Anda di halaman 1dari 15

Masalah Pendidikan, 34, 2011

CABARAN GURU PROGRAM LINUS DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA


Abdul Jalil Othman Normarini Norzan Ghazali Darusalam Saedah Siraj Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Kajian ini dilaksanakan untuk melihat hubungkait pelaksanaan Program LINUS dengan cabaran guru LINUS dalam merealisasikan penguasaan kemahiran asas literasi. Pengkaji ingin mengetahui apakah hubungkait LINUS dengan cabaran yang dihadapi oleh guru yang terlibat secara langsung di dalam program ini. Secara ringkasnya objektif pengkaji menjalankan kajian ini adalah untuk mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh guru-guru LINUS dalam memastikan murid LINUS berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca dan menulis berdasarkan program LINUS yang dilaksanakan. Pengkaji turut ingin mengenal pasti perbezaan pendekatan guru biasa yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Program LINUS dengan guru pemulihan. Berdasarkan objektif kajian yang dinyatakan dengan secara khusus, kajian ini adalah bertujuan untuk menjawab dua soalan kajian iaitu Sejauhmanakah persepsi murid terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran guru LINUS biasa dan guru pemulihan dari segi aktiviti pengajaran dan pembelajaran, suasana pembelajaran dan motivasi guru dan kaedah pengajaran dan pembelajaran guru dalam melaksanakan program LINUS? dan Apakah terdapat hubungkait antara program LINUS dengan peranan guru dalam pengajaran dan pembelajaran? Daripada kajian yang dilakukan, didapati bahawa permasalahan yang wujud dalam kemahiran literasi dapat diperbaiki dengan strategi dan perancangan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti oleh guru menjadi berkesan dan bermakna kepada murid berdasarkan pelaksanaan program LINUS. Terdapat juga perhubungan yang signifikan antara peranan guru LINUS biasa dan guru pemulihan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan program LINUS. 37

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Pendidikan literasi Bahasa Melayu semakin dipandang sebagai satu mata pelajaran yang amat penting di sekolah, selaras dengan strategi kerajaan dalam NKRA Negara adalah untuk melahirkan generasi yang celik huruf dan maju ke hadapan. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif dalam memberi pendidikan literasi sejak dari peringkat awal kanak-kanak. Keupayaan manusia dalam menuntut ilmu bakal mengubah corak kehidupan masyarakat (Mahzan Arshad, 2008). Kesinambungan daripada lonjakan paradigma terhadap penguasaan keupayaan membaca dalam Bahasa Melayu dapat membuka jalan dan peluang yang lebih luas kepada anak bangsa dalam mendapatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di peringkat sekolah. Justeru itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil insiatif bijak dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan memastikan semua murid di Malaysia mendapat pendedahan awal untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis sejak dari peringkat awal kanak-kanak lagi. Bermula dari Tahun 2010, bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) telah menyasarkan bahawa semua murid berkeupayaan untuk menguasai aras literasi dan numerasi kecuali berkeperluan khas selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah sebelum berakhir tahun 2012. Program Literasi dan Numerasi (LINUS) diwujudkan untuk menangani masalah murid yang berkeupayaan tetapi masih belum menguasai literasi dan numerasi. Program LINUS Program LINUS yang telah dijalankan sejak tahun 2010 merupakan sebuah program pendidikan di dalam bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA). Ia telah memberi peluang yang lebih luas kepada murid-murid di sekolah rendah yang agak ketinggalan dalam penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. LINUS yang bermaksud Literacy and Numeracy Screening merupakan sebuah program pemulihan yang direka bentuk untuk memastikan murid yang mempunyai kesukaran untuk menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi dapat mencapai standard penguasaan kemahiran asas yang kukuh pada tiga tahun awal persekolahan. Kajian ini hanya menumpukan kepada kemahiran asas literasi iaitu keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat mudah dan sukar dalam Bahasa Melayu dan dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam pembelajaran dan komunikasi harian.

