Anda di halaman 1dari 16

KERTAS CADANGAN PENYELIDIKAN TINDAKAN

UNTUK PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA


PERGURUAN (PISMP)





MENAMBAH BAIK PENERANGAN GURU DALAM TAJUK
KITARAN AIR DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH ANIMASI
TANAH LIAT





NAMA PENYELIDIK : SYAMIRA BINTI MD.DAHIN
NAMA INSTITUSI : INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK
ISI KANDUNGAN

BIL. PERKARA MUKA SURAT
1.0 PENDAHULUAN
2.0 FOKUS KAJIAN / ISU KEPRIHATINAN
3.0 OBJEKTIF KAJIAN / SOALAN KAJIAN
4.0 KUMPULAN SASARAN
5.0 PERANCANGAN PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 PERANCANGAN LANGKAH PELAN TINDAKAN
5.2 PERANCANGAN CARA MENGUMPUL DATA
5.3 PERANCANGAN CARA MENGANALISIS DATA
5.4 PERANCANGAN PELAKSANAAN TINDAKAN
SENARAI RUJUKAN
LAMPIRAN

1.0 PENDAHULUAN
Pada semester yang lepas, saya telah menjalani praktikum di salah sebuah
sekolah di Negeri Sembilan. Saya telah mengajar mata pelajaran Sains Tahun 5.
Selepas beberapa minggu mengajar, saya dapati terdapat segelintir murid saya tidak
faham mengenai konsep sains yang saya telah ajar. Contohnya bagi topik Kitaran Air,
apabila ditanya kembali, hampir separuh daripada kelas tidak dapat menjawab soalan
saya. Latihan yang saya berikan tentang tajuk tersebut juga tidak dijawab oleh mereka
dan dibiarkan kosong sahaja walaupun saya telah menjelaskan tajuk tersebut semasa
pengajaran saya pada hari sebelumnya. Setelah menilai latihan yang diberikan di dalam
kelas, saya dapati bahawa mereka memang tidak memahami konsep di dalam topik
Kitaran Air ini. Mereka tidak tahu proses-proses yang terlibat dan turutan proses
tersebut yang betul. Daya ingatan mereka juga lemah dan tidak dapat mengingati
turutan proses Kitaran Air tersebut. Ada kalanya mereka mencampuradukkan proses-
proses tersebut dan kadang-kala ada proses tersebut yang terbalik susunannya. Di
samping itu, mereka juga tidak dapat menjelaskan dengan terperinci maksud sesuatu
proses tersebut seperti penyejatan dan kondensasi. Mereka menyatakan terlalu banyak
fakta yang perlu diingat dan adalah sukar bagi mereka mengingat turutan proses dalam
Kitaran Air tersebut.
Saya berasa amat kecewa, sedih dan serba salah dengan dapatan yang saya
temui ini. Saya sentiasa tertanya-tanya adakah pengajaran saya kurang jelas dan
penerangan saya mengenai topik ini tidak difahami oleh murid-murid. Saya juga berfikir
adakah berkemungkinan perkara ini berlaku kerana teknik penerangan dan hafalan
yang saya amalkan kurang berkesan kepada murid-murid ini. Semasa mengajar topik
ini saya menggunakan gambar rajah untuk menjelaskan proses-proses yang terlibat
dan memberikan penerangan secara lisan sahaja. Adakah gambar rajah yang saya
gunakan dan penerangan saya secara lisan tidak membantu murid-murid saya untuk
memahami topik tersebut? Bagaimanakah caranya saya hendak mengatasi isu ini?
Persoalan ini sentiasa bermain di benak fikiran saya. Adakah murid saya terutama yang
lemah dapat saya tingkatkan pemahamannya terhadap topik ini? Perlukah saya
menggunakan cara atau teknik lain dalam pengajaran dan pembelajaran agar konsep
Sains yang sukar dapat dimudahkan dan difahami oleh murid-murid saya? Saya
bertekad akan memperbaiki malan pengajaran dan pembelajaran saya agar murid-
murid dapat memahami konsep yang diajar. Seterusnya saya juga akan berusaha untuk
menanamkan semangat ingin berjaya serta terus berusaha untuk memperbaiki diri
sendiri.
Isu ini amat membimbangkan saya dan jika dibiarkan berlarutan akan
mempengaruhi prestasi ujian pelajar. Hal ini secara langsung akan menyebabkan
potensi murid tidak dapat dikembangkan secara maksimum selaras dengan hasrat yang
dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Saya juga risau pelajar yang
lemah akan terus lemah jika dibiarkan begitu sahaja dan ini juga bermakna sebagai
guru saya tidak melayan murid lemah secara sama rata dengan pelajar yang lain.
Pada peringkat permulaan, tinjauan awal saya bermula melalui semakan buku
latihan murid dan juga ujian pendek yang saya lakukan. Dapatan daripada kedua-dua
latihan dan ujian ini saya dapati pelajar tidak dapat mengingat urutan proses yang
terlibat dalam Kitaran Air. Di samping itu, terdapat beberapa orang murid yang
mendapat markah yang rendah dalam ujian yang diberikan.
Setelah saya meneliti isu ini, saya membuat keputusan untuk memperbaiki
kelemahan pada pengajaran saya bagi meningkatkan pembelajaran anak murid saya.
Saya akan memulakan kajian saya dengan menggunakan kaedah Animasi Tanah Liat
untuk membantu murid saya memahami tajuk ini dengan mudah. Saya sangat berharap
agar kaedah ini dapat membantu dan memudahkan kefahaman murid saya dan
seterusnya berjaya membaiki keputusan peperiksaan mereka. Saya juga berharap agar
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang saya reka ini mampu menarik minat mereka
untuk mempelajari Sains sejajar dengan dasar dan matlamat Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk membantu negara menghasilkan bakal tenaga mahir dalam bidang
Sains dan Teknologi. Kejayaan murid-murid dalam pencapaian Sains perlu
dipertingkatkan bagi mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya
saing yang tinggi dan mampu memandang ke hadapan, bukan sahaja sebagai
pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi
masa depan. Guru yang berkesan akan menghasilkan sistem pendidikan yang
berkesan bagi membantu negara menghasilkan rakyat yang mempunyai kepakaran
dalam pelbagai bidang terutamanya Sains dan Teknologi sejajar dengan misi dan visi
negara untuk merealisasikan Wawasan 2020.



















2.0 FOKUS KAJIAN / ISU KEPRIHATINAN
Setelah menyemak latihan dan juga ujian yang diberikan kepada murid saya,
saya dapati terdapat kelemahan dari segi kefahaman mereka. Kefahaman tentang
sesuatu konsep dan minat adalah penting dalam sesuatu pembelajaran.
Ketidakserasian antara kaedah mengajar dengan profil kecerdasan murid boleh
menyebabkan seseorang murid itu gagal atau hilang minat terhadap sesuatu mata
pelajaran. Dengan ini, bagi mengatasi isu ini, saya memfokuskan kajian saya terhadap
bagaimana untuk menambah baik penerangan saya mengenai sesuatu konsep sains
supaya murid lebih memahami apa yang diajar. Saya akan menggunakan kaedah
animasi tanah liat bagi membantu penerangan saya.
Saya memilih fokus ini sebagai kajian saya kerana mengambil kira 5
aspek iaitu kebolehtadbiran, kepentingan, kebolehgunaan, kawalan, kolaborasi dan
kerelevanan kepada sekolah. Dari segi kebolehtadbiran, saya memilih kajian ini kerana
ia mudah ditadbirkan oleh saya. Hal ini demikian kerana saya adalah guru Sains di
kelas tersebut dan mudah bagi saya untuk mendapatkan bahan, radas dan peralatan.
Selain dapat mentadbirkan kajian ini dengan mudah, data kajian juga akan dapat dikutip
dengan senang memandangkan saya adalah guru Sains mereka dan terlibat dengan
sepenuhnya dengan pengajaran dan pembelajaran murid-murid tersebut. Di samping
itu, antara sebab lain saya memilih fokus kajian ini adalah disebabkan di sekolah ini
mempunyai ramai guru Sains yang berpengalaman menyebabkan proses kolaborasi
boleh dilakukan dengan mudah melalui perbincangan. Saya boleh melakukan
perbincangan dengan guru Sains yang lain bagi mencari cara atau kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang terbaik dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi.
Selain itu, saya memilih fokus kajian ini kerana kumpulan sasarannya mudah
untuk dikawal iaitu berada dalam kawalan saya kerana murid-murid ini adalah murid-
murid saya sendiri iaitu murid yang kelas saya ajar. Oleh itu, sebarang interaksi untuk
tujuan melakukan kajian ini bagi meningkatkan kefahaman murid-murid terhadap
konsep adalah lebih mudah dan dapat dikawal selia oleh saya.
Saya juga memilih fokus kajian ini memandangkan kebolehgunaan aktiviti ini
boleh diperluaskan kepada guru-guru lain di kelas yang lain. Selain itu,
pendokumentasian ke atas kajian ini diharapkan akan dapat menjadi bahan rujukan
utama bagi guru-guru di sekolah lain yang mengajar mata pelajaran Sains bagi tajuk
yang sama.
Bagi kajian ini, saya akan melakukan tinjauan awal. Tinjauan awal akan
dilakukan dengan mengumpul data-data yang diperoleh daripada pemerhatian,
semakan latihan yang dihantar, dan membuat perbincangan dengan guru mata
pelajaran lain yang mengajar kelas ini serta guru mata pelajaran sama yang pernah
mengajar kelas ini. Di samping itu, saya juga akan menganalisis ujian pendek yang
telah diberikan.













3.0 OBJEKTIF KAJIAN / SOALAN KAJIAN
Objektif:
Membaiki amalan pengajaran dan pembelajaran guru bagi meningkatkan kefahaman
murid Tahun 5 Marjan dalam tajuk Kitaran Air dengan menggunakan kaedah Animasi
Tanah Liat.

Soalan Kajian:
1. Sejauh mana kaedah animasi tanah liat dapat membantu menambah baik
penerangan guru dalam tajuk Kitaran Air?

4.0 KUMPULAN SASARAN

Kumpulan sasaran yang dipilih adalah terdiri daripada 41 orang murid kelas
Tahun 5 Marjan. Bilangan sampel yang dipilih adalah merangkumi 29 murid lelaki dan
12 orang murid perempuan. 41 orang murid ini semuanya terdiri daripada bangsa
Melayu.
Prestasi akademik kumpulan sasaran ini adalah pada tahap sederhana.
Kebanyakan murid mempunyai gaya pembelajaran visual kerana mereka menjadi
bosan jika hanya mendengar sahaja penerangan daripada guru.
Saya mengambil keputusan untuk menjalankan kajian ke atas murid-murid ini
untuk mengenal pasti keberkesanan intervensi dalam membantu murid-murid yang
tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah penyampaian
konsep secara lisan yang dijalankan selama ini.


5.0 PERANCANGAN PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 PERANCANGAN LANGKAH PELAN TINDAKAN
1) Sesi Pengajaran dan Pembelajaran serta Ujian Pra.
Pada minggu pertama, saya akan mengajar tajuk Kitaran Air ini seperti biasa.
Saya akan menggunakan gambar rajah dan melakukan penerangan secara lisan
sahaja. Kemudian, saya akan melakukan ujian pra ke atas murid-murid saya.
Soalan yang ditanya ialah mengenai bagaimana proses kitaran air berlaku dan
turutannya.
2) Membuat animasi tanah liat.
Pada minggu kedua, saya akan mencipta animasi tanah liat saya sendiri
mengenai tajuk Kitaran Air ini. Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu
saya jalankan untuk membuat animasi ini:











Merancang dan membuat skrip
Membuat papan cerita
Membina model
Menangkap gambar
Mengedit animasi
(a) Merancang dan membuat skrip
Saya akan mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber seperti buku teks,
buku, ensiklopedia, dan internet mengenai topik Kitaran Air. Apabila semua
maklumat telah dikumpulkan, saya akan menyediakan skrip selama 15 minit.
(b) Membuat papan cerita
Saya akan menyediakan papan cerita untuk persembahan selama 15 minit.
Papan cerita ini penting untuk menggambarkan dan mengarang idea.
(c) Membuat model
Kemudian, saya akan menyediakan model dan karakter yang sesuai untuk
menggambarkan konsep tersebut dengan merujuk kepada papan cerita. Model
dan karakter saya ini akan dibina menggunakan tanah liat yang berwarna-warni.
(d) Mengambil gambar
Saya akan mengambil gambar dan karakter tersebut mengikut kreativiti supaya
animasi tersebut menjadi lebih menarik dan menyeronokkan.
(e) Mengedit animasi
Turutan gambar tersebut akan dimuat turunkan ke dalam aplikasi Microsoft
Movie Maker. Gambar tersebut akan diedit dan diterbitkan menjadi filem animasi
pendek dengan memasukkan lagu dan membuat sari kata.






3) Sesi Pengajaran dan Pembelajaran Menggunakan Animasi Tanah Liat
Pada minggu ketiga, saya akan mengajar semula tajuk Kitaran Air ini. Tetapi
pada kali ini saya akan menggunakan animasi tanah liat ini semasa mengajar.
Saya akan melihat reaksi murid dan memerhatikan adakah mereka memahami
tajuk ini berdasarkan animasi tanah liat tersebut. Saya juga akan membuat
sedikit temu bual dengan murid dan mengedarkan borang kaji selidik mengenai
kaedah ini.

4) Ujian Pos
Pada minggu keempat, saya akan memberikan sekali lagi ujian pada murid saya
mengenai tajuk Kitaran Air ini. Saya akan menganalisis sama ada keputusan
mereka menunjukkan peningkatan jika saya menggunakan kaedah animasi
tanah liat ini.











5.2 PERANCANGAN CARA MENGUMPUL DATA
Pemerhatian
Pemerhatian yang saya lakukan ialah pemerhatian pemerhati-peserta iaitu
pemerhatian yang melibatkan penyelidik dalam aktiviti sebagai peserta kumpulan dan
pada masa yang sama menjadi pemerhati.
Apa yang akan saya perhatikan ialah persekitaran fizikal, persekitaran sosial dan
aktiviti yang berlaku. Saya perlu menerangkan tempat berlakunya situasi yang
diperhatikan dan benda-benda fizikal yang ada di sekeliling, suasana persekitaran
tempat itu dan masa berlaku sesuatu pemerhatian. Dari segi persekitaran sosial, saya
perlu menerangkan konteks sosial di mana situasi itu berlaku, peranan orang-orang
yang terlibat, siapa lakukan apa dan bila, interaksi sosial yang berlaku, bahasa yang
digunakan dan komunikasi bukan verbal yang ditunjukkan. Manakala, dari aspek lakuan
aktiviti, saya perlu menekankan dan menerangkan dengan jelas apakah yang berlaku,
apakah yang dilakukan oleh orang-orang yang terlibat dalam pemerhatian,
bagaimanakah aktiviti yang dirancang dan tidak dirancang berlaku. Perkara-perkara lain
yang perlu diambil kira ialah saya perlu memahami situasi yang diperhatikan
termasuklah keadaan cahaya, keadaan suhu dalam bilik, sudut-sudut dalam bilik, masa,
kedudukan perabot, aras kebisingan di dalam dan juga di luar bilik darjah.
Aspek-aspek ini perlu diambil kira kerana sebarang faktor boleh mempengaruhi
keputusan pemerhatian penyelidik. Saya akan melakukan prosedur pemerhatian
dengan langkah pertama saya akan mencatatkan masa saya menulis nota, melukis
satu gambar rajah pelan bilik yang digunakan, ditambah dengan catatan seperti di
mana guru dan murid berada, ruang yang digunakan dan yang tidak digunakan,
pergerakan guru dan juga objek-objek yang penting. Kemudian, saya akan menyemak
nota yang dicatat untuk membuat pembetulan, menulis komen dan membuat nota
tambahan.
Saya akan menjalankan pemerhatian ini dari minggu pertama sehingga minggu
keempat. Saya akan menyediakan borang pemerhatian iaitu satu dokumen untuk
merekod apa yang diperhatikan secara sistematik dan teratur.
Soal selidik
Soal selidik merupakan salah satu kaedah pengumpulan data yang akan saya
gunakan semasa intervensi nanti. Saya memilih untuk menggunakan jenis soal selidik
jenis skala 5-Likert. Rasional saya memilih jenis soal selidik ini ialah kerana ia mudah
ditadbir dan data diperoleh pada kadar yang cepat.
Saya akan menyediakan satu borang soal selidik yang memuatkan aspek-aspek
yang saya ingin tahu hasil tindakan yang dilaksanakan. Saya akan menyediakan
salinan sebanyak 41 soal selidik iaitu kepada semua murid kelas saya iaitu Tahun 5
Marjan. Saya akan mengumpul data soal selidik pada minggu keempat selepas selesai
semua aktiviti yang dijalankan.

