Anda di halaman 1dari 16

1.

0PENGENALAN DAN DEFINISI


Proses pemerolehan bahasa pertama lazimnya berlaku kepada kanak-kanak secara fitrah (semalajadi) di mana mereka mampu menguasai bahasa tersebut dalam masa yang singkat. Semasa kanak-kanak sedang memperoleh bahasa, terdapat dua perkara yang berlaku, iaitu proses perlakuan dan proses kecekapan. Proses perlakuan merujuk kepada proses pemahaman dan penerbitan. Ia melibatkan kebolehan kanak-kanak mengamati ayat yang didengar dan mengeluarkan semula ayat yang didengar dengan sendiri. Manakala proses kecekapan pula merujuk kepada pengetahuan bahasa, iaitu aspek tatabahasa yang telah dikuasai secara tidak sedar atau sengaja. Dalam tugasan ini saya akan mengemukakan beberapa definisi dan konsep pemerolehan bahasa, membincangkan teori-teori pemerolehan bahasa serta hubungkaitnya dengan cara penguasaan bahasa Arab murid-murid sekolah rendah, menjelaskan peranan pemerolehan bahasa pertama terhadap pemerolehan bahasa kedua dan membuat perbandingan antara proses pemerolehan bahasa dengan pembelajaran bahasa. Terdapat banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh para sarjana tentang definisi dan konsep pemerolehan bahasa. Antaranya Lyons (1995) melihat pemerolehan bahasa itu dari perspektif nurani, iaitu petunjuk dari hati. Oleh itu, bahasa tidak diperoleh secara semula jadi tetapi tumbuh dan menjadi matang secara organik. Menurut Frank Parker (1994) pemerolehan bahasa merupakan suatu pengkajian terhadap bagaimanakah cara manusia memperoleh pengetahuan tentang tatabahasa, suatu set kategori yang merangkumi bidang semantik, sintaksis, morfologi dan fonologi beserta dengan rumus-rumus yang menentukan kemampuan bercakap dan memahami sesuatu bahasa yang diadakan kepada manusia. Menurut Kamus Linguistik (1997) pula, pemerolehan bahasa didefinisikan sebagai proses pembelajaran bahasa daripada satu aspek hingga keseluruhannya. Mangantar Simunjuntak (1987) berpendapat bahawa pemerolehan bahasa ialah proses yang berlaku di dalam otak seseorang kanak-kanak (bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibundanya. Dalam bidang psikolonguistik pula, konsep pemerolehan bahasa berlaku hanya melibatkan bahasa pertama seseorang kanak-kanak.

Kesimpulannya, pemerolehan bahasa adalah proses mendapatkan pengetahuan berbahasa (bahasa pertama) bagi kanak-kanak bermula dari bayi lagi, di mana ia berlaku secara semulajadi (fitrah), tanpa disedari atau dipelajari secara langsung iaitu tanpa melalui pendidikan secara formal, sebaliknya memperolehinya dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat di sekitarnya.

2.0 TEORI PEMEROLEHAN BAHASA


Dalam membincangkan proses pemerolehan bahasa, ahli-ahli bahasa mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza-beza. Dengan itu wujudlah pelbagai teori tentang pemerolehan bahasa. Antara teori yang popular mengenai topik ini ialah Teori Behaviouris, Teori Mentalis dan Teori Interaksionalis.