38

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Justeru itu, matlamat LINUS adalah untuk mengenal pasti masalah dan memulihkan kelemahan murid pada peringkat lebih awal agar murid yang tidak berupaya membaca dan menulis ini tidak ketinggalan dalam menguasai pembelajaran secara keseluruhan. Menurut Mohd Zanal Dirin, Timbalan Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia di dalam The Star halaman 17 pada 19 Oktober 2011, terdapat beberapa faktor biasa yang menyebabkan murid ketinggalan dalam pembelajaran ialah latar belakang sosioekonomi, status indigenous, lokasi geografi, sikap dan aspirasi. Oleh itu, guru sebagai penggerak utama program ini harus mempunyai sikap dan aspirasi yang cemerlang, bersemangat dan kredibiliti yang tinggi sepanjang pengajaran dan pembelajaran. Bahagian Pembangunan Kurikulum telah berusaha menghasilkan Modul Guru dan Modul Murid. Di antara prinsip-prinsip modul pengajaran dalam LINUS adalah ansur maju, didik hibur, pengulangan kosa kata, latihan dari mudah ke susah, latihan interaktif dan belajar sambil bermain. Manakala senarai kemahiran literasi yang perlu dikuasai oleh murid ialah membaca dan menulis huruf, membaca suku kata, membina dan menulis suku kata, membaca perkataan, membaca dan menulis perkataan, membaca rangkai kata, membina dan menulis rangkai kata, membaca ayat, membina dan menulis ayat tunggal. Selain daripada itu, proses pengajaran dan pembelajaran bukanlah hanya menumpukan kepada kemahiran atau teknik bacaan semata-mata. Murid harus melalui pembelajaran yang lebih kukuh dalam keupayaan membaca (Mahzan Arshad, 2008). Oleh itu, demi merealisasikan matlamat, pelbagai aspek untuk memahami senario pembelajaran bacaan dalam Bahasa Melayu harus dititikberatkan agar kanak-kanak yang lahir dari produk sistem pendidikan Malaysia merupakan kanak-kanak yang celik bahasa dan seterusnya menguasai ilmu lain secara optimum dan penuh kejayaan. Keupayaan murid dalam proses pembelajaran melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) hendaklah dititikberatkan agar kemahiran yang dikuasai oleh murid memberi impak yang besar kepada masa depan murid dalam menguasai ilmu pengetahuan secara keseluruhan. Kepentingan untuk melihat akan keupayaan murid dalam mewujudkan sesebuah kurikulum pendidikan literasi Bahasa Melayu adalah perlu diberi keutamaan (Mahzan Arshad, 2008). Merujuk kepada Rajah 1 masih ramai murid yang kurang berupaya di seluruh negeri di Malaysia yang sangat memerlukan bimbingan daripada guru-guru di sekolah agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan bersesuaian dengan tahap keupayaan murid secara individu. 39

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Negeri Sarawak Perak Sabah Johor Selangor Kedah Pahang Kelantan Terengganu Pulau Pinang Negeri Sembilan Melaka Kuala Lumpur Jumlah

Bilangan 668 496 480 411 340 301 286 251 179 155 126 117 106 3916

Peratus 17.10% 12.70% 12.30% 10.50% 8.70% 7.70% 7.30% 6.40% 4.60% 4% 3.20% 3% 2.70% 100%

Rajah 1. Bilangan murid kurang upaya berdasarkan negeri. Sumber: The Star (19 Oktober 2011) Aspek Penilaian LINUS Penilaian keupayaan penguasaan literasi murid dapat dinilai melalui tiga ujian saringan yang dilaksanakan dalam setahun iaitu pada bulan Mac, Jun dan September untuk melihat penguasaan literasi murid. Murid yang tidak dapat menguasai kemahiran asas literasi akan dimasukkan ke dalam kelas pemulihan jika mereka gagal menjalani ujian saringan kedua. Murid yang masih di dalam proses pemulihan akan diasingkan kelas bagi mata pelajaran bahasa bagi memastikan perhatian yang istimewa dapat diberikan oleh guru-guru LINUS dan guru pemulihan berdasarkan kemampuan mereka. Pengasingan murid LINUS ini bertujuan untuk memastikan murid dan guru dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran asas literasi yang lebih padu dan penggunaan teknik yang lebih berkesan berdasarkan modul LINUS dan keupayaan setiap murid. Bilangan murid di dalam kelas pemulihan adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan bilangan murid dalam kelas aliran perdana; justeru itu, teknik dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru LINUS dan pemulihan diharapkan akan menjadi lebih pelbagai, menarik, menyeronokkan dan berkesan. Murid yang masih belum dapat menguasai kemahiran asas 40

