Anda di halaman 1dari 8

1.

0 PENGENALAN

Secara umumnya laras bahasa dapat diterangkan sebagai cara penggunaan sesuatu
bahasa. Asmah Hj.Omar (1984) berpendapat bahawa laras bahasa ialah khusus dalam
penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya.

Laras bahasa boleh didefinisikan sebagai gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa.
Sesuatu laras bermaksud variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Laras bahasa biasanya
berubah-ubah mengikut situasi. Ciri-ciri laras yang penting ialah perbendaharaan kata, susunan
ayat dan frasa yang digunakan.

Bagi melaksanakan kerja kursus ini, saya telah memilih untuk menganalisis penggunaan
laras bahasa sastera dan perkara-perkara yang akan dibincangkan adalah konsep
kesusasteraan serta ciri-ciri sastera melayu tradisional dan moden.

2.0 LARAS BAHASA SASTERA

Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu "castra". Sastera merupakan
ciptaan atau karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Stainer (1972) mengatakan sastera
itu adalah bahasa tetapi bahasa dalam penggunaan yang khusus. Sastera bermula dari tradisi
lisan dan semakin berkembang mengikut peredaran semasa.

Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran
pengarangnya. Sebuah karya itu terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan
keprihatinannya terhadap perkara yang dialami oleh masyarakat. Diksi yang digunakan dapat
memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Adunan teknik-teknik yang sesuai dan
ketepatan diksi menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.

Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada tradisional dan moden.
Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu prosa dan puisi. Contoh prosa tradisional
adalah sastera rakyat, sastera panji dan cerita berbingkai manakala dan puisi tradisional adalah
seperti pantun, syair dan gurindam. Bagi kategori sastera moden pula, genre prosa moden
mengandungi cerpen, novel dan drama manakala puisi moden pula adalah seperti sajak.

Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai genre prosa dan puisi,
terdapat juga ciri-ciri khusus yang membandingkan sastera tradisional dan moden.
3.0 CIRI-CIRI SASTERA MELAYU TRADISIONAL

Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah diwarisi secara turun-
temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan dan memberi gambaran cara hidup
atau budaya sesuatu masyarakat. Sastera ini bersifat kolektif atau hak milik bersama. Tiada
sesiapa yang tahu siapa pengarangnya dan tidak diketahui tarikh sesuatu sastera itu dihasilkan.
Sastera tradisional lahir di kalangan masyarakat masa lampau dan disampaikan secara lisan
dari satu generasi ke satu generasi yang lain kerana pada umumnya masyarakat pada zaman
tersebut masih belum mengenal huruf dan tidak tahu menulis. Penyebaran sastera Melayu
tradisional juga terhad disebabkan khalayak yang terbatas dan bersifat esklusif.

Oleh kerana sastera ini disampaikan melalui lisan, banyaklah berlakunya perubahan dan
tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta watak dalam sastera tradisional berpusat
kepada masyarakat yang mewarisinya dan dipandang tinggi oleh masyarakat tersebut
sehinggakan karya-karya itu dianggap suci dan keramat.

3.1 Prosa Melayu Tradisional

Salah satu genre prosa Melayu tradisional adalah sastera rakyat. Sastera rakyat
berfungsi sebagai salah satu wadah hiburan. Sastera rakyat lazimnya diceritakan oleh tukang-
tukang cerita pada waktu malam untuk menghilangkan penat selepas bekerja di siang hari.
Sastera rakyat juga dikenali dengan nama, penglipur lara. Lazimnya cerita penglipur lara ini
diiriingi dengan alat muzik tertentu, ciri umum tertentu seperti berkisar di sekitar istana,
mengenai putera-putera raja yang tampan, gagah, berani dan sakti seperti dalam contoh “Hang
Tuah Diutus ke Siam” di mana watak-wataknya berpusat kepada golongan pembesar istana.
Contohnya:

Maka sembah Bendehara, “Daulat Tuanku Syah Alam, patik


mohonkan ampun dan kurnia; jikalau lain daripada Laksamana
adalah lambat pergi dating,”
(Nilai Insan, 2014)

Cerita-cerita penglipur lara juga penuh dengan kisah-kisah kesaktian dan dewa dewi. Ini
kerana masyarakat Melayu ketika dahulu mempunyai sistem kepercayaan tradisinya yang amat
ketara perbezaannya jika dibandingkan dengan masyarakat moden sekarang. Justeru itu, rata-
rata penceritaan serta konteks cerita sesebuah karya itu menyentuh kepada unsur-unsur ghaib,
dongeng dan mitos serta alam yang luar biasa. Contohnya daripada “Hikayat Parang Putting” di
mana binatang-binatang dalam cerita tersebut mempunyai kuasa kesaktian berbanding
realitinya :

Setelah sudah bondanya berpesan itu maka anaknyapun naiklah


ke atas belakang anak ular naganya itu dan anak helang itu
melayang di atas kepalanya dan anak tikus itu mengiringkan dari
belakangnya.
(Nilai Insan, 2014)

Selain hiburan, sastera juga membawa unsur didaktik atau pengajaran. Cerita-cerita
teladan merupakan salah satu sastera tradisional yang berbentuk prosa. Cerita-cerita ini
bertemakan pendidikan moral sama ada berlandaskan peraturan kehidupan sosial dan budaya
atau pengajaran agama. (Arba’ie et al, 2008). Jika cerita penglipur lara berkisar kepada anak-
anak raja, cerita teladan ini pula lazimnya terdiri daripada manusia biasa. Kebanyakannya
berlatar belakangkan dunia nyata dan menggunakan gaya pertuturan seharian. Di samping
memberikan didikan moral , cerita teladan ini lazimnya memberikan kesan yang mendalam di
jiwa kanak-kanak.

3.2 Puisi Melayu Tradisional

Menurut Za’ba, puisi adalah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan
fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan serta kecantikan
bahasa (Arba’ie et al, 2008). Salah satu bentuk puisi tradisional adalah gurindam.

Gurindam adalah sebuah wacana yang mengandungi kalimat-kalimat yang berirama di


mana isinya berunsur nasihat dan bentuknya semacam bidalan. Gurindam juga membawa erti
sesuatu perkara itu berlaku kerana ada penyebabnya dan melalui penyebab itulah perkara
tersebut terjadi. Menurut Nik Hassan Basri (2005), bentuk gurindam boleh dibahagikan kepada
dua, iaitu yang terikat dan yang tidak terikat. Bentuk yang terikat bukan sahaja terikat daripada
dua baris serangkap yang berpasangan dan berirama, tetapi bentuk seuntai gurindam yang
terikat memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkannya sebagai satu keseluruhan idea.
Baris pertama sebagai syarat dan baris kedua sebagai jawab. Setiap barisnya pula
mengandungi dua hinggaa enam patah perkataan dengan pola rima aa. Yang berikut ialah
contoh beberapa rangkap gurindam karya Raja Ali Haji yang memberi nasihat supaya
memelihara anggota diri dan berbudi pekerti.
Apabila terpelihara mata,
sedikit cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tidaklah damping.
(Nilai Insan, 2014)

Gurindam Dua Belas menyentuh perihal ketuhanan, keagamaan, budi pekerti,


kewajipan antara anak dan ibu bapa dan sebaliknya serta hidup bermasyarakat. Salah
satu tujuan terhasilnya Gurindam Dua Belas adalah untuk menyedarkan masyarakat
tentang pentingnya beragama, berilmu, berbudi pekerti mulia, mentaati dan
menghormati ibu bapa serta banyak lagi. Berikut adalah berapa baris daripada petikan
Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji.

Jika hendak mengenal orang berbangsa,


Lihat kepada budi dan bahasa,

Jika hendak mengenal orang yang berilmu,


Bertanya dan belajar tiadalah jemu

Apabila anak tidak dilatih,


Ketika besar, bapanya letih.
(Nilai Insan, 2014)

Berdasarkan petikan tersebut, dengan cara mengenali atau mempelajari budi dan
bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita akan bangsanya. Budi dan bahasa dalam baris ini
bukan sahaja menyentuh pada sistem linguistik semata-mata tetapi merangkumi juga sistem
budaya dan adat sesebuah bangsa. Cara kita menggunakan bahasa Melayu akan
mempamerkan kelakuan budaya dan taraf sosial kita dalam masyarakat. Seperti kata
peribahasa Melayu, “bahasa melambangkan bangsa, bangsa melambangkan budaya”. Dari
bangsa seseorang kita akan kenali bahasanya dan dari bahasanya pula, barulah kita kenali
budayanya.

4.0 CIRI-CIRI SASTERA MELAYU MODEN

Sastera Melayu moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan sastera Melayu
tradisional. Penyebaran hasil-hasil sastera yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang
dengan kehadiran mesin cetak. Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya menembusi
masyarakat pembaca yang ramai. Ini berbeza dengan sastera tradisional yang hanya diketahui
oleh golongan tertentu sahaja. Jika sastera Melayu tradisional terhad kepada sesebuah
masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, sastera Melayu moden pula merupakan
sebaliknya. Sastera moden bersifat individu atau perseorangan kerana disertakan dengan
nama pengarangnya. Ianya tidak lagi bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus
dimiliki oleh pengarangnya.

Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini bertentangan, namun masih
terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah karya sastera itu dihasilkan.

4.1 Prosa Melayu Moden

Prosa Melayu Moden terdiri daripada genre cerpen, novel dan drama. Dalam tugasan
ini, perbincangan akan tertumpu kepada genre cerpen.

Cerpen ialah akronim bagi dua perkataan, iaitu perkataan ‘cerita’ dan perkataan
‘pendek’ singkatan untuk cerita pendek (Nik Ab. Kadir, 2005). Hashim Awang (1993)
mengatakan cerpen ialah cereka pendek yang membawa persoalan bagi menghasilkan kesan
yang indah dan juga memusatkan diri kepada watak dalam situasi, di tempat dan ketika yang
sesuai. Othman Puteh (1998) pula mengatakan cerpen ialah cerita pendek yang direka,
berbentuk prosa, relatif pendek dan mengutamakan kekuatan daya imaginasi, kreativiti,
kecerdasan akal bagi mengusik kepekaan pembaca. Walaupun ada ukuran asas dalam
menentukan sesuatu cerpen itu baik, ciri-ciri cerpen yang baik adalah subjektif. Gaya penulisan
sesebuah cerpen begitu luas, termasuklah gaya bahasa yang digunakan oleh pengarangnya.
Ciri-ciri gaya bahasa sesebuah cerpen bersertakan contoh akan ditunjukkan dengan
menganalisis gaya bahasa cerpen bertajuk “Cinta Ahmad Mutawakkil” karya Zainal Rashid
Ahmad.

Dalam cerpen tersebut, terdapat penggunaan bahasa asing iaitu bahasa Arab.
Beberapa perkataan bahasa Arab seperti maghrib, Alhamdulillah dan syahadah diguna luas
dalam cerpen ini. Bahasa pasar juga wujud dalam cerpen ini. Contohnya, “…kasi tau sama…”
yang bermaksud akan diberitahu. Kolokasi ini sesuai digunakan kerana difahami masyarakat
setempatnya. Terdapat penggunaan sinkof dalam cerpen ini. Sinkof merupakan singkatan
perkataan. Contoh daripada petikan ini, “”Aku risau akan keselamatan kau … komunis sekarang
ni…”” di mana ‘kau’ merupakan singkatan bagi ‘kamu’ manakala ‘ni’ adalah singkatan untuk ‘ini’.

Secara umumnya, penggunaan bahasa dalam cerpen adalah tidak terhad dan tidak
terikat kepada apa-apa peraturan.
4.2 Puisi Melayu Moden

Selain daripada memberikan pengajaran atau hiburan kepada masyarakatnya, sastera


juga berfungsi sebagai satu wadah untuk berkomunikasi tentang kebenaran. Dengan adanya
kepekaan dan sensitiviti dari para penyair, segala peristiwa sosial yang berlaku di dalam
masyarakatnya akan mencetuskan peluang terhasilnya puisi moden yang bertujuan
mendedahkan tentang kebenaran kepada masyarakat pembaca. Penangkapan Hamid Tuah
dan petani-petani miskin oleh kerajaan kerana dikatakan meneroka tanah secara haram di
Telok Gong pada tahun 1967 telah mencetuskan kesan yang mendalam kepada para penyair.
Suara protes dapat dilihat dalam petikan sajak Kemala bertajuk “Telok Gong” yang berikut:

Rumah dan tanah saudara, meski buruk


Adalah istana indah kebebasan jiwa
Lihatlah sepuasmu kibaran bendera negara
Dan tanah-tanah rahsia bekas pengkhianatan
Membikin kami lebih berani bertindak
Kami tuntut keadilan! Keadilan yang merata
(Telok Gong, 1967)

Suara protes penyair yang diungkapkan dalam sajak bertindak balas sebagai tanda
ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang dianggap tidak bertimbang rasa kepada
golongan bawahan.

Begitu juga dengan sajak-sajak yang dihasilkan dalam tahun pemerintahan Jepun. Rata-
rata sajak yang dicipta meniupkan semangat perjuangan dan menyeru kepada masyarakat
umumnya agar menggunakan peluang keemasan yang ada untuk memperjuangkan hak
mereka. Semangat perjuangan yang sedia ada dalam masyarakat Melayu semakin teguh.
Kesediaan mempertaruhkan diri dan sama-sama menegakkan pertiwi serta cita-cita politik
Jepun memberi satu kesedaran dalam masyarakat Melayu.
5.0 RUMUSAN

Berdasarkan perbincangan, didapati bahawa kesusasteraan dapat dirujuk sebagai hasil


karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu melalui gaya bahasa yang digunakan.
Sesebuah hasil karya adalah pancaran dari kehidupan masyarakat. Selain itu, karya sastera
juga dapat dikategorikan mengikut genre. Setiap genre itu ditandai dengan ciri-ciri khususnya.

Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi yang disampaikan melalui bahasa untuk
mendidik dan membina keperibadian ahli-ahli masyarakatnya. Setiap bahagian daripada unsur
dan fungsi di dalamnya mempunyai makna dalam teks karya selain berfungsi dalam kehidupan
masyarakat.
Rujukan

Arba’ie Sujud. 2008. Sastera Melayu Suatu Pengantar. Kuala Lumpur : Tinta Press
Sdn Bhd.

Harun Mat Piah et al. 2006. Kesusasteraan Melayu Tradisional . Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka

Asmah Haji Omar. 2008. Ensiklopedia BAHASA MELAYU. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

Abdull Raffar. 2014. Nilai Insan : Antologi Teks Kesusasteraan Melayu Tradisional Tingkatan 4
dan 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Saliman & Saad. 2015. Sejadah Rindu : Antologi Teks Komponen Sastera (Komsas) Dalam
Mata Pelajaran Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn Bhd
Nik Ab. Kadir. 2005. Citra Komsas. Batu Caves: Percetakan Selaseh Sdn Bhd
Hashim Awang (1998). Penciptaan dan kemanusiaan dalam cerpen dan novel. Kuala Lumpur:
Fajar Bakti
Othman Puteh. 1993. Penulisan Cerpen: Visi dan Langgam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka

Hashim Yaacob . 1998. Dewan Sastera. Edisi Julai 1998.

Anda mungkin juga menyukai