2.1 TEORI BEHAVIOURIS Teori ini juga dikenali sebagai Teori Mekanis. Teori ini dipelopori oleh B.F.Skinner. Beliau berpendapat, pemerolehan bahasa adalah berdasarkan pelaziman operan, iaitu rangsangan yang berdasarkan pemberian ganjaran atau peneguhan. Teori Behaviouris berasaskan pemerolehan bahasa pertama oleh kanak-kanak. Lazimnya kanak-kanak belajar bahasa secara tidak formal melalui proses peniruan daripada ahli keluarga, terutamanya ibu dan bapanya. Oleh yang demikian, ibu bapa menjadi model bahasa bagi anak mereka. Kanakkanak menguasai bunyi-bunyi dan menyebut perkataan yang telah didengar oleh mereka secara berulang kali sehingga mereka dapat melafazkannya dengan betul. Behaviourisme berpandangan bahawa bahasa merupakan satu tabiat yang diperoleh. Teori ini lebih menekankan perilaku dan individu banyak belajar melalui pengalaman daripada otaknya. Ia tidak mementingkan fungsi mental. Perkara yang dikaji oleh teori ini ialah data, iaitu kalimat-kalimat yang dapat diamati dan diukur. Teori ini berpandangan bahawa bahasa terjadi hasil daripada operasi rangsangan dan gerak balas yang bergantung pada ciri-ciri naluri manusia. Oleh itu, bahasa ialah proses perilaku yang berdasarkan operasi rangsangan dan tindak balas. Golongan Behaviouris berpendapat bahawa pemerolehan adalah perlakuan yang terjadi melalui ulangan perlakuan itu. (Khairuddin, 2011).

Jelaslah di sini bahawa salah satu cara untuk memastikan penguasaan bahasa Arab di kalangan murid-murid sekolah rendah adalah aktiviti latih tubi dan latihan berulang. Ia perlu dijalankan dengan kerap untuk membolehkan pemerolehan bahasa berlaku sehingga menjadi amalan kebiasaan. Dengan cara ini, kemahiran bahasa dapat diperoleh dan dikuasai. Oleh yang demikian, murid-murid hendaklah diberi peluang untuk berlatih berulang kali bagi membentuk tabiat dalam diri mereka. Ini bermakna, bahasa dikuasai melalui proses pengulangan kerana teori ini beranggapan penguasaan bahasa merupakan proses mekanis yang tiada kena-mengena dengan fikiran atau daya ingatan dan mental manusia. Oleh itu, aspek tatabahasa tidak perlu diajarkan secara langsung atau berbentuk formula. Bahasa ialah lisan dan komunikasi. Justeru, dalam pengajaran bahasa, lisan atau pertuturan hendaklah didahulukan kemudian diikuti dengan kemahiran bacaan dan tulisan. Bahasa juga adalah hasil daripada operasi rangsangan dan gerak balas, jadi pengajaran hendaklah diwujudkan dalam situasi yang boleh menimbulkan rangsangan dan gerak balas, maka alat bantu mengajar amat penting bagi guru-guru khususnya guru yang mengajar bahasa seperti bahasa Arab.

2.2 TEORI MENTALIS


Teori ini dikemukakan oleh Noam Chomsky yang mengatakan bahawa pemerolehan bahasa berlaku secara mentalis. Menurutnya, kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang bersifat universal. Melalui alat ini kanak-kanak berpotensi secara semula jadi untuk mempelajari apa sahaja bahasa. Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device).

Bagi menguatkan teorinya tentang LAD, Chomsky memberikan empat kenyataan iaitu; 1. Proses pemerolehan bahasa semua kanak-kanak boleh dikatakan sama; 2. Proses pemerolehan bahasa ini tidak ada kaitannya dengan kecerdasan (anak yang IQ-nya rendah juga memperoleh bahasa pada masa dan cara yang hampir sama );

3. Proses pemerolehan bahasa tidak pula dipengaruhi oleh motivasi atau emosi kanak-kanak; dan 4. Tatabahasa yang dihasilkan oleh semua kanak-kanak boleh dikatakan sama. Berkaitan dengan keupayaan sejadi (innate) kanak-kanak dalam mempelajari bahasa ibundanya, Chomsky memberikan tiga hujah berikut;