Masalah Pendidikan, 34, 2011

literasi selepas tahun ketiga tidak akan dibenarkan untuk menaiki kelas di tahun 4. Penilaian tahap penguasaan murid akan dilaksanakan oleh guru dengan menggunakan soalan ujian saringan 1, 2 dan 3 yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Soalan ujian lisan dan bertulis ini adalah untuk menguji keupayaan asas literasi membaca dan menulis semua murid Tahun 1. Terdapat 12 konstruk kemahiran Murid LINUS biasa akan diajar oleh guru bahasa mereka manakala murid LINUS Tegar akan diajar oleh guru pemulihan. Maka di sini pengkaji dapat melihat perbezaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran murid LINUS yang diajar di dalam kelas biasa dan murid LINUS yang di ajar oleh guru pemulihan di bilik khas pemulihan di setiap sekolah di seluruh negara. Pelaksanaan pengajaran yang dilaksanakan akan menggunakan modul LINUS selepas saringan kedua. Selain itu, ujian saringan bagi melihat pencapaian murid mempunyai had tempoh masa dan dijalankan secara sistematik dan berulangan sehingga murid benar-benar menguasai setiap kemahiran membaca dan menulis bagi menilai keberkesanan pencapaian pengajaran dan pembelajaran murid-murid lemah. Strategi dalam Pelaksanaan Program LINUS Pelaksanaan Program LINUS telah menggunakan beberapa strategi yang telah ditetapkan oleh Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia. Terdapat 6 strategi yang telah disenaraikan iaitu: Membuat penyaringan murid (Tahun 1, 2 dan 3). Perkembangan Bahan Meningkatkan kemahiran pedagogi untuk guru Program Kesedaran tentang LINUS untuk sekolah dan komuniti Pemantauan, penyeliaan dan penilaian Pengukuhan FasiLINUS (Pemilihan fasilitator yang berpengalaman) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melatih seramai 1100 guru pemulihan dan menyediakan bilik khas pemulihan yang lebih kondusif berbanding dengan kelas biasa. Guru - guru turut diberikan latihan dan kursus yang boleh meningkatkan kualiti guru. Nisbah guru pemulihan bagi setiap sekolah adalah 1:15 murid. Guru akan dilatih secara profesional dengan menggunakan modul dan bahan pengajaran dan pembelajaran mesra kanakkanak yang baru dan berkesan. Mahasiswa yang bakal menjadi guru di Institut Perguruan di seluruh Malaysia yang masih dalam pengajian juga turut diberi persediaan awal agar mereka lebih bersedia dan berkelayakan untuk 41

Masalah Pendidikan, 34, 2011

mengajar murid LINUS ini. Manakala fasiLINUS pula telah diwujudkan untuk membimbing komuniti yang terlibat dalam melaksanakan program LINUS di sekolah. Mereka telah ditugaskan untuk memberi bimbingan kepada guru dan pihak pentadbir di sekolah. Antara peranan fasiLINUS ialah: Memberi nasihat kepada guru pemulihan sedia ada Membimbing dan mengetuai guru-guru Memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor dalam melaksanakan program LINUS Membina kapasiti guru pemulihan, guru lain dan pentadbir Membantu sekolah menyediakan pelan tindakan pembetulan Manakala hasil kajian yang dilakukan oleh Che Zanariah dan Fadzillah Abd Rahman (2011) di dalam jurnal bertajuk Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Menulis di Sekolah Rendah telah mendapati guru bersetuju bahawa mengajar kemahiran menulis merupakan tanggungjawab guru yang mencabar. Dari segi pengaplikasian strategi pengajaran pula, guru bersetuju bahawa mereka mengajarkan murid kemahiran penulisan yang mudah kepada sukar. Strategi sebegini patut dilaksanakan kerana dapat membantu memudahkan pemahaman murid terhadap kemahiran menulis yang dipelajari. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu iaitu masalah pengetahuan dan kemahiran guru serta masalah kelemahan murid dalam kemahiran menulis. Cabaran Guru Dalam usaha mempertingkat kemahiran bahasa murid-murid ini, guru mempunyai peranan yang besar. Menurut Roselan (2003), kemahiran berbahasa merupakan kemahiran asas yang amat penting dan perlu ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru sebagai pelaksana kurikulum perlu mengambil berat tentang objektif kurikulum yang digubal bagi membolehkan hasrat kerajaan tercapai. Menurut Yahya (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan imaginasi pembaca. Justeru, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran membaca agar dapat menjadikan pengajaran lebih bervariasi, menarik serta dapat menimbulkan minat murid untuk belajar dengan lebih bersungguhsungguh. Walau bagaimanapun, masalah ini bukanlah penghalang kepada guru dan sekolah serta dijadikan alasan untuk tidak membantu murid yang bermasalah dalam pembelajaran. Pelbagai usaha serta bantuan daripada kerajaan dan KPM seharusnya menjadi pemangkin serta dorongan bagi guru dan sekolah agar terus berusaha membantu murid bermasalah dalam 42

