Anda di halaman 1dari 3

Masalah Fonologi

Pengkodan fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dengan bunyi.
Secara ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan
antara 'paku' dengan 'pasu'. Mereka juga tidak dapat 'mendengar' rima akhir yang sama
antara perkataan. Umpamanya, apabila ditanya apakah perkataan yang bunyi akhirannya
sama dalam "Jack and Jill went up the hill", mereka akan menjawab, "Jack" dan "Jill".

Ini juga bermakna mereka keliru dan sukar membezakan harga sesuatu barang dalam
bahasa Inggeris, sama ada fifty cents atau pun fifteen cents. Kesukaran ini bukanlah
disebabkan oleh masalah pendengaran, sebaliknya berkait dengan pemprosesan maklumat
di dalam otak (Farrer, 1996).

Keprihatinan dan pengetahuan para guru berkaitan masalah kanak-kanak disleksia sangat
penting dalam usaha membantu mereka belajar. Umpamanya, kanak-kanak itu perlu
diberi tempat duduk yang paling hadapan di dalam bilik darjah. Dengan cara ini, guru
dapat memerhatikan kanak-kanak itu secara berterusan bagi memastikan arahan dapat
diikuti dengan jelas.

Masalah Mengingat Perkataan

Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan yang normal. Kebanyakan


mereka mempunyai IQ yang normal dan sebahagian daripada mereka mempunyai
kecerdasan luar biasa. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai masalah dalam mencari
semula perkataan. Ini bermaksud apabila mereka ditanyakan suatu soalan, mereka tidak
dapat menjawab secara spontan. Mereka juga sering didapati mengalami kesukaran
mengingati nama rakan-rakan, malah anggota keluarga dan merujuk individu itu sebagai
"kawan saya di sekolah" atau pun "budak lelaki itu". Ini juga bermaksud mereka sukar
mengingati fakta-fakta di sekolah apabila disoal oleh guru.

Seorang kanak-kanak disleksia mungkin dapat menghuraikan proses 'penyebaran' dalam


subjek sains dengan panjang lebar tetapi mengalami kepayahan menyenaraikan contoh
tumbuhan yang menggunakan angin sebagai mekanisma penyebaran. Selain itu, kanak-
kanak disleksia juga cenderung menjadi kaku dan membisu apabila ditanyakan soalan.
Masalah Penyusunan Bersiri

Kajian menunjukkan kanak-kanak disleksia sukar menyusun sesuatu secara bersiri, seperti
susunan bulan dalam setahun, susunan hari dalam seminggu, susunan huruf serta nombor.
Justeru, mereka menghadapi masalah menghafal sifir atau pun mengingat susunannya.
Apabila ditanya secara spontan, "Berapakah nilai 5x7?", mereka terpaksa membaca sifir
daripada awal sehingga sampai kepada nombor yang dikehendaki itu. Ini bermakna
penyelesaian satu masalah matematik yang mudah memerlukan jangka masa yang lama
serta banyak tenaga dan usaha. Masalah yang sama berlaku dalam operasi pembahagian.

Selain itu, kanak-kanak disleksia juga menghadapi masalah menentukan waktu atau pun
membaca jam, serta membuat kira-kira yang berkaitan dengan waktu. Contohnya, soalan
seperti "45 minit sebelum pukul 1.15 tengahari adalah ..." sangat mencabar keupayaan
mereka.

Sebahagian kanak-kanak disleksia menghadapi masalah dengan pengiraan yang melibatkan


wang, seperti mengira jumlah harga barang atau pun menentukan baki.

Masalah Ingatan Jangka Pendek

Ingatan jangka pendek atau pun ingatan bekerja merujuk kepada stor di mana maklumat
yang sedang digunakan disimpan. Kanak-kanak disleksia didapati menghadapi masalah
memproses maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat
dari stor ingatan jangka panjang. Kesemua proses ini akan mengumpul maklumat di stor
ingatan jangka pendek bagi digunakan pada masa itu. Dalam erti kata lain, kanak-kanak
disleksia tidak berupaya mengingat arahan-arahan panjang yang diberikan oleh guru.
Umpamanya, dalam subjek lukisan, terdapat arahan seperti, "Lipat dua kad manila itu,
potong di garisan tengah dan seterusnya". Apabila arahan itu melibatkan lima langkah
atau pun lebih, lazimnya kanak-kanak disleksia teus hilang punca. Ini menyebabkan
kanak-kanak itu disangka tidak memberikan perhatian.
Di rumah umpamanya, apabila kanak-kanak itu disuruh, "Kamu naik ke tingkat atas,
simpan stoking dalam laci, panggil abang turun dan bawa turun buku matematik sekali,"
kanak-kanak disleksia pastinya tertinggal atau pun terlupa sesuatu. Akibatnya mereka
sering dianggap sebagai degil atau pun tidak mendengar kata.

Masalah yang serupa juga timbul apabila kanak-kanak disleksia berhadapan dengan soalan
aneka pilihan. Bagi memilih jawapan yang tepat, kanak-kanak itu perlu 'memegang' satu
soalan dan empat pilihan jawapan dalam stor ingatan bekerjanya, dan ini menimbulkan
masalah kepada kanak-kanak itu. Sehubungan itu, mereka didapati lebih berupaya
menjawab dengan baik dalam soalan terbuka di mana mereka dapat berfikir dan menulis
jawapan yang dikehendaki.

Masalah Kesedaran Sintaks

Kesedaran sintaks atau sensitiviti pada tatabahasa merujuk kepada kebolehan memahami
sintaks suatu bahasa. Masalah ini wujud pada kanak-kanak disleksia di mana mereka sukar
memahami peraturan berkaitan sintaks dalam bahasa. Umpamanya bahasa Inggeris dan
bahasa Malaysia mempunyai peraturan sintaks berbeza, di mana frasa "black cat" dalam
bahasa Inggeris disebut sebagai "kucing hitam" dalam bahasa Malaysia. Kanak-kanak
disleksia menghadapi masalah dengan bahasa keduanya apabila peraturan sintaksnya
berbeza daripada bahasa pertama.

Anda mungkin juga menyukai