentang kemahiran bacaan awal. b. Pelajar memahami kepentingan bacaan awal kepada kanak-kanak sebelum mereka memasuki peringkat sekolah rendah. c. Pelajar boleh mengaplikasikan teori untuk digunakan mengajar kemahiran bacaan kepada murid-murid.

2.1. Kemahiran Bacaan Awal 2.2. Pendekatan dan Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca 2.3. Pendekatan Pengajaran Kemahiran Membaca

Dalam bab ini pelajar akan diperkenalkan dengan kemahiran bacaan awal. Bab ini akan menerangkan tentang kepentingan kemahiran bacaan awal kepada kanakkanak. Pelajar akan diajar tentang teori-teori yang digunakan untuk mengajar kemahiran bacaan awal dan juga kaedah pengajaran kemahiran bacaan awal.

Bab 2: Bacaan Awal

2.1

Kemahiran Bacaan Awal

KEMAHIRAN BACAAN AWAL merupakan kesediaan murid untuk membaca. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa pertuturan. Peringkat bacaan pula meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat. Pada tahap ini, murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Untuk mencapai kemahiran-kemahiran tersebut, aktiviti Kemahiran Bacaan Awal boleh dilakukan dengan menggunakan permainan huruf, suku kata dan perkataan untuk mengukuhkan lagi kemahiran tersebut. Aktiviti seperti mendengar, membaca, menulis merupakan proses yang membantu perkembangan awal literasi kanak-kanak. Ibu bapa, orang dewasa, dan persekitaran dapat membantu kanak-kanak mempercepatkan pernguasaan kemahiran membaca. Membaca merupakan kompleks yang melibatkan minda, persepsi, linguistik dan psikologi. Proses membaca dan perkembangan bahasa yang dilalui oleh setiap kanak kanak didedahkan dengan pengalaman membaca yang merupakan asas dalam pendidikan rasmi tahap Satu sekolah rendah. Perkembangan dan penggunaan bahasa yang meliputi kemahiran membaca adalah antara bidang perkembangan utama dalam proses perkembangan kanak-kanak yang tidak boleh diabaikan. Menurut Senechal dan LeFebvre(2002), penguasaan kemahiran membaca pada peringkat awal menjadi prasyarat kepada penguasaan kemahiran membaca seterusnya. Pengalaman membaca yang diperoleh pada peringkat prasekolah atau pada peringkat Tahun Satu adalah penting untuk kejayaan pada masa akan datang. Kebaikan Membaca Pada Peringkat Awal Kanak-kanak Membaca adalah satu pengalaman yang amat menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik. Keupayaan kanak-kanak ini untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan. Justeru itu, terdapat kata-kata mutiara yang sangat bererti, "Membaca adalah hak setiap kanak-kanak." Ibu bapa yang gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan kemahiran membaca akan melihat anak-anak mereka kelak tertinggal dalam dunia persaingan hari ini. Apatah lagi,
2

