Anda di halaman 1dari 3

ARKIB : 16/05/2005

Hari Guru 2005 - Memartabatkan profesion keguruan


Sedutan PERUTUSAN HARI GURU 2005 - Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.

``Sesungguhnya tanggal 16 Mei ini amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua
mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita
luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka
yang telah banyak berbudi kepada agama, bangsa dan juga negara.
Sedar tidak sedar, tahun ini merupakan tahun kedua saya menyambut perayaan Hari Guru
sebagai warga Kementerian Pelajaran. Sepanjang tempoh setahun lebih di sini, semakin
banyak yang saya fahami dan semakin banyak yang saya pelajari tentang tuan-tuan dan puan-
puan dan juga tentang profesion keguruan. Saya yakin, tuan-tuan dan puan-puan juga begitu.
Dalam tempoh setahun lebih ini, pastinya tuan-tuan dan puan-puan juga semakin memahami
diri dan pendirian saya, baik mengenai profesion keguruan, mengenai pendidikan anak bangsa
mahupun mengenai wawasan serta hala tuju pendidikan negara. Percayalah, saya tidak akan
membenarkan sama sekali sistem pendidikan negara dijejaskan oleh sentimen perkauman,
prasangka keagamaan dan kepentingan politik yang sempit. Saya lebih rela menjadi tidak
popular kerana bagi saya yang penting bukan saya, tetapi masa depan anak-anak kita.
Kualiti
Tema Hari Guru pada tahun ini kekal sama buat kali ketiga berturut-turut, iaitu ``Guru
Berkualiti Pemangkin Kegemilangan.'' Tema ini amat bertepatan dengan keperluan semasa
kerana dalam era globalisasi dan K-ekonomi, negara kita terpaksa bersaing dengan negara lain
di atas dasar kualiti. Kita tidak mempunyai pilihan, melainkan berusaha bersungguh-sungguh
untuk melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang amat mengutamakan kualiti dalam
setiap pekerjaan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi memberikan penekanan yang begitu tinggi terhadap bidang pendidikan.
Reformasi pendidikan yang ingin beliau bawa diharap dapat melahirkan generasi masa
hadapan yang betul-betul boleh mengangkat Malaysia ke suatu tahap yang lebih Cemerlang,
Gemilang dan Terbilang.
Dalam hal ini, kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa guru merupakan golongan yang
berada di barisan paling hadapan dan merupakan pemangkin untuk memastikan hasrat ini
menjadi kenyataan. Segala ini bermaksud, jika cabaran globalisasi menuntut agar rakyat
Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, lebih berkemahiran, lebih berdisiplin dan lebih
mengutamakan kualiti, maka tuntutan terhadap golongan guru sebagai golongan yang berada
di barisan paling hadapan adalah jauh lebih hebat. Disebabkan itulah saya menjadikan agenda
Memartabatkan Profesion Keguruan sebagai salah satu dari agenda utama saya di kementerian
ini.
Sebenarnya agenda Memartabatkan Profesion Keguruan mempunyai kaitan yang amat rapat
dengan kualiti guru.
Hasrat agenda ini adalah untuk memastikan bukan sahaja kita dapat menghasilkan guru yang
berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu untuk memastikan mereka yang berkualiti ini
kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh
perkhidmatan mereka. Empat strategi utama telah dirangka agar dapat memenuhi sebahagian
besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosi para guru; bermula daripada langkah
untuk memantapkan pemilihan bakal guru dan latihan guru, menambah baik karier keguruan
dan persekitaran kerja guru sehinggalah kepada usaha untuk meningkatkan rasa bangga guru
terhadap profesion keguruan dan mengembalikan perasaan hormat masyarakat terhadap
golongan guru.
Alhamdulillah, sehingga kini terdapat beberapa perkembangan positif dalam usaha kita
memartabatkan profesion keguruan. Paling utama, di mana Skim Perkhidmatan Pendidikan
telah ditambah baik lagi dengan penambahan peluang kenaikan pangkat ke gred Jusa C dan
gred Khas C bagi pengetua dan guru terbilang yang mahu kekal di sekolah kerana minat
mengajar mereka yang mendalam.
Bagi memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan guru, mulai tahun lepas kita telah
mula memperkenalkan M-Test untuk menguji sikap dan keupayaan analitikal bakal guru bagi
pengambilan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Selari dengan dasar penempatan guru
siswazah di sekolah, kita telah menghentikan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM)
dan menggantikannya dengan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP).
Penghantaran pelajar bagi pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua
(TESL) ke luar negara yang tergendala akibat kegawatan ekonomi dahulu telah disambung
semula. Baru-baru ini, kita turut menghantar kumpulan pertama pelajar yang cemerlang dalam
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang memilih profesion keguruan sebagai karier mereka
ke universiti-universiti di luar negara melalui program Penghantaran Pelajar Cemerlang
(PPC).
Dalam masa terdekat, insya-Allah, kita juga akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah
Menteri untuk menaikkan taraf maktab-maktab perguruan kepada Institusi Pendidikan Guru
(IPG) agar kualiti bakal guru dapat terus ditingkatkan dan mereka dapat dipersiapkan dengan
segala kemahiran yang benar-benar menepati keperluan di sekolah.
Bagi menambah baik persekitaran kerja guru, saya telah meminta beban tugas guru dikaji
semula. Pada masa yang sama, dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9),
Kementerian Pelajaran telah memohon agar sekolah-sekolah yang daif dapat dibaik pulih dan
dinaikkan taraf selain dari mencadangkan agar lebih banyak rumah guru dibina, terutama di
kawasan yang sangat memerlukannya.
Disiplin
Bagi meningkatkan rasa bangga guru terhadap profesion keguruan dan mengembalikan
penghormatan masyarakat terhadap golongan guru, terdapat beberapa pendekatan yang telah
diambil. Antaranya, tindakan segera untuk membetulkan persepsi masyarakat yang salah
terhadap golongan guru seperti yang kita lakukan dalam menangani isu disiplin pelajar. Kita
tidak mahu masyarakat menyalahkan keseluruhan profesion keguruan hanya kerana terdapat
dua peratus di kalangan pelajar kita yang terlibat dalam salah laku disiplin. Kita mahu
masyarakat mengingati guru kita kerana kejayaan mereka mendidik 98 peratus pelajar yang
lain.
Lagipun kita wajar mengingatkan bahawa isu disiplin dan keselamatan pelajar sudah menjadi
terlalu kompleks sehingga pihak ibu bapa, masyarakat dan agensi kerajaan lain seperti
pasukan polis perlu memainkan peranan bersama. Bagi guru yang melanggar peraturan
sehingga mencemarkan profesion keguruan, saya tidak pernah sekali-kali berkompromi dan
telah mengarahkan agar tindakan tegas terhadap mereka. Selain itu, bagi mengiktiraf
sumbangan dan kecemerlangan guru, dua anugerah baru telah diperkenalkan dalam perayaan
Hari Guru, iaitu Anugerah Guru Kurang Upaya Cemerlang dan Anugerah Khas Menteri
Pelajaran untuk Kepimpinan Pendidikan.
Terkini, kita juga dapat melihat masyarakat, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan
syarikat-syarikat swasta sudah mulai turut serta dalam memberi penghargaan dan
pengiktirafan terhadap guru-guru kita.
Sebenarnya, semua yang disebut tadi hanyalah sebahagian dari usaha yang telah, sedang dan
akan kita laksanakan untuk meningkatkan serta mengekalkan kualiti guru. Biarpun banyak
lagi yang sedang kita usahakan, namun, seperti yang pernah saya nyatakan dahulu, terdapat
satu faktor yang jauh lebih berkuasa untuk meningkat dan mengekalkan kualiti seseorang
guru berbanding wang ringgit, segala macam insentif serta kemudahan yang diperuntukkan
oleh kerajaan. Faktor tersebut adalah perasaan kasih, sayang dan cinta kepada murid serta
pendidikan anak bangsa dan negara.
Saya perhatikan hanya guru yang bangga dengan profesion mereka serta menerimanya
sebagai amanah dan tanggungjawab yang mulia demi memartabatkan agama, bangsa dan
negara sahaja yang akan bersungguh-sungguh berusaha mencipta juara, bukan sahaja di
kalangan murid yang pintar, tetapi juga di kalangan murid mereka yang lemah dan yang
kurang upaya. Mereka ini jugalah yang sanggup berkorban untuk ditempatkan di mana sahaja,
baik di kawasan luar bandar mahupun di kawasan pedalaman. Bagi mereka, segala-galanya
ini adalah demi agama, bangsa dan negara. Saya sentiasa berdoa agar sistem pendidikan
negara akan terus dirahmati dengan guru-guru sebegini kerana saya yakin, keikhlasan dan
pengorbanan seperti inilah yang dapat menggerakkan fikiran serta emosi masyarakat untuk
memberi penghormatan dan penghargaan secara berterusan kepada golongan guru.
Akhir kata, sempena perayaan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan
terima kasih kepada semua warga pendidik di atas segala pengorbanan yang dicurahkan
selama ini. Kata bijak pandai, ``guru yang baik adalah mereka yang menghidupkan harapan,
menyemarakkan imaginasi dan menggalakkan keseronokan belajar.''

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0516&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm#ixz
z3BCKmeycr
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai