Anda di halaman 1dari 29

TAHAP LITERASI AWAL KANAK-KANAK

PRASEKOLAH BERDASARKAN TEORI

PENAMPILAN LITERASI

UMI SALAMAH BINTI MUHAMMAD SAFIE

M20221001318

GRU60104

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

2020
KANDUNGAN

Muka Surat

BAB 1 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan 3

1.2 Latar belakang kajian 3

1.3 Pernyataan masalah 5

1.4 Objektif kajian 7

1.5 Persoalan Kajian 7

1.6 Hipotesis Kajian 8

1.7 Kepentingan Kajian 8

1.7.1 Guru 8

1.7.2 Ibu bapa dan keluarga 8

1.7.3 Pengkaji Pendidikan awal kanka-kanak dalam bidang literasi 9

1.7.4 Pihak-pihak lain/masyarakat 9

1.8 Batasan Kajian

1.8.1 Lokasi kajian 10

1.8.2 Sampel kajian 10

1.8.3 Tajuk kajian 10

1.9 Definisi Istilah 10

1.9.1 Tahap literasi awal 10

1.9.2 Kanak-kanak 11

1.9.3 Teori penampilan literasi 11

1.9.4 Tahap pembaca baru 11

1.9.5 Tahap pembaca awal 12

1.9.6 Tahap pembaca maju 12

1
Muka Surat

BAB 2: TINJAUAN LITERATUR

2.1 Pengenalan 12

2.2 Teori penampilan literasi 12

2.3 Kajian lepas 15

2.3.1 kajian-kajian dalam negara 17

2.3.2 kajian-kajian luar negara 17

BAB 3: METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan 19

3.2 Reka bentuk Kajian 19

3.3 Lokasi kajian 20

3.4 Populasi dan Sampel 21

3.5 Instrumen kajian 21

3.6 Kesahan dan kebolehpercayaan instrument 23

3.7 Kaedah Pengumpulan Data 24

3.8 Prosedur kajian 24

3.9 Prosedur penganalisisan Data 25

3.10 kesimpulan 25

RUJUKAN 26-28

2
BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Bab pertama kajian ini adalah untuk menjelaskan latar belakang kajian, permasalahan kajian,

objektif kajian, persoalan kajian, hipotesis kajian, kepentingan kajian, batasan kajian, definisi

istilah.

1.2 Latar belakang kajian

Beberapa penyelidikan dan kajian telah dijalankan oleh beberapa pengkaji mengenai literasi

awal kanak-kanak. Kebanyakan kajian yang dijalankan adalah bagi membantu meningkatkan

tahap pembacaan dan perancangan pembelajaran yang bersesuaian untuk kanak-kanak.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa proses pembelajaran membaca dan menulis

telah bermula awal dalam perkembangan kanak-kanak iaitu sejak kanak-kanak belum

melangkah ke alam persekolahan (Amir Hamzah, 2004; Muhammad Raus. 2008 & Tay, 2006).

Pada zaman moden ini, literasi adalah amat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu,

seseorang itu harus menyedari dan memiliki kemahiran literasi sejak dari awal lagi kerana

tanpa kemahiran tersebut, seseorang itu akan mengalami pelbagai kesukaran untuk menjalani

kehidupan harian di negara moden.

Melalui Mahzan Arshad (2012), Isahak Haron et. al. (2006) menyatakan bahawa kanak-

kanak yang memiliki pengalaman dan kemahiran literasi awal yang baik dapat membaca

dengan lancar. Namun begitu, pada peringkat awal kanak-kanak, apabila kita memperkatakan

tentang literasi awal, kita lebih cenderung untuk membincangkan tentang penguasaan tahap

awal pembacaan kanak-kanak sahaja. Walhal, tahap literasi awal kanak-kanak tidak hanya

3
tertumpu pada kemahiran membaca sahaja tetapi turut melibatkan kemahiran lain iaitu

kemahiran bahasa lisan, kemahiran menyoal dan menjawab serta kemahiran berfikir secara

kritikal.

Terdapat beberapa pendapat dan kenyataan daripada pihak tertentu berkaitan definisi

literasi. Pada masa dahulu, menurut Mahzan Arshad (2012), kemahiran literasi dikenali sebagai

kemahiran untuk mengenal huruf atau celik huruf di mana ia bermaksud kemampuan minimum

untuk membaca dan menulis dalam sesuatu bahasa. Pada awal tahun 1960-an, Pertubuhan

Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mendefinisikan

seseorang yang memiliki keupayaan literasi sebagai individu yang mampu membaca dan

menulis suatu kenyataan yang pendek dan mudah dalam kehidupan hariannya. Manakala,

menurut Mahzan Arshad (2008), kemahiran literasi bermaksud kemahiran mendengar,

bertutur, membaca, menulis dan berfikir dalam sesuatu bahasa. Beliau turut berpendapat

bahawa semua kemahiran ini merupakan satu proses membina makna dan berfungsi dalam

kehidupan manusia. Empat daripada kemahiran tersebut iaitu kemahiran mendengar, bertutur,

membaca dan menulis merupakan prinsip utama dalam pengajaran bahasa di bawah komponen

bahasa dan komunikasi (Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2001).

Berdasarkan definisi yang diterangkan, jelas ternyata bahawa kemahiran literasi

sentiasa diperlukan dalam kehidupan seharian manusia. Oleh yang demikian, kemahiran

literasi harus dipupuk dan dibentuk dari awal kanak-kanak lagi. Dalam bidang pendidikan awal

kanak-kanak, terdapat beberapa tokoh terkemuka telah menerangkan beberapa teori berkaitan

literasi awal kanak-kanak. Antaranya ialah Teori Perkembangan Kognitif (Piaget, 1960), Teori

Konstektual (Vygotsky, 1962), Teori Psikolinguistik (Bruner, 1974) dan Teori Penampilan

Literasi (Marie Clay, 1982). Namun, dalam kajian ini, menggunakan Teori Penampilan Literasi

4
(Emergent Literacy) oleh Marie Clay (1967) untuk mengenalpasti tahap literasi awal kanak-

kanak. Hal ini demikian kerana, teori tersebut menekankan bahawa proses pembacaan kanak-

kanak terjadi secara berperingkat-peringkat.

Teori Penampilan Literasi atau dikenali juga sebagai Teori Pemunculan Literasi telah

dicetuskan oleh Marie Clay melalui pelbagai kajian beliau. Kajian Marie Clay menekankan

aspek penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak sehingga ke

alam remaja. Menurut Mahzan Arshad (2012), penampilan literasi bermaksud kanak-kanak

membina kemahiran membaca dan menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Dalam

Teori Penampilan Literasi, Marie Clay (1982) menjelaskan bahawa perkembangan literasi

kanak-kanak berkembang secara berperingkat-peringkat. Beliau telah membahagikan pembaca

kepada tiga tahap iaitu Tahap 1 (Pembaca Baru), Tahap 2 (Pembaca Awal) dan Tahap 3

(Pembaca Maju). Bagi kajian ini, pengkaji hanya melibatkan kanak-kanak yang berusia lima

tahun dan enam tahun bagi mengkaji sejauh mana tahap literasi kanak-kanak pada usia

sedemikian. Selain daripada itu, pengkaji turut menjalankan kajian untuk melihat perkaitan di

antara tahap literasi dengan faktor perbezan umur dan jantina kanak-kanak.

1.3 Pernyataan masalah

Masalah bacaan dalam kalangan pelajar sekolah senantiasa mendapat perhatian umum sama

ada daripada pihak ibu bapa dan guru-guru. Malah, pemimpin tertinggi negara turut berasa

risau tentang permasalahan tersebut. Keadaan tersebut jelas dilihat apabila negara dikejutkan

tentang 60 peratus pelajar tahap satu di seluruh negara masih belum dapat menguasai

kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri

Muhyiddin Yassin di Berita Semasa pada tahun 2010. Pada tahun sebelumnya, iaitu, pada tahun

2006, akhbar Berita Harian melaporkan bahawa terdapat lebih daripada 100 000 murid sekolah

5
rendah mengalami masalah tersebut. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran telah

melancarkan program intervensi untuk murid Tahun Satu yang tidak menguasai kemahiran 3M

tersebut mulai tahun 2006.

Menurut Snow et. al. (1998) dalam Allor & Mc Cathreen (2003), kanak-kanak yang

mengalami masalah membaca atau yang berkemungkinan akan mengalami masalah membaca

harus mendapatkan bantuan secepat mungkin. Bahagian PERMATA (2009) pula menyatakan

hampir 90 peratus daripada 3 116 200 orang kanak-kanak bawah umur empat tahun ke bawah

tidak mendapat pendedahan sebarang program pendidikan awal kanak-kanak yang sangat

penting bagi merangsang perkembangan awal kanak-kanak. Pelbagai langkah harus diambil

bagi mengatasi masalah tersebut daripada berlanjutan di masa depannya. Antaranya ialah guru

perlu mengenal pasti tahap literasi awal kanak-kanak terlebih dahulu sebelum bermulanya sesi

pengajaran dan pembelajaran di awal tahun persekolahan. Oleh yang demikian, guru boleh

merancang aktiviti yang bersesuaian mengikut tahap tertentu. Guru juga boleh menyediakan

pelbagai aktiviti pemulihan bagi membantu kanak-kanak yang dikenal pasti memiliki

kesukaran ketika sesi pengajaran dijalankan.

Selain daripada itu, melalui sumber daripada Perpustakaan Negara (2011), Kajian

Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2010 merumuskan bahawa secara

puratanya, golongan umur dari 10 tahun hingga 40 tahun membaca lapan buah buku setahun

dan mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun hanya membaca enam buah buku setahun.

Kajian ini merupakan kajian yang dijalankan secara usaha sama antara Perpustakaan Negara

Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia yang bertujuan untuk mengenal pasti profil

membaca dalam kalangan rakyat Malaysia di mana telah dimulakan pada tahun 1996. Melalui

kajian pada tahun 2010 tersebut, jelas terbukti bahawa tahap pembacaan dalam kalangan

masyarakat Malaysia masih pada tahap yang rendah. Bagi membendung masalah ini daripada

6
berlanjutan, kajian berkaitan literasi harus dijalankan sejak dari awal kanak-kanak lagi. Justeru

itu, pengkaji berharap kajian ini dapat memberi maklumat tentang kepentingan tahap

kemahiran literasi awal kanak-kanak.

1.4 Objektif kajian

Kajian ini dijalankan untuk mencapai objektif berikut:

i. Mengenal pasti tahap literasi awal kanak-kanak berusia lima tahun mengikut teori

‘penampilan literasi’.

ii. Mengenal pasti tahap literasi awal kanak-kanak berusia enam tahun mengikut teori

‘penampilan literasi’.

iii. Mengenal pasti adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal di antara kanak-kanak

berusia lima tahun dan kanak-kanak berusia enam tahun.

iv. Mengenal pasti adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal di antara kanak-kanak

lelaki dan kanak-kanak perempuan.

1.5 Persoalan kajian

Persoalan kajian adalah seperti berikut:

i. Apakah tahap literasi awal kanak-kanak berusia lima tahun mengikut teori ‘penampilan

literasi’?

ii. Apakah tahap literasi awal kanak-kanak berusia enam tahun mengikut teori

‘penampilan literasi’?

iii. Adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal antara kanak-kanak berusia lima tahun

dan kanak-kanak berusia enam tahun?

iv. Adakah terdapat perbezaan tahap literasi awal antara kanak-kanak lelaki dan kanak-

kanak perempuan?

7
1.6 Hipotesis kajian

Hipotesis dalam kajian ini ialah:

i. H0 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap literasi awal kanak-kanak

berusia lima tahun dan tahap literasi awal kanak-kanak berusia enam tahun.

ii. H0 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap literasi awal kanak-kanak

lelaki dan tahap literasi kanak-kanak perempuan.

1.7 Kepentingan kajian

1.7.1 Guru

Melalui kajian menilai tahap literasi kanak-kanak ini, pengkaji berharap agar dapatan kajian

dapat membantu para guru dalam mengenalpasti tahap literasi yang dimiliki oleh seseorang

kanak-kanak itu. Guru boleh menggunakan borang soal selidik yang digunakan oleh pengkaji

bagi tujuan tersebut. Setelah mengetahui tahap literasi setiap kanak-kanak, guru dapat

mengenalpasti dan menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran yang lebih sesuai agar

objektif pembelajaran dapat dicapai dengan jayanya walaupun kanak-kanak memiliki tahap

literasi yang berbeza.

1.7.2 Ibu bapa dan keluarga

Selain daripada memberi manfaat kepada guru, kajian ini juga diharapkan dapat membantu

para ibu bapa di rumah. Dengan mengenalpasti tahap literasi kanak-kanak, ibu bapa dapat

menyediakan dan menjalankan sebarang aktiviti yang dapat membantu meningkatkan tahap

literasi anak-anak mereka di rumah. Sebagaimana yang diketahui, ibu bapa dan keluarga

merupakan golongan yang paling rapat dengan kanak-kanak. Ini jelas terbukti melalui Teori

8
Ekologi Bronfenbrenner (1979) yang mengatakan bahawa penglibatan keluarga dalam

pendidikan awal kanak-kanak mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

1.7.3 Pengkaji pendidikan awal kanak-kanak dalam bidang literasi

Pengkaji turut berharap agar kajian ini dapat memberi sumbangan dalam bidang literasi kanak-

kanak. Kajian ini boleh dijadikan sebagai pembuka jalan untuk kajian-kajian seterusnya dalam

bidang tersebut. Para pengkaji dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak boleh menjadikan

kajian ini rujukan untuk melakukan penyelidikan yang lebih menyeluruh terhadap bidang

pembacaan awal di Malaysia. Dalam kajian ini, pengkaji hanya memfokuskan pada sejumlah

kecil kanak-kanak pada satu kawasan sahaja. Oleh itu, hasil keputusan kajian adalah tidak

merujuk kepada tahap literasi awal kanak-kanak di seluruh Malaysia. Maka, dengan itu, satu

kajian yang lebih menyeluruh dan terperinci patut dijalankan pada masa akan datang untuk

melihat keputusan yang boleh merujuk kepada seluruh kanak-kanak di Malaysia.

1.7.4 Pihak-pihak lain / masyarakat

Selain daripada ibu bapa dan guru, masyarakat juga memainkan peranan dalam meningkatkan

tahap literasi dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, masyarakat turut terlibat

dengan kanak-kanak secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, masyarakat harus

menyedari tentang kepentingan tahap literasi sejak dari awal lagi bagi membendung masalah

3M pada masa akan datang. Dengan yang demikian, pengkaji berharap agar kajian ini dapat

memberi kesedaran tentang literasi awal sejak kanak-kanak lagi kepada masyarakat di luar

sana.

9
1.8 Batasan kajian

1.8.1 Lokasi kajian

Kajian ini dibataskan kepada kanak-kanak Prasekolah SK Bukit Jelutong berumur 5 dan 6

tahun daerah petaling jaya, selangor. Kajian ini juga diskopkan di kawasan ini bagi tujuan

memudahkan penyelidik mendapatkan dan mengumpulkan data yang diperlukan dalam

menjalankan kajian yang telah dirancang.

1.8.2 Sampel kajian

Tumpuan responden kanak-kanak dalam kajian ini ialah 20 orang kanak-kanak berusia lima

tahun dan 20 orang kanak-kanak berusia enam tahun sahaja. Justeru itu, kajian ini tidak boleh

digeneralisasikan kepada semua kanak-kanak lima tahun dan enam tahun di negara ini.

1.8.3 Tajuk kajian

Kajian ini hanya menilai tahap literasi awal kanak-kanak berdasarkan teori penampilan literasi.

Kajian ini tidak melibatkan faktor atau kesan dalam literasi awal kanak-kanak.

1.9 Definisi istilah

Terdapat beberapa istilah penting yang terlibat di dalam kajian ini. Istilah dan definisi adalah

seperti berikut:

1.9.1 Tahap literasi awal

Bagi kajian ini, maksud literasi adalah amat penting dan menjadi fokus utama. Menurut

Mahzan Arshad (2008), literasi bermaksud kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis

dan berfikir dalam sesuatu bahasa. Manakala, menurut Mahzan Arshad (2012), pada tahun

10
1960-an, UNESCO mendefinisikan individu yang mempunyai keupayaan literasi ialah

individu yang dapat membaca dan menulis suatu pernyataan yang ringkas dan mudah dalam

kehidupan sehariannya. Dalam kajian ini, tahap literasi awal dibahagikan kepada tiga tahap

iaitu tahap pembaca baru, tahap pembaca awal dan tahap pembaca maju.

1.9.2 Kanak-kanak

Dalam Akta Kanak-kanak (2001), kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah

umur 18 tahun. Namun, dalam kajian ini, pengkaji hanya menggunakan kanak-kanak

prasekolah yang terdiri dari kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan lima tahun dan enam

tahun (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2001).

1.9.3 Teori penampilan literasi

Bagi kajian ini, pengkaji menggunakan teori penampilan literasi yang dipelopori oleh Marie

Clay (1989) di mana beliau mendefinisikan penampilan literasi atau pemunculan literasi

sebagai perlakuan menulis dan membaca kanak-kanak yang berkembang kepada kebolehan

membaca dan menulis sebenar. Marie Clay (1991) turut membahagikan kanak-kanak yang

diklasifikasikan sebagai belum boleh membaca kepada tiga tahap iaitu tahap pembaca baru,

tahap pembaca awal dan tahap pembaca maju.

1.9.3.1 Tahap pembaca baru

Tahap pembaca baru adalah peringkat di mana pembaca mempelajari bagaimana buku

berfungsi (Marie Clay, 1991). Walker (2003) pula menyatakan bahawa pembaca baru harus

memiliki kemahiran menghubungkan apa yang dituturkan dengan tulisan teks iaitu kesedaran

kemahiran konsep cetakan.

11
1.9.3.2 Tahap pembaca awal

Clay (1991) menyatakan bahawa pembaca awal mula mempelajari bagaimana perkataan

berfungsi. Walker (2003) menganggap kanak-kanak pada peringkat pembaca awal ini

memfokus kepada ‘textual literacy’ iaitu kemahiran fonemik dan fonetik.

1.9.3.3 Tahap pembaca maju

Menurut Clay (1991), tahap pembaca maju ialah peringkat di mana perkataan dan buku

berfungsi dalam pelbagai cara. Walker (2003) pula berpendapat bahawa pembaca tahap ini

merujuk kepada kelancaran membaca kerana kelancaran akan memudahkan kefahaman.

BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

2.1 Pengenalan

Bab kedua kajian ini akan menjelaskan tentang teori penampilan literasi dan kajian-kajian lepas

yang berkaitan dengan literasi awal kanak-kanak. Bahan-bahan yang diperoleh dan ditinjau

adalah terdiri daripada kajian ilmiah, tesis ijazah sarjana muda tempatan dan buku ilmiah serta

kajian dari dalam dan luar negara.

2.2 Teori penampilan literasi

Teori penampilan literasi atau pemunculan literasi (Emergent Literacy) telah dicetuskan

daripada pelbagai kajian yang dijalankan oleh M. M. Clay (1967). Beliau merupakan seorang

tokoh bahasa yang berasal dari New Zealand. Kajian beliau banyak menekankan aspek

penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak sehingga ke

peringkat alam remaja. Oleh disebabkan itulah, pengkaji memilih untuk menggunakan teori

12
tersebut dalam kajian ini bagi mengenal pasti tahap literasi yang dimiliki oleh kanak-kanak.

Menurut Mahzan (2012), penampilan literasi bermaksud membina kemahiran membaca dan

menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Dalam bidang awal kanak-kanak, ia memberi

maksud bahawa kanak-kanak telah menunjukkan keupayaan di mana kemahiran membaca dan

menulis adalah aktiviti yang perlu dalam kehidupan.

Teale & Sulzby (1986) dan Strickland (1990) menyatakan bahawa kemahiran membaca

dan menulis harus dibina secara serentak dan saling bergantung antara satu sama lain tanpa

turutan yang tertentu. Kenyataan tersebut bermaksud literasi dalam diri seseorang itu muncul

secara berterusan iaitu tanpa prasyarat untuk mengenal huruf terlebih dahulu dan terbina secara

bersepadu antara kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis dan berfikir.

Adams (1990) berpendapat bahawa teori penampilan literasi ini dapat menggambarkan

proses pemerolehan literasi kanak-kanak dengan lebih jelas kerana ia melibatkan dua bentuk

proses yang seimbang. Sehubungan dengan itu, Whitehurst & Lonigan (1998) telah

membahagikan teori penampilan literasi sebagai dua set kemahiran dan proses yang saling

bergantungan iaitu (a) proses dari luar ke dalam (outside-in process) dan (b) proses dari dalam

ke luar (inside-out process). Proses (a) merujuk pada pengetahuan kanak-kanak terhadap

konteks manakala proses (b) pula merujuk pada proses kanak-kanak mentafsir cetakan kepada

bunyi yang memberi makna. Hal ini jelas membuktikan bahawa kedua-dua set kemahiran

tersebut sangat diperlukan dalam perkembangan literasi kanak-kanak.

Menurut McGee & Purcell-Gates (1997), zaman pemunculan literasi bermula sejak

kanak-kanak mula memperoleh konsep atau pengetahuan mengenai cetakan sehingga mereka

mula membaca dan menulis secara berdikari untuk pelbagai tujuan. Zainiah (2013) menyatakan

13
bahawa pandangan tersebut adalah sesuai untuk menggambarkan perkembangan literasi yang

berlaku dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat belum boleh membaca sehinggalah dapat

membaca secara berdikari.

Sebagaimana yang dijelaskan, perkembangan kanak-kanak mengikut teori penampilan

literasi berlaku secara berperingkat-peringkat. Marie Clay (1982) telah membahagikan

pembaca iaitu kanak-kanak kepada tiga tahap iaitu Tahap 1 (pembaca baru), Tahap 2 (pembaca

awal) dan Tahap 3 (pembaca maju). Menurut Clay (1982), Tahap 1 iaitu tahap pembaca baru

(emergent reader) merupakan tahap di mana kanak-kanak melakukan perlakuan membaca dan

mempelajari bagaimana buku berfungsi (Clay, 1991). Manakala bagi Tahap 2 pula iaitu tahap

pembaca awal (early reader), Clay (1989) mengatakan bahawa pada tahap tersebut, kanak-

kanak mula menyedari tentang peranan tulisan sebagai pencerita dan bukannya gambar dan

mempelajari cara perkataan berfungsi (Clay, 1991). Bagi Tahap 3 iaitu tahap pembaca maju

(fluent reader), Clay (1982) menyatakan bahawa kanak-kanak pada tahap ini telah belajar

strategi membaca. Beliau turut mengatakan kanak-kanak tersebut dapat membaca dengan kuat

tetapi secara lambat dan berhati-hati serta memadankan perkara yang disebut dengan perkataan

yang terdapat dalam muka surat.

Secara kesimpulannya, tahap pembacaan kanak-kanak adalah berlaku secara

berperingkat mengikut usia tertentu di mana ia diperolehi sama ada secara langsung atau tidak

langsung. Hal ini bermaksud, kanak-kanak mempelajari kemahiran literasi sedikit demi sedikit

tanpa mereka sedari. Literasi senantiasa berada di sekeliling mereka. Contohnya papan tanda

dan penunjuk di jalan raya atau pasar raya. Jadi, secara tidak langsung, mereka akan cuba

membaca papan tanda tersebut tanpa memahami maksud sebenar.

14
2.3 Kajian lepas

2.3.1 Kajian-kajian dalam negara

Menurut Zainiah (2005), membaca merupakan satu tumpuan utama dalam komponen

kurikulum prasekolah kerana membaca adalah aspek yang sangat penting dalam pendidikan

awal kanak-kanak. Beliau telah menjalankan kajian untuk melihat kolerasi tahap bacaan kanak-

kanak dan perhubungannya dengan faktor-faktor di sekolah dan di rumah. Tajuk kajian beliau

ialah ‘Tahap Bacaan dan Faktor-faktor Mempengaruhinya’ yang dihasilkan pada tahun 2005.

Hasil dapatan kajian beliau mendapati kebanyakan kanak-kanak pada usia enam tahun masih

lagi di peringkat ‘emergent’ ataupun pembaca baru. Selain itu, keputusan analisa dalam kajian

tersebut mendapati tiada perbezaan pada tahap pembacaan antara kanak-kanak lelaki dan

perempuan. Namun, dapatan kajian menunjukkan latar belakang ibu bapa mempunyai

perhubungan yang signifikan dengan tahap bacaan kanak-kanak. Para guru turut memainkan

peranan penting dalam aktiviti bercerita kepada kanak-kanak di mana aktiviti tersebut dapat

mempertingkatkan tahap bacaan mereka. Seterusnya, bahan media yang digunakan di dalam

bilik darjah seperti komputer, televisyen dan buku interaktif juga mempengaruhi tahap bacaan

kanak-kanak.

Selain itu, pada tahun 2010, Zainiah Mohamed Isa telah menjalankan satu kajian

eksperimen yang bertujuan untuk melihat kesan penggunaan buku cerita bertahap terhadap

pemunculan literasi kanak-kanak prasekolah di Malaysia. Kajian tersebut menggunakan ujian

t untuk mendapatkan hasil dapatan dan hasil tersebut menunjukkan terdapat perbezaan di antara

kumpulan kanak-kanak yang telah dibahagikan kepada kepada kumpulan rawatan dan

kawalan. Secara keseluruhannya, kajian tersebut menunjukkan perbezaan yang signifikan

15
terhadap setiap komponen dalam pemunculan literasi; Tahap 1: konsep cetakan (0.030),

strategi membaca (0.043), fonemik dan fonetik (0.001) dan kefahaman (0.013). Tahap 2:

konsep cetakan (0.001), strategi membaca (0.001), fonemik dan fonetik (0.001) dan kefahaman

(0.001). Tahap 3: strategi membaca (0.084), kefahaman (0.001) dan kelancaran (0.003).

Berdasarkan hasil dapatan yang diperoleh, Zainiah (2010) menyimpulkan bahawa penggunaan

buku yang diperingkatkan adalah berkesan kepada semua tahap pembaca yang terdiri daripada

kanak-kanak prasekolah dan ini bertepatan dengan kajian Evans (2006) dan Speaker & Taylor

(2004) yang mendapati pembacaan buku cerita dapat meningkatkan pemunculan literasi.

Kajian seterusnya diperoleh daripada kajian Mahani Razali & Juppri Bacotang (2011)

yang dijalankan terhadap kanak-kanak TASKA di Malaysia untuk mengenal pasti kesan

pelaksanaan aktiviti Modul Literasi Awal (M.U.L.A) terhadap kemahiran literasi awal mereka.

Dapatan kajian tersebut menunjukkan terdapat keseimbangan dalam penerapan tiga komponen

utama literasi awal sepanjang pelaksanaan aktiviti M.U.L.A iaitu sebanyak 34% untuk

pengetahuan cetakan, 35% untuk tulisan awal dan 31% untuk kesedaran fonologikal. Sebelum

pelaksanaan aktiviti M.U.L.A, kemahiran literasi awal kanak-kanak berada pada tahap

Sederhana bagi kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Selepas aktiviti tersebut

dilaksanakan, kanak-kanak dalam kumpulan kawalan masih berada pada tahap Sederhana.

Manakala kanak-kanak dalam kumpulan rawatan menunjukkan peningkatan ke tahap Sangat

Baik. Kajian tersebut juga mendapati bahawa komponen kemahiran literasi awal yang paling

banyak dikuasai oleh kanak-kanak sebelum dan selepas pelaksanaan aktiviti M.U.L.A ialah

tulisan awal.

Berdasarkan kepada ketiga-tiga kajian, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa individu

di sekeliling kanak-kanak adalah antara faktor penyumbang terhadap tahap literasi awal

16
mereka. Selain daripada itu, bahan bacaan yang sesuai turut mempengaruhi tahap literasi

kanak-kanak. Bahan bacaan haruslah bersesuaian dengan peringkat umur seseorang itu.

Aktiviti literasi yang bermanfaat dan bermakna juga mampu membantu meningkatkan tahap

literasi awal. Bagi mengenal pasti tahap literasi mengikut perbezaan umur dan jantina kanak-

kanak, aktiviti yang dijalankan haruslah bersesuaian supaya objektif dapat dicapai dengan baik.

Oleh itu, para guru dan orang dewasa harus peka dalam menjalankan sebarang aktiviti bersama

kanak-kanak agar mereka mendapat faedah daripada aktiviti tersebut.

2.3.2 Kajian-kajian luar negara

Melalui Mahzan (2012), banyak dapatan kajian menunjukkan kanak-kanak yang didedahkan

dengan persekitaran literasi yang kaya akan dapat mempamerkan keterampilan literasi pada

usia sebelum pendidikan formal bermula (Aram & Biorn, 2004; Wiegel, Martin & Bennet,

2006; Hood, Conlon & Andrews, 2008). Selain itu, Cooper (1993) menyatakan hampir 50

peratus daripada kemampuan belajar kanak-kanak berkembang pada usia tahun yang pertama

dan 30 peratus lagi pada usia ke lapan. Kedua-dua kenyataan ini menerangkan bahawa pada

usia awal kanak-kanaklah yang mudah dibentuk segala kemahiran literasi yang diperlukan.

Manakala melalui kajian Clay (1967), sekiranya pada tahap tiga sekolah rendah,

seseorang kanak-kanak masih tidak dapat menguasai kemahiran literasi, maka, kebanyakan

kanak-kanak tersebut akan terus tercicir dalam pelajarannya pada tahap yang lebih tinggi.

Kajian ini jelas menunjukkan betapa pentingnya kemahiran literasi yang perlu dipupuk dan

dibentuk dari peringkat kanak-kanak lagi agar masalah tersebut dapat diatasi dari awal.

Selain daripada itu, Clay turut menjalankan kajian pada 1985 yang bertajuk ‘The

reading behavior of five-year-old children. A: Research report’. Kajian tersebut merupakan

17
kajian jangka panjang kerana beliau melihat perkembangan literasi kanak-kanak dalam tempoh

12 bulan iaitu daripada penghujung prasekolah hingga penghujung Tahun Satu. Hasil kajian

menunjukkan 100 orang kanak-kanak lima tahun yang terlibat mempelajari cara untuk

membaca dan mencuba untuk mengaitkan simbol visual dalam teks dengan pengalaman hidup

mereka. Oleh itu, Clay mencadangkan supaya kanak-kanak harus didedahkan dengan pelbagai

jenis teks untuk mengelakkan asas pengetahuan mereka terjejas.

Hasil kajian Boh Young Lee (2011) yang bertajuk ‘Assessing book knowledge through

independent reading in the earliest years: practical strategies and implications for teachers’

menunjukkan bahawa kanak-kanak dalam lingkungan 26 bulan ke 38 bulan sudah mempunyai

pengetahuan literasi mengikut pandangan penampilan literasi pada peringkat pengetahuan

buku (Tahap 1). Walau bagaimanapun, pengkaji tersebut percaya bahawa kanak-kanak

memerlukan paling kurang lima tahun sebelum dinilai dengan betul bagi menentukan

perkembangan literasi mereka. Kajian ini juga mencadangkan para guru, ibu bapa dan pendidik

perlu menyedari kesesuaian umur dan pengetahuan buku untuk kanak-kanak bagi membina

pemunculan tingkah laku membaca mereka.

Berdasarkan kajian-kajian tersebut, ia jelas ternyata bahawa kemahiran literasi mudah

dibentuk semenjak dari awal kanak-kanak lagi. Namun begitu, jika kanak-kanak mengalami

kesukaran ketika kecil dan tidak diperbaiki sejak awal, mereka akan mengalami kesukaran itu

hingga ke alam dewasa. Ini jelas membuktikan yang kemahiran literasi harus dibina sejak kecil

dengan cara yang bersesuaian iaitu dengan mengambil kira perbezaan tahap umur dan jenis

bacaan. Sehubungan dengan itu, pengetahuan terhadap tahap literasi awal kanak-kanak

seharusnya menjadi asas kepada objektif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam

kelas. Justeru, pengkaji berpendapat bahawa kajian terhadap literasi kanak-kanak ini perlu

18
dijalankan secara serius dan lebih mendalam serta terperinci oleh pengkaji-pengkaji literasi

kanak-kanak.

BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan

Bab ketiga kajian ini adalah untuk menjelaskan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan

rekabentuk kajian. Kajian ini dijalankan dalam bentuk kajian tinjauan dengan menemubual

kanak-kanak menggunakan borang soal selidik. Bahagian ini juga menerangkan tentang lokasi

kajian, kaedah cara pengumpulan data, populasi dan pemilihan sampel.

3.2 Reka bentuk kajian

Kajian yang dijalankan merupakan kajian kuantitatif berbentuk kajian tinjauan dengan

menggunakan borang soal selidik. Bagi mendapatkan maklumat, pengkaji akan menemubual

kanak-kanak berdasarkan maklumat yang diperlukan dalam borang soal selidik yang

dsediakan. Mohd Majid (1990) menyatakan bahawa kajian tinjauan dijalankan dalam

penyelidikan pendidikan yang bertujuan untuk mengumpul maklumat berkaitan

pembolehubah-pembolehubah yang berkaitan dengan sesuatu fenomena tanpa menyoal

mengapa pembolehubah tersebut wujud. Menurut Sidek (2002) pula, beliau berpendapat unit

yang terlibat dalam kajian yang menggunakan kajian tinjauan adalah kecil tetapi maklumat

yang diperoleh daripada kajian adalah besar. Oleh yang demikian, berdasarkan pendapat-

pendapat tersebut, pengkaji memilih teknik tinjauan ini kerana ia mampu memenuhi segala

keperluan kajian ini.

19
Disebabkan oleh peringkat umur responden yang masih muda, maka, sesi menemubual

bersama responden harus dijalankan bagi mengisi borang soal selidik yang disediakan. Hal ini

demikian kerana, responden masih memerlukan seseorang yang berpengalaman dalam bidang

pendidikan awal kanak-kanak untuk mendekati dan mendapatkan maklumat daripada mereka.

Berdasarkan hasil temubual tersebut, pengkaji dapat menentukan tahap literasi awal responden

mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan di dalam borang soal selidik.

3.3 Populasi dan sampel kajian

Dalam kajian ini, populasi yang terlibat ialah kanak-kanak tadika yang sedang mengikuti

program pendidikan prasekolah di SK Bukit Jelutong, Daerah petaling jaya, Selangor. Pada

ketika kajian dijalankan, kanak-kanak sedang menjalani bulan ke empat persekolahan.

Pengkaji berharap jangka masa ini dapat menentukan perbezaan tahap literasi awal kanak-

kanak yang ingin dikaji.

Menurut Azizi et. al (2007), sampel didefinisikan sebagai sebahagian daripada populasi

tanpa mengambil kira sama ada ia dapat menjadi wakil populasi atau sebaliknya. Bagi

melaksanakan kajian ini, seramai 20 orang kanak-kanak berusia lima tahun dan 20 orang

kanak-kanak berusia enam tahun digunakan sebagai sampel kajian. Bilangan jantina bagi setiap

peringkat umur juga adalah sama bagi mengenal pasti perbezaan tahap literasi awal kanak-

kanak mengikut jantina. Teknik persampelan rawak mudah digunakan untuk mendapatkan

sampel daripada populasinya.

20
3.5 Instrumen kajian

Instrumen yang digunapakai dalam kajian ini ialah borang soal selidik. Zainal (2003)

mengatakan bahawa tujuan utama dalam penggunaan soal selidik adalah untuk mendapatkan

maklumat bagi memenuhi objektif-objektif kajian. Instrumen kajian telah dibentuk oleh

pengkaji di mana semua item soal selidik dibina mengikut keperluan kajian.