1. Wujudnya unsur-unsur kesejagatan dalam sesuatu bahasa iaitu kesejagatan formal yang terdiri daripada ciri-ciri tatabahasa dan kesejagatan substantif yang berupa kategorikategori tatabahasa; 2. Bentuk-bentuk ujaran yang didengari kanak-kanak tidak akan diperolehinya tanpa keupayaan sejadi; dan 3. Kanak-kanak boleh menguasai bahasa ibundanya dalam tempoh 4 hingga 5 tahun dan tanpa keupayaan sejadi bahasa itu tidak akan dikuasai. Golongan mentalis berpendapat, seseorang kanak-kanak menggunakan keupayaan yang sedia ada pada mereka untuk merumus dan membentuk ayat mengikut sistem bahasa yang diperoleh mereka. Golongan ini juga berpendapat, manusia mempunyai kompeten dan potensi bahasa. Kompeten di sini bermaksud rumus-rumus yang ada dalam mental manusia. Manakala prestasi pula ialah aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan bahasa manusia. Oleh itu, teori ini mengutamakan proses berfikir berbanding perlakuan manusia. Teori ini boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Antaranya dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca dan menulis, manakala aspek lisan tidak perlu dipentingkan. Oleh itu, aspek yang menjadi tumpuan utama dalam pengajaran ialah bidang sintaksis, diikuti dengan morfologi dan fonetik. Makna amat dititikberatkan di samping struktur atau nahu, jadi pengertian atau huraian amat perlu dalam pengajaran. Selain itu, pengetahuan perlu diterapkan secara langsung kepada para pelajar sama ada secara induktif atau deduktif. Rumus-rumus yang diajarkan pula perlu disertai dengan huraian dan latihan.

Menurut Piaget (1963), perkembangan mental kanak-kanak terbahagi kepada 4 tahap iaitu: 1. Tahap motor sensori (0-2 tahun) 2. Tahap pemikiran praoperasi (2-7 tahun) 3. Tahap operasi konkrit (7-11 tahun) 4. Tahap operasi formal (11-15 tahun) Ini bermakna, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mental mereka. Oleh itu, masa dan perkara yang diajarkan kepada kanak-kanak perlulah bersesuaian dengan perkembangan kognitif dan tahap umur kanak-kanak tersebut. Konsep-konsep yang abstrak mungkin boleh diajar dengan menggunakan contoh-contoh yang berbentuk konkrit.

2.3 TEORI INTERAKSIONALIS


Teori ini berkembang pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Terdapat beberapa orang ahli bahasa yang mempelopori teori ini seperti Bloom, Bowennam, Cromer dan Halliday. Ahliahli interaksionalis sependapat bahawa kebolehan kognitif sahaja tidak dapat menjelaskan pemerolehan bahasa kerana perkembangan kognitif hanya melengkapkan seseorang kanak-kanak dengan kebolehan mentafsir makna, tetapi pentafsiran ini tidak boleh dilahirkan dalam bentuk bahasa. Kanak-kanak yang berkenaan perlu didedahkan kepada interaksi linguistik supaya mereka boleh mempelajari cara-cara menggambarkan maknamakna kognitif dalam bentuk bahasa yang tepat. Hasil-hasil kajian Snown (1972&1977), Ringler (1978) dan rakan-rakan yang lain telah menunjukkan bahawa pemerolehan bahasa kana-kanak adalah hasil daripada interaksi para penjaga atau ahli-ahli masyarakat dengan kanak-kanak. Kajian yang telah dibuat oleh mereka telah memperkukuh pendapat ahli-ahli yang lain dalam aliran interaksionalisme. Menurut Noor Aina Dani (2007), golongan ini telah mengambil jalan tengah antara Teori Behaviourisme dan mentalis. Mereka bersetuju bahawa persekitaran luaran dan faktor bawaan semula jadi memainkan peranan yang sama penting dalam proses pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak. Kanak-kanak selain menerima latihan bahasa yang pasif daripada ibu bapa, mereka juga dapat memproses bahasa secara aktif kerana memiliki struktur dalaman dalam pemerolehan bahasa. Beberapa faktor seperti persekitaran sosial, pematangan,

