Anda di halaman 1dari 5

Kemahiran membaca merupakan kemahiran yang paling penting dalam aktiviti

pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek.Kemahiran membaca juga merupakan

kesinambungan daripada kemahiran-kemahiran asas yang lain seperti

mendengar,bertutur dan juga menulis.Dalam kehidupan seharian, membaca telah

menjadi satu kebiasaan untuk mengetahui sesuatu berita atau informasi yang

diterbitkan daripada pelbagai sumber.Membaca juga mampu melahirkan seseorang

individu yang berdaya kreatif serta berintelektual tinggi.Amalan membaca juga

dikaitkan dengan amalan yang mampu menambahkan ilmu pengetahuan dan juga

mampu melahirkan generasi yang bersifat proaktif.Apabila seseorang individu

sedang membaca, secara tidak langsung mindanya dapat menggambarkan atau

menterjemahkan sesuatu ayat atau perkataan kepada bentuk gambar ataupun

ilustrasi.Selain itu, kemahiran membaca mempunyai pelbagai jenis bacaan yang

boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.Menurut Zulkifley Hamid (1994),

beliau berkata bahawa seseorang yang berjaya menguasai kemahiran membaca

bermakna dia telah berjaya merobohkan sebuah tembok pemisah yang maha besar

antara dirinya dengan lautan ilmu yang wujud dalam pelbagai bentuk

karya.Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh Abd. Aziz pada tahun 2000,

kefahaman merupakan aspek yang paling penting dalam kaedah membaca.Justeru,

membaca boleh dikenali sebagai proses menyedut dan mengenal pasti ilmu yang

disampaikan atau diceritakan oleh penulis melalui hasil karyanya. Membaca juga

didefinisikan sebagai proses pembentukan dan penghasilan makna menerusi

interaksi antara pembaca dengan bahan bacaan berdasarkan latar seseorang

pembaca.

Konsep kemahiran membaca merangkumi sifat seseorang individu untuk

mentafsir dan menterjemah sesuatu perkataan ataupun sesuatu makna yang tidak

diketahui maksudnya.Sebagai contoh, apabila seseorang individu tersebut membaca

bahan bacaan seperti majalah atau surat khabar, dia dapat mengetahui kosa kata
ataupun perkataan baharu.Manakala, jika individu tersebut tidak dapat memahami

maksud sesuatu perkataan, dia dapat merujuk atau mencari maksudnya di internet

atau sebagainya.Di samping itu juga, kemahiran membaca dapat dikaitkan dengan

kegiatan mengenal kata-kata baharu dengan cara menyembunyikannya di dalam hati

mahupun sebaliknya.Menurut kajian Pumfrey pada tahun 1977, beliau berpendapat

bahawa, membaca bukan hanya bersifat mekanik, iaitu menyebut huruf-huruf yang

ditulis serta menjawab soalan berdasarkan apa yang dibaca, tetapi membaca lebih

daripada itu.Tambahan pula, menurut Atan Long (1978) mendefinisikan membaca

sebagai satu proses yang melibatkan kemampuan mengenal lambang-lambang dan

menterjemah lambang-lambang itu kepada satu bunyi serta memahami makna atau

tanggapan yang disampaikan oleh perkataan tersebut.Oleh hal yang demikian,

membaca merupakan proses yang kompleks kerana melibatkan pelbagai gabungan

proses daripada segi mental dan juga fizikal. Dalam pada itu, terdapat juga beberapa

jenis kemahiran membaca iaitu antaranya ialah kemahiran membaca aktif.

Kemahiran ini melibatkan kemahiran membaca untuk tujuan tertentu. Sebagai contoh,

sebelum pembaca memulakan bacaan, pembaca telah pun mempunyai idea dalam

usaha untuk mendapatkan maklumat yang dicari. Kemahiran membaca yang

seterusnya ialah kemahiran membaca kritikal yang bertujuan untuk memperoleh

maklumat secara terperinci berdasarkan bahan yang dibaca. Kemahiran ini terbahagi

kepada beberapa bahagian iaitu membaca secara perlahan, pantas dan tanpa suara.

Seterusnya, terdapat beberapa peringkat kemahiran membaca yang perlu

diberi penekanan secara menyeluruh. Peringkat kemahiran membaca yang pertama

ialah kesediaan membaca yang ditumpukan kepada murid-murid di sekolah rendah.

Guru perlu mengenal pasti sama ada seseorang murid tersebut mahir membaca

ataupun tidak. Kaedah ini boleh dilakukan melalui ujian atau penilaian bagi

menentukan tahap kemahiran murid. Jika seseorang murid tidak boleh membaca,

guru hendaklah memberikan pengalaman kepada murid agar mereka dapat bersedia
untuk membaca. Peringkat kesediaan murid ini penting untuk membina tabiat gemar

membaca dalam kalangan murid dan melatih murid supaya fasih untuk membaca.

Peringkat kemahiran membaca yang kedua pula ialah prabacaan. Peringkat ini

merupakan persediaan awal untuk seseorang bayi belajar mengenai dunia sekeliling

melalui bunyi, nada bunyi dan juga percakapan. Antara cara untuk memupuk minat

membaca dalam kalangan bayi ialah dengan menjadikan aktiviti bercerita sebagai

rutin harian kepada bayi. Ini boleh dilakukan ketika mereka sedang makan atau

selepas bayi tersebut mandi. Dengan kaedah ini, mereka akan lebih gemar untuk

mendengarnya pada setiap hari dan mampu menjana pemikiran yang proaktif.

Kemudian, peringkat yang ketiga ialah aktiviti prabacaan. Aktiviti ini boleh

dilakukan terhadap kanak-kanak di rumah atau di sekolah dengan cara mengenal

gambar yang berlainan dan mengenal bentuk yang berlainan. Melalui cara ini,

mereka dapat mengingat sesuatu perkataan dan membolehkan mereka membaca

dengan fasih tentang perkataan tersebut. Peringkat kemahiran membaca yang

keempat pula dikenali sebagai mekanis. Pada peringkat ini, murid sudah mahir

membunyikan suku kata, perkataan, huruf , frasa dan ayat dengan lancar. Mereka

juga boleh membaca dengan kuat dan juga lantang dengan sebutan yang jelas dan

terang. Tujuannya ialah untuk memastikan murid membaca dengan cekap

menggunakan intonasi suara yang betul. Peringkat yang terakhir ialah membaca dan

memahami. Pada peringkat ini, murid berupaya untuk mengumpul maklumat dan

maksud daripada bahan yang dibaca serta mentafsir sesuatu dengan sepenuhnya

tentang maklumat yang dibaca. Penguasaan kosa kata yang kukuh dapat membantu

murid memahami kandungan yang hendak diceritakan kepada umum.

Di samping itu, terdapat juga faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan

membaca, antaranya ialah kematangan. Kematangan merupakan salah satu faktor

yang dapat mempengaruhi proses pembacaan. Kematangan boleh hadir dalam


bentuk fizikal, intelek, sosial dan juga emosi. Sifat ini merupakan sifat yang sedia ada

dalam diri setiap individu dan merupakan faktor asas yang mempengaruhi kaedah

pembacaan. Faktor lain juga ialah pengalaman seseorang dalam bidang bacaan. Ia

bukan sahaja bergantung pada tahap kematangan seseorang individu tetapi juga

pengalaman sesorang dalam bidang yang berkaitan dengan aktiviti membaca.

Pengalaman yang terbaik dapat membantu kanak-kanak untuk bersedia dalam

sesuatu pelajaran. Persekitaran yang intelektual juga merupakan faktor yang

mempengaruhi kesediaan membaca terhadap kanak-kanak. Selain itu juga,

penguasaan bahasa juga turut mempengaruhi kesediaan membaca kerana ia

merujuk kepada tahap kemahiran seseorang individu itu untuk melanjutkan

pembacaannya.

Sehubungan dengan itu, terdapat juga faktor-faktor yang mempengaruhi

kemahiran membaca. Faktor yang pertama ialah kognitif yang menerangkan tentang

kecerdasan dan perkembangan kognitif kanak-kanak. Kemahiran membaca amat

memerlukan daya pengamatan yang kuat bagi memastikan setiap isi yang dibaca itu

jelas dan juga mudah difahami oleh pembaca terutamanya kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan lebih mahir untuk membaca

dengan fasih dan juga lancar. Faktor yang kedua pula ialah persekitaran yang

intelektual ataupun mesra buku. Ini juga mampu merangsang otak setiap individu

terutamanya terhadap golongan muda untuk lebih menumpukan kepada amalan

membaca yang baik. Sebagai contoh, ibu bapa atau guru boleh membawa kanak-

kanak pergi ke perpustakaan bagi menaikkan semangat dan juga bagi

mempengaruhi perkembangan emosi, motivasi dan sahsiah kanak-kanak. Secara

tidak langsung, minda kanak-kanak akan lebih terbuka dan mereka mampu

menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian mereka. Sementara itu, faktor

budaya juga mampu mempengaruhi kemahiran membaca. Hal ini dikaitkan dengan

tingkah laku yang dihasilkan oleh sesuatu pihak itu sendiri. Contohnya, ketika waktu
rehat di sekolah, guru boleh melaksanakan aktiviti membaca selama 10 minit setiap

hari bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan murid-murid. Akhir sekali ialah

faktor sosioekonomi yang lebih menumpukan kepada tanggungjawab ibu bapa bagi

menyediakan kemudahan yang selesa untuk aktiviti membaca anak-anak mereka.

Contohnya, bagi ibu bapa yang berkemampuan, mereka boleh menghasilkan sebuah

perpustakaan mini di rumah.

Akhir kalam, kemahiran membaca haruslah diterapkan dalam diri setiap

manusia tidak kira golongan supaya mampu melahirkan masyarakat yang berilmu

dan berintelektual tinggi. Kaedah membaca juga haruslah dipupuk dalam kalangan

kanak-kanak agar mereka mampu menjadi pewaris negara yang cemerlang dan juga

terbilang. Dengan ini, negara sesebuah negara akan lebih berdaya saing serta

mampu menjadi sebuah negara yang maju daripada segi ekonomi,pendidikan dan

sebagainya. Amalan membaca itu sendiri merupakan amalan yang sangat murni

kerana ia dapat menambahkan ilmu pengetahuan serta mampu menjadikan

seseorang individu itu bersifat proaktif,efektif dan juga kreatif. Membaca juga

hendaklah menjadi rutin dan hobi setiap insan agar mampu membangunkan

persekitaran yang aman dan sejahtera demi kelangsungan generasi yang akan

datang.

Anda mungkin juga menyukai