Borang soal selidik dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian

B. Bahagian A merupakan maklumat diri responden yang terdiri daripada empat item yang

bertujuan untuk mendapatkan maklumat diri responden iaitu mengenai umur, jantina, bangsa

dan agama. Manakala di Bahagian B pula, pengkaji membahagikan item mengikut tiga tahap

dalam teori penampilan literasi iaitu Tahap 1 (tahap pembaca baru), Tahap 2 (tahap pembaca

awal) dan Tahap 3 (tahap pembaca maju). Pada tiap-tiap tahap tersebut, terdapat 10 item yang

akan ditanya untuk mengetahui tahap literasi awal responden.

Bagi kajian ini, pengkaji telah menggunakan skor skala likert di dalam soal selidik.

Skala likert telah dicetuskan oleh Rensis Likert pada tahun 1932 di mana skala likert bertujuan

untuk mengukur sikap, pendapat dan persepsi seseorang atau sekelompok masyarakat tentang

sesuatu fenomena. Setiap item yang menggunakan skala likert mempunyai skor pernyataan

dari sangat negatif hingga sangat positif. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan skor yang

dimulakan dari 1 untuk sangat tidak menguasai, 2 untuk tidak menguasai, 3 untuk sederhana,

4 untuk menguasai dan 5 untuk sangat menguasai. Skala likert dalam kajian ini akan

ditunjukkan dengan lebih jelas dalam Jadual 3.1.

21
Jadual 3.1: Petunjuk skala likert

Pernyataan Skala

Sangat tidak menguasai 1

Tidak menguasai 2

Sederhana 3

Menguasai 4

Sangat menguasai 5

Item-item dalam set borang soal selidik adalah hasil daripada pembacaan pengkaji

mengenai teori penampilan literasi, kajian-kajian lepas dan bahan ilmiah yang lain. Kategori

item dalam soal selidik dijelaskan dalam Jadual 3.2.

Jadual 3.2: Kategori item

Item Soalan

1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10 Mengenal pasti tahap responden dalam

tahap pembaca baru mengikut teori

penampilan literasi

11, 12, 13, 14, 15, 16, 17, 18, 19, 20 Mengenal pasti tahap responden dalam

tahap pembaca awal mengikut teori

penampilan literasi

21, 22, 23, 24, 25, 26, 27, 28, 29, 30 Mengenal pasti tahap responden dalam

tahap pembaca maju mengikut teori

penampilan literasi

22
3.6 Kesahan dan kebolehpercayaan instrumen

Menurut Anastasi (1982), kebolehpercayaan adalah merujuk kepada dua aspek. Aspek pertama

ialah ketekalan skor atau markah yang diperoleh oleh individu yang sama apabila diuji dengan

ujian yang sama tetapi pada masa yang berbeza. Aspek kedua pula merujuk kepada darjah

ketekalan atau persetujuan antara dua sektor yang tertarik secara bebas dan boleh dinyatakan

dalam bentuk perhubungan.

Selain itu, Anastasi (1982) turut berpendapat bahawa kesahan suatu alat kajian dapat

menggambarkan sejauh mana ujian tersebut mengukur apa yang hendak diukur. Alat kajian ini

iaitu soal selidik telah dibentuk berdasarkan senarai semak yang disediakan oleh Owocki dan

Goodman (2002). Bagi mendapatkan pengesahan maklumat, pengkaji telah meminta beberapa

orang pensyarah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk menyemak borang

tersebut. Pengkaji menjalankan proses pengumpulan data setelah mendapatkan kelulusan

daripada pensyarah penyelia.

3.7 Kaedah pengumpulan data

Kajian ini menggunakan borang soal selidik sebagai kaedah utama untuk mendapatkan data.

Menurut Mohd Majid (1990), melalui penggunaan soal selidik, pengkaji dapat memperoleh

maklumat yang banyak dalam masa yang singkat dan semestinya dapat menjimatkan

perbelanjaan.

Soal selidik kajian ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu maklumat diri responden

dan penilaian tahap literasi awal kanak-kanak mengikut teori penampilan literasi. Pada tahap

penilaian tersebut pula, pengkaji membahagikan kepada tiga tahap berdasarkan teori tersebut

23
di mana setiap tahap mengandungi 10 item untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan

kemahiran literasi yang dimiliki oleh kanak-kanak.

3.8 Prosedur kajian

Sebelum pengkaji menjalankan proses pengumpulan data, pengkaji telah memohon surat

pengesahan status pengkaji sebagai pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Fakulti

Pendidikan dan Pembangunan Manusia. Setelah mendapatkan surat pengesahan tersebut,

pengkaji telah menghantar surat kebenaran kepada Pengurus Pusat Kecemerlangan Kanak-

kanak UPSI bagi memohon kebenaran untuk menjalankan kajian. Selepas pengurus tersebut

memberi kebenaran, pengkaji telah mengadakan perbincangan bersama guru kelas untuk

menyusun hari dan waktu kajian yang bersesuaian agar tidak mengganggu waktu pengajaran

dan pembelajaran.

Seterusnya, selepas proses kelulusan dan perbincangan selesai, pengkaji mengumpul

data responden dengan menggunakan borang soal selidik. Oleh disebabkan oleh faktor usia

responden yang masih kecil iaitu berumur lima tahun dan enam tahun serta sukar mengisi

borang tersebut dengan sendirinya, maka, pengkaji telah menemu bual responden secara

perseorangan. Dalam kajian ini, pengkaji hanya melibatkan 20 orang kanak-kanak berusia lima

tahun dan 20 orang kanak-kanak berusia enam tahun. Oleh itu, hanya satu kelas sahaja terlibat

bagi setiap peringkat umur. Proses pengumpulan data ini telah mengambil masa selama tiga

hari iaitu bermula dari 2 Julai 2022 sehingga 4 Julai 2020.

3.9 Prosedur penganalisisan data

Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi daripada borang soal selidik yang telah

lengkap diisi, semua data tersebut dikumpulkan dan dikodkan bagi memudahkan kemasukan

24
data ke dalam sistem komputer. Data-data akan diproses melalui Microsoft Office Excel 2016.

Semua data tersebut dianalisis berdasarkan tahap literasi awal kanak-kanak dan perbezaan

tahap literasi awal mengikut umur dan jantina kanak-kanak. Semua data dianalisis secara

analisis deskriptif iaitu kekerapan (frekuensi) dan peratusan.

3.10 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, bab ini menjelaskan tentang bagaimana pengkaji memperoleh data

daripada kerja lapangan yang bermula dari peringkat perancangan sehingga

ke peringkat pelaksanaan dan kaedah penafsiran data yang diperoleh. Bahagian yang paling p

enting dalam sesuatu kajian ialah peringkat semasa melaksanakan kajian tersebut. Hal ini

demikian kerana, bagi mendapatkan keputusan yang sahih, langkah-langkah dalam metodologi

kajian perlu diikut dengan betul dan teratur. Setelah semua data telah berjaya dikutip, pengkaji

membuat analisis data dan hasil. Bagi menganalisis data, pengkaji akan menggunakan perisian

Microsoft Office Excel 2016 bagi mendapatkan peratusan untuk semua persoalan kajian.

25
RUJUKAN

Adam (1990) dalam (pnytn) Gregory, L. P. & Morrison , T. G. (1998). Lap reading for
young at-risk children: Introducing families to books. Early childhood education,
26 (2). 67-77.

Allor, J. H. & Mc Cathren, R. B. (2003). Developing Emergent Literacy Skills Through


Storybook Reading. Intervention in School and Clinic, 39 (2), 72-79.

Anastasi, A. (1982). Psychological Testing. Edisi kelima. New York: McMillan.

Azizah Lebai Nordin (2002). Pendidikan awal kanak-kanak: Teori dan amali. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.

Berita Harian (2006). 100 000 murid gagal kuasai 3M. Berita Harian. 20 Julai: 22.

Boh Young Lee (2011). Assessing book knowledge through independent reading in the
earliest years: practical strategies and implications for teachers. USA: Springer.

Christie, J., Enz, B. & Vukelich, C. (2002). Helping young children learn language and
literacy. Boston, MA: Allyn & Bacon.

Chua Yan Piaw (2006). Buku 1: Kaedah penyelidikan. Malaysia: McGraw-Hill.

Clay, M. M. (1967). The reading behavior of five-year-old children. A: Research


report. New Zealand Journal of Educational Studies, 2. 11-31.

Clay, M. M. (1982). Observing Young Readers: Selected Papers. Portsmouth, NH,


Heinemann.

Clay, M. M. (1985). The early detection of reading difficulties. Portsmouth: NH.


Heinemann.

Clay, M. M. (1989). Concept about print in English and other Languages. The Reading
Teacher. 42: 268-276.

Clay, M. M. (1991). Introducing a new storybook to young readers. The Reading


Teacher. 45 (4), 264-265.

Ferreiro, E., & Teberosky, a. (1982). Literacy before schooling. Portsmouth, NH: Heinemann.

Hasnah Awang & Habibah Mohd Samin (2010). Literasi Bahasa Melayu. Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya, Selangor.

Joanne, R., Julia, J. & Margaret, B. (2005). The role of home literacy practices in
preschool children’s language and emergent literacy skills. Journal of Speech,

26
Language, and Hearing Research (Volume 48, m. s. 345-359). Chapel Hill:
University of North Carolina.

Mahani Razali & Juppri Bacotang (2011). Keberkesanan Model Literasi Awal (M.U.L.A)
terhadap Kemahiran Literasi Awal Kanak-kanak. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.

Mahzan Arshad (2008). Pendidikan literasi Bahasa Melayu: Strategi perancangan dan
pelaksanaan. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.

Mahzan Arshad (2012). Pendidikan literasi awal kanak-kanak: teori dan amali. Tanjong
Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

McGee, L. M. & Purcell-Gates, V. (1997). So whats going on in research on emergent


literacy? Reading Research Quarterly, 32.3.

McQuillan, J. & Au, J. (2001). The effect of print access on reading frequency. Reading
Psychology, 22, 225-248.

Morrow, L. M. (2009). Literacy development in the early years: Helping children read
and write. USA: Allyn & Bacon.

Nani Menon (2000). Keberkesanan Kaedah Gabungan bunyikata dalam Kebolehan Awal
Bacaan Dikalangan Kanak-kanak Prasekolah. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Owocki, G. & Goodman, Y. (2002). Kidwatching: Documenting children’s literacy


development. Portsmouth, NH: Heinemann.

Perpustakaan Negara Malaysia (1998). Profil membaca rakyat Malaysia 1996. Kuala
Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Perpustakaan Negara Malaysia (2011). Profil membaca rakyat Malaysia 2010. Kuala
Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Purcell-Gates, V. (2000). Family literacy. In M. Kamil, P. Mosenthal, P.d. Pearson & R.


Barr (Eds.), Handbook on reading research (Volume 111, m. s. 853-870). Mahwah,
NJ: Lawrence Erlbaum Associates.

Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Kurikulum Prasekolah Kebangsaan. Kuala


Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rita Kurnia & Roharty Majzub (2009). Kesediaan Membaca Kanak-kanak Prasekolah di
Pekanbaru, Riau. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sidek Mohd Noah (2002). Reka bentuk Penyelidikan: Falsafah, Teori dan Praktis.
Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Speaker, K. M. & Taylor, D. (2004). “Story Telling: Enhancing Language Acquisition in


Young Children”. Education, 125 (1), 3.

27
White, B. L. (1991). Early childhood education: A candid appraisal. Principal, 9-11.

Zainal Mat Saat (2003). Statistik Awalan. Kuala Lumpur: Pearson Prentice Hall.

Zainiah Mohamed Isa (2005). Tahap Bacaan dan Faktor-faktor Mempengaruhinya.


Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zainiah Mohamed Isa (2010). Penggunaan Buku Cerita Bertahap dan Kesannya
Terhadap Pemunculan Literasi Kanak-kanak. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.

Zainiah Mohamed Isa (2010). Kelancaran Membaca Kanak-kanak Prasekolah. Tanjong


Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zainiah Mohamed Isa et. al (2010). Model Literasi: Penglibatan Ibu Bapa dalam
Memastikan Pencapaian Literasi Kanak-kanak. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.

Zainiah Mohamed Isa (2013). Ciri-ciri Pembaca Awal bagi Kanak-kanak Prasekolah di
Malaysia. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

28

Anda mungkin juga menyukai