biologi dan kognitif memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa kanak-kanak. Semua faktor ini saling berinteraksi lalu melakukan penyesuaian antara satu sama lain. Terdapat dua pendekatan utama bagi golongan interaksionalis, iaitu Pendekatan Kognitif dan Pendekatan Sosial. Pemahaman kanak-kanak tentang bahasa berakar umbi daripada perkembangan kognitif dan perkembangan bahasa juga wujud akibat daripada persekitaran sosial yang disediakan oleh ibu bapa mereka. Interaksi sosial antara kanak-kanak dengan ibu bapa amat penting kerana memberikan pengalaman bahasa bagi kanak-kanak. Halliday pula berpendapat, perkembangan bahasa kanak-kanak melibatkan proses kognitif dan proses interaksi bahasa. Menurut beliau, seorang kanak-kanak memperoleh bahasa kerana mereka mempunyai keperluan untuk berinteraksi dengan ahli masyarakat dalam persekitaran mereka. Beliau juga berpendapat, proses kognitif penting dalam perkembangan bahasa, terutama ketika kanak-kanak mentafsir makna yang terdapat dalam persekitaran sosial mereka dan kemudian menggambarkannya dalam bentuk bahasa. Teori ini dapat diaplikasikan di dalam bilik darjah dengan cara guru dan murid-murid berinteraksi menggunakan bahasa Arab. Pada peringkat awalnya, guru perlu melatih untuk membiasakan murid-murid dengan ayat-ayat penting seperti meminta izin ke tandas dan ayatayat tanya. Seterusnya, guru bolehlah meminta murid untuk bercakap dalam bahasa Arab sepenuhnya (setiap kali mereka bercakap). Perlu diingati, guru juga perlu berbuat demikian untuk mendapatkan penguasaan bahasa Arab di kalangan murid-muridnya.

3.0 PERANAN PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA TERHADAP PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA.

Lazimnya kita mengetahui bahawa pemerolehan bahasa pertama berlaku secara semula jadi semenjak kecil lagi. Pengetahuan bahasa diperolehi secara tidak langsung atau tidak formal. Manakala pemerolehan bahasa kedua pula merupakan suatu proses mempelajari perlakuan baru. Pengajarannya hendaklah dirancang dan dilaksanakan secara bersistem dan formal. Dalam hal ini, pemerolehan bahasa pertama mempunyai peranannya terhadap pemerolehan bahasa kedua. Di antara peranan tersebut adalah seperti berikut :

3.1 PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA DIGUNAKAN DALAM PENGAJARAN BAHASA KEDUA MELALUI KAEDAH TERJEMAHAN

Pendidikan bahasa pada masa kini tidak begitu memberi sokongan keada kaedah terjemahan untuk pengajaran bahasa. Walaupun begitu, dalam pengajaran bahasa asing, bahasa ibunda(pertama) pelajar tidak harus diabaikan terus. Meskipun tujuan pengajaran bahasa lebih kepada kemahiran komunikasi, pelajar yang telah mempunyai latar belakang bahasa pertama tetap akan membuat terjemahan mental apabila proses pembelajaran bahasa berlaku. Oleh sebab itu, pakar pedagogi menasihatkan supaya terjemahan diterima dan digunakan dalam pengajaran (Choi Kim, 1990). Dalam kaedah terjemahan, bahasa ibunda (pertama) digunakan sepenuhnya dengan mengambil kira hukum-hukum nahu dan cara menganalisisnya. Ini bererti, bahasa pertama mestilah terlebih dahulu dikuasai oleh pengajar dalam proses mengajar bahasa kedua kepada pelajar. Begitu juga para pelajar, mereka mestilah sudah mempunyai latar belakang bahasa pertama yang baik. Maka kaedah terjemahan dalam memperolehi bahasa kedua boleh diaplikasikan. Kaedah ini pernah digunakan dalam pengajaran bahasa Arab serta dikenali sebagai kaedah tradisional (al-Tariqah al-Qadimah). Kaedah ini mempunyai ciri-ciri berikut : 1. Kaedah ini menitikberatkan kemahiran dari segi pembacaan, penulisan dan penterjemahan, 2. Penggunaan bahasa ibunda sebagai perantaraan dalam mengajar bahasa asing, 3. Penekanan lebih diberikan kepada aspek tatabahasa sebagai cara yang penting dalam pengajaran bahasa asing, 4. Guru-guru menggunakan contoh ayat tertentu untuk dijadikan bahan yang diperincikan oleh pelajar dari aspek nahu. Terdapat beberapa kelebihan dalam penggunaan kaedah ini untuk pengajaran bahasa. Kaedah ini amat berkesan sekiranya digunakan dalam konteks yang sesuai seperti objektif pembelajaran, pelajar sasaran dan kelainan rumpun bahasa.