Bab 2: Bacaan Awal pelbagai mata pelajaran dan bahan rujukan di sekolah, maktab hinggalah institusi pengajian tinggi banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Mengajar membaca kepada anak-anak bukan sekadar bahasa ibunda, malah sebaiknnya dikembangkan kepada bahasa-bahasa yang lain juga. Sekiranya ibu bapa sering membimbing, mengajar dan mendidik anak-anak belajar membaca sudah tentu anak-anak kita akan dapat membina struktur ayat yang gramatis dan bertatasusila dalam konteks ayat yang betul.Kemahiran membaca pada peringkat awal kanak-kanak lagi amat penting kerana keupayaaan membaca menjadikan diri kanak-kanak lebih yakin, aktif dan bertenaga. Kemahiran membaca peringkat awal ini berkait dengan tiga agenda kehidupan manusia sepanjang masa. Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun. Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan kadar kepesatan otak membangun dan berkembang ialah semasa berumur 0 hingga 3 tahun. Jika rangsangan dan kemahiran membaca diberikan pada masa ini, ia akan memberi kesan yang paling optimum untuk meningkatkan tahap kecerdikannya. Kanak-kanak adalah golongan yang paling cepat mempelajari bahasa. Keupayaan mereka menambah perbendaharaan kata semakin bertambah setiap hari kerana mereka sentiasa bertanya dan ingin belajar. Apabila mencapai umur 5 tahun, dianggarkan 10,000 perbendaharaan kata telah terbentuk dalam diri mereka. Kecerdikan kanak-kanak mempelajari bahasa boleh diperhati daripada keupayaan dalam memilih perkataan tertentu dan menyusunnya supaya menjadi struktur ayat yang difahami. Kanak-kanak boleh diajak bercakap dan membaca dengan betul sebelum berumur lima tahun dengan bimbingan darpada ibu bapa. Oleh yang demikian, kemahiran membaca pada peringkat awal dapat mempercepatkan proses penguasaan sesuatu bahasa di kalangan kanak-kanak. Kebolehan membaca merupakan kemahiran yang penting dan perlu dipelajari walaupun kanak-kanak masih di peringkat tadika. Kanak-kanak yang sudah boleh membaca ayat-ayat mudah dengan lancar dan menguasai sekumpulan perbendaharaan kata asas serta boleh mengeja perkataan yang tidak dikenali sebelum memasuki Tahun Satu berada dalam kedudukan yang lebih selesa dan menyakinkan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak menguasai kemahiran membaca. Memang tidak terlewat untuk kanak-kanak belajar membaca ketika di Tahun Satu, tetapi dengan saiz kelas yang besar dan pelbagai kekangan yang dihadapi oleh pihak guru dan sekolah, akan berlaku bimbingan membaca yang tidak sempurna .Ini bererti, kanak-kanak yang lemah membaca mungkin kekal lemah ketika berada di sekolah rendah.
3

Bab 2: Bacaan Awal

1. 2. 3.

Nyatakan tentang kemahiran bacaan awal yang anda fahami. Senaraikan kebaikan bacaan awal kepada kanak-kanak. Apakah peranan guru dalam menerapkan kemahiran bacaan awal kepada murid-murid.

Bab 2: Bacaan Awal

2.2

Pendekatan dan Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca

Aktiviti pengajaran dan perkembangan bahasa adalah berasaskan kepada dua teori utama, iaitu Teori Kognitif dan Teori Behavioris. Teori merupakan perkembangan daripada pembentukan pengetahuan yang sistematik. Sesuatu teori mencakupi konsep, prinsip, model, struktur, kepercayaan dan idea. Teori juga merupakan salah satu daripada sumber ilmu yang terdiri daripada kriteria tertentu. Andaian yang jelas tentang sesuatu fenomena serta penjelasan istilah yang mantap adalah antara kriteria yang membolehkan teori tersebut diguna pakai dengan mudah.Secara ringkasnya, teori bermaksud sesuatu prinsip atau andaian umum yang boleh menjadi dasar kepada pembentukan ilmu pengetahuan.Dua teori asas dalam ilmu pedagogi pendidikan ialah Teori Behavioris dan Teori Kognitif. Pengasas Behaviorisme ialah Watson, Pavlov, Thondike dan Skinner manakala pengasas Kognitivisme pula ialah Piaget dan Bruner. Prinsip asas Behavioris menekankan ganjaran atau pencguhan manakala prinsip asas Kognitif menekankan proses dalaman ataupun proses mental. Namun, sesuatu teori itu agak sukar untuk berdiri sendiri tanpa perkaitan antara satu dengan lain. Teori Perkembangan Kognitif Teori Kognitif menekankan proses dan konsep serta menyesuaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan kemampuan kognitif individu. Ahli teori kognitif mempercayai bahawa proses pembelajaran adalah hasil daripada proses mental dan bukannya sekadar perubahan tingkah laku. Manusia menggunakan maklumat di sekeliling mereka untuk memahami persekitarannya. Oleh itu, maklumat yang disampaikan hendaklah membantu kanakkanak mengaitkan maklumat sedia ada dengan maklumat baharu secara bermakna. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Tan et al. (2001), Model Pemprosesan Maklumat adalah berasaskan Teori Kognitif, iaitu menekankan pengaruh persepsi ke atas ingatan dan urutan sesuatu peristiwa. Oleh itu, sesuatu ingatan itu akan menjadi lebih baik apabila pembelajaran berlaku melalui visual dan verbal. Selain itu, dapatlah dikatakan bahawa pelaksanaan pengajaran yang berasaskan Teori Kognitif akan menjadi lebih bermakna dan berkesan sekiranya guru menyampaikan sesuatu maklumat dengan hantuan alat pandang dengar. Proses pembelajaran berlaku bukan sekadar apabila kanak-kanak boleh mendengar, mengingat atau menghafal sesuatu butiran, bahkan butiran berkenaan dapat dilihat atau didengar dan dinyarakan dengan bermakna oleh kanak-kanak.
5