Masalah Pendidikan, 34, 2011

pembelajaran. Hal ini dapat diperoleh melalui matlamat Misi Nasional dalam tempoh 2006-2010, iaitu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) tertumpu kepada projek membangunkan prasarana sekolah di luar bandar, meningkatkan kadar kehadiran murid di sekolah dan mengurangkan kadar keciciran, meningkatkan bilangan guru terlatih di sekolah luar bandar serta mempertingkat sistem pengagihan bantuan kepada murid miskin dan murid berkeperluan khas. Pengajaran merupakan profesion yang memerlukan ilmu pengetahuan dan latihan dalam pengetahuan psikologi kerana kerjaya sebagai guru berhubungkait rapat dengan manusia. Keupayaan yang berbeza dalam kalangan kanak-kanak menuntut guru-guru mendidik dan memotivasikan diri dalam meningkatkan kemahiran pedagogi dalam pengajaran dan cuba untuk memahami pelbagai sifat murid yang lemah dan cemerlang. Kepelbagaian minat dan latar belakang murid akan memberi penanda aras kepada guru untuk mengenal pasti keperluan dan keupayaan murid khasnya dalam menguasai kemahiran membaca. Oleh kerana itu, adalah sangat penting agar guru dapat mengenal pasti pada peringkat awal dan mengambil langkah terbaik memperbaiki ketidakupayaan membaca dalam kalangan murid ini. Guru harus peka dalam mengenal pasti murid yang berada dalam kategori pendidikan khas. Ini bermakna murid dalam golongan ini berkemungkinan menghadapi masalah kesihatan dan pembelajaran seperti disleksia, hiperaktif dan sebagainya yang menghalang mereka untuk menumpukan perhatian atau lebih kritikal lagi mereka memang tidak berupaya mempelajari bacaan. Pelbagai tanggungjawab yang sangat berat harus dipikul oleh guru dalam melaksanakan program LINUS dan ini amat memberi tekanan dan boleh menjejaskan prestasi kerja dan menurunkan motivasi diri jika tidak dapat mengawal emosi dan tekanan. Justeru itu, sebagai guru literasi Bahasa Melayu, tanggungjawab yang digalas sangat besar dalam memastikan murid yang dilahirkan ini berjaya menjadi insan yang berguna apabila mereka sudah dewasa kelak. Kajian yang dilaksanakan amat berkait rapat dengan peranan guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi kerana hasil dapatan di dalam The Star halaman 17 pada 19 Oktober 2011 telah menunjukkan seramai 3,916 murid yang bermasalah pembelajaran dalam Tahun 2 bagi Tahun 2011. Senario ini menggambarkan betapa hebatnya cabaran yang terpaksa dihadapi oleh guru dalam merealisasikan serta memastikan matlamat program LINUS yang dilaksanakan oleh mereka tercapai dengan jayanya. Namun kita juga harus sedar guru bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk mengajar murid LINUS semata-mata. Mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk 43

Masalah Pendidikan, 34, 2011

memastikan murid di aliran perdana turut diberi perhatian dan tidak terabai kerana mereka juga memerlukan bimbingan oleh guru yang sesuai, kreatif, berpengalaman dan mempunyai kegigihan yang tinggi. Di samping itu, guru juga terpaksa menerima bebanan tugas sampingan di sekolah. Jika dilihat guru LINUS di dalam kelas biasa agak sukar kerana mereka harus menyediakan dua rancangan pengajaran dan memastikan murid LINUS diajar mengikut tahap penguasaan masing-masing. Ini kerana murid di dalam kelas LINUS biasa mempunyai tahap keupayaan membaca dan menulis yang berbeza-beza berbanding di kelas pemulihan di mana muridnya dalam kalangan murid yang agak lemah dan pengajaran yang dirancang agak mudah untuk dilaksanakan. Di samping itu juga, bilangan murid di kelas pemulihan adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan bilangan murid dikelas LINUS biasa; ini memudahkan guru memberi tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran. Suasana di kelas pemulihan juga dilihat lebih kondusif dan selesa bagi murid untuk menumpukan perhatian dalam pembelajaran bahasa. Kemudahan bahan bantuan mengajar yang mudah diperoleh serta banyak disediakan di bilik pemulihan juga turut membantu guru pemulihan dalam menjayakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih cemerlang. Oleh hal yang demikian dapat dinyatakan di sini bahawa sememangnya terdapat perbezaan yang ketara dari pengajaran dan pembelajaran guru LINUS biasa dan guru pemulihan. Cabaran yang lebih berat dan tekanan yang lebih hebat dirasakan oleh guru LINUS biasa berbanding guru pemulihan kerana terpaksa menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih pelbagai, terkawal dan menepati tahap keupayaan setiap murid yang berbeza potensinya. Namun tidak dinafikan guru pemulihan harus mengajar murid yang jauh lebih lemah berbanding dengan guru LINUS biasa. Justeru itu, murid di kelas pemulihan memerlukan lebih perhatian dan bimbingan untuk memastikan mereka dapat menguasai kemhiran literasi seiring dengan murid yang lain. Kesinambungan dengan itu, untuk memastikan matlamat program LINUS ini tercapai, guru harus menanamkan prinsip seperti guru yang baik adalah guru yang boleh membawa perbezaan, perubahan yang ketara kepada seseorang tidak kira di tahap mana dan kepada siapa yang diberi pengajaran dan didikan. Guru memainkan peranan yang sangat besar dalam mempengaruhi orang-orang yang berjaya, memberi tunjuk ajar dan kesan dalam kehidupan orang lain. Guru harus mempunyai daya usaha yang tinggi dalam profesion pendidikan dan sentiasa meningkatkan kemampuan dan kelebihan yang ada. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif yang baik dengan berusaha memberi keutamaan dan perhatian kepada guru LINUS dengan memberi latihan dalam perkhidmatan kepada guru yang

44

Masalah Pendidikan, 34, 2011

berkualiti. Penerapan nilai-nilai profesionalisme yang tinggi adalah penting untuk melahirkan guru yang terbaik. Pengkaji telah melihat beberapa masalah yang telah timbul dalam kalangan guru yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran program LINUS; di antaranya ialah: Tekanan yang dihadapi oleh guru LINUS dalam memastikan murid dapat menguasai tahap penguasaan literasi yang ditetapkan di dalam program LINUS. Perbezaan latar belakang sosioekonomi, status indigenous, lokasi geografi serta sikap dan aspirasi murid memberi cabaran kepada guru untuk mengenal pasti pendekatan yang terbaik kerana murid LINUS sering kurang minat, fokus dan keyakinan diri dalam mempelajari kemahiran asas literasi dalam Bahasa Melayu seterusnya mengakibatkan kelemahan dan ketidakupayaan membaca. Perbezaan cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh guru yang mengajar murid LINUS biasa dan guru pemulihan yang mengajar murid LINUS Tegar dari segi bilangan murid, suasana kelas, masa dan kemudahan sedia ada dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Faktor tekanan yang dihadapi oleh guru sudah menjadi satu permasalahan psikologi yang harus dapat dikawal oleh guru dalam memastikan mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan dapat mengawal emosi mereka. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Najeemah Mohd Yusof (2011) di dalam jurnal EDUCARE untuk pengajian pendidikan terdapat perhubungan yang signifikan antara tekanan yang dihadapi oleh guru dengan tekanan di tempat kerja. Menurut beliau, untuk mengendalikan tekanan guru sikap dan personaliti seseorang akan menentukan kemampuan seseorang itu mengatasi tekanan. Walau bagaimanapun, untuk menghadapi dan mengawal tekanan tidak dapat diatasi secara berkesan jika guru tidak mengetahui faktor yang menyebabkan masalah tekanan. Sebagai guru, mereka akan berhadapan dengan tekanan dari pelajar yang ramai sepanjang hari. Antara penyebab tekanan kepada guru ialah kejayaan diri sendiri, kurang emosi, bebanan tugas yang melampau, hubungan rakan sekerja dan persekitaran tempat kerja. Sebagai contoh, tekanan guru LINUS dalam memastikan murid mereka dapat melepasi ujian saringan LINUS seterusnya mencapai kemahiran literasi secara kekal. Mereka juga harus mahir dalam mengawal emosi sedih, gembira, dan marah pada situasi yang tepat dan tidak berlebihan. Suasana di dalam kelas turut memberi kesan kepada guru untuk menjalankan tugas dengan berjaya.

45

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang baik amat penting dalam memastikan kejayaan penguasaan kemahiran literasi murid dalam pelajaran bahasa. Ia juga turut memberi kesan kepada murid dalam meningkatkan keupayaan membaca dan menulis jika guru dapat menggunakan kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang baik. Untuk menyokong dan memperkukuhkan lagi kertas kerja ini, kajian yang telah dijalankan oleh Abdul Rasid Jamian (2011) yang bertajuk Permasalahan Kemahiran Membaca Dan Menulis Bahasa Melayu Murid-Murid Sekolah Rendah di Luar Bandar, juga menunjukkan bahawa permasalahan yang wujud dalam kemahiran membaca dapat diperbaiki dengan merancang aktiviti pengajaran yang menarik dan kondusif oleh guru. Selain itu, suasana pembelajaran yang selesa dan dorongan daripada guru dapat mewujudkan motivasi dan menanamkan minat murid agar terus belajar. Hasil kajian ini mendapati bahawa latihan bacaan tambahan dapat meningkatkan kemahiran bacaan murid dengan M = 3.70, SP = 0.53 dan kaedah latih tubi yang dijalankan dengan kerap dalam bacaan dapat membantu sebutan serta kelancaran murid dalam bacaan M = 3.70, SP = 0.66. Murid-murid ini percaya bahawa penguasaan kemahiran membaca yang baik dapat menjadikan aktiviti membaca di dalam kelas sebagai suatu aktiviti yang amat menarik M =3.60, SP = 0.54. Selain itu, faktor dorongan daripada guru, penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang bersesuaian dengan kebolehan dan penguasaan membaca murid dapat menjadikan suasana aktiviti membaca lebih berkesan dan bermakna kepada murid M = 3.54, SP = 0.72 (rujuk Jadual 1). Jadual 1 Persepsi Murid Terhadap Pengajaran Guru Kemahiran Membaca
Bil 1 2 3 4 5 Pernyataan Latihan bacaan tambahan Kaedah latih tubi Aktiviti pengajaran yang menarik Dorongan guru dan situasi yang menarik Penggunaan bahan bantu mengajar Min 3.70 3.70 3.60 3.54 3.54 Sisihan piawai 0.53 0.66 0.54 0.72 0.72

Walau bagaimanapun, responden berpendapat bahawa permasalahan dalam menguasai kemahiran menulis Bahasa Melayu dapat diperbaiki dengan bantuan guru yang kreatif dan inovatif serta berusaha membina persekitaran yang kondusif dan memberikan motivasi agar murid terus belajar. Dapatan kajian menunjukkan bahawa responden lebih seronok jika guru kreatif membina pelbagai aktiviti menulis yang menarik di dalam kelas M = 3.50, SP = 0.68. dan responden boleh menulis dengan baik apabila guru menyediakan 46

Masalah Pendidikan, 34, 2011

latihan yang dapat memperbaiki kemahiran menulis amat berguna kepada murid M = 3.50, SP = 0.82. Responden juga berpendapat bahawa mereka akan lebih mudah menulis jika guru menyebut perkataan dengan M = 3.41, SP = 0.89, manakala penggunaan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan aras kebolehan murid dapat merangsang dan menanam minat murid agar terus belajar M = 3.24, SP = 0.90. (Rujuk Jadual 2). Jadual 2 Persepsi Murid Terhadap Pengajaran Guru Kemahiran Menulis
Bil 1 2 3 4 Pernyataan Pelbagai aktiviti menulis diadakan Guru menyediakan latihan Guru menyebut perkataan Guru menggunakan bahan bantu mengajar Min (M) 3.50 3.50 3.41 3.24 Sisihan piawai (SP) 0.68 0.82 0.89 0.90

Secara keseluruhan, sebahagian besar responden yang bermasalah kemahiran asas menulis berpunca daripada kelemahan menguasai kemahiran asas, iaitu baca, tulis dan kira. Kelemahan tersebut menyebabkan murid tidak berminat untuk terus belajar serta memperbaiki kelemahan kemahiran walaupun mereka mempunyai potensi untuk berjaya setanding dengan rakan-rakan mereka yang dianggap pintar cerdas dan berkebolehan. Walau bagaimanapun, faktor guru yang kreatif dan iklim bilik darjah yang kondusif dapat melahirkan suasana pembelajaran yang merangsangkan minat murid. Selain itu, latihan yang bersesuaian dengan tahap kebolehan murid menjadikan murid sentiasa bermotivasi, bercita-cita dan menyemai keinginan untuk terus belajar sepanjang hayat. Cadangan Bagi meningkatkan prestasi pengajaran guru dan potensi pembelajaran murid untuk meningkatkan kemahiran membaca dan menulis murid antaranya, iaitu pengajaran asas kemahiran membaca dan menulis seharusnya diberikan penekanan yang serius agar murid dapat menguasainya. Pengajaran Bahasa Melayu seharusnya disampaikan dalam pendekatan yang lebih menarik dengan kepelbagaian bahan bantu mengajar serta kaedah pengajaran yang menarik dan mampu memperkembangkan lagi keupayaan kemahiran membaca dan menulis murid. Kepelbagaian kaedah dapat membentuk murid tidak cepat bosan dan penat semasa proses pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah. Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik, bersesuaian 47

Masalah Pendidikan, 34, 2011

dengan tahap kebolehan perkembangan intelek murid semasa merencanakan isi pelajaran dapat merangsangkan minat murid dan motivasi untuk terus belajar. Bahan bantu mengajar hendaklah digunakan secara optimum dalam pembelajaran agar menghasilkan pembelajaran bermakna dan meninggalkan kesan positif dalam diri murid. Merujuk kepada Muhamad Hasan (2000), penggunaan media adalah alternatif yang baik untuk memberi kemudahan kepada guru dan murid untuk berkomunikasi. Perhubungan dua hala dapat menarik minat murid untuk bertindak balas seterusnya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif. Pihak pengurusan sekolah seharusnya berusaha secara lebih seimbang untuk mencapai matlamat membantu muridmurid bermasalah pembelajaran dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan mengadakan kelas pemulihan. Seminar serta kursus yang bermanfaat seharusnya diberikan penekanan yang jelas kepada guru dengan memberi maklumat dan input tentang keperluan khas murid-murid lemah untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis. Persepsi guru tentang imej murid lemah yang memerlukan bantuan pemulihan seharusnya positif dan mempunyai kesedaran bahawa mereka seharusnya dilayan secara saksama dan berpotensi untuk berjaya sama seperti rakan mereka yang lebih pantas dalam penguasaan pembelajaran. Tambahan lagi, kesabaran serta ketekunan guru amatlah penting bagi membentuk amalan membantu murid yang lembam untuk berjaya. Akhirnya, KPM perlu mengadakan lebih banyak kursus khas kepada guru-guru yang terlibat dalam permasalahan kemahiran membaca dan menulis. Selain itu, penerbitan teks panduan guru pemulihan bertujuan memberikan input tentang kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan murid lembam bagi meningkatkan kemahiran membaca dan menulis. Kajian ini mencadangkan guru-guru perlu bersikap positif terhadap kemahiran membaca dan menulis dan melaksanakan kedua-dua kemahiran dengan strategi yang lebih berkesan. Selain itu, guru-guru juga patut berusaha mengatasi masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis melalui pengajaran yang kreatif dan berkualiti agar penguasaan murid dalam kemahiran tersebut dapat ditingkatkan. Guru juga perlu melaksanakan kemahiran menulis berdasarkan sukatan pelajaran terkini. Cara Mengatasi Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang tepat dan berkualiti oleh guru-guru sangat membantu murid dalam meningkatkan keupayaan membaca.

48

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Semua pihak yang berkaitan dengan pendidikan literasi bacaan Bahasa Melayu murid Tahun 1 harus menyedari perbezaan status ekonomi sosial SES, gender, kepelbagaian kaum, bahasa ibunda dan juga pendapatan memerlukan pendedahan kemahiran literasi bacaan yang berbeza bagi setiap murid. Berdasarkan Buku Panduan Am Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KPM, 2003), bahawa setiap murid adalah berbeza antara satu sama lain sama ada dari segi pengalaman, tingkah laku, amalan, bakat dan kebolehan, oleh itu guru yang diamanahkan untuk mendidik harus menyedari kelebihan dan kekurangan murid dari segi latar belakang sosial dan kekuatan yang ada dalam diri murid untuk memastikan program LINUS berjaya. Penyediaan kemudahan bahan bantu mengajar yang menarik dan pelbagai dari pelbagai sumber.

Kesimpulan Kelemahan murid menguasai kemahiran membaca dan menulis menjejaskan potensi serta motivasi dalam menguasai pelbagai kemahiran lain dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua responden bersetuju bahawa faktor kebolehan dan kreativiti guru dapat mengubah persepsi serta kesedaran bahawa mereka juga mempunyai potensi untuk berjaya dalam pembelajaran. Kerjasama yang melibatkan pihak pengurusan sekolah diharapkan dapat membina iklim persekolahan yang kondusif, dan persekitaran sekolah yang selamat dapat merangsang murid bermotivasi untuk terus belajar. Selain itu, faktor guru yang berketerampilan serta berkeupayaan menyerap kaedah, teknik dan aktiviti serta menstrukturkan tahap pembelajaran supaya menjadi satu set binaan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat memberikan kesan positif dan bermakna. Faktor ini sememangnya dapat membina pembelajaran yang menggalakkan hala tuju pengajaran yang hendak dicapai oleh guru. Dalam usaha memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dewasa ini memang perlu diberi perhatian yang lebih serius. Seluruh warga pendidik Bahasa Melayu mesti mempunyai komitmen serta kekuatan untuk menghadapi cabaran dan seterusnya memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran Bahasa Melayu sebaik mungkin. Peningkatan profesionalisme guru Bahasa Melayu merupakan pemangkin akauntabiliti bahasa dan bangsa Melayu. Kebanyakan guru-guru mempunyai latar belakang dan sikap yang positif terhadap Bahasa Melayu, tetapi tidak mempunyai kemahiran dalam penguasaan isi kandungan mata pelajaran ini. 49

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Guru yang tidak mahir dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak semestinya dapat memberikan komitmen yang tinggi semasa mengajar. Komitmen yang tinggi perlu seiring dengan penguasaan pedagogi yang cemerlang dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kesimpulannya, bagi mengatasi masalah ini, pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru-guru bahasa harus mencapai tahap kualiti profesion perguruan yang terbaik agar pendidikan pemulihan boleh menjadi satu wadah yang dapat membantu meningkatkan potensi murid-murid yang mengalami masalah dalam kemahiran membaca dan menulis. Program pemulihan peringkat awal akan memberi kesan yang lebih efektif dalam usaha memperkasakan pendidikan di negara kita. Kajian ini jelas menunjukkan betapa pentingnya perancangan sebuah program yang baik dan bersesuaian untuk meningkatkan prestasi pencapaian murid dalam menguasai ilmu pengetahuan agar mereka yang keciciran dan lemah tidak terus diabaikan. Kepentingan pihak yang terlibat dalam mendidik murid yang masih muda di mana guru harus menyedari kepelbagaian status ekonomi sosial (SES) murid memerlukan pendekatan pembelajaran yang juga berbeza bagi setiap murid. Pengkaji turut melihat murid yang lemah dalam pelajaran dan lambat memahami pembelajaran adalah murid yang tidak berupaya membaca. Kajian ini juga cuba mencungkil dari sudut perbezaan status ekonomi sosial dalam aspek jantina, kaum, bahasa ibunda dan pendapatan yang pelbagai yang mungkin memberi kesan ataupun tidak memberi kepada penguasaan kemahiran membaca murid pada peringkat awal asas membaca. Abdul Jalil Othman, Mahzan Arshad, dan Chew Fong Peng (2009) telah membuktikan kepentingan kepelbagaian kaum dan bahasa di Malaysia dalam meningkatkan keupayaan membaca dan kefahaman membaca sesebuah bahan penulisan; minat murid adalah berbeza dan mereka lebih cenderung untuk membaca bahan penulisan yang terdiri daripada bahasa ibunda dan berlatarbelakangkan kaum mereka sendiri berbanding membaca bahan penulisan daripada etnik lain. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup. Bukan itu sahaja, ketidakupayaan membaca akan turut mempengaruhi minat belajar.

50

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Rujukan Abdul Jalil Othman, Mahzan Arshad, & Chew Fong Peng. (2009). Reading comprehension of multiethnic literature in a multiethnic classroom: A case study of Malaysia. Universitas Muhammadiyah Purwokerto, 1(2), hlm. 119-128. Abdul Rasid Jamian. (2011). Permasalahan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 1. Che Zanariah Che Hassan, & Fadzillah Abd Rahman. (2011, Mei). Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Menulis di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 67. Kementerian Pelajaran Malaysia. (2003). Kurikulum bersepadu sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Mahzan Arshad. (2008). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu: Strategi perancangan dan pelaksanaan. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors. Muhamad Hassan Abdul Rahman. (2000). Media pengajaran: Penghasilan bahan pengajaran berkesan. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia. Najeemah Mohd Yusof. (2011). Prinsip kepimpinan di sekolah dan tahap tekanan guru sekolah rendah di Malaysia. EDUCARE: International Journal for Educational Studies, 4(1). Roselan Baki. (2003). Pengajaran dan pembelajaran penulisan bahasa Melayu. Shah Alam: Karisma. Yahya Othman. (2004). Mengajar membaca: Teori dan aplikasi. Bentong: PTS Publications & Distributors.

51