Dari segi objektif, sekiranya pembelajaran bahasa itu bertujuan untuk memahami teksteks ilmiah atau sastera, maka penggunaan kaedah terjemahan akan menjadi lebih berkesan. Ini kerana, terdapat banyak perkataan atau istilah yang digunakan dalam bahasa sumber (pertama) mesti difahami dan dicari padanannya dalam bahasa sasaran (kedua). Kaedah ini dapat memberikan penjelasan yang boleh digambarkan dan difahami menerusi bahasa pertama. Dari aspek rumpun bahasa pula, sekiranya bahasa kedua itu adalah bahasa yang amat asing dan sukar untuk dialami dalam situasi sebenar, maka kaedah terjemahan adalah amat perlu. Contohnya, bahasa Arab dengan bahasa Melayu adalah dua bahasa yang berlainan rumpun. Tambahan pula, untuk mendapatkan pengalaman bahasa itu di Malaysia adalah amat sukar sekali berbanding dengan bahasa Inggeris. Maka kaedah terjemahan adalah sesuai untuk tujuan pengajaran bahasa Arab.

4.0PERBANDINGAN PROSES PEMEROLEHAN BAHASA DAN PEMBELAJARAN BAHASA

Proses pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa boleh kita bandingkan dengan melihat kepada dua perkara, iaitu dari segi prinsip-prinsip dan strategi penguasaannya.

4.1 PRINSIP a) Penguasaan Kemahiran Bahasa Dalam pemerolehan bahasa pertama, penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku secara beransur-ansur. Bermula dengan mengeluarkan bunyi-bunyi, kemudian

mencantumkan unit-unit bunyi menjadi perkataan dan seterusnya mencantumkan perkataanperkataan menjadi ungkapan atau ayat. Kanak-kanak memerhati dan mengambil sebarang kemahiran bahasa ibunda daripada penutur lain. Lama-kelamaan mereka akan menjadi mahir dengan sendirinya. Proses kefahaman boleh wujud lebih awal daripada proses melahirkan ucapan.

Pembelajaran bahasa pula merupakan satu proses mekanis yang membentuk lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan peneguhan diberikan untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari.

b) Penguasaan Aspek bahasa Dalam pemerolehan bahasa pertama, setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang perlahan. Cara ini membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara sekali gus. Contohnya, seorang kanak-kanak dapat menguasai bunyi, perkataan, imbuhan, makna dan penggunaannya dalam ayat secara serentak. Hal ini berbeza dengan pengajaran bahasa kedua yang mesti didahului dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran bermula dengan kemahiran mendengar, kemudian bertutur, membaca dan menulis. Kanak-kanak diajar menyebut sesuatu kata itu dahulu sebelum mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini akan menghasilkan satu pengajaran bahasa kedua yang berkesan.

c) Mempelajari Penggunaan Bahasa Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak tidak mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka hanya belajar menggunakannya. Kanak-kanak tidak diminta menjelaskan sebab binaan ayat itu adalah betul atau salah, tetapi mereka diberitahu betul atau salah ayat itu. Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar membuat analogi. Pembelajaran seperti ini membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan cara melihat persamaan dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar. Mereka diberi latih tubi dalam pola-pola yang diajar. Analogy digunakan untuk menghasilkan penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga untuk menjelaskan konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan bahasa yang digunakan itu adalah salah atau betul.

d) Penggunaan Bahasa Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak belajar menggunakan bahasa melalui pemerhatian atau pendengaran dan kemudiannya menggunakan unsur yang sama dalam keadaan yang serupa bagi memberikan maknanya. Walaupun tidak memahami sistem tatabahasa, tetapi mereka amat mengetahui hubungan antara perkataan dalam ayat dan hubungan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Mereka menggunakan sesuatu perkataan dalam konteks makna, bukannya dalam konteks tatabahasa. Dalam pembelajaran bahasa kedua pula, makna haruslah dipelajari dalam konteks agama, adab, adat dan budaya.ini adalah cara yang difikirkan berkesan dalam memberikan makna.

e) Kebiasaan Mempelajari Bahasa Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari pertuturan menurut kebiasaan tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau sekelompok penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat bertutur yang tersendiri. Kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri. Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pembelajaran berlaku secara formal dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran hanya akan dapat diikuti di masa-masa tertentu sahaja (di sekolah / institusi).