Bab 2: Bacaan Awal Piaget merupakan salah seorang ahli Teori Kognitif yang mempercayai bahawa pemikiran manusia merupakan satu struktur rangkaian mental yang dilahirkan oleh organisma dan mempunyai hubung kait dengan pengalaman. Di samping itu, struktur fizikal manusia pula membolehkan mereka beradaptasi dengan persekitaran dan membentuk pengalaman. Pemikiran juga akan membina struktur psikologi organisma tersebut. Bagi menjelaskan struktur rangkaian mental organisma, Piaget telah menstrukturkan empat peringkat perkembangan kognitif seperti berikut: 1.Peringkat motor deria (sejak lahir hingga berumur dua tahun). 2.Peringkat praoperasi (berumur dua hingga tujuh tahun), kanak-kanak mula menguasai bahasa dan konsep. 3.Peringkat operasi konkrit (berumur tujuh hingga 11 tahun), kanak-kanak mula menggunakan pemikiran logik dan memahami perkara konkrit. 4.Peringkat operasi formal (berumur 11 tahun ke atas), kanak-kanak telah dapat menggunakan dan menyelesaikan masalah secara logik. Piaget telah meneliti dan menghuraikan proses organisasi dan adaptasi intelektual melalui empat proses utama, iaitu skema atau skemata (pengalaman atau pengetahuan sedia ada), asimilasi (menyepadukan rangsangan baharu dengan pengetahuan sedia ada), akomodasi (mengasimilasikan rangsangan baharu ke dalam skema dan menghasilkan konsep baharu) dan perimbangan (tidak berlaku ekstrem semasa melalui proses organisasi dan adaptasi intelektual) (Amir, 1993). Oleh itu, perkembangan bahasa disepadukan dengan skema asimilasi dan dikatakan terbentuk pada peringkat deria motor (Piaget, dalam Juriah, 1993). Walau hagaimanapun, pemeringkatan tersebut menunjukkan kanak-kanak menguasai bahasa dan konsep pada peringkat praoperasi antara umur dua hingga tujuh tahun. Teori Pelaziman Behavioris Teori Behavioris pula melihat pembelajaran sebagai proses yang berlaku melalui peniruan, pelaziman dan pengulangan dengan menekankan rangsangan dan gerak balas. Pengajaran guru yang berasaskan Teori Behavioris akan menyediakan rangsangan yang sesuai dalam proses membantu penguasaan kemahiran membaca kanak-kanak. Oleh itu, kaedah ganjaran dan peneguhan akan digunakan oleh guru (Bigge, 1992).Corak peneguhan yang digunakan dalam proses pembelajaran adalah berasaskan kepada peneguhan positif.Peneguhan atau pengukuhan yang dilaksanakan, ini adalah berdasarkan kepada sesuatu perubahan tingkah laku yang boleh diukur. Hergenhahn dan Olson (1997) menegaskan bahawa Watson telah menolak kajian tentang kesedaran, iaitu sesuatu perkara yang tidak dapat diukur secara saintifik manakala sesuatu perkara yang boleh diukur dan dipercayai secara saintifik ialah tingkah laku. Selain Watson, Skinner juga merupakan antara pengasas Behaviorisme. Beliau mendefinisikan bahasa sebagai hasil percakapan atau interaksi antara pendengar dengan penutur, manakala pemikiran pula merupakan proses dalaman.