Temu bual
Selain pemerhatian dan soal selidik, saya akan mengumpul data menggunakan
sesi temu bual. Temu bual akan saya gunakan untuk memahami persoalan, proses,
dan situasi yang diselidiki. Saya akan memilih 5 responden daripada 41 orang untuk
mendapatkan maklumat tentang tindakan yang dilaksanakan. Saya akan bercakap
terus dengan responden secara bersemuka.
Rasional pengumpulan data menggunakan temu bual ialah ia membantu saya
menjelaskan soalan yang mungkin mengelirukan responden, memahami apa yang cuba
disampaikan oleh responden dan melihat sendiri reaksi responden sama ada kongruen
atau tidak.





5.3 PERANCANGAN CARA MENGANALISIS DATA
Analisis data merupakan satu proses menyusun, menstruktur dan
menginterpretasi makna terhadap data yang telah dikumpulkan. Saya memilih kaedah
pengumpulan data secara kualitatif jadi saya perlu mencari kenyataan umum tentang
hubungan antara kategori data bagi membina satu teori asas untuk memahami suatu
fenomena yang sedang dikaji secara maksimum.
Selepas mengumpul data, saya perlu meneliti data-data yang diperoleh untuk
mengingat kembali peristiwa dan pengalaman yang berkaitan, kemudian saya perlu
memilih fakta yang penting, menghimpun data mengikut kategori/kriteria serta
mempermudah maklumat yang kompleks. Data-data primer yang dikumpul, diproses
dan seterusnya dianalisiskan. Tujuan saya menjalankan analisis data adalah untuk
menjelaskan data-data yang dikumpul kepada data yang lebih ringkas dan mudah
difahami oleh masyarakat umum.
Seterusnya, saya perlu mempersembahkan data dalam bentuk yang mudah
dipersembahkan, dan saya memilih untuk mempersembahkan data dalam bentuk
jadual, peratus, dan kekerapan. Dalam proses ini, saya akan menggunakan Excel.
Semua data yang dikumpul akan disimpan dalam bentuk Excel. Untuk kekerapan, saya
akan menggunakan jadual tanda gundalan bai memudahkan data difahami.
Langkah terakhir ialah saya akan menjalinkan hubungan antara data di mana
saya akan merangka teori untuk menjelaskan situasi.
Rasional saya dalam memilih kaedah analisis data sebegini adalah kerana ia senang
ditadbir dan menjimatkan masa. Ini kerana, saya perlu menguruskan masa dengan baik
kerana tempoh intervensi hanya sekejap iaitu sebulan sahaja, jadi saya memerlukan
kaedah analisis data yang cepat dan efisien.



5.4 PERANCANGAN PELAKSANAAN TINDAKAN

CARTA GANTT PERANCANGAN PELAKSANAAN KAJIAN TINDAKAN
Aktiviti
Tahun 2014
Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sept Okt Nov
1. Mengenal pasti
masalah dan
pengumpulan data
tinjauan awal

2. Menulis kertas
cadangan kajian

3. Merancang
tindakan

4. Melaksanakan
tindakan

5. Mengumpul
data

6. Menganalisis
data

7. Refleksi kajian
8. Menulis laporan
kajian

9. Pembentangan
dapatan kajian

10. Menulis artikel
bagi prosiding

11. Menerbitkan
prosiding

12. Menjilid
laporan kajian





KOS KAJIAN
Bil. Jenis bahan Kuantiti x harga
seunit
Unit Kos
1 Kertas A4 RM 8.00 2 rim RM 16.00
2 Fotostat RM 0.10 sehelai 300 helai RM 30.00
3 Jilid RM 20.00 4 unit RM 80.00
4 Dakwat pencetak RM 10.00 4 unit RM 40.00
5 Tanah liat RM 2.00 10 unit RM 20.00
JUMLAH RM 186.00

Anda mungkin juga menyukai