Anda di halaman 1dari 2

Negara Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang penuh dengan budaya, adat

serta beradab. Kesemua elemen ini bukan sahaja amat disenangi oleh kita rakyat Malaysia,
malahan turut dipuji oleh rakyat dari negara yang lain. Namun begitu, negara kita masih tidak
boleh lari dari berhadapan dengan isu moral yang semakin berleluasa. Hampir setiap hari ada
sahaja isu moral yang dipaparkan atau dilaporkan oleh media massa. Menurut The Penguin
Dictionary of Psychology, dilemma moral ialah situasi di mana terdapat dua pilihan yang
bertentangan dan memilih salah satu pilihan akan melanggari/mencabuli pilihan lainnya. Isu
moral pada hari ini bukan sahaja berlaku dalam masyarakat, di sekolah isu moral turut
berleluasa. Antara isu moral yang selalu terjadi di sekolah adalah peras ugut.

Peras ugut ialah perbuatan meminta wang secara paksa dan kekerasan. Jika tidak
diberi, mangsa berkenaan akan dicederakan, diseksa atau diancam. Ada beberapa factor yang
menyebabkan perkara ini terjadi antaranya ialah kesempitan hidup, latar belakang keluarga,
kurang didikan agama, pengaruh rakan sebaya dan banyak lagi. Jika dibiarkan berlarutan
perkara ini bakal mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada mangsa dan si pelaku malah
mungkin pada negara dan masyarakat. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan
407 pelajar didapati terlibat dalam jenayah gangsterism dan 23 pelajar lagi terbabit dalam kes
jenayah peras ugut antara tahun 2000 dan 2003. Antara kesan dari kes peras ugut ini adalah
mangsa akan trauma, kes ini akan berlarutan dari satu pihak ke satu pihak, keselamatan
sekeliling terancam, dan bakal menimbulkan isu moral yang lain seperti gangsterisme, dan buli.

Sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat kepada pelajar. Ibu bapa dan guru
merupakan pihak yang harus memainkan peranan dalam mengatasi isu ini agar persekitaran
sekolah terus selamat. Penglibatan ibu bapa dalam menangani masalah sosial adalah penting
kerana mereka harus sedar bahawa pendidikan anak-anak bermula di rumah. Oleh itu, jenis
dan corak persekitaran yang disediakan oleh penjaga boleh menjadi pengajar dan meransang
kanak-kanak. Kawalan dan perhatian harus diberikan. Tambahan lagi ibu bapa harus
melibatkan diri dan menjalin hubungan dengan pihak sekolah agar dapat memantau
perkembangan anak-anak mereka. Ibu bapa juga harusla menyediakan segala keperluan asas
mereka dan mewujudkan suasana yang stabil agar emosi mereka tidak terganggu. Akhir sekali,
ibu bapa juga harus menekankan dan mengamalkan kehidupan berasaskan agama.

Guru merupakan orang kedua yang rapat dengan pelajar selepas ibu bapa. Guru boleh
dianggap ibu bapa pelajar ketika di sekolah kerana para pelajar adalah tanggungjawab dan
amanah bagi guru. Guru harus mengenali setiap pelajarnya dari setiap sudut. Hal ini demikian
kerana guru dapat meikirkan cara untuk mengawal pelajarnya terutama sekali yang
bermasalah. Guru juga harus memastikan hukuman yang dikenakan sesuai dan setimpal
dengan kesalahan yang dilakukan. Guru juga tidak boleh mengamalkan pilih kasih di sekolah.
Hal ini akan membuatkan pelajar rasa terasing dan akan membenci guru kemudian mereka
akan memberontak dan mula terlibat dengan kes moral. Semuanya berlaku kerana mereka
inginkan perhatian. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus bekerjasama dan mencari jalan
kerana peranan mereka sering dipertikaikan. Akhir sekali, pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia perlu sentiasa mengemaskini pekeliling dan petunjuk tertentu agar jelas dan mudah
difahami di samping dapat menangani masalah moral di sekolah.

Kesimpulannya, kegiatan Peras ugut di sekolah merupakan salah satu isu moral yang
agak berat dan boleh mendatangkan banyak kesan negatif kepada kita. Walau bagaimanapun,
jika ibu bapa dan guru memainkan peranan mereka, saya percaya isu moral ini mungkin boleh
dikurangkan. Susah untuk kita menghapuskannya secara menyeluruh tetapi ianya tidak
mustahil sekiranya masyarakat dan seluruh pihak bergabung dan bersatu tenaga dan
memandang serius untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah ini secara keseluruhan.
Sekiranya ini terjadi nescaya, kita bakal memperoleh pemimpin yang sangat berkaliber dan
mantap dari semua segi serta mampu mentadbir negara kita menuju kejayaan yang lebih besar.

Anda mungkin juga menyukai