Bab 2: Bacaan Awal Oleh itu, bahasa dihasilkan melalui interaksi dengan persekitaran dan interaksi antara ibu bapa dengan kanak-kanak (Skinner, dalam Miller, 2000). Penjelasan ini menunjukkan bahawa ibu bapa dan persekitaran pembelajaran adalah penting bagi membantu kanakkanak prasekolah memperoleh kemahiran berbahasa. Kemahiran berbahasa merupakan salah satu elemen untuk memperoleh kemahiran membaca. Aliran Behavioris menganggap aktiviti pembelajaran bahasa diperoleh dengan cara mengulangi kemahiran yang hendak dikuasai. Aktiviti pengulangan merupakan faktor utama dalam proses pembelajaran dan pemerolehan bahasa. Walau bagaimanapun, pembelajaran bukan sekadar berlaku melalui pengulangan. Sebagai contoh, Essa (2003) rnenjelaskan bahawa bahasa merupakan tingkah laku yang dipelajari melalui peneguhan daripada ibu bapa. Secara ringkasnya, Skinner mendefinisikan pembelajaran sebagai satu perubahan hasil daripada rangsangan yang diterima oleh seseorang, kebiasaannya perubahan ini datang daripada pelaziman operan (Bigge, 1992). Di samping itu, guru dianggap sebagai arkitek dan pembangun tingkah laku kanak-kanak dalam sesuatu proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, pandangan ahli Behavioris tentang penghasilan perkataan sebagai satu penghasilan yang dialami oleh manusia pada tahap periferal sahaja dan tidak mempunyai pengaruh mental telah mendapat tentangan daripada golongan Kognitivisme (Mahmood Nazar, 1990). Pandangan sebelum ini telah menggambarkan bahawa ahli Behavioris menganggap pemerolehan bahasa ialah hasil peneguhan dan peniruan kanakkanak terhadap bahasa orang dewasa atau kanak-kanak lain di persekitaran mereka. Proses peniruan yang diikuti dengan peneguhan, sama ada berupa hadiah, tindak balas fizikal ataupun kata-kata pujian menjadikan sesuatu perlakuan itu akan diulangi oleh kanak-kanak walaupun mereka tidak memahami makna ataupun konsep yang jelas. Dalam pengajaran bacaan, Teori Behavioris menekankan rangsangan dan gerak balas dengan pcndedahan kepada bunyi huruf tertentu diikuti bacaan perkataan dan makna yang herlaku secara pelaziman (Bigge, 1992). Sehubungan itu, pengukuhan dan peneguhan digunakan dalam proses pengajaran kanakkanak untuk memperoleh sesuatu tingkah laku yang baharu. Tingkah laku baharu yang diharapkan ini akan diteguhkan dengan memberikan ganjaran. Bentuk pengajaran ini dibahagikan kepada bahagian kecil dan diikuti dengan peneguhan mengikut langkah pengajaran yang sistematik (Essa, 2003 & Tan et al., 2001). Idea yang sama juga telah dijelaskan oleh Bigge (1992), iaitu Kaedah Fonik dalam pengajaran kemahiran membaca menjurus kepada Teori Behavioris. Langkah-langkah pengajaran kemahiran bacaan awal
7