4.2 STRATEGI a) Tatacara Penguasaan Cara pemerolehan bahasa pertama tidak sama dengan cara menguasai bahasa kedua. Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Manakala, pembelajaran bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan yang teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua

walaupun ia tidak menjamin orang berkenaan bertutur dengan fasih dan lancar dalam bahasa tersebut. Proses-proses yang menghasilkan kemahiran berbahasa dalam bahasa pertama dan bahasa kedua juga berbeza. Ini jelas dapat dilihat dari istilah yang digunakan, iaitu istilah penguasaan atau pemerolehan bagi bahasa pertama dan istilah pembelajaran bagi bahasa kedua. Dalam hal ini, Kamarudin (1988) menyatakan : Berbeza dengan pembelajaran bahasa pertama, penguasaan bahasa kedua bukanlah didapati melalui pemerolehan tetapi dikuasai melalui pembelajaran. Ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal, memerlukan banyak latihan dan pengulangan hingga menjadi satu tabiat.

b) Fungsi Tujuan pemerolehan bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua juga berbeza. Tujuan mempelajari bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa dalam kehidupan seseorang pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering mengarah kepada sesuatu tujuan yang tertentu.

c) Kebebasan Memilih Proses pemerolehan bahasa pertama merupakan suatu proses yang tidak ada pilihan. Manakala proses penguasaan bahasa kedua pula adalah proses yang ada pilihan. Proses penguasaan bahasa kedua didorong oleh sebab-sebab tertentu. Biasanya kanak-kanak memperoleh bahasa pertama di atas dorongan dan motivasi yang kuat untuk mempelajari bahasa itu. Ini kerana mereka mempunyai keperluan untuk menggunakan bahasa itu. Sebaliknya, keinginan untuk mempelajari bahasa kedua tidak kuat walaupun mereka sedar ianya berguna. Corak perasaan dan bentuk pemikiran akan menentukan sama ada seseorang itu akan berusaha gigih atau tidak semasa mempelajari bahasa kedua. Bagi pemerolehan bahasa pertama, penguasaan pengetahuannya berlaku secara semula jadi, tidak ada kanak-kanak normal yang terkecuali daripada menguasai pengetahuan bahasa pertama.

d) Kejayaan Penguasaan Dari segi penguasaan pengetahuan bahasa pula, secara genetik, kanak-kanak telah diprogramkan untuk berjaya dalam proses penguasaan bahasa pertama. Proses tersebut merupakan proses menyesuaikan pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia ada dengan sistem bahasa pertama mereka. Bagi pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan peranan yang penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses pembelajaran bahasa kedua berkenaan.

e) Masa Dari segi masa, kanak-kanak yang mempelajari bahasa kedua sering tidak mempunyai masa yang cukup dan tidak pula dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap bahasa yang dipelajarinya itu. Bahasa yang dipelajari tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya, sebagaimana mereka menggunakan bahasa ibunda sehari-hari. Peluang mempelajari dan menggunakannya hanya berlaku di dalam kelas-kelas sahaja.

4.3 JADUAL PERBANDINGAN PROSES PEMEROLEHAN BAHASA DAN PEMBELAJARAN BAHASA

Berikut merupakan jadual perbandingan proses pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa secara ringkas. PEMEROLEHAN BAHASA Berfokus kepada komunikasi penuh makna. PEMBELAJARAN BAHASA Berfokus kepada bentuk-bentuk bahasa.

Keberhasilan didasarkan kepada penggunaan Keberhasilan didasarkan kepada penguasaan bahasa untuk melaksanakan sesuatu. bentuk-bentuk bahasa.

Pemerolehan ditekankan pada idea dan minat Pembelajaran ditekankan pada jenis-jenis anak, aktiviti berpusatkan anak. bentuk dan struktur bahasa, aktiviti dbawah perintah guru.

Kesalahan merupakan hal-hal yang wajar.

Analisis kesalahan sangat penting untuk mencapai tingkat penguasaan.

Merupakan proses bawah sedar dan terjadi Merupakan proses sedar untuk menghafal melalui pemerhatian dan pendengaran. kaedah, bentuk dan struktur. pengajaran bermula dengan

Beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara Aktiviti sekali gus.

kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Masa untuk memperolehi bahasa tidak Masa untuk mempelajari bahasa terhad di terhad. kelas-kelas sahaja.

Bahasa diperolehi melalui proses tidak Bahasa dipelajari dengan berguru secara formal. formal.

Hubungan antara perkataan dalam ayat dan Makna harus dipelajari dalam konteks yang antara satu ayat dengan ayat yang lain amat dapat menerangkan makna itu sendiri. difahami. Kejayaan penguasaan pemerolehan bahasa Kejayaan penguasaan pembelajaran bahasa telah diprogramkan secara genetik. tidak ditentukan oleh faktor genetik tetapi faktor-faktor luaran yang lain. Jadual 1 : Perbandingan Pemerolehan Bahasa Pertama dan Pembelajaran Bahasa.

5.0 RUMUSAN DAN CADANGAN


Kajian terhadap pemerolehan bahasa telah dilakukan sejak dahulu lagi. Teori-teori yang telah dinyatakan oleh ahli-ahli bahasa membuktikan bahawa ia diperolehi secara semula jadi, tanpa disedari dan tanpa dipelajari secara formal. Kejayaan penguasaannya ditentukan secara genetik di mana semua kanak-kanak diprogramkan akan berjaya memperolehi bahasa (pertama). Seterusnya, pemerolehan bahasa pertama ini berperanan dalam pemerolehan

bahasa asing (kedua) melalui penggunaan kaedah terjemahan. Kaedah ini dapat membantu memberi penjelasan yang boleh digambarkan dan difahami menerusi bahasa pertama. Istilah pemerolehan bahasa dikaitkan dengan bahasa pertama, manakala pembelajaran bahasa di kaitkan dengan bahasa kedua. Keduanya mempunyai perbezaan yang ketara sepertimana yang telah dibincangkan di atas.

Dalam pengajaran bahasa Arab, menerusi teori-teori yang telah dikemukakan, saya mencadangkan agar guru-guru atau panitia bahasa Arab membuat lebih banyak aktiviti yang menyeronokkan dan merangsang minat murid untuk mempelajari bahasa Arab dengan lebih bersungguh-sungguh. Contohnya, pertandingan perbualan, seperti perbualan di pasar. Dalam perbualan tersebut, murid-murid akan dapat mengenal dan mengingati perkataan atau ayatayat yang sering digunakan di pasar. Perbualan yang diikuti dengan gaya yang bersahaja akan menarik minat murid-murid lain untuk mengetahui maksud perkataan atau ayat yang diperkatakan. Apabila telah timbul minat, murid akan lebih memberi tumpuan dalam pembelajarannya. (3,224 patah perkataan)

ISI KANDUNGAN 1.0 2.0 Pengenalan dan definisi Teori pemerolehan bahasa 2.1 2.2 2.3 3.0 Teori Behaviouris Teori Mentalis Teori interaksionalis

Peranan pemerolehan bahasa pertama terhadap pemerolehan bahasa kedua. 3.1 Pemerolehan bahasa pertama digunakan dalam pengajaran bahasa kedua melalui kaedah terjemahan.

4.0

Perbandingan proses pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa. 4.1 4.2 4.3 Prinsip Strategi Jadual perbandingan proses pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa.

5.0

Rumusan dan cadangan

Rujukan

RUJUKAN
Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad. (2012). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu. Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Hasnah Awang dan Habibah Mohd. Samin. (2010). Literasi Bahasa Melayu. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Khairuddin Mohamad. (2011). Literasi Bahasa Melayu. Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

eprints.uitm.edu.my//LP_AZMAN%20CHE%20

www.retibasa.blogspot.com/2010/08/cara-pemerolehan-bahasa-kedua_11.html

Anda mungkin juga menyukai