Bab 2: Bacaan Awal yang bermula daripada bahagian lebih kecil (abjad) kepada suku kata, perkataan dan makna merupakan ciri-ciri pengajaran Teori Behavioris. Pengajaran bacaan awal dengan Kaedah Abjad dikategorikan sebagai suatu kaedah yang bersandarkan kepada Behaviorisme. Kaedah ini ialah satu kaedah pengajaran bacaan awal yang bermula dengan hafalan dan ulangan huruf atau abjad sehingga mereka memperoleh kemahiran tersehut, diikuti dengan hafalan dan ulangan bahagian kemahiran suku kata dan ayat yang juga mencakupi makna. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan hahawa penguasaan bahasa atau kemahiran membaca tidak akan bermakna sekiranya guru hanya mengutamakan peniruan atau hafalan semata-mata. Pengulangan tanpa makna menyebabkan kanak-kanak membina struktur ayat yang tidak betul. Namun, terdapat kaedah pengajaran kemahiran membaca pada peringkat bacaan awal yang menekankan latih tubi atau sebutan berulang-ulang. Misalnya, Kaedah Cahayaku (Chahaya & Rohana, 1998 & 2000) dan Kaedah Abjad banyak mengamalkan aktiviti pengulangan. Antara ciri pengajaran dan pembelajaran Behaviorisme ialah mengutamakan motivasi ekstrinsik, peneguhan positif dan negatif serta pelaziman. Guru akan menentukan perkara yang hendak diajarkan dan semua kanak-kanak akan melakukan tugasan yang sama (Tan et al., 2001 & Jacob et al., 1998). Proses pengajaran dan pembelajaran mengikut Teori Behavioris tidak menekankan makna. Ahli-ahli Behavioris lebih menumpukan perlakuan luaran yang boleh dilihat dan diukur berbanding proses dalaman. Pendekatan Behavioris dalam pengajaran kemahiran membaca mempunyai kekuatan dari segi mengingat. Namun, dari segi konsep dan makna teori ini dipertikaikan keberkesanannya. Secara ringkasnya, ahli Behavioris lebih menekankan tingkah laku manusia termasuk bahasa yang dikatakan hasil rangsangan dan gerak balas. Prinsip pembelajaran Behavioris berlaku melalui proses pengulangan (pelaziman). Teori Konstruktivis Teori Kognitif dan Teori Behavioris merupakan dua teori asas bagi pendidikan dan perkembangan bahasa. Konstruktivis pula merupakan teori hasil kombinasi antara psikologi kognitif dan psikologi sosial (Huitt, 2003). Oleh itu, kombinasi ini merupakan elemen yang saling berkaitan dan saling memerlukan dalam perkembangan intelektual manusia. Namun, dalam perkembangan bahasa, ahli Konstruktivis (atau dikenali juga sebagai Interaksionis) berpendapat bahawa faktor sosial dan hubungan budaya memainkan peranan. Walau bagaimanapun, Kognitif-Interaksionis melihat pembelajaran sebagai proses memperoleh atau menukarkan wawasan, pandangan, harapan ataupun bentuk pemikiran (Bigge & Shermis, 2004). Teori Konstruktivis dilihat sebagai gabungan antara kognitif dan sosial atau biologi dan persekitaran. Dari aspek pembelajaran, teori ini menekankan wawasan atau celik akal dan bentuk pemikiran. Pengasas Teori Konstruktivis ialah John Dewey, Ausubel, Brunner dan Piaget iaitu antara pemimpin bagi Kognitif Konstruktivis, manakala pengikut utama Sosial Konstruktivis ialah Vygotsky (Huitt, 2003). Hein (1991) juga menegaskan bahawa pengikut Teori Konstruktivis merupakan pengikut
8

Bab 2: Bacaan Awal kepada Dewey, Piaget dan Vygotsky. Oleh itu, Konstruktivisme merupakan pecahan daripada Kognitivis. Dapatlah dirumuskan bahawa maksud Konstruktivisme ialah cara kanak-kanak membina pengetahuan dan makna dalam proses pembelajaran sama ada secara formal (melalui institusi tertentu) ataupun tidak formal (melalui kursus atau bengkel yang dihadiri). Pendekatan yang berorientasikan kurikulum konstruktivisme di bilik darjah memberi peluang kepada kaiak-kanak memperoleh pengetahuan melalui pemikiran tahap tinggi. Merujuk kepada Hein (1991) dan Huitt (2003), antara prinsip konstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut: 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. mengambil kira pengalaman dan kesediaan untuk belajar menstrukturkan pengajaran untuk mempermudahkan kanak-kanak menyediakan reka bentuk pengajaran, bukan sekadar menyampaikan maklumat menyedari bahawa proses pembelajaran ialah prosesa ktif menyedari hahawa pembelajaran melibatkan bahasa dan aktiviti sosial, dan kanakkanak memerlukan masa untuk belajar, dan pembelajaran memerlukan penggunaan pemikiran tahap tinggi.

Pendekatan dan Pengajaran Kemahiran Membaca Pendekatan bermaksud mendekati sesuatu dengan berasaskan kepada prinsip dan strategi tertentu untuk mencapai sesuatu objektif. Dalam English Hebrew CD-ROM (2004), pendekatan bermaksud tindakan untuk mendekati manakala The American Heritage (2003) menjelaskan pendekatan sebagai idea atau tindakan untuk mcnghadapi sebarang situasi atau masalah. Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran membaca, secara khususnya terdapat dua pendekatan utama yang bertcraskan Teori Kognitif dan Teori Behavioris. Dalam pengajaran kemahiran membaca, Teori Kognitif telah membawa kepada Pendekatan Alternatif dan Teori Behavioris melahirkan Pendekatan Tradisional (Fisher, 1992). Di samping itu, terdapat pelbagai kaedah pengajaran bacaan yang berasaskan
9

Bab 2: Bacaan Awal pendekatan-pendekatan tersebut. Misalnya, Kaedah Keseluruhan Perkataan dan Kaedah Bercerita merupakan kaedah hukan fonik yang berasaskan kepada makna, iaitu kaedah yang wujud daripada Pendekatan Alternatif yang berlandaskan Teori Kognitif. Kaedah Fonik pula berasaskan kepada abjad dan bunyi yang lahir daripada Pendekatan Tradisional dan berlandaskan Teori Behavioris (Bigge, 1992). Pendekatan Tradisional Dalam Pendckatan Tradisional, guru memainkan peranan sebagai penyampai ataupun pengarah. Pengajaran bermula dengan penjelasan. Kanak-kanak akan membuat latihan berasaskan kepada pengetahuan yang disampaikan guru. Dalam Pendekatan Alternatif pula, guru memulakan pengajaran berdasarkan kepada pengetahuan sedia ada yang dimiliki kanakkanak (Fisher, 1992). Secara ringkasnya, Pendekatan Tradisional lebih merupakan satu pendekatan herstruktur dan hersistematik digandingkan dengan strategi pemusatan guru. Fisher (1992) telah menggamharkan corak pengajaran Pendekatan Tradisional seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.1, iaitu pembelajaran bermula dengan pengajaran guru, diikuti dengan latihan, dan diakhiri dengan aplikasi sebagai pemindahan pembelajaran oleh kanakkanak. Pengajaran Latihan Aplikasi Rajah 2.1 Pendekatan Tradisional Pendekatan Tradisional merupakan satu proses pengajaran langsung (Essa, 2003; Fisher, 1992 & Waterland, 1985). Pendekatan ini melibatkan pengajaran secara hierarki dengan kemahiran khusus. Proses pengajaran adalah berasaskan abjad dan fonik yang menekankan kemahiran khusus dan lebih mengutamakan pemusatan guru. Pendekatan Tradisional merupakan pengajaran yang bcrsandarkan kepada Tcori Behavioris.

Pendekatan Alternatif Pendekatan Alternatif merupakan satu pendekatan moden yang menekankan penggunaan pengetahuan sedia ada dan pengalaman kanak-kanak. Pendekatan ini juga merujuk kepada pembelajaran progresif, strategi pemusatan kanak-kanak, pengalaman dan belajar melalui penemuan. Pendekatan Alternatif merupakan satu pengajaran yang berlaku secara tidak rasmi antara pengajaran guru dan aktiviti yang dijalankan oleh kanak-kanak. Corak pengajaran Pendekatan Alternatif adalah seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.2, iaitu aktiviti pembelajaran bermula dengan aplikasi dan latihan yang akan dimantapkan dengan pengajaran guru. Oleh itu, aplikasi berlaku sepanjang proscs pengajaran dan pembelajaran.

10

Bab 2: Bacaan Awal

Latihan

Aplikasi

Aplikasi

Aplikasi

Pengajaran Rajah 2.2 Pendekatan Alternatif Kaedah yang boleh diklasifikasikan sebagai Pendekatan Alternatif ialah seperti Kaedah Aperantis dan Kaedah Bercerita. Walau bagaimanapun, dalam kajian ke atas Pendekatan Tradisional dan Pendekatan Alternatif (Kaedah Bercerita) dari aspek amalan pendekatan pengajaran kemahiran membaca, didapati kedua-dua pendekatan tersebut sukar untuk dihezakan dari aspek kebolehan membaca dengan cepat (Raban, 1992). Secara ringkasnya, terdapat dua pendekatan utama dalam pengajaran kemahiran membaca. Namun, sukar untuk membuktikan pendekatan yang membantu penguasaan kemahiran membaca dengan cepat.

1. 2. 3. 4.

Pilih salah satu daripada teori di atas dan terangkan tentang teori tersebut. Apakah teori yang paling popular dalam mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak dan terangkan tentang teori tersebut. Apakah perbezaan pendekatan alternatif dengan pendekatan tradisional? Teori konstrukvis merupakan gabungan antara Teori Kognitif dan Teori Behavioris. Huraikan.

11

Bab 2: Bacaan Awal

2.3

STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanak-kanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam kaedah itu.

Kaedah Mengajar Bacaan


1. 2. 3. 4. Kaedah abjad/huruf Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan Kaedah fonik/bunyi Kaedah Gabungan Bunyi-kata

Kaedah Abjad/huruf
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, hurufhuruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Contoh: Memperkenalkan huruf - a - z Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah. Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.

12

Bab 2: Bacaan Awal

Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan


Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya. Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali. Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan rumah, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf r iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]

13

Bab 2: Bacaan Awal

Kaedah Fonik/bunyi
Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ]. [ b ] + [ a ] = [ ba ] [ t ] + [ a ] = [ ta ] [ ba ] + [ta ] = [ bata ]

Kaedah gabungan bunyi kata ( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )
Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory). Contoh; i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut. ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
14

Bab 2: Bacaan Awal

iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf. iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf. v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf. vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf (terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar). vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut; i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan). ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja). Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.

1.

Terangkan salah satu daripada kaedah mengajar membaca di bawah: a. Kaedah abjad/huruf b. Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan c. Kaedah fonik/bunyi d. Kaedah Gabungan Bunyi-kata Nyatakan salah satu kaedah yang anda rasa paling mudah digunakan untuk mengajar kanak-kanak membaca dan berikan sebab-sebab-sebab anda.
15

2.

Bab 2: Bacaan Awal

RUMUSAN BAB
Kemahiran Bacaan Awal
Kemahiran bacaan awal merupakan kesediaan murid untuk membaca. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa pertuturan. Aktiviti seperti mendengar, membaca, menulis merupakan proses yang membantu perkembangan awal literasi kanak-kanak. Proses membaca dan perkembangan bahasa yang dilalui oleh setiap kanak kanak didedahkan dengan pengalaman membaca yang merupakan asas dalam pendidikan rasmi tahap Satu sekolah rendah. Perkembangan dan penggunaan bahasa yang meliputi kemahiran membaca adalah antara bidang perkembangan utama dalam proses perkembangan kanakkanak yang tidak boleh diabaikan. Kemahiran membaca pada peringkat awal kanak-kanak lagi amat penting kerana keupayaaan membaca menjadikan diri kanak-kanak lebih yakin, aktif dan bertenaga.. Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun. Kanak-kanak adalah golongan yang paling cepat mempelajari bahasa. Keupayaan mereka menambah perbendaharaan kata semakin bertambah setiap hari kerana mereka sentiasa bertanya dan ingin belajar. Kecerdikan kanak-kanak mempelajari bahasa boleh diperhati daripada keupayaan dalam memilih perkataan tertentu dan menyusunnya supaya menjadi struktur ayat yang difahami. Kanak-kanak boleh diajak bercakap dan membaca dengan betul sebelum berumur lima tahun dengan bimbingan darpada ibu bapa. Oleh yang demikian, kemahiran membaca pada peringkat awal dapat mempercepatkan proses penguasaan sesuatu bahasa di kalangan kanak-kanak. Kebolehan membaca merupakan kemahiran yang penting dan perlu dipelajari walaupun kanak-kanak masih di peringkat tadika.

Pendekatan dan Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca

Aktiviti pengajaran dan perkembangan bahasa adalah berasaskan kepada dua teori utama, iaitu Teori Kognitif dan Teori Behavioris. Teori bermaksud sesuatu prinsip atau andaian umum yang boleh menjadi dasar kepada pembentukan ilmu pengetahuan. Teori Kognitif menekankan proses dan konsep serta menyesuaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan kemampuan kognitif individu. Ahli teori kognitif mempercayai bahawa proses pembelajaran adalah hasil daripada proses mental dan bukannya sekadar perubahan tingkah laku. Manusia menggunakan maklumat di sekeliling mereka untuk memahami persekitarannya. Oleh itu, maklumat yang disampaikan hendaklah membantu kanak-kanak mengaitkan maklumat sedia ada dengan maklumat baharu secara bermakna Teori Behavioris pula melihat pembelajaran sebagai proses yang berlaku melalui peniruan, pelaziman dan pengulangan dengan menekankan rangsangan dan gerak balas. Pengajaran guru yang berasaskan Teori Behavioris akan menyediakan rangsangan yang sesuai dalam proses membantu penguasaan kemahiran membaca kanak-kanak. Oleh itu, kaedah ganjaran dan peneguhan akan digunakan oleh guru (Bigge, 1992).Corak peneguhan yang digunakan dalam proses pembelajaran adalah berasaskan kepada peneguhan positif.Peneguhan atau

16

Bab 2: Bacaan Awal


pengukuhan yang dilaksanakan, ini adalah berdasarkan kepada sesuatu perubahan tingkah laku yang boleh diukur. Teori Kognitif dan Teori Behavioris merupakan dua teori asas bagi pendidikan dan perkembangan bahasa. Konstruktivis pula merupakan teori hasil kombinasi antara psikologi kognitif dan psikologi sosial (Huitt, 2003). Oleh itu, kombinasi ini merupakan elemen yang saling berkaitan dan saling memerlukan dalam perkembangan intelektual manusia. Namun, dalam perkembangan bahasa, ahli Konstruktivis (atau dikenali juga sebagai Interaksionis) berpendapat bahawa faktor sosial dan hubungan budaya memainkan peranan. Walau bagaimanapun, Kognitif-Interaksionis melihat pembelajaran sebagai proses memperoleh atau menukarkan wawasan, pandangan, harapan ataupun bentuk pemikiran (Bigge & Shermis, 2004). Teori Konstruktivis dilihat sebagai gabungan antara kognitif dan sosial atau biologi dan persekitaran. Dari aspek pembelajaran, teori ini menekankan wawasan atau celik akal dan bentuk pemikiran.

Pendekatan Pengajaran Kemahiran Membaca

Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Kaedah Abjad/huruf merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a z. Selepas itu kanakkanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan adalah sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataanperkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya. Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan hurufhurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah gabungan bunyi kata ( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan ) diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

17

Bab 2: Bacaan Awal

RUJUKAN

1. Marohaini Yusoff. 1989. Strategi Pengajaran Bacaan Dan Kefahaman. Karya Bistari Sdn Bhd. Petaling Jaya. 2. Naimah Yusoff et al. 2011. Kemahiran Bacaan Awal Bahasa Melayu Prasekolah. Universiti Sains Malaysia. Pulau Pinang. 3. Yahya Othman. 2004. Mengajar Membaca. PTS Publications. Kuala Lumpur. 4. Mahzan Arsad. 2008. Pendidikan literasi bahasa Melayu. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur.
Laman web: http://masalahbaca.blogspot.com/

18

Anda mungkin